29.12.16

SAHABAT KUALITI SYURGA

Golongan pertama yang akan mendapat naungan araysh di padang mahsyar nanti adalah pemimpin yang adil. Kedua ialah orang yang bersahabat bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kata Ustaz Anas Mandani, zaman sekarang untuk bersahabat kerana Allah adalah sangat susah. Ada kawan tikam kawan dan sebagainya.

Patutlah orang-orang lama sekeliling selalu berpesan tentang kawan. Apabila telah dewasa, kawan memang tak ramai tapi inshaAllah kualiti syurga.

Paling selamat, bersahabatlah dengan pasangan sendiri, anak-anak untuk bertemu dan berpisah juga kerana Allah swt.


#BFF
Talk with your daughters, play with your sons.
You need to be a better friend to them than anyone else.
This society offer lots of evil friends.
Before they make those kinds of friends, they need to find 'bestfriend' in you.
[Ustaz Nouman Ali Khan]

16.12.16

MP4 AL-QURAN 30 JUZUK

Sebelum ini kami berniaga kecil-kecilan fenomena radio quran 30 juzuk. Baru-baru ini pembekal menawarkan mp4 kanak-kanak islamik. Secara peribadi, walaupun dihidangkan kartun-kartun islamik, tetap ada pro dan kontra.

Kami hanya mencadangkan mp4 kanak-kanak islamik tersebut kepada anak-anak yang 'skrin addicted'. Tantrum apabila tidak mendapat tab dan sebagainya. Mp4 ini lebih baik dari membiarkan anak-anak 'explore' telefon kita.

Kemudian, pembekal tawarkan pula mp4 untuk orang dewasa yang memang kami tunggu-tunggu. Mp4 yang terkandung 30 juzuk Al-Quran.


Umpama 'portable mini TV' yang sangat memudahkan kami untuk travel. Layankan mata anak-anak sebelum tidur sebelum digantikan dengan radio Quran 30 juzuk selepas mereka tidur.





Isi kandungan mp4 yang memuatkan tentang praktikal haji dan umrah, doa-doa, dan sebagainya. Pendek kata,inshaAllah sangat berbaloi dan praktikal untuk travel.

ImaniagaMA Enterprise - 013 357 5915

15.12.16

MEE IMAN MA

Percubaan pertama mee inspirasi kawan yang selalu buat tayangan mee pelbagai bentuk dengan mesin proses mee yang baru beliau beli.


Mee kami tanpa mesin. Buatan tangan sepenuhnya. Tambah lagi perisa kasih sayang. Haha.

Agak-agak jika diluaskan melalui program keusahawanan peserta pertama BAiHoS boleh laku tak?

13.12.16

MENGAJAR

Sesungguhnya orang yang paling utama di antara kalian adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya. (HR. Bukhari)

Patutlah disebut 'paling utama'. Tahap kesabaran mengajar Al-Quran pun memang paling utama. Silap-silap mengajar seorang umpama mengajar setaman. Bagai rasa keluar wap panas menggelegak atas kepala. Adus!

Tabik spring sungguh pada tuan/puan guru mereka. Seronoknya menjadi ahli Al-Quran. Belajar dan mengajar. Hafal dan beramal. 

Cuti sekolah, sambung yang ustazah ajar di tadika dan bergilir juga dengan tuan guru mereka. Walaupun ibunda tiada apa-apa sanad, kita cuba juga untuk bantu memperlaju iqra' si anak-anak. Mudah-mudahan boleh khatam pada cuti ini dan naik Al-Quran pula.


Sesiapa di kalangan kamu mengajar anaknya adalah lebih baik baginya daripada bersedekah setengah gantang makanan untuk orang miskin. (Maksud hadis)

11.12.16

TAQWA

Semalam seharian sampai dekat tengah malam, kemas segala jenis fail terutama fail pengurusan TTI yang sepatutnya dikemaskini setahun yang lalu. Itupun baru tapisan pertama. Perlu lagi diperincikan mana yang perlu simpan dan tidak.


Manusia ini nampak sahaja hebat. Boleh buat 3 kerja dalam satu masa. Ala-ala kopi pracampuran 3 in 1.

#UMAstyle = kerja hakiki
#TTIrule = Tadika Tahfiz Iman
#imaniagaMA = niaga suka ria

Sahabat menghadiahi planner kerana menurutnya, si kawan inilah pengurusan masanya paling tiptop. Hakikatnya semua berterabur.

Sebab kita memang tak boleh dapat semua. Pilih yang ini, yang itu tercicir. Pilih yang itu, yang ini tersisih. Jadi, perlu dilepaskan atau melepaskan, berkorban atau dikorbankan.

Jadi, korbankan imaniagaMA dengan tutup Fb sementara waktu. InshaAllah ada gunanya untuk produk anak-anak pula sedikit masa nanti bila sudah sedikit mantap ilmu dijiwa.

Serahkan pengurusan pada staf TTI kesayangan dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya termasuk pengurusan akaun keluar masuk. InshaAllah mereka akan lebih faham dan membantu jika ada rezeki mereka membuka perniagaan sendiri nanti. 

Bisnes tadika bukan bisnes untuk kaya. Bisnes pokok sawit. 3 tahun pertama adalah fasa kesakitan. Tahun pertama rugi beribu. Simpanan haji belum diisi dan perlu topap setiap bulan dengan belanja sendiri.

Tahun ini menanti dengan debaran penuh harapan, walaupun tidak untung tapi janganlah rugi keterlaluan. Paling syukur, ada 4 jiwa yang boleh dibantu ekonomi dan Allah izin untuk cuci harta dengan melunaskan zakat pendapatan setiap bulan.

Mudah-mudahan tahun 2017, Allah gantikan semula apa yang kurang dan hilang selama ini dengan kemuliaan.

Dalam pada berkemas-kemas, terjumpa suatu catatan diari yang mengesankan jiwa. Terapi hati anugerah langit tertinggi dari pelbagai cabang hakikat manusiawi.

Taqwa itu lebih mulia daripada yang kamu rahsiakan,
Indah daripada yang kamu tunjukkan,
Dan lebih baik daripada yang kamu simpan.

...Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu...(49:13)

Mengemas sambil jahit hati yang koyak rabak.

10.12.16

KAK ROS

Semalam ke Karnival Keusahawanan di tapak rekreasi berdekatan kami. Ala-ala mini MAHA. Walaupun kecil, tetap menggembirakan.

Maghrib di masjid dan singgah ke rumah bonda sehingga Isya'. Al-kisahnya sedang rakaat terakhir solat Isya', ada suara sepupu sepapat anak-anak yang juga baru sampai bergurau ketawa terbahak-bahak diluar bilik. Yang sedang solat Isya' rakaat terakhir ini pun hampir-hampir terburai isi perut tahan ikut ketawa berjemaah.

Rosmah..
Rosmah...
Wakakaka....(ketawa sambil 'menganjing')

Bertuah sungguh budak-budak ni.

Ada kucing betina sedang bunting mendatang yang memang terlalu manja dengan adik lelaki bongsu kami. Pantang nampak si adik, datang meleset-leset terus terlentok di kaki sehingg dapat jolokan 'girlfriend' kepada adik bongsu.



Si 'girlfriend' adik bongsu yang anggun lagi jelita serta bergaya ini diberi nama 'Rosmah' atau nama manjanya ialah Kak Ros. 

Selama ini tak berapa endah tapi malam tadi barulah tahu kisah perjalanan Si Rosmah sehingga dinobatkan sebagai 'girlfriend' adik bongsu.

Kucing pun jadi kau dik.
Kahkahkah.

9.12.16

JIWA MERDEKA

Bila kita sedang sehabis daya mujahadah untuk membebaskan jiwa dari dibelenggu hutang, akan ada ujian yang sentiasa mengganggu gugat perjuangan melawan nafsu kemanusiaan itu.


Walaupun bukan untuk diduduki, ianya boleh jadi sebahagian aset. Contoh disewakan dengan anggaran 1k setiap bulan mengikut kadar semasa ditempat berkenaan dan tuan rumah hanya bayar RM400-500 sebulan yang diikat 30 tahun. Keuntungan separuh setiap bulan. Kira-kira yang nampak cantik pada mulanya.

Hakikatnya, banyak lagi bebanan yang akan ditempuh. Ragam penyewa, bersedia untuk rumah itu nanti dirosakkan dan kos membaik pulih. Paling takut, jika rumah itu nanti dijadikan tempat maksiat dan pastinya beban riba' untuk ikat sehingga 30 tahun yang maksudnya, kita bayar untuk 2 biji rumah selama 30 tahun. Perghhh.

Pujuk hati.

Kita hidup bukannya lama. Cukuplah ada sebuah rumah yang gembira isi dalamnya dan kereta yang selesa tidak menyusahkan apabila bermusafir. Hidup membebankan diri dengan hutang piutang keliling pinggang adalah bebanan jiwa bagi manusia yang faham.

Kalau jiwa telah merdeka dari segala pengaruh perhubungan orang lebih dekat dengan Allah. Dia tidak merasa gentar dan menempuh segala macam bahaya. Tetapi kalau jiwanya tidak merdeka, dia menjadi pengecut, takut mati, was-was, putus asa, dan belum tentu bahaya akan datang, dia sudah lari. (Tuan Direktur, Hamka, m/s 96)

8.12.16

PENAT

Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya. (Al-Kahfi 18:31)


Bila rasa penat, ingat tempat rehat.

MALU


Perkara yang selalu buat aku malu dengan Tuhanku ialah amalku yang cacat, ibadahku yang berpenyakit, tapi kurniaan Tuhan tetap besar pada diriku. (Fudhail bin Iyadh)

7.12.16

SAHABAT

Umpama magnet. Berlainan cas sentiasa tertarik. Tidak sama tetapi selalu melengkapkan. Terlebih batas, tidak jemu mengingatkan. Saling berpesan-pesan kepada kebaikkan. 


Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). (43:67)

6.12.16

7 DERIA

Tasawwuf.

Adalah ilmu membersihkan segala anggota yang zahir daripada segala perbuatan keji. 7 anggota zahir itu ialah

+ mata.
+ telinga.
+ lidah.
+ perut.
+ faraj.
+ tangan.
+ kaki.


Jika kita tidak memeliharanya, maka semua anggota itu menjadi saksi kepada kita pada hari kiamat nanti.

Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan). (2:28)

Rujukan: Kitab Penawar Bagi Hati oleh Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Muthalib Al-Mandili.

KEMAS FB

2 hari lepas, seharian kemas Fb. Salin semula tulisan-tulisan yang bernilai baik dalam fb dan pindahkan dalam blog. Aplikasi blogger pun sampai jammed. Bateri dari penuh smpai berbaki 1% sahaja.

Penulisan yang ada nilai sentimentalnya sendiri kerana ditulis mengikut keadaan hati dengan menjiwai peristiwa ketika itu. InshaAllah akan dimuatkan naik satu per satu nanti.

Dalam hidup tak semua yang kita impikan akan jadi kenyataan. Setiap satu kejayaan orang-orang besar di mata kita pasti ada yang tersisih disisi lainnya.

Misalnya sebelum ini niat di hati aktifkan fb untuk berniaga. Banyak ilmu niaga yang diperolehi melalui fb. Begitu jugalah rezekinya tapi dalam pada sibuk itu, anak-anak pun hampir ditolak tepi. Telefon tak boleh renggang. Ketagihan untuk skroll dan skroll.

Jadi 'uninstall' sekejap perlahankan aktiviti kerana banyak leka dan ketenteraman jiwa terganggu. Isyarat dari langit yang sungguh mengesankan.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (24:52)

Begitulah pelangi kehidupan. Kadang-kala kita selalu melihat yang gah itu sempurna. Hakikatnya, memang kita akan dapat apa yang kita mahu tetapi kita pasti hilang sesuatu. Kerana kita hanya manusia yang terbatas pada fitrahnya. 


Hidup ialah pilihan yang setiap satunya pasti ada yang perlu dikorbankan. Sama ada wang, masa, hatta kasih sayang.

5.12.16

BARAKAH

Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (25:74)



Muliakan rahim-rahim kami dengan lahirnya zuriat keturunan yang barakah.

4.12.16

PILIH GERABAK

Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang kian kemari menghambur fitnah. (Al-Qalam: 10-11).

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela. (Al-Humazah: 1)

Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata. (Al-Ahzab: 58)

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya. (Al-Hujurat: 6)

Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa. (Al-Hujurat: 12)

Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. (Al-Hujurat: 12)


Tempatkan kami dalam gerabak orang-orang bertaqwa sebelum kami. Pelihara dan santunilah kami selalu wahai Pemilik Pengampunan.

KIDS



While we try to teach our children all about life,
Our children teach us what life is about.

26.11.16

TARBIATUL AULAD

Ulangkaji lagi. Dari satu buku ke buku lainnya. Dari kulit ke kulit. Biasalah, manusia dan lupa terpisah tidak.

Buku yang dibeli seingatnya sebelum ada anak. Mungkin sedang hamil. Jadi, banyaklah buat 'homework' persediaan menghadapi kelahiran.

Melalui pembacaan, tahulah mengenai tuntutan syariat kelahiran dan hari ke-7 kelahiran yang perlu disegerakan. Dari pengetahuan juga, mulalah menabung untuk perbelanjaan menyambut gembira anak-anak yang bakal lahir.


Letak keyakinan tentang keberkesanan sunah tuntutan menyambut kelahiran, inshaAllah Allah anugerahkan sesuatu yang diluar dugaan.

Sebab, sedayanya amal sunat itu tanda taat jiwa hamba.

25.11.16

SYUKUR

Dalam hidup kita, Allah sengaja tak bagi semua yang kita mahu. Kejar yang itu, yang ini akan tercicir. Kejar yang ini, yang itu pula ditarik semula.

Kerana Allah beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Sebab pujuk hati yang selalu kita dengar dan memang betul. Sunnatullah.


Bersyukur dengan apa yang kita ada. Hargailah selagi ada. Jangan sampai cukup masa, Allah ambil dan ganti pula sebaliknya.

Jiwa cedera, itulah doanya.

24.11.16

MDS DRAF 1

Berkarya di malam hari. Alhamdulillah akhirnya dapat juga capai target untuk print MDS draf 1 untuk diagihkan kepada yang berkenaan. Juga senaskah untuk diri sendiri cek error sana dan sini.


Sebenarnya apa yang dikisahkan hanyalah permulaan sebuah universiti kehidupan tetapi inshaAllah mungkin ada panduan untuk bakal ibu ayah yang masih tercari-cari kaedah serta bagaimana untuk bermula.

Zero to hero dengan izin Allah.

23.11.16

PILIH JODOH

Walaupun bukan kategori rupawan apatah lagi hartawan lagi dermawan, hati itu tetap ada kriteria lelaki pilihan. Sebab soal jodoh berimpak masa depan. Alhamdulillah yang datang juga seperti apa yang kita minta dan zikirkan. 


Ada seorang lelaki mencari jodoh. Pesan lelaki lainnya: "Bukan ustazah pun tak apa ustaz asal dengar kata".

Barulah tahu antara kriteria perempuan pilihan lelaki ialah mendengar kata. Mungkin senang urus dan tak banyak ragamnya.

Betul. Sebab itu ramai perempuan dalam neraka. Mulut binasa.

20.11.16

ULANGKAJI

Alhamdulillah penangan delete aplikasi fb sementara waktu untuk laluan ketenangan jiwa. Masa banyak habis ulangkaji bahan bacaan dan menulis sedikit melalui lintasan kenangan-kenangan lebih 6 tahun sudah.

Walau bagaimanapun, mesti konsisten asah kemahiran menulis dengan bahasa-bahasa menggugah jiwa melalui penulisan di blog supaya penulisan dari hati sampai menyantuni hati-hati manusia lainnya inshaAllah dengan izin Allah pastinya.


Hari ini buka kitab rujukan seterusnya. Rupanya bukan mudah untuk menghasilkan penulisan berkualiti lagi-lagi status penulis yang ilmunya ala kadar dan latar belakang agama yang ala-ala sahaja.

Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis. (Imam Al-Ghazali)

Manis penuh pujukan syahdu kata-kata semangat imam yang hebat. Tulisan sekian lama dibingkaikan supaya masih boleh dibaca dan dipraktikkan sehingga generasi hari ini.

Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku. (20:114)

19.11.16

BELI JIWA

Walaupun akaun TTI telah pun negatif di akhir tahun, tetapi jasa staff sepanjang tahun 2016 mesti dihargai. Staff yang gembira bekerja, impak mashaAllah luar biasa. Untung rugi kerja adalah Dia. Doa dan usaha sahajalah tanda taat setia kepada-Nya.


InshaAllah program HS akan dilaksanakan untuk 2017. Jadi, TTI sepenuhnya akan diuruskan mereka kerana masa yang ada terlalu singkat untuk mengurus banyak perkara. Tak menang tangan. Maka, tugas mesti diagihkan untuk manfaat ummat jagat.

Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya. (Imam Hassan Al-Banna)

17.11.16

IHTIFAL MAHKOTA HUFFAZ

Petang semalam terima gambar ini daripada group TTI. Mereka kerja lebih hampir 2 minggu kebelakangan ini. InshaAllah esok ialah hari yang dinanti-nanti ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka beraksi comel menghafal Quran, berzikir, berpuisi dan macam-macam lagi.

Disebabkan tak mahu aturcara majlis terganggu dek kerana kehadiran kami yang mempunyai 2 jiwa di TTI yang malu-malu jika si ibu dan ayah melihat persembahan mereka, jadi, semalam luangkan masa untuk melihat sedikit sebanyak 'rehearsal' anak-anak TTI. MashaAllah, comel sungguh!


Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan di pakaikan mahkota, sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari berada di rumah kita. Bagaimana menurut perkiraan kalian, bagaimana agaknya ganjaran untuk orang yang mengamalkannya sendiri?
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

16.11.16

MDS 👑

Sebenarnya tidaklah berapa mahir teknologi. Tengok email, barulah perasan bahagian circles yang tidak dibaca sejak 2014. 2 tahun sudah berlalu.


Tentang program Al-Quran separuh jalan yang sebelum ini dikongsikan dan di sembunyikan semula untuk ruang hati dan dengar cakap suami. Isteri cerdik yang solehah haha!

Alhamdulillah mungkin berkat dengar kata, Allah balas sesuai dengan pengorbanan melalui anak-anak juga.

InshaAllah dalam proses bab terakhir MDS. Selepas ini perlu print dan hantar tapis pada big boss Bayt Al-Iman dan inshaAllah baru boleh diusulkan pada syarikat yang Allah telah tetapkan untuk terbit. Biidznillah.

MDS, Anugerah Langit Tertinggi. 👑

12.11.16

TUNTUTAN SEBAR ILMU

+ Tidak perlu tunggu khatam dan amal, barulah mahu sampaikan.

Zaaaapp. Gegar jiwa sekejap. Rasa seperti Allah tujukan pada diri sendiri.

+ Taat Allah dan Rasul secara mutlak.
+ Berdamping dengan Al-Quran.
+ Quran turun selama 23 tahun dan akan naik semula ke langit seperti bunyi lebah apabila manusia tidak lagi beramal dengan isi Al-Quran.
+ Banyakkan baca Quran umpama baca surat daripada Allah melalui Nabi SAW sebelum diangkat.
+ Baca Quran semulia-mulia ibadat.

+ Dalam Quran ada beberapa yang Nabi SAW iaitu:
++Yassin
++Waqiah
++Al-Kahfi
++Sajadah
++Al-Mulk

+ Muliakan Nabi SAW dengan hafal paling kurang Yassin dan surah-surah kesukaan Nabi SAW.
+ Sentuh Al-Quran dengan wudu'.
+ Baca dengan pelihara hukum tajwid dan wajib belajar serta berguru.
+ Setiap benda hidup ada hati dan Quran hatinya pada surah Yassin.


Nota tentang Al-Quran untuk projek khabar gembira. MDS, our first lovely baby. InshaAllah biidznillah.

Kuliah selepas Maghrib,
Masjid Jamek.

11.11.16

MARY JARDIN

Pagi tadi baru terima ditangan. Petang tadi cuba cuci muka dengan sabun diberi. Tadi bancuh detox clay dengan cuka epal, susu dan madu. Sapu muka seisi rumah. Sebelum tidur pula, sapu face oil.


Kali pertama sabun muka, bersih dan ada rasa tajam. Detox clay pula memang mshaAllah terbaik. Mulus terasa kulit. Face oil pula berfungsi melembabkan kulit.

Produk hampir 100% organik. InshaAllah pilih yang baik-baik untuk kesihatan dan kecantikkan berpanjangan.

RADIO QURAN JOC

Kebiasaannya, setiap malam Jumaat selepas maghrib bersama anak-anak kami mengaji surah Al-Kahfi. Kadangkala bertemankan shaikh-shaikh besar tanah haram.

Jika mahu bacaan laju, kami pilih Shaikh Sudais. Antara laju dengan tak, kami pilih Shaikh Ghamidi. Jika bacaan perlahan, pilihlah Shaikh Mishari. Jika mahukan bacaan berserta maknanya, kami pilih Shaikh Maher.

Betapa mudahnya kami membaca Al-Kahfi berjemaah dengan shaikh-shaikh yang bukan sebarangan. Petik sahaja. Haha.


Bagusnya radio Quran JOC ini ialah kita semak makhraj huruf.

Malam semalam bertemankan Shaikh Sudais. Semput juga kawal pernafasan. Laju. Cukup masa antara maghrib dan isya'.

Harga sebuah radio Quran pun semakin murah sekarang.

10.11.16

SIFIR RUMAHTANGGA



The closer you get to Allah,
The closer you are to each other.

ZON SELESA

Bermula Syawwal 1436H, Allah gerakkan kami suami isteri untuk cuba jaya menurunkan berat badan. Ianya bukanlah rancangan yang terancang. Seperti kebiasaannya, sentuhan mengejut anugerah dari langit.

Alhamdulillah pada Syawwal 1437H, kami masing-masing hilang lebih 10kg. Berat sebelum ialah 64kg dan berat sekarang pernah juga mencecah 51kg. Berat tingkatan 5 mungkin. Tapi kebiasaannya purata berat ialah 53kg.


Antara petua santai kami
+ puasa gula: air semuanya O
+ makan sepinggan kongsi bersama
+ bersenam

Namun, apabila telah capai zon selesa, kami sudah boleh makan sepinggan nasi dan berat tetap sama. Metabolisme begitu cepat membakar dan cepat lapar juga.

Kemudian, apa yang paling ketara apabila mula meninggalkan senaman ialah badan jadi lemah dan mudah lemau. Tidak seperti kebiasaan apabila bersenam. Toksin dalam badan dirembes keluar melalui peluh.

Hari ini kita mula bermini gym semula. Cuma angkat besi dengan 6 set gaya sebanyak 10 kali setiap set.

Sebenarnya signifikan juga dengan kehidupan kita. Apabila terlalu selesa, kita manusia mula lupa. Sebab itu jugalah Allah cipta ujian dan dugaan supaya manusia yang selalu lalai ini, mudah buat u-turn pulang ke pangkuan Yang Memberi Ujian.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (29:2)

ANAKKU SUPER AL-QURAN

Sampai ditangan petang semalam. Khatam baca waktu yang lebih kurang sama seperti semalam.


Satu perkataan yang boleh menggambarkan perasaan setelah habis baca ialah BERTUAH.

Bertuahnya rasa Allah kirimkan orang alim yang sudi bersahabat dan berkongsi pelbagai perkara dengan kami. Mudah-mudahan aura sinaran Al-Quran dari utara sampai ke selatan sini. Ameen.

Buku padat tapi sarat dengan petua keibubapaan ikut gaya Nabi SAW. Boleh didapati melalui kedai buku Galeri Ilmu atau boleh terus mengunjungi blog mereka: www.cinta-rasul.blogspot.com untuk maklumat lanjut berkenaan buku ini.

9.11.16

MATI

Cuti mengejut. Dapat khabaran kurang lebih 3 pagi tadi, bahawasanya, nenek sebelah abah pergi tinggalkan dunia.



Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (21:35)

Dan kita adalah calon yang seterusnya.

8.11.16

PISANG

Pisang hasil tanaman di tepi rumah. Tidak pasti sama ada pisang dari pokok yang sama atau berbeza. Tahu-tahu sudah ada di dapur menanti bertukar warna.


Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tak berduri, dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya).(Al-Waqiah 56:27-29)

Pokok yang ada di dunia dan dimuliakan dalam Quran sebagai bukti salah satu makhluk penghuni syurga.

Alangkah seronoknya menjadi sebatang pokok pisang antara yang bersusun-susun. 🍌

7.11.16

ADDICTED

Sekian lama betapa dunia blog, cuba bina 'personal branding' untuk niaga di fb santai-santai. Wujud personal fb pun asbab page TTI cuma tidak berfungsi sahaja. Jadi, dengan inisiatif yang ada, cuba kembangkan imaniagaMA dengan modal kecil dan mula aktif sebelum Ramadan 1437.

Seronok juga berada dalam dunia cyber fb. Macam-macam ada. Banyak keperluan makan dan pakai yang menepati kriteria kami boleh didapati dengan mudah. 


Antaranya ialah deoderon. Punyalah gembira suka bertemu teknologi yang memudahkan. Maklum sahaja, bertahun bersara produk yang mengandungi aluminium. Bahan alami pula agak leceh.

Sekarang RnR. Rehat dan rawat hati. Padam aplikasi fb kerana hampir tidak terkawal. Banyak masa dihabiskan menghadap skrin sambil scroll. Istilah paling tepat ialah addicted. Sendiri cari penyakit, sendiri perlu pandai cari ubat.

Bila rasa penat, maka rehatlah sekejap.

TAZKIRAH KAIN BAJU

Hari minggu dan cuti semalam adalah hari sambung mengemas dan susun atur bilik. Antara perkara berfasa yang perlu buat adalah tapis kain baju. Dalam pada tapis menapis, rupanya ada tazkirah yang menyentap sanubari. Betapa yang nama manusia ini memang fitrahnya bersifat tamak dan loba.

Kita pakai baju cukup 2 pasang sehari semalam. Katalah seminggu, kita hanya perlu 14 pasang pakaian sahaja. Tapi punyalah rakus, pakaian bersusun siap ada yang belum pakai atau pakai yang boleh dibilang jari. Masalahnya ialah sayang nak beri pada orang. Baju jarang pakai semestinya masih baru dan cantik dipandang. Kadang bukan buruk dipakai tapi reput tidak berusik tergantung bersidai.


Pelan-pelan tarik baju-baju cantik yang jarang dipakai dan letak dalam plastik hitam. Labelkan. Itu pun masih banyak lagi yang tidak dilepaskan. Peringatan dari langit terkesan dijiwa hanya melalui kain baju bersidai tidak dipakai.

Macam manalah mahu jawab berdepan dengan Tuhan.

4.11.16

HADIAH DARI SYURGA

Hadiah dari sahabat berhati mulia lagi rendah diri orangnya. Banyak belajar akhlak dan adab daripada si dia. Anugerah tanda sokongan dan sentiasa gembira meraikan.


Striving for jannah. Every success starts with a PLAN.

Maknanya, dari seorang yang sentiasa plan mengejut, perlu belajar juga untuk merancang supaya hidup lebih teratur.

Terima kasih sahabat.
Sayang kerana Allah. 💖

28.10.16

MASJID PUTRA



Khubat Jumaat berkenaan ilmu pengetahun. Mengharap khutbah sentap jiwa.

Masjid Putra, Putrajaya.
Jumaat, 28.10.2016.

6.6.16


Bukannya kadang-kadang, tapi selalu kita lupa bahawa ciptaan Allah tak dapat pun manusia nak tandingi. Antara sebabnya kita selalu biarkan pancaindera kita menerima kehebatan ciptaan manusia

22.3.16

CELARU

Kebanjiran wanita-wanita berniqab di Malaysia seperti  suatu fenomena hatta di tempat saya sekalipun. Cuma kadang-kadang perasaan ingin marah itu selalu timbul walaupun saya cuba untuk melawan firasat negatif dalam diri sendiri. Hanya kerana nila setitik, habis rosak susu setempayan.

Tertarik untuk berkongsi satu link yang mak ajukan kepada saya kerana kami pernah membincangkan isu ini. Ustaz tersebut cukup marah dengan yang berpurdah tetapi sibuk menonjolkan diri di khalayak. Maksud mudahnya, kau pakai purdah tutup muka, kemudian kau sibuk memperagakan purdah yang kau pakai di khalayak dengan menayangkan apa-apa gambar di mana-mana media sosial. Sibuk mempromosi diri sendiri. Persoalan ustaz tersebut, kau pakai purdah kerana apa?

Saya juga sering terserempak dengan gaya yang cukup mencacatkan makna murni sehelai kain kecil itu. Antaranya:
1. Pakai purdah tetapi jubah ketat.
2. Pakai purdah tetapi tidak memakai stokin sehingga apabila berjalan boleh menampakkan sebahagian kaki.
3. Pakai purdah tetapi pergelangan tangan terangkat sehingga menampakkan bahagian-bahagian tangan.

Paling celaru, ambil wuduk yang mana tempat wuduknya terbuka tetapi hanya memakai skaf tudung sahaja. Aduh!

Ya betul. Mereka manusia biasa juga. Masalahnya, apabila telah mengambil satu keputusan yang besar dan pelik dari kebiasaan, mohon tolonglah jaga benda-benda yang nampak kecil tetapi besar impaknya kepada umum di luar sana.

Ini kerana telinga saya sendiri tidak tahan apabila golongan-golongan ini diperkotak katikkan dengan bermacam-macam label. Anda bagai minta disenda-sendakan tetapi apabila ada yang mengkritik, mulalah melenting.

Ikhlas ini sangat payah. Bukan semudah ditaip dan diungkap. Ikhlas ini hanya rahsia Allah. Tol amalan di langit pertama sahaja berkait dengan hati. Jika ada amalan yang membawa riya', tidak lepas lagi di langit pertama. Bagaimana mahu tembus sehingga langit ke-7?

T___T.

10.3.16

LUBAN

Abah saya bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang dengan jangka masa agak lama. Ianya lebih kepada mengawal dan bukan untuk penyembuh sehingga ada suatu masa, kaki abah mula sembab dan kebiasaan sembab ini adalah disebabkan buah pinggang.

Sepatutnya abah telah ditahan di wad.

Asbab kedegilannya dan nekadnya abah, dengan asbab rakannya juga, abah cuba merawat melalui kaedah sunnah dan alami iaitu melalui makanna sunnah Al-Manna dan meninggalkan sepenuhnya ubat-ubatannya sebelum ini. Saya cuba mendapatkan khidmat nasihat Puan Tabib Terpercaya supaya mak boleh mengawal makanan harian abah yang tidak membebankan buah pinggangnya. Saya juga bekam abah dengan kekerapan 2 kali sebulan.

Alhamdulillah dengan kerajinan mak mencari maklumat kesembuhan cara sunnah dan alami serta terus menanam pokok belalai gajah, abah juga minum jus belalai gajah dicampur buah epal hijau sebagai minuman hariannya.

Terlalu banyak perubahan pemakanan di rumah mak abah akhirnya. Tiada lagi kordial tiruan minuman. Gula juga ditukar kepada daun stevia dan stevia titis, tiada lagi ayam bandar dan banyak lagi perubahan yang hanya Allah menggerakkan hati-hati untuk berubah. Banyak makan ikan dan sehingga tepung dan butter juga mak guna apa yang kami syorkan.

Asbab tajuk entry berkenaan luban, perlulah cerita luban yang dilebihkan. Kini, mak abah dan adik serta kami suami isteri seisi keluarga juga adalah pengamal Al-Manna. Abah juga baru sahaja memperkenalkan kami dengan LUBAN. 

Abah jual RM25 untuk 100 gram.


PENGENALAN
Luban merupakan makanan herba warisan sunnah yang agak kurang diketengahkan pada masa kini. Namun rahsia kehebatan luban yang luar biasa masih terpahat kukuh dalam lembaran kitab-kitab thurah atau dipanggil kitab tua atau lebih mesra dipanggil kitab kuning.

Luban merupakan sejenis getah atau damar yang keluar melalui rekahan pokok yang banyak terdapat di kawasan-kawasan beriklim panas seperti di Oman, Yaman, Syria, Mesir, India, Sri Lanka dan sebagainya.luban juga disebut sebagai Frankincense dan diperkenalkan di Eropah oleh tentera Perang Salib dari Perancis. 

Untuk mendapatkan luban, kulit kayu pohon tersebut disayat kemudian keluar getahnya dan getah tersebut dikumpulkan.Ia menghasilkan resin jernih/lutsinar kekuningan dari mana aroma esen diekstrak. Resin tersebut dikeringkan dan dipecah menjadi beberapa buah seukuran sendok.

Di sesetengah tempat di dunia, luban atau frankincense dikenali sebagai ‘olibanum’ berasal dari perkataan Arab bermaksud “susu” allubán. Ini juga merujuk kepada   warna getahnya yang putih seakan-akan susu yang mengeras untuk dijadikan resin luban. 

Luban berasal daripada istilah bahasa Arab yang digunakan di dalam kitab perubatan Islam. Nama masyhurnya dipanggil Kemenyan Arab/Serani/Kemenyan Yamani di  kalangan pengamal perubatan herbal Melayu.

Luban merupakan salah satu makanan sunnah Nabi yang menjadi warisan para ulama’ sejak turun temurun lagi. Dewasa ini, luban tidak lagi dikenali di kalangan masyarakat Islam. Setelah umat islam meninggalkan pemakanan Islam mutakhir ini.

SEJARAH
Luban disebut juga sebagai kundur zikri. Luban dikenali umum oleh orang Arab sejak dahulu kala sebagai makanan kecerdasan minda. Banyak riwayat di antaranya menyebut dari Ibnu Abbas r.d. Anas r.a. dan Saiyidina Ali k.w. Maksudnya : “Diriwayatkan dari Saiyidina Ali k.w. bahawa dia menyatakan kepada seorang lelaki yang mengadu kepadanya tentang masalah penyakit lupa. Lalu Saiyidina Ali k.w. menyuruh ia menggunakan luban, kerana luban dapat menguatkan hati serta menghilangkan masalah kelupaan.

Menurut buku perubatan moden “The Pharmaceutical Journal” Dr. John Boswell bertanggungjawab membuat kajian secara saintifik mengenai penggunaan luban mengikut kaedah perubatan moden. Oleh itu, Luban di namakan sebagai Pokok Boswellia bagi mengingati jasa beliau.

Luban (Frankincense) menjadi masyhur apabila menyingkap sejarah dari kitab Injil yang menyatakan bahawa Nabi Isa a.s yang baru dilahirkan telah mendapat hadiah iaitu emas, luban dan myrrh. Sungguhpun ramai yang tahu akan sejarah luban, tapi amat sedikit yang mengetahui dan boleh memberi penerangan apakah luban sebenarnya. Dalam kitab Injil (Bible): dalam Exodus 30:34 ia merujuk kepada levonah yang bermaksud “Lebanese” atau “putih” dalam bahasa Ibrani (Hebrew).

Manakala bagi dunia Barat pula, nama “frankincense” adalah lebih umum. Nama ini mungkin bedasarkan kepada aroma kemenyan atau setanggi Franks di mana ia tiba di Eropah melalui tentera pengikut perang salib dari Perancis.

Frankincense, seperti myrrh adalah getah pokok yang telah kering atau disebut resin, terutamanya digunakan untuk membuat kemenyan. Pokok ini menghasilkan resin yang bermutu tinggi. Proses pengambilan resin ini ialah 2 – 3 kali setahun. Pokok yang muda akan menghasilkan resin berkualiti tinggi berbanding pokok yang telah tua.

KEISTIMEWAAN LUBAN
1.MAKANAN ANJURAN  NABI :
 Berkongsi keberkatan makanan dan Amalan  sunnah yg ditinggalkan. Setiap amalan sunnah sebenarnya tersirat rahsia keberkatan yang luar biasa dalam kehidupan manusia samada manusia cuba menyingkapnya atau tidak. Samada amalan berbentuk syariat  ataupun amalan pemakanan. Setiap amalan yag disyorkan oleh nabi kita sebenarnya mempunyai hikmah atau rahsia yang besar disebalik suruhan baginda Muhammad s.a.w. utk dilaksanakan. Sebagai buktinya kami rasa bertanggujawab untuk berkongsi rahsia kehebatan luban,salah satu makanan sunnah yang kian terpinggir. Kehebatan khasiatnya telah disingkap oleh junjungan besar Nabi kita lebih 1400 tahun yang lampau dalam hadis-hadisnya yg terkandung dalam kitab-kitab perubatan Islam.  

 Luban merupakan makanan As-sunnah yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat Radhiallahu ajmain serta Imam As-Syafi’in dan ulama’-ulama’ agung selepasnya. Hal ini berdasarkan pesanan dan saranan Nabi kepada umat Islam agar menjadikan luban sebagai makanan untuk mencerdaskan minda dan menguatkan ingatan anak-anak bermula di dalam kandungan lagi.

      Rasulullah SAW bersabda:
“Berilah minuman luban kepada isterimu yang sedang hamil, kerana ia dapat menambah kecerdasan akal anakmu.” - Kitab Thibbun Nabawi.

      Imam Ali Ridha (sa) berkata:
“Berilah makanan dari luban kepada isterimu yang sedang hamil.Jika bayi didalam perut isterimu itu laki-laki ia akan menjadi orang yang alim lagi pemberani.Jika ia perempuan ia akan bagus fizikalnya dan besar pinggulnya sehingga kelak menjadi bahagian yang baik bagi suaminya.” - Muhammad Bin Ya’qub (Al-Wasail 15:136, hadis ke 2) 

      Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai perempuan–perempuan mengandung, perkenalkan olehmu kepada anak-anak kamu LUBAN semasa mereka di dalam perut kamu, kerana sesungguhnya ia dapat MENCERDASKAN AKAL dan MENGUATKAN INGATAN." Kitab Rahmah Thibbun Walhikmah , Imam Sayuti.

       Banyak riwayat dari Ibnu Abbas,Anas(r.anhuma) dan Saidina Ali(k.w) maksudnya :
 “Di riwayaktkan  daripada SaidinaAli(k.w.) bahawa dia menyatakan kepada seorang lelaki yang mengadu kepadanya tentang      masalah penyakit lupa. Lalu Saidina Ali(k.w.) menyuruh ia menggunakan luban, kerana luban  dapat menguatkan hati  serta  menghilangkan masalah kelupaan”.

Libanah atau luban amat berkesan bagi menambahkan daya ingatan dan mencerdaskan minda kerana ia berfungsi menghilangkan lendir balagham dalam otak. Gumpalan balagham yang banyak menyebabkan lemah daya ingatan, selsema, resdung, lelah, batuk dan sebagainya yang berkaitan dengan sIstem pernafasan. 

Sejarah menyatakan bahawa Imam Syafie yang amat terkenal dengan kekuatan daya ingatannya selalu mengamalkan memakan Libanah sehingga akhir hayat beliau. Setelah meninggal dunia didapati kesan Libanah masih berada di celah-celah gigi al Imam Rahimatullah.

Maka tidak rugi jika kita mengambil langkah awal untuk penjagaan minda, fizikal, rohani anak-anak kita sejak dari dalam kandungan , sehingga mereka lahir dan membesar dengan pengambilan makanan sunnah yang tiada tandingan dan penuh barokahnya.

KHASIAT LUBAN
Antara khasiat luban yg disebut oleh ulama' adalah:
1. Merawat penyakit lupa dan mengelakkan penyakit nyayuk. 
2. Menguatkan penglihatan.
3. Membantu melawaskan sistem penghadaman.
4. Menghilangkan masalah kahak. 
5. Mengeluarkan angin dalam badan. 
6. Melawaskan pembuangan air kecil. 
7. Mengelakkan masalah silsil bul ( kencing tak lawas ). 
8. Merawat saraf lidah utk membantu meringankan masalah pertuturan dan mudah berkomunikasi. 
9.Memberi ketenangan (menghilangkan stress)
10.Dapat meningkatkan tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran.
11.Menambahkan keyakinan diri
12.Amat sesuai untuk anak-anak yang lemah daya ingatan

Kini para ilmuwan telah mengamati bahwa ada kandungan dalam kemenyan yang menghentikan penyebaran kanker. Belum diketahui secara pasti kemungkinan kemenyan sebagai anti cancer.

Luban juga disyorkan sebagai obat untuk tumor, bisul, muntah, disentri dan demam. Dalam perubatan tradisional Cina, kemenyan  digunakan untuk mengubati masalah kulit  dan pencernaan.  Sedangkan di India, kemenyan digunakan untuk mengubati arthritis( lutut kurang lendir ). Khasiat kemenyan sebagai ubat arthritis tersebut mendapat dukungan dari penelitian makmal di Amerika.


InshaAllah luban juga kini sebahagian daripada keluarga kami dan kami juga tidak mahu tunggu lama untuk memperkenalkan kepada rakan-rakan yang sedang hamil untuk sama-sama beroleh barakah sunnah untuk membina generasi Al-Quran sejak dalam perut dan yang sedang membesar. 

16.2.16

UNIT BERUNIFORM

Saya mungkin tidak akan melupakan zaman paling jahiliyyah iaitu zaman ketika belajar yang mana ketika itu kami dibahagikan kepada 3 unit beruniform iaitu pengakap, persatuan bulan sabit merah dan kadet remaja/bersatu sekolah. Saya pun kurang pasti nama sebenar. Ketika itu usia saya lingkungan 19-22 tahun. Usia yang masih anak-anak dan ada perasaan 'takut' untuk melanggar peraturan yang manusia buat.

Baju uniform yang sedia kita maklum kesemuanya memerlukan kita memasukkan tudung ke dalam. Kami antara yang ketika itu menerima awal tarbiyyah hampir kehabisan idea mencari solusi supaya tudung tidak dimasukkan ke dalam. Bayangkanlah betapa seksanya!

Semenjak itu saya tidak nampak rasioal pasukan beruniform kerana kita dilatih untuk mengetepikan hukum Allah dan menyanjung tinggi hukum manusia. Kami perlu mematuhi etika pakaian beruniform ketika waktu persatuan. Seminggu sekali selama 2 jam, saya sendiri berasa seperti di dalam API NERAKA JAHANNAM. Jerut leher dengan skaf pengakap, baju singkat dan seluar potongan tegak serta kasut bertumit hitam berkilat. Tidak ubah seperti badut sarkas buat pertunjukkan.

Mak saya adalah orang paling menyampah dengan program ko-ko sekolah. Mak mengatakan, pergi ke sekolah di hujung minggu tidak lain tidak bukan untuk 'pergi menggatal' haha! Memang banyak betul. Ketika inilah anak-anak remaja mengambil kesempatan 'dating' dan berkenalan dengan lawan jantina. Program seumpama ini memang melibatkan percampuran jantina.

Ketika zaman saya belajar juga, kami terlibat dengan pekhemahan jambori yang melibatkan kolej-kolej seluruh Malaysia selama 5 hari 4 malam. Ketika itu saya ahli pengakap. Khemah dipasang rapat antara lelaki dan perempuan. Percampuran lelaki dan perempuan ketika malam hari juga tidak terjaga dan paling sadis, kami perlu berpakaian pengakap selama mana perkhemahan berlangsung. Jika memakai t-shirt, ada sedikit kelapangan tudung dikeluarkan.

Tudung lebar menutup aib kami dicemari maksiat pakaian unit beruniform.

Ketika itu jugalah Allah memperlihatkan saya dengan seorang ahli pengakap dari kolej Islam. Allahu! Tidak pernah saya terbayang yang berpersatuan juga kita boleh sahaja mendahulukan hak Allah dengan syarat tidak peduli dengan kata-kata ahli besar yang taksub dengan pakaian pengakap dan pelbagai protokol persatuan yang bodoh.

Ada seorang ahli pengakap dari kolej Islam yang memakai pakaian pengakap muslimah. Baju kelabu labuh seperti kebarung, kain kembang A dan tudung besar sehingga menutupi punggung dan dia juga memakai skaf pengakap di luar tudung besarnya. Allahu terjaga sungguh!

Perkhemahan jambori itu juga menyaksikan, itulah kali terakhir kami menyarungkan baju pengakap buat kali terakhirnya.

Dilema zaman belajar ini berterusan sehingga saya bekerja. Zaman bekerja tidak sama seperti zaman belajar. Sudah pandai tapis dengan mana-mana peraturan yang rasa perlu atau tidak dipatuhi. Usia mematangkan kita untuk tidak takut kepada peraturan manusia dan kata-kata manusia yang ketika itu berkuasa.

Amatlah kasihan pemimpin atasan perempuan dengan tubuh gempal lagi montok berpakaian pemimpin tertinggi unit berunifom dengan tudung dimasukkan ke dalam. Berapa banyak mata yang kita dera sepanjang hari tersebut?

Menjadi kesukaan manusia yang bernama wanita/perempuan tidak kira anak-anak remaja, mak-mak orang hatta nenek-nenek yang sudah lanjut usia menanti dimasukkan ke dalam liang lahad, mereka ini memang sangat suka meletakkan 'profile picture' mereka silih berganti setiap hari dengan pelbagai rupa dan gaya. Gaya ala-ala model pakaian renang di tepi pantai. Yang taksub dengan unit beruniform, dengan pakaian beruniform tudung masuk ke dalam termasuklah yang bertudung besar, lebar dan labuh. Bangga sungguh dengan persatuannya yang 'buat sehabis baik'. Yang hijab lebar dengan gaya model muslimahnya dan pelbagai lagi.


Mahu tunjuk apa sebenarnya? Mana letaknya malu? Malu ini adalah salah satu cabang iman. Jika hilang sifat malu ini, maka dunia akan binasa seperti hari ini. Dengan malu inilah kita takut untuk melanggar hak Allah. Dengan malu ini jugalah kita malu untuk berpakaian tetapi seperti telanjang. Dengan malu jugalah kita malu untuk tidak solat kerana setiap nafas kita, Allah tidak pernah suruh bayar seperti kita bayar bil air, elektrik dan internet!

Persatuan Puteri Islam (PPI) juga dijahatkan!

Dahulu baju (PPI) adalah tudung dan kain berwarna merah jambu dipadankan dengan baju kurung putih sekolah tetapi sekarang telah diwujudkan baju kawad sama seperti persatuan lainnya yang mana tudung juga perlu dimasukkan ke dalam baju. Rosak habis!


Allah perintahkan lelaki-lelaki untuk menundukkan pandangan dan wanita-wanita menjaga aurat mereka dengan sempurna kerana apa? Kerana jika manusia melawan perintah Allah ini, memang akan jadilah seperti mana kerosakkan akhlak hari ini. Orang tua juga tidak mampu menunjukkan tauladan yang baik buat anak-anak, bagaimana kita mahukan anak-anak kita berakhlak dengan kualiti akhlak yang terpuji?

Jangan terlalu seronok diangkat sebagai pemimpin. Usah terlalu berbangga dengan pangkat dan darjat yang Allah amanahkan kerana setiap satu jiwa yang kita pimpin, akan dipertanggungjawabkan satu per satu dihadapan Allah. Ahli bawah tidak solat, tidak menutup aurat dan pemimpin tidak tegur, maka tanggunglah!

Sebenarnya ada isu yang lebih besar membuatkan saya panas bahang dan rasa seperti mahu menyembur api dari semalam. Entry mukadimah dahulu. InshaAllah sambung lain kali.