Isra’ dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat pengembaraan seorang Insan bertaraf Rasul untuk mengadap Tuhannya Qadhi Rabbul Jalil .
Ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat berlakunya peristiwa agung ini. Al Imam An Nawawi dan Al Qurtubi mentarjihkan pandangan yang meletakkan tahun kelima An Nubuwwah sebagai tahun berlakunya Isra’ dan Mikraj.
Sementara pandangan yang menyebut bahawa Isra’ dan Mikraj berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesepuluh An Nubuwwah pula ditarjih oleh Al A’llaamah Asy Syeikh Mansur Puri.WALLAHU A'LAM
Apa yang menarik ,(menurut pandangan yang kedua ) peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku pada tahun yang dikenali sebagai tahun dukacita . ( عام الحزن)
Ada 3 peristiwa penting yang mengheret Baginda Rasul saw. ke kancah rasa dukacita yang sangat mencengkam jiwa dan perasaan.Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.Kematian Abu Talib. Peningkatan kadar tekanan dan ancaman.
1- Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.
Seorang tokoh yang sangat penting dalam hidup baginda saw. Bukan sahaja sebagai seorang Isteri tetapi juga sebagai individu yang bertanggungjawab membiayai perjuangan Baginda saw.
Khadijah Rha. adalah orang yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya saw. di saat orang lain kufur kepadanya , yang menghulurkan seluruh hartanya disaat orang lain memboikot perjuangan Rasulullah saw. , yang menenangkan perasaan baginda saw. di saat orang lain menyakitinya.
Tokoh yang disegani oleh seluruh penduduk Quraisy justeru beliau adalah seorang tokoh hartawan terkemuka di kalangan mereka. Pastinya pemergian Saidatina Khadijah Rha. sangat dirasai oleh Baginda saw.
2- Kematian Abu Talib.
Tidak syak , sejarah sangat menyedari kehadhiran Abu Talib yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara Nabi saw. sejak kewafatan datuknya , Abdul Muttalib .
Bahkan Abu Talib selaku bapa saudaranya turut memainkan peranan penting dalam melindungi Rasulullah saw. sepanjang detik – detik cemas dan getir berhadapan dengan ancaman dan ugutan kuffar Quraisy.
Namun tokoh besar ini juga dimatikan wataknya di awal kisah perjuangan baginda Rasul saw. sementelah pula , matinya Abu Talib tanpa Iman . ( menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah .)
Tentu sahaja , kehilangan watak Abu Talib yang terlalu banyak jasanya terhadap Rasulullah saw. tanpa sempat beriman , sangat memilukan perasaan baginda saw.
3- Peningkatan Ancaman Musuh .
Sering kali perancangan kuffar Quraisy untuk memerangkap dan menyakiti Rasulullah saw. tergendala ekoran kehadhiran 2 tokoh besar dan terbilang dalam hidup Baginda Rasul saw.
Sejurus kedua – dua tokoh tersebut meninggal dunia , ianya menjadi kesempatan terbaik buat kuffar Quraisy untuk melipat gandakan tekanan dan asakan mereka kearah perjuangan yang didokong oleh Rasulullah saw.
Penentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw itu adalah penentangan yang dilakukan oleh kaum kerabat dan sanak saudara baginda saw. sendiri. Pastinya fenomena ini menghiris perasaan Baginda saw. , sedang sebelumnya masyarakat Quraisy sangat mengenali keperibadian Baginda saw. sebagai insan al Amin .
Perjuangan diselubungi Nusrah.
Saat menanggung rasa penuh dukacita , menghadapi segala musibah yang menimpa dan karenah golongan kuffar , Nabi saw. diundang oleh Allah swt. untuk naik mengadapnya guna dipamerkan kepada baginda saw. tanda – tanda keagongan Allah swt.Firman ALLAH bermaksud : "Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."(Surah Al Israa’ : 1)
Tanda – tanda keagongan Allah swt. justeru satu bukti bahawa Allah swt. adalah Tuhan yang maha Perkasa lagi Gagah . Tiada tolok bandingnya . Tiada siapa yang mampu mengalahkannya. Itulah Allah swt. yang senantiasa menaungi perjuangan Islam ini.
Maka tiada apa lagi yang mengembirakan Nabi saw. setelah menghadapi segala penderitaan dan kesengsaraan di pentas perjuangan , melainkan baginda saw. melihat sendiri bagaimana keagongan Ilahi .
Ianya menjadi Nusrah ( pertolongan ) buat Nabi saw. dan juga kepada mereka yang menjejaki Manhaj an Nabawi ini .
Biarpun musuh sering menguasai keadaan dan pula senantiasa mempunyai kesempatan untuk menyakiti perasaan dan tubuh badan pejuang – pejuang Islam , Allah pasti sahaja tidak akan mensia – siakan mereka .
Menghayati tanda keagongan Allah swt. menjadikan pejuang Islam beroleh keyakinan bahawa perjuangan Islam ini bersandarkan satu kekuatan yang tidak mungkin dapat ditewaskan .
Fenomena inilah membuatkan Nabi saw. dan seluruh pejuang Islam di sepanjang zaman tidak lagi berasa gentar terhadap ancaman musuh , biar setinggi mana kuasa mereka , selebar mana pengaruh mereka dan sebanyak mana dana mereka , ternyata mereka teramat kerdil dan hina di sisi Allah swt.Firman Allah bermaksud :"Dan janganlah kamu berasa hina menghadapi golongan itu ( musuh kamu ) , jika kamu berasa sakit , sesungguhnya mereka juga berasa sakit sebagaimana kamu berasa sakit . sedang kamu mengharapkan ( redho ) Allah , suatu yang tidak diharapkan oleh mereka "(An-Nisa' :104) .
BAHASA ARAB
SEDIH : حـَزَنْ
:فـَرْحٌ GEMBIRA
خـَوْفٌ: TAKUT
شَجَعٌ :BERANI
Ikhsan dari:
Biro Dakwah
Badan Kebajikan Guru & Kakitangan (BKGK 2006)
1 comment:
Israj mikraj ni bertujuan nak hiburkan hati baginda kan UM...sbb tahun ni merupakan tahun kesedihan dan dukacita...
Post a Comment