30.4.12

EPISOD 21: UJIAN

Hari 7, Ahad
20 Rabiul' akhir 1433H : 18 Mac 2012
Makkatul Karamah

Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul :)
Kita ke masjid awal sedikit sebelum zohor dari kebiasaan selepas menziarahi ladang ternakan unta dan hudaibiyyah. Sebenarnya dari hari ibu mengendong Muhammad di Madinah dulu, tangan ibu bisa dan kebas sehingga tangan ibu tidak mampu mengangkat benda berat dan adakalanya ibu menangis menahan sakit memandangkan losyen panas ibu ditahan dilapangan KLIA lagi. Tidur pula memang tidak boleh nyenyak. Melihatkan keadaan ibu yang kesakitan, nenek memaksa juga ibu makan ubat lega uratnya setelah beberapa hari bisa seluruh tangan ibu tidak pulih. Alhamdulillah hilang bisa sebelah, sebelah lagi pula yang bisa. Memang kaffarah dosa sungguh buat ibu di sana. Asbab ubat nenek yang memberi kelegaan segera, ibu mampu bergerak dan bertahan dengan izin Allah. Alhamdulillah digerakkan untuk membeli stroller baru buat Muhammad semata-mata untuk ke tanah suci setelah membaca pengalaman-pengalaman orang lain yang membawa anak kecil ketika mengerjakan umrah. Jadi, ianya juga merehatkan ayah juga. Ibu hanya mampu membawa diri sendiri dan adik sahaja.

Al-Quran Waqaf
Dalam perjalanan masjid untuk menunaikan solat zohor, kita singgah sekejap di kedai yang menjual Al-Quran yang ingin diwaqafkan. Apabila ingin membeli, ibu selalu terfikir, adakah mereka yang ada di masjid akan membacanya. Jawapannya YA setelah beberapa hari ibu memerhati. Mereka akan mengambil Al-Quran waqaf dan membacanya dalam selang waktu solat ketika iktikaf di masjid. Walau bagaimanapun, kita waqaf sahaja, jemaah baca atau tidak bukan urusan kita. Allah sahajalah yang menilai segalanya. Ibu dan ayah membeli 2 naskhah atas nama Muhammad dan adik untuk diwaqafkan di dalam Masjidil Haram. Al-Quran itu ibu letakkan di atas payung stroller Muhamamd iaitu di atas kepala Muhammad memandangkan ibu hanya mampu mengendong adik yang ada di dalam perut ibu sahaja. Tangan ibu betul-betul terasa bisa malah ianya mula menular keseluruh badan disamping udara di sana yang dicemari oleh habuk simen kerana persekitaran Masjidil Haram yang memang sedang pesat membangun. Tahap kesihatan ibu semakin memburuk ketika itu.

Ujian Sakit
Kebanyakkan jemaah umrah kita termasuk kita anak-beranak mengalami masalah kulit yang menggelupas dan timbul gatal-gatal. Kita sendiri tidak tahu sama ada berpunca dari katil ataupun air di sana. Kulit kaki, tangan dan terutamanya muka, mengelupas asbab mungkin habuk simen. Pedih kulit muka. Begitu juga dengan Muhammad. Merah di pipi kiri dan kanan sehingga luka bagai dicakar kucing. Kaki bahagian lutut ke bawah pula berbekas dengan gatal-gatal. Ayah berkata, di sinilah beruntungnya orang berkulit gelap sepertinya yang mana ayah sendiri mendapat ujian yang sama tetapi tidak memberi impak sedikit pun kepada kulitnya kerana cepat hilang tanpa berbekas. Haha! Bagi ayah menanglah :D. Bekas gatal-gatal yang sudah berkuping di kaki Muhamamd pula, pulih sepenuhnya apabila tiba di Malaysia. Di sinilah ibu melihat kepentingan topeng muka. Segelintir jemaah yang memakai topeng muka diizinkan Allah tidak mendapat kulit mengelupas dan tidak pula mengalami batuk-batuk. Di sana, ibulah yang mempelopori batuk dan hinggap pada Muhammad pula. Suara pula memang serak-serak basah akibat batuk-batuk yang semakin lama semakin memburuk. Sudah sebulan pun berlalu namun batuk-batuk ibu masih setia menemani. InsyaAllah hanya tinggal saki baki.

Gatal-gatal yang mengering di kaki Muhammad.

Muhammad Terpelanting
Kita itikaf di tempat biasa di tingkat 1 masjid tetapi memandangkan waktu zohor lama lagi, kita iktikaf betul-betul menampakkan ka'bah untuk solat tahyatul masjid dan dhuha. Ibu solat dahalu dan kemudian ayah. Ibu memang tidak larat mendukung Muhammad. Jadi ibu hanya ikut ke mana sahaja Muhammad pergi sambil memerhati dan menanti dengan harapan ayah supaya cepat menyudahkan solatnya. Sedang Muhammad berjalan, berlari, tiba-tiba Muhammad terpelanting dan terbaring tidak beberapa jauh. Muhammad pun tunggu apa lagi, meraung sekuat hati. Ibu segera mengangkat Muhamamd dan benjolan di belakang kepala Muhammad sebesar bola pingpong. Ada beberapa makcik arab yang datang untuk membantu. Menggeletar kepala lutut ibu dibuatnya. Hilang bisa-bisa tangan ibu ketika itu. Ibu segera membawa Muhammad ke tempat paip air zam-zam di tempat saie tingkat 1. Ibu menyapu air zam-zam sejuk pada benjolan tadi dan memberi Muhamamd minum. Muhamamd dilanggar orang Arab yang sedang tawaf ditingkat 1 berkenaan. Orangnya tinggi dan Muhammad pun hanya separas lututnya sahaja. Dia tidak nampak Muhammad ketika sedang tawaf tadi. Dia segera mengangkat tangannya tanda maaf dengan muka yang cukup bersalah dan ibu mengangguk dan mengangkat tangan 'tidak mengapa'. Lagipun, dia bukan sengaja. Tidak berapa lama kemudian, ayah pun datang. Muhamamd seperti biasa nangis sekejap sahaja dan sambung semula aktiviti Muhamamd.

Games Air
Hampir zohor, kita beredar ke tempat biasa. Di sana seperti biasa, Muhammad akan berkenalan dengan ramai kawan-kawan Muhamamd. Ada sekeluarga bersama 3 orang anaknya bermain-main bersama Muhamamd dan sebelum mereka beredar setelah Zohor, si anak tadi memberikan Muhammad mainan air yang umpama games. Sempat juga ibu bertanya nama-nama mereka. Masmuka? Bahasa arab mudah sahajalah yang ibu mampu. Jika ibu tidak silap seorang daripadanya bernama Yusof. Terus teringat abang Yusof anak teruna ibu zefa asmara ;). Setelah itu kita pulang untuk makan tengah hari pula. Seperti biasa, kita menaiki lif untuk turun ke bawah tempat stroller Muhammad di tepi pintu besar tadi.

Kawan-kawan arab Muhammad berserta hadiah mereka buat Muhammad. Kecil-kecil lagi mereka sudah sungguh sweet ;).

Stroller Tulsa Jogger Dalam Kenangan
Innalillah! Puas mencari-cari sekitar pintu yang menjadi kebiasaannya kita meningglkan stroller Muhammad, takdirnya Allah mengambil semula strollerNya yang banyak jasanya. Di dalam bakul bawah stroller itu ada sepasang selipar ayah yang kedua, dan selipar kebiasaan ibu disamping dua naskhah Al-Quran yang ingin diwaqafkan tadi, semuanya hilang dengan takdir Allah. Setiap kali ke masjid selepas kejadian itu, kami akan meninjau ditepi-tepi masjid. Stroller Tulsa Jogger itu murah sahaja harganya. Ibu beli hanya dengan harga RM119 di Jusco tetapi ianya baru dan tampak begitu bergaya dengan 3 rodanya dan berwarna merah hitam. Banyak lagi stroller canggih di tempat biasa kita parking stroller. Namun, Allah pilih kita ;). Ibu dan ayah hanya tersenyum. Ibu sendiri tidak menyangka yang di tanah suci akan ada perkara sebegini memandangkan kita benar-benar dekat dengan rumah Allah. Selepas kejadian itu, barulah ibu perasan kenapa ada yang merantai stroller mereka dan ada yang meletakkan jauh di atas bumbung rendah. Rupa-rupanya bagi mengelak kehilangan. Kita meneruskan juga perjalanan tengah hari tersebut dengan berkaki ayam. Ibu hanya mampu berkata kepada ayah ketika berlalu pergi, kita minta macam-macam, Allah ambillah sedikit pinjamanNya daripada kita ;). Boleh sahaja ibu dan ayah solat hajat dan berdoa dipertemukan kembali stroller Muhammad dan pengambilnya, namun apabila mengenangkan, tergamakkah kita untuk mengakui stroller tersebut milik kita apabila tiada apa-apa bukti menunjukkan kepunyaan kita disamping ada anak kecil yang berbaring di dalamnya.  Redho ;). Mudah-mudahan kaffarah dosa ibu ayah kerana kurangnya sedeqah atau sebagai penebus dosa-dosa kecil kami insyaAllah!

Tulsa Jogger dalam kenangan.

Redho Hilang Wira
Kisah kehilangan barang seperti ini mengingatkan ibu kepada seorang pensyarah semasa ibu membuat kursus persediaan di sebuah kolej yang terletak di bandaraya bersejarah. Pensyarah ini dari mathematics department tetapi aktif memberi kuliah di dalam kolej. Kami panggil semua penyarah yang selalu memberi kuliah dengan panggilan 'ustaz' walaupun bukan dari latar belakang agama ;). Ustaz ini kehilangan kereta wira putihnya namun dia mampu tersenyum kerana menurutnya, kereta itu bukan miliknya. Milik Allah. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya semula. Sesungguhnya redho itu payah dan hanya mampu dikecapi oleh insan-insan yang menghayati erti islam dalam kehidupan. Tidak perlu saling menyalahi dan menuding jari. Kemanisan sebuah iman ;).

Perkaitan WARAK dan ZUHUD
Sekali lagi ibu kaitkan dengan tulisan terbaru Ustazah Maznah Binti Daud berkenaan Warak dan Zuhud. Ianya ada kaitan dengan kaitan dengan kisah kehilangan selipar. Ibu salin semula isi penulisannya supaya ianya singkat. Secara ringkasnya, WARAK ialah menjauhi perkara haram dan yang subhah manakala ZUHUD ialah sifat yang menggerakkan seseorang meninggalkan perkara yang haram dan yang syubhah, mengelakkan diri dari bersedap-sedap dengan syahwah yang harus (contoh: makanan, perhiasan, seks dll secara berlebihan). Maka setiap orang yang zuhud itu warak, dan bukan setiap orang yang warak itu zuhud. Zuhud adalah sunat dan sangat digalakkan. Ia dinilai berdasarkan niat seseorang. Tiada siapapun yang mengetahui kadar zuhud yang berada di dalam hati seseorang melainkan Allah Yang Mengetahui segala-galanya. Boleh jadi orang yang memiliki harta yang banyak lebih zuhud daripada orang yang memiliki harta yang sedikit atau yang tidak memiliki harta langsung.

Basyar Al-Hafi & Kasut
Di kalangan salaf as-soleh, antara yang terkenal dengan sifat warak dan zuhud ialah Basyar al-Hafi (wafat pada tahun 227 hijriah bersamaan 841 masihi). Ustazah kisahkan tentang adik Basyar yang datang ke rumah Imam Ahmad untu bertanya status cahaya yang melimpah dari rumah jirannya sehingga dia boleh menenun dan membuat perkejaan lain dengan terangnya cahaya dari rumah jirannya. Imam Ahmad sangat kagum dan menasihati supaya adik Basyar tadi menjauh dari perkara-perkara yang syubhah kerana dikhuatiri keluarnya warak dari rumah keluarga Basyar. Itu baharu sahaja kisah adik kepada orang warak dan zuhud. Bagaimana pula Basyar? Suatu hari Basyar membeli sepasang kasut baru dan diletakkan di tepi pintu masjid sebelum masuk mengimamkan solat. Apabila selesai solat, didapati yang kasut barunya tadi hilang dan Basyar menangis. Ada yang datang menyuruhnya tidak menangis kerana mereka boleh membelikan sepasang yang baru buat tuan imamnya. Namun apakah jawapan Basyar si warak dan zuhud ini? “Demi Allah! Aku menangis bukan kerana kasutku hilang. Tetapi aku menangis kerana aku menjadi sebab seorang umat Islam melakukan maksiat. Kalaulah tidak kerana kasut baruku itu, tentulah dia tidak mencuri, tentulah dia tidak melakukan maksiat dan dosa!”. Selepas kejadian itu, Basyar tidak lagi memakai kasut sepanjang hayatnya sehingga dia digelar sebagai Basyar Al-Hafi (Al-Hafi bermaksud orang yang tidak memakai kasut atau yang berkaki ayam).

Giliran Nenek
Hebatkan para sahabat zaman awwal wahai anak-anak ibu? Cuba kita ukur dengan zuhud dan warak mereka dengan apa yang kita buat hari ini? Senipis kulit bawang pun belum tentu kita mampu mencapai tahap keimanan mereka T_T. InsyaAllah sebagai manusia ummat terakhir yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW, kita cuba sedayanya mengamalkan sunnah Baginda tanda kita kasih dan cinta akan Rasulullah SAW kekasih Allah dan kekasih kita insyaAllah. Berbalik kepada kisah ayah dan ibu yang kehilangan selipar sekaligus kehilangan stroller milik Allah dan bukan milik kita itu, kita pun berkaki ayam balik ke apartment. Sampai sahaja di sana, kita juga dihidangkan kisah yang lebih kurang sama namun ianya lebih menakutkan buat nenek terutamanya. Ketika nenek dalam perjalanan ke masjid, ada peminta sedeqah dan kami diingatkan supaya tidak melayannya kerana implikasinya boleh semakin memburuk. Jadi, nenek berlalu tanpa memperdulikannya. Rupa-rupanya si peminta sedeqah tadi mengekori nenek dan memasukkan tangannya di bawah telekung nenek dan sempat membuka zip beg kecil yang digantung dileher, cenderahati travel agensi umrah kita. Nenek yang tergamam dengan perbuatan si pencuri, tidak mampu mahu menjerit dengan suara maksimum. Nenek menepis tangan si pencuri. Alhamdulillah tiada apa yang hilang cuma nenek agak trauma dan terkejut.

Pencuri Profesional
Rupanya banyak kejadian kecurian dengan pelbagai teknik di Mekah. Ibu difahamkan pencuri-pencuri ini bukan dikalangan penduduk tempatan di Mekah. Mereka datang dari negara sekitarnya. Menurut nenek, ada juga jemaah umrah yang dibawa si pencuri di hujung jalan secara beramai-ramai untuk mencuri. Bayangkanlah 2 orang dikelilingi beberapa orang pencuri dan dikerah untuk memberi wang. Sama juga perihalnya di masjidil haram yang mana ada tangan yang merayap di beg-beg walaupun beg tersebut cukup dekat dengan pemiliknya. Kebanyakan orang-orang tua membuat tali pinggang kain yang melingkari pinggangnya umpama tali pinggang untuk meletakkan wang mereka. Terjadi kepada ibu mertua atau ibu bos ibu sendiri yang mana ibunya tidak menyedari yang wangnya hilang dan ada bekas torehan kecil di tali pinggang kain yang sedang dipakainya. Jawabnya memang tiada rezekinya kerana semua wang sakunya hilang dikebas pencuri. Pencuri di Mekah cukup profesional dengan hanya menggunakan pisau lipat sahaja sehingga kita tida mampu mengesan ketika dia mencuri. Seperkara lagi, berhati-hatilah ketika membuka dompet untuk berbelanja kerana segelintir penjaja disana suka memerhati dompet kita yang terbuka dengan tajamnya ketika membuat bayaran.

Ini adalah nikmat-nikmat ujian yang Allah kurniakan kepada kita wahai anak-anak ibu supaya kita lebih sedar akan segala yang ada pada kita, hanya pinjaman Allah semata. Semuanya milik Allah. Harta, suami isteri, anak-anak, semuanya milik Allah. Allah Maha Tahu andai pinjaman yang diberiNya itu baik sekejap mahupun lama buat kita. Mudah-mudahan semua yang Allah kurniakan dan anugerahkan buat kita, menjadikan kita lebih dekat dan taat kepada Allah. Firman Allah SWT: Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-Ankabut: 2-3). InsyaAllah episod akan datang pula ibu catatkan pula cabaran membawa anak kecil  dan ibu hamil ketika umrah. Jujurnya, sekiranya Allah mengizinkan untuk mengerjakan haji pula, ibu angkat tangan surrender! :D InsyaAllah kembali dengan episod seterusnya pasti dengan izin Allah!

10 comments:

IntaNBerliaN said...

siannya muhammad.. sampai mcm tu sekali jd kering kaki dia yer..

haa muhammad terpelanting.. Ya Allah... risau saya.. alisha yg jatuh katil sampai benjol dkt dahi pun saya dh rs takut sgt.. ni pulak muhammd terkena plak dgn org arab tu...

alhamdulillah muhammad xda pe2 yg teruk kan...

@LeenShamsh said...

a'ah..muhammad ni kecik..parut takde..yg dah tue ni aduhh huduhhnyee..memeang menggeletar badan..besa benjol die..berape hari baru hilang..bunyi pun kuat mcm bende berat jatuh atas lantai..orang arab tu tak perasan..mnemang hari tu hari ujian sedunielah..Allah... ;)

♥♥azatiesayang ♥♥ said...

salam Ummu Muhammad..terima kasih rajin singgah ke blog k.atie...
Nk tanya mmg losyen panas xblh dibawa ke mekah ke?nape ya..
Ttg pertanyaan ummu mUhammad kat blog k.atie tu...
K.atie ni umur dah bykkkkkk..:D.gaya penulisan k.atie mmg camtu....agaknya sbb dikelilingi anakbuah2 yg sebaya Muhammad & mereka rapat ngan k.atie..:D

@LeenShamsh said...

kaktie boleh bawak tapi kandungan die lebih 100ml..tak bule naik kapal..kenelah ditinggalkan..T_T

FADLUL & FIFAH said...

baru berkesempatan nk tinggal jejak lepas baca 21 episod..hehehe...

seronok lah baca pengalaman org gi umrah..

kami bila lah agaknya...semoga allah kurniakan kesempatan utk jejakkan kaki kt sana..

@LeenShamsh said...

insyaAllah mane tau rezei adik tasneem..tapi nak pegi kene kamikazelh fa..kami memang tarah rata simpanan..alhamdulillah balik umrah ade rezeki kenaikan 13% gaji pergerakan gaji tahunan..rezeki adik Muhammad ;) pening juge tu mule2 bile fikir aqiqah hari ke7 tu insyaAllah panjang umur

Ibu Yusuf Maryam said...

Alhamdulillah.. ada yg ingatkan anakand Yusuf ye.. :D

ps: sbnarnya dr mula membaca dr episod 1, sudah terfikir soalan dlm kepala, tak susahke bawa anak kecik? namun jawapan demi jawapan ada dlm catatan UM..

NoEn said...

kesian muhammad..pasti sakit kan bila terpelanting tu..tp xpe, muhammad kan kuat ;)

@LeenShamsh said...

kak zefa: tulah teringat kat abg yusof sekeluarga..mudah2an ade rezeki akak sekeluarga ;)

tu yg angkat tgn dulu tu..anak2ku sile tinggal, ibu ayah saje yg pergi dulu utk haji heheh


noen: huh noen kali pertama tgk tibe2 membesar mcm bola pingpong kat belakang kepale..kepale pulak tu..alhamdulillah takde ape..ade rahsie Allah kenape terhantuk kat kepale bahagian belakang tu..redho ;)

nadia rashid said...

Salam Puan,

sy nak tanya, pegi umrah ketika hamil mcm mnr process nya...maksud sy dari segi medical process..sy dengar ada suntikan...suntikan ni tak m'beri kesan ke pada kandungan?