30.6.09

PERISTIWA DI BULAN REJAB

BULAN Rejab adalah antara bulan mulia dalam Islam. Kedatangannya disambut meriah oleh umat Islam. Dalam bulan Rejab, tepat pada malam 27 Rejab,terjadi peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam, iaitulah peristiwa Israk Mikraj.

Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad (saw) dengan jasad dan tubuhnya itu, di samping bagi menghibur dan memantapkan lagi iman baginda, juga adalah iktibar yang harus direnungi setiap Muslim. Banyak hikmah terkandung dalam peristiwa Israk Mikraj yang menggemparkan itu.

Dalam kejadian Israk Mikraj, Nabi (saw) diisrakkan oleh Allah SWT dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan mengenderai Buraq bersama Malaikat Jibrail. Kemudian dari Masjidil Aqsa, Nabi (saw) dimikrajkan pula dengan menjelajahi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Dalam perjalanan mikraj inilah Nabi dapat melihat banyak tandakebesaran dan kekuasaan Allah.

Di sana, Nabi (saw) berkesempatan berdialog dengan Allah SWT dan Allah SWT menghadiahkan atau memberi satu bingkisan untuk dibawa pulang oleh Nabi (saw), iaitu perintah sembahyang fardu lima waktu untuk Nabi (saw) dan umatnya.

Sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunat bersama Malaikat Jibrail dan ruh ambiya di Masjidil Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya.

Dari masjid ini, Nabi (saw) terus dimikrajkan iaitu dengan menjelajahi tujuh lapis langit, lalu sampai ke tempat yang tinggi, iaitu Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah, dan Allah memberi hadiah atau satu bingkisan yang besar kepada baginda untuk dibawa pulang, yakni berupa perintah solat lima waktu .

Segala pemandangan dan gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi (saw) adalah sesuatu yang wujud dan benar-benar berlaku kepada umat Islam, iaitu umat Nabi Muhammad (saw).

Umat Islam yang benar-benar mempercayai bahawa kiamat itu pasti datang dan setiap perbuatan akan diminta pertanggungjawaban, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan itu.

Segala bentuk penyeksaan yang dialami oleh pelbagai kelompok manusia sebagaimana yang disaksikan Rasulullah akan terjadi kepada semua manusia di akhirat nanti, sesuai dengan kejahatan yang dilakukan.

Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah, sedangkah ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan saja melalui Malaikat Jibrail.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti secara mendalam, terutama betapa pentingnya
solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan penciptanya lima kali sehari semalam dalam bentuk dialog langsung.

Jika kita jauh tersesat dan banyak melanggar larangan Allah, hentikanlah segera dan kembali melakukan amal soleh dan pekerjaan kebajikan.


HUKUM

Masalah: Bagaimana mengelakkan perasaan marah dan cara untuk lebih khusyuk sewaktu beribadah?

Jawapan: Menurut Abullaits Assamarqandi dalam bukunya "Tanbihul Ghafilin" bahawa diantara manusia itu ada orang yang lekas marah tetapi juga lekas redanya maka ini seimbang. Adapula orang yang lambat marahnya dan lambat pula redanya, ini juga seimbang. Sebaik-baik kamu lambat marah dan cepat redanya dan sejahat-jahat kamu yang cepat marahnya dan lambat redanya.

Dalam hadis Rasulullah SAW banyak diterangkan tentang cara mengatasi sifat marah ini. Diantaranya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Marah itu bara api maka siapa yang merasakan demikian, jika ia sedang berdiri maka hendaklah duduk, dan bila sedang duduk hendaklah bersandar atau berbaring".
Dalam keterangan lain juga disebutkan jika kita dalam keadaan marah maka syaitan telah meniup api kemarahnnya, untuk meredakannya maka berwuduklah, dengan cara itu api kemarahan akan terpadam.

Kemarahan itu menyebabkan hubungan kita dengan orang lain menjadi terjejas, oleh sebab itu bukakan hati kita agar segera memaafkan orang tersebut, dengan sendirinya kita telah mampu mengawal kemarahan kita daripada terus merebak. Dari Abu Umamah Albahili berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang dapat menahan marah padahal dia dapat untuk memuaskan kemarahannya, namun ia tidak menurutinya bahkan ia bersabar maka Allah SWT mengisi hatinya dengan keredhaan di hari kiamat".

Mengenai khusyuk dalam ibadah atau solat, para ahli banyak mengemukakan pendapat mereka diantaranya; Ibnu Abbas mengatakan bahawa khusyuk itu adalah orang yang takut dan tenang anggota badan dan hatinya. menurut Ali bin Abi Thalib, khusyuk itu adalah khusyuk hati, maksudnya khusyuk itu tempatnya didalam hati dan yang memetik khusyuk itu adalah hati itu sendiri.

Menurut Ibnu Katsir seorang ahli tafsir terkenal menerangkan khusyuk di dalam solat itu hanya dapat dihasilkan oleh orang yang membulatkan hatinya untuk solat dan menghindarkan soal lainnya dan mengutamakan solat dari hal-hal dunia. Dengan itu solat menjadi kecintaan dan kesenangan hati". Banyak lagi pendapat para ulama tentang khusyuk ini, namun semua berkisar pada kosentrasi tubuh dan jiwa kita dalam mengingati Allah. Wallahu A'lam.

BAHASA ARAB
صـَوْمٌٌ: PUASA
ثـُـوْم : BAWANG PUTIH
حـَارِثٌ : PEKEBUN
حـَارِسٌ: PENGAWAL



Ikhsan dari:
Biro Dakwah
Badan Kebajikan Guru & Kakitangan (BKGK 2006)

PERISTIWA GANJIL KETIKA ISRA' MIKRAJ

Kejadian Isra' (perjalanan dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis) dan Mikraj (perjalanan dari alam bumi ke alam langit hingga ke Sidratul Muntaha) ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Ketika itu Nabi sedang berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja'afar di Hijr Ismail (Masjidil Haram), tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mengangkat Nabi ke telaga Zamzam. Di sana Nabi ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Nabi dibedah untuk dikeluarkan hatinya. Hati nabi dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimatrikan dengan khatimin nubuwwah. (Kejadian ini menjelaskan kepada kita bahawa peringkat pertama untuk berjalan menuju Allah ialah pembersihan diri dari segi jasmani dan rohani).

Selesai Nabi Muhammad menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, baginda dipersilakan oleh Jibril untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq (seekor binatang dari alam malakut yang mempunyai pergerakan yang teramat laju). Mengikut satu riwayat Buraq yang dipilih oleh Jibril ini merupakan satu-satunya haiwan yang mempunyai ciri teristimewa kerana sejak mendengar nama Nabi Muhammad, ia tidak tahan menanggung rindu sehingga tidak lalu untuk makan dan minum, bahkan saban masa duduk menangis tersedu-sedu. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita sedangkan seekor haiwan mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap Nabi Muhammad, betapa hal dengan diri kita yang mengaku sebagai umat Muhammad)
Buraq yang dibawa oleh Jibril itu agak liar tetapi bila Jibril mengatakan yang Nabi Muhammad akan naik di belakangnya, badannya berpeluh dan dengan rasa malu merendahkan badannya untuk ditunggang oleh Nabi. Buraq terus membawa Nabi dengan diiringi oleh Jibril di sebelah kanan dan Mikail di sebelah kiri. Maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah.

Beberapa minit perjalanan, sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Medina). Di sini Jibril menyuruh Nabi berhenti untuk melakukan solat 2 rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Nabi akan melakukan hijrah. Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina, iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sini Nabi berhenti untuk melakukan solat dua rakaat. Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham, tempat kelahiran Nabi Isa, di mana Nabi sekali lagi mengerjakan solat. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita tentang perlunya mengerjakan solat sunat apabila singgah di masjid atau di tempat-tempat yang mulia) Perjalanan diteruskan lagi. Dalam perjalanan ke Baitul Maqdis, Nabi diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil. Setiap kali melihatnya, Jibril menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut. Di antaranya adalah:

1- Jin Ifrit membawa obor (api) sambil mengejar Nabi dari belakang
*Malaikat Jibril ajarkan doa menagkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya, jin tersungkur*

2- Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti.
*Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang*

3- Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka.
*Balasan bagi mereka yang tidak mengeluarkan zakat*

4- Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah
*Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah*.

5- Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan
*Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain*.

6- Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung semula digunting lagi tanpa henti.
*Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya*.

7- Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri sehingga habis daging, namun masih menggaru lagi.
*Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka*.

8- Seekor lembu keluar dari satu lubang yang sempit, kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh.
*Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah, kemudian menyesal tapi tidak mampu menarik perkataannya*.

9- Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu.
*Seruan orang Yahudi. Jibril menerangkan jika Nabi melayan, nescaya ramai umatnya menjadi Yahudi*

10- Seorang lagi datang dari arah kiri merayu Nabi supaya berhenti
*Seruan orang Nasrani menghalang sebaran Islam*

11- Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti
*Gambaran tipu daya dunia. Jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan*.

12- Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti
*Seruan Iblis cuba menghalang usaha dakwah*

13- Seorang wanita bongkok tiga menahan Nabi untuk bertanya sesuatu
*Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat*

14- Nabi tercium bau yang amat harum
*Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun*.

15- Kayu merentangi jalan sehingga menyukakan orang lalu-lalang
*Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak*

16- Sekumpulan orang berenang di dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya.
*Gambaran orang yang makan riba'*

17- Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai.
*Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah


HUKUM

Masalah 1: jamak jumaat dengan asar & solat qasar dengan berimamkan orang solat tamam
1. bolehkah menjamakkan sembahyang di masa solah jumaat.
2. saya niat qasar dan jama (2 rakaat), mengikut imam yang solat 4 rakaat. Takbir bersama imam. apa yang perlu saya lakukan (kerana saya niat qasar).
Bolehkah menjamakkan sembahyang di masa solah jumaat?

Jawab: soalan ini kurang jelas,tetapi bolehlah kita bahagikan seperti ini;

a-kalau dimaksudkan menjamak solat di kala sedang solat jumaat,adalah tidak boleh kerana solat jumaat sedang berjalan.

b-kalau orang musafir yang tidak solat jumaat,dan ingin menjamak antara zohor dan asar di saat itu, tidaklah mengapa, insyaallah.jadi apa perlunya orang musafir solat jumaat?

c-kalau seseorang musafar mengerjakan solat jumaat,dan ingin menjamak dengan asar, bolehlah dia melakukannya setelah salam solat jumaat tersebut, terus bangun lagi, terus solat asar dengan syarat sebelum salam solat jumaat hendaklah telah berniat jamak dengan asar. dinyatakan di dalam kitab "furuk masail" juz 1 ms 111: Adakah harus bagi orang musafir ia jamak asarnya dengan jumaat atau tidak? jawabnya: harus baginya jamak asarnya dengan jumaat.


Masalah 2: Orang solat qasar mengikut imam solat tamam
-orang solat qasar mengikut orang solat tamam (4rakaat).

Jawab: tidak boleh. dinyatakan di dalam kitab "furuk masail" juz 1 ms 112: (Telah ditanya r.a.) daraipada orang musafir meniat ia qasar di belakang orang (musafir) yang diketahui ia solat tamam, adakah jadi (sah) ia?... (Maka dijawabnya) Dg bahawasanya tidak jadi solatnya (tiada sah) kerana ia bermain-main kerana ia berniat yang tiada boleh dibuatnya pd ketika itu...



Ikhsan dari:
Biro Dakwah
Badan Kebajikan Guru & Kakitangan (BKGK 2006)

TAHUN SEDIH ( عام الحزن)

Isra’ dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat pengembaraan seorang Insan bertaraf Rasul untuk mengadap Tuhannya Qadhi Rabbul Jalil .

Ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat berlakunya peristiwa agung ini. Al Imam An Nawawi dan Al Qurtubi mentarjihkan pandangan yang meletakkan tahun kelima An Nubuwwah sebagai tahun berlakunya Isra’ dan Mikraj.

Sementara pandangan yang menyebut bahawa Isra’ dan Mikraj berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesepuluh An Nubuwwah pula ditarjih oleh Al A’llaamah Asy Syeikh Mansur Puri.WALLAHU A'LAM

Apa yang menarik ,(menurut pandangan yang kedua ) peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku pada tahun yang dikenali sebagai tahun dukacita . ( عام الحزن)

Ada 3 peristiwa penting yang mengheret Baginda Rasul saw. ke kancah rasa dukacita yang sangat mencengkam jiwa dan perasaan.Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.Kematian Abu Talib. Peningkatan kadar tekanan dan ancaman.

1- Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.
Seorang tokoh yang sangat penting dalam hidup baginda saw. Bukan sahaja sebagai seorang Isteri tetapi juga sebagai individu yang bertanggungjawab membiayai perjuangan Baginda saw.

Khadijah Rha. adalah orang yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya saw. di saat orang lain kufur kepadanya , yang menghulurkan seluruh hartanya disaat orang lain memboikot perjuangan Rasulullah saw. , yang menenangkan perasaan baginda saw. di saat orang lain menyakitinya.

Tokoh yang disegani oleh seluruh penduduk Quraisy justeru beliau adalah seorang tokoh hartawan terkemuka di kalangan mereka. Pastinya pemergian Saidatina Khadijah Rha. sangat dirasai oleh Baginda saw.


2- Kematian Abu Talib.
Tidak syak , sejarah sangat menyedari kehadhiran Abu Talib yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara Nabi saw. sejak kewafatan datuknya , Abdul Muttalib .

Bahkan Abu Talib selaku bapa saudaranya turut memainkan peranan penting dalam melindungi Rasulullah saw. sepanjang detik – detik cemas dan getir berhadapan dengan ancaman dan ugutan kuffar Quraisy.

Namun tokoh besar ini juga dimatikan wataknya di awal kisah perjuangan baginda Rasul saw. sementelah pula , matinya Abu Talib tanpa Iman . ( menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah .)

Tentu sahaja , kehilangan watak Abu Talib yang terlalu banyak jasanya terhadap Rasulullah saw. tanpa sempat beriman , sangat memilukan perasaan baginda saw.


3- Peningkatan Ancaman Musuh .
Sering kali perancangan kuffar Quraisy untuk memerangkap dan menyakiti Rasulullah saw. tergendala ekoran kehadhiran 2 tokoh besar dan terbilang dalam hidup Baginda Rasul saw.

Sejurus kedua – dua tokoh tersebut meninggal dunia , ianya menjadi kesempatan terbaik buat kuffar Quraisy untuk melipat gandakan tekanan dan asakan mereka kearah perjuangan yang didokong oleh Rasulullah saw.

Penentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw itu adalah penentangan yang dilakukan oleh kaum kerabat dan sanak saudara baginda saw. sendiri. Pastinya fenomena ini menghiris perasaan Baginda saw. , sedang sebelumnya masyarakat Quraisy sangat mengenali keperibadian Baginda saw. sebagai insan al Amin .


Perjuangan diselubungi Nusrah.
Saat menanggung rasa penuh dukacita , menghadapi segala musibah yang menimpa dan karenah golongan kuffar , Nabi saw. diundang oleh Allah swt. untuk naik mengadapnya guna dipamerkan kepada baginda saw. tanda – tanda keagongan Allah swt.Firman ALLAH bermaksud : "Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."(Surah Al Israa’ : 1)

Tanda – tanda keagongan Allah swt. justeru satu bukti bahawa Allah swt. adalah Tuhan yang maha Perkasa lagi Gagah . Tiada tolok bandingnya . Tiada siapa yang mampu mengalahkannya. Itulah Allah swt. yang senantiasa menaungi perjuangan Islam ini.

Maka tiada apa lagi yang mengembirakan Nabi saw. setelah menghadapi segala penderitaan dan kesengsaraan di pentas perjuangan , melainkan baginda saw. melihat sendiri bagaimana keagongan Ilahi .

Ianya menjadi Nusrah ( pertolongan ) buat Nabi saw. dan juga kepada mereka yang menjejaki Manhaj an Nabawi ini .

Biarpun musuh sering menguasai keadaan dan pula senantiasa mempunyai kesempatan untuk menyakiti perasaan dan tubuh badan pejuang – pejuang Islam , Allah pasti sahaja tidak akan mensia – siakan mereka .

Menghayati tanda keagongan Allah swt. menjadikan pejuang Islam beroleh keyakinan bahawa perjuangan Islam ini bersandarkan satu kekuatan yang tidak mungkin dapat ditewaskan .
Fenomena inilah membuatkan Nabi saw. dan seluruh pejuang Islam di sepanjang zaman tidak lagi berasa gentar terhadap ancaman musuh , biar setinggi mana kuasa mereka , selebar mana pengaruh mereka dan sebanyak mana dana mereka , ternyata mereka teramat kerdil dan hina di sisi Allah swt.Firman Allah bermaksud :"Dan janganlah kamu berasa hina menghadapi golongan itu ( musuh kamu ) , jika kamu berasa sakit , sesungguhnya mereka juga berasa sakit sebagaimana kamu berasa sakit . sedang kamu mengharapkan ( redho ) Allah , suatu yang tidak diharapkan oleh mereka "(An-Nisa' :104) .


BAHASA ARAB
SEDIH : حـَزَنْ
:فـَرْحٌ GEMBIRA
خـَوْفٌ: TAKUT
شَجَعٌ :BERANI



Ikhsan dari:
Biro Dakwah
Badan Kebajikan Guru & Kakitangan (BKGK 2006)