27.12.13

ANTIBIOTIK ALAMI

Entry lama tertangguh ;). Setiap orang ada ujian masing-masing. Ujian adalah tanda kasih sayang Allah. Untuk pengamal sunnah dan natural remedies, kadangkala Allah datangkan kita ujian berupa rezeki sakit untuk menguji tahap keberantungan kita kepadaNya dan kepercayaan kita terhadap ubat-ubatan sunnah yang jelas diterangkan di dalam Al-Quran punya khasiat dan kerahsiaan disisi Allah tetapi sengaja dijauhkan daripada ummat Islam umumnya berabad lamanya. Wallaua'lam.

Seingat saya, tahun ini adalah tahun paling banyak kami sekeluarga dikurniakan rezeki sakit. Demam silih berganti daripada anak-anak sehinggakan kepada ayahanda anak-anak saya. Semuanya selepas kami hijrah hampir 360 darjah daripada keperluan asas masakan seperti bertukar secara total kepada gula perang atau brown sugar, garam bukit atau laut berwarna pink, tepung bebas peluntur dan segala jenis vitamin dan ayam kampung atau ayam organik.

Namun, inshaAllah saya percaya ianya adalah proses pemulihan dan penyingkiran toksid dalam badan atau kita panggil 'detox' :D. Hikmah disebalik kurniaan sakit. Allah bagi sakit, kita perlu gembira sebab inshaAllah doa orang-orang sakit antara doa-doa yang diangkat ;).

Akhir bulan lepas, rezeki 'carbuncle'. Semacam bisul besar bermata 5 di celahan punggung berkulit lembut Abdullah. Rezeki anak-anak yang banyak aliran darah ikut sebelah ayah mereka. Muhammad semasa kecilnya kerap semput dan Alhamdulillah setelah mengamalkan pemakanan sihat, Allah izinkan semputnya tidak kunjung tiba lagi setakat hari ini. Abdullah pula pernah diserang gegata dan 'carbuncle' ini. Keduanya daripada ayahanda mereka semasa kecil. 

Sekali lagi hikmah sakit Allah bagi. Sebenarnya bisul ini baik untuk tubuh walaupun nampaknya sakit dan buruk. Menurut Puan Tabib Terpercaya, bisul ini Allah datangkan untuk keluarkan semua benda-benda jahat dalam badan. InshaAllah mudah-mudahan Allah mudahkan ibu ayah mengikuti bengkel singkat bekam kerana jalan terbaik untuk aliran darah sebegini inshaAllah adalah melalui bekam seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Menurut ayah, kebiasaannya sekiranya kita ke klinik, doktor akan membekalkan krim sapu dan antibiotik untuk membunuh kuman. Jadi, antara natural remedies yang disarankan PTT untuk antibiotik alami adalah air kunyit! Berikut adalah cara proses antibiotik alami buat Abdullah dan juga saya sebagai ikhtiar yang baik untuk sistem badannya inshaAllah!

Kupas kunyit dan letakkan di dalam pengisar. Campurkan madu untuk memberi rasa manis. Ada juga yang meletakkan air asam jawa. Terpulang. Juga, ditambah sedikit air zamzam.

Setelah dikisar, tapis untuk mendapatkan airnya. Airnya diberi minum sebanyak 3 kali sehari seperti memberi makan antibiotik sintetik juga kaedahnya :D.

Sisa kunyit tadi pula disapu pada tempat sakit sebagai krim sapu. Kami juga menyapu aloevera yang bersifat sejuk setiap kali menukar pampes. PTT cadangkan juga bedak biji delima tetapi sangat sukar mendapatkannya. Kaedah terbaik adalah bekam ditempat bisul tersebut :D. Keluarkan darah kotor cara paling cepat untuk sembuh tetapi masalahnya, bahagian bisul Abdullah sangat tersembunyi. Bedekatan bahagian buang najis. Jadi, kami tidak sanggup bekamnya disitu. InshaAllah lambat atau cepat, masa kesembuhannya nanti adalah masa terbaik disisi Allah inshaAllah.

Ini dia hasilnya. Saya juga meminumya dengan niat mudah-mudahan air susu yang mengalir asbab kesembuhan buat Abdullah inshaAllah.

Sebenarnya, antibiotik alami ini juga sangat disarankan untuk ibu-ibu yang baru melahirkan juga untuk mengelakkan jaundis kepada si anak dan membuang segala kuman dalam badan ibu sekaligus mengembalikan kekuatan tubuh si ibu inshaAllah. Air susu yang mengalir ke dalam tubuh si anak, yang mempunyai khasiat kunyit itu tadi insyaAllah memberi kesan untuk mengelakkan jaundis (kuning) buat bayi mereka.

Sekian sedikit kaedah alami untuk antibiotik. Sesungguhnya kesembuhan segala penyakit hanyalah kepada Allah. Ada satu kaedah yang saya panggil kaedah terapi 30 juzuk Al-Quran yang sangat disarankan dan inshaAllah dengan izin Allah, saya akan kongsikan di entry lain inshaAllah. Selamat khatam surah Al-Kahfi dan berpesta Jumaat!