6.4.14

DOA MENYAMBUT BOS BARU

Sebelum tidur dan baru sahaja habis kemas Raudhah At-Taqwa Muhamamd dan Abdullah, suami sempat meminta tolong melihat-lihat doa untuk dibacakan esok bagi mengalu-alukan kedatangan bos baru. Doa yang menjentik rasa dan bermakna buat saya yang membacanya tadi. Jadi, saya ambil keputusan untuk abadikan di blog iman kami ;).

Ya Allah kami bersyukur kepadaMu, dengan kebesaranMu, kekuatanMu, rahmat dan kasih sayangMu, dengan kehendakMu kami semua dapat berada dalam perhimpunan pagi ini, khas bagi menyambut kedatangan pengetua baru kami iaitu ___________.

Ya Allah kami memohon kepadaMu agar Engkau kurniakanlah kesihatan yang berpanjangan kepada beliau, semangat yang kuat, ketenangan, kebijaksanaan dan ketaqwaan dalam membimbing kami di sini. Ya Allah kami memohon kepadaMu di bawah kepimpinan beliau sekolah akan menjadi lebih cemerlang dan terbilang dalam kurikulum dan kokurikulum. Di bawah kepimpinan beliau, akhlak, sahsiah, disiplin dan amalan moral kami juga turut cemerlang dan terbilang. Dan yang lebih penting daripada itu ya Allah 

di bawah kepimpinan beliau kami semua menjadi hambaMu yang taat pada perintahMu dan meninggalkan laranganMu, kami terlepas daripada azab api nerakaMu. Ya Allah jadikanlah beliau pemimpin yang dapat melaksanakan keadilan supaya beliau termasuk dalam golongan mereka yang Engkau janjikan akan mendapat naungan arasyMu di akhirat nanti.

Ya Allah jadikah kami semua senang dengan beliau dan beliau senang dengan kami, jadikanlah kami kasih kepada beliau dan beliau kasih kepada kami, jadikanlah kami orang yang sentiasa menjaga kebajikan beliau dan beliau menjaga kebajikan kami. Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami kemudahan kepada kami untuk menjalankan dan melaksanakan arahan beliau yang tidak bercanggah dengan syariatMu dan dalam masa yang sama kami tidak mengabaikan ibadat dan tanggungjawab kami kepadaMu.

Ya Allah berilah kesedaran dan kefahaman kepada kami bahawa hidup ini sangat singkat, hidup ini hanya sementara. Darjat, pangkat dan kebesaran, harta,emas permata, istana mahligai, anak-anak, isteri dan suami kami, semuanya akan meninggalkan kami atau kami akan meninggalkan semuanya, mana dahulu mengikut ketentuanMu. Oleh itu janganlah jadikan apa yang kami miliki hari ini sebagai bebanan kepada kami, menjadi penghalang untuk kami beribadat kepadaMu, menjadi pengahalang untuk kami masuk ke dalam syurgaMu.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang soleh wa musleh, bantulah kami untuk menjadi orang yang soleh wa musleh, bantulah kami ya Allah untuk menjadi orang yang soleh wa musleh.

Ya Allah berikanlah hidayah dan taufikMu kepada mereka yang belum memilikinya agar kami semua dapat bertemu di syurgaMu nanti.


Dan setiap dari kita adalah pemimpin T___T.

No comments: