Hari 4, Khamis
17 Rabiul' akhir 1433H : 15 Mac 2012
Madinatul Munawwarah
Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Petang semalam badan Muhammad tiba-tiba suam-suam panas dan suhu semakin meningkat menjelang malam. Ibu berjaga lagi malam tadi supaya badan Muhammad sentiasa basah untuk menyeimbangkan suhu dan Alhamdulillah setelah ayah menukar lampin dan membasahkan seluruh tubuh Muhammad jam 330 pagi, panas mulai turun dan Muhammad tidur nyenyak sehingga ibu menghantar ke rumah kaklong sebelum ke tempat kerja pagi tadi. InsyaAllah demam kali ini asbab mungkin mahu bercakap ;). Antara perkataan popular yang suka disebut Muhammad adalah jaza-killah dengan penuh perasaan, Allahuakbar sambil buat perbuatan solat dan alif ba ta yang disambung ibu dan Muhammad. Contohnya, ibu kata alif. Muhammad sambung ba. Ibu kata ta. Muhammad sambung sa sehinggalah kho. Selepas itu, huruf-huruf hijaiyah tersebut berterabur bercampur dengan huruf berbaris mengikut kejelasaan Muhammad menyebutnya. Learning is an ongoing process kan? ;). Asbab lain pula, 4 batang gigi taring Muhammad sedang membengkak tumbuh menjadikan gigi Muhammad sekarang sudah ada 16 batang kesemuanya ketika ini diusia setahun 8 bulan. Walau apapun, ibu tetap bersyukur, dalam keadaan tidak sihat, Muhammad ada selera untuk makan, menyusu dan bermain seperti biasa. Alhamdulillah ketika ibu menjemput Muhammad sebentar tadi, Muhammad telah sihat. Kaklong memandikan Muhammad sebanyak 3 kali. Buang air besar juga sebanyak 3 kali. Nasi berlauk ikan yang ibu bekalkan habis separuh dan susu habis sebanyak 7oz sekali minum. InsyaAllah Muhammad sudah sihat ;).
Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul
Keadaan-keadaan sebegitu membantutkan minat ibu berdepan dengan samra'. Bak kata Ustazah Fatimah Syarha: ayah, Muhammad dan adik-adik adalah pemilik cinta ibu setelah Allah dan Rasul ;). InsyaAllah seperti dijanjikan, ibu kembali mencatat kembara kita di tanah-tanah haram. Kali ini adalah strategi ke Raudhah. Selepas subuh terakhir di Madinah, seperti yang dijanjikan, ayah mengambil alih menjaga Muhammad untuk memberi peluang kepada ibu dan tokwan ke Raudhah. Raudhah hanya dibuka pada waktu-waktu tertentu untuk wanita dan tiada had masa buat lelaki. Jadi, hanya ini masa yang ada sebelum kita bertolak ke Mekah selepas Zohor nanti. Ibu dan tokwan mencari Raudhah yang mana taman syurga ini tidak mampu dibayangkan ibu walaupun diceritakan ayah.
Tersalah Barisan
Ramai orang berkumpul di satu sudut. Ibu dan tokwan berada di barisan orang Madinah dan sekitarnya. Tiba-tiba pengawal wanita yang memeriksa barisan memerintahkan muka-muka yang bukan arab seperti kami untuk keluar barisan setelah beratur agak lama juga. Ibu-ibu kaluar! Jeritnya dengan kuat dan disambung dengan bahasa arab. Mereka (pengawal wanita) di sina begitu baik berbahasa melayu. Ibu pada mulanya tidak memahami maksudnya maklumlah bahasa arab ibu bahasa arab tinggi melepasi awan ;D. Rupa-rupanya itu adalah barisan orang-orang tempatan Madinah dan sekitarnya. Kita sepatutnya berada di barisan Asia setelah ibu bertanya kepada pengawal wanita tersebut dalam bahasa orang putih ;). Pengawal wanita tersebut membawa separuh jalan sambil menunjukkan barisan orang Asia yang mana di sana ramai jemaah dari Indonesia. Ada yang berkata, orang tempatan Madinah lebih mudah untuk masuk ke Raudhah. Jadi, strateginya adalah dengan memakai serba hitam dan kalau boleh menutup muka yang hanya menampakkan mata seperti pengawal wanita tersebut. Keistimewaan buat penduduk tempatan Madinah mungkin.
Pemandangan di sudut-sudut tertentu Masjid Nabawi.
Waktu Tidak Padat
Seperkara yang kawan ibu pesan supaya pergi bersarapan dahulu selepas Subuh. Kemudian, barulah kembali ke Raudhah kerana semasa itu tidak padat lagi waktunya. Memandangkan ibu tidak larat untuk berulang alik, kita terus sahaja menunggu di sana selepas subuh. Beberapa barisan besar dapat ibu lihat dari negara berbeza mengikut benua mungkin. Tepat sahaja jam menunjukkan jam 8 jika ibu tidak silap, pintu besar menuju ke Raudhah dibuka seluas-luasnya. Semua orang berlari dengan laju umpama pertandingan lumba lari. Semua orang dengan satu tujuan untuk bertemu Rasulullah SAW! Ya Allah Muhammad, menggigil ibu semasa berlari. Beginilah keadaan di padang mahsyar nanti apabila kita bersesak-sesak mencari Rasusulullah SAW untuk mendapatkan syafaat Baginda. Sepatutnya tidak perlu berlari namun ibu yang baru kali pertama, ibu pun sama berlari laju sambil memegang tangan tokwan dengan kuat mengikut jemaah-jemaah yang berlari pecut tadi. Bila mengenangkan semula, kelakar pun ada. Tidak padan bawa adik dalam perut yang sudah 5 bulan setengah ;).
Rasulullah SAW, Sabahat dan Raudhah
Sampai sahaja di sana, terlihat beberapa makam dan yang tertinggi itu pastinya makam Rasulullah SAW dan diikuti sahabat-sahabat Abu Bakar dan Umar. Di sana juga terdapat sebuah terowong kecil yang mana tapaknya hanya ada sebesar permaidani yang boleh memuatkan dalam 10-15 orang sahaja untuk solat. Permaidani tersebut berwarna hijau putih. Sah! Itulah Raudhah seperti yang diberitahu sebelum ini. Jauh sungguh dari bayangan ibu. Ibu membayangkan Raudhah ini umpama sebuah taman yang luas. Rupa-rupanya taman syurga dunia yang merupakan sebahagian daripada syurga di akhirat sana nanti, hanyalah sebesar sebuah permaidani. Manusia umpama gelombang thunami yang melanda Acheh baru-baru ini dengan skala 8.9. Semua orang berasak masuk untuk solat sunat di dalamnya. Ibu dan tokwan yang tidak tahu strategi di Raudhah pun apa lagi, masuk juga ke dalam gelombang manusia itu tadi. Ada jemaah umrah dari India yang dipijak sehingga tertanggal selendangnya ketika cubaan untuk solat. Ramai yang jatuh bertindih-tindih, Tiada langsung ruang tenang di dalamnya. Ada juga yang masuk secara berkumpulan seperti 7-8 orang. 2 orang solat dan yang lainnya mengepung rakan yang 2 orang tadi. Usaha dan strategi ini pada pemerhatian ibu berhasil juga namun memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk menaham gelombang manusia itu tadi.
Lautan Manusia
Ibu cuba juga untuk solat berdepan dengan dinding namun usaha tersebut gagal kerana lautan orang tadi menolak dan terus menolak. Ibu dan tokwan akhirnya tertolak keluar dari Raudhah. Tokwan seakan-akan takut dengan lautan manusia tersebut. Ibu masih tidak puas hati. Ramai yang mampu untuk solat di dalamnya namun kenapa tidak ibu dan suasana di sana tidak menampakkan langsung tanda-tanda aman untuk solat. Tokwan segera menarik tangan ibu untuk keluar dari Raudhah tetapi ibu meminta untuk berhenti seketika untuk berdoa dan solat di mana-mana sahaja berdekatan Raudhah. Kemudian, kami keluar dan tidak menunggu lagi. Sesudah solat Dhuha, kami mencari pintu Babul Uthman, tempat yang bertemu ayah dan Muhammad seperti yang dijanjikan.
Selamat Tinggal!
Ibu duduk bersila sambil menunggu ayah dan Muhammad. Baru terasa penatnya berlari pecut 100 meter. Tidak lama kemudian, tokwan melihat kelibat ayah dan Muhammad. Kita ke tempat malam tadi, tempat yang dibawa oleh Ustaz Amin di luar masjid yang menampakkan kubah hijau tempat letaknya makan Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar serta taman syurga. Kita berkumpul ke sana memandangkan itulah masa yang ada untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat sebelum berangkat ke Mekah nanti. Sedih T_T. Hanya mampu mengucapkan selamat tinggal diluar masjid. Mudah-mudahan Allah dengar permohonan dan doa buat Rasulullah SAW dan para sahabat serta para jannatul baqi' untuk dipertemukan lagi dalam suasana yang lebih baik. Mudah-mudahan juga Rasulullah SAW sudi memberikan syafaat Baginda buat kita di padang mahsyar nanti untuk memudahkan proses hisab menuju ke syurga Allah kelak insyaAllah!
Kubah hijau yang menempatkan makam Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar dan Raudhah.
Tunggu 2 Jam
Sampai di hotel, kelibat nenek, fuang dan nenek saudara ibu yang bernama mak nikkik tidak terlihat. Ayah pula kembali ke masjid beriktikaf sehingga Zohor dari jam 10 pagi. Kelibat nenek dan fuang hanya terlihat setelah jam 11 pagi. Rupa-rupanya nenek, fuang dan mak nikkik berada di Raudhah. Mereka menunggu sehingga 2 jam sampai orang surut dan mereka Allah kurniakan untuk solat rapat dengan dinding di Raudhah walaupun agak payah juga menembusi Raudhah. Aduhai bertuahnya sesiapa yang mampu dan diizinkan untuk solat di taman kecil yang dijanjikan syurga oleh Allah. Nenek bertuah kerana pergi bersama fuang dan mak nikkik yang sudah menunaikan haji dan membuat umrah beberapa kali. Mereka berdua pastinya ada strategi untuk dapat solat di dalam raudhah. Namun, ibu dan tokwan tidak ditakdirkan Allah untuk solat sunat. Hanya lalu sahaja di taman syurga T_T. Sekali lagi, beginilah sukarnya untuk mendapatkan syurga kerana berbuat dan beramal baik itu pahit. Tazkirah hati yang datang sentiasa dan secara tiba-tiba untuk tarbiyyah hati kotor dan tercela ibu T_T.
Muhammad Solat Di Raudhah
Lebih sebak, Muhammad mampu untuk solat dengan perlakuan solat versi Muhammad di taman syurga. Ayah membawa Muhammad bermain di Raudhah setelah meletakkan unta (stroller) Muhammad diluar. Tenang sahaja di bahagian lelaki mengikut penceritaan ayah. Allah pilih Muhammad untuk solat di Raudhah ;). Mengikut ayah, memang terdengar kelam-kabut dan betapa bisingnya di bahagian wanita sehingga bergegar dinding yang memisahkan bahagian wanita dan lelaki. Sekali lagi, begitulah penghuni neraka yang banyak dihuni oleh para wanita. Pastinya menjerit-jerit yang bagai gelombang thunami T_T. Ayah pula, masjid memang taman permainannya sejak kecil. Mudah-mudahan hobi ini menjadi sunnah ikutan Muhammad dan adik-adik. Masjid tidak pernah membosankan ayah. Asbab itu, Allah ganjari ayah kerana sukanya dengan masjid dengan solat berjemaah Zohor di Raudhah. Ibu pula yang suka sangat dengan pasaraya, dapat lalu sahaja. Balasan di dunia lagi T_T. Ya Allah kasihanilah hambaMu yang jahil, penuh cela dan noda ini T_T.
Permaidani hijau putih sebagai tanda di Raudhah. Tenangnya Raudhah di bahagian lelaki. Patutlah Muhammad dan ayah mampu solat dengan gembiranya di Raudhah :).
Azan yang dirakam dari dalam Raudhah oleh ayah.
Ibu pernah dengar suatu cerita yang mana seorang jemaah yang terpaku kerana diberi kurnia untuk melihat Raudhah yang sebenarnya di syurga sana. Ya Allah insan bertuah pilihan Allah. Apakah amalannya sehingga dikurniakan sebegitu rupa T_T. Begitulah episod-episod terahir kita di Madinah. Walaupun ibu tidak diizinkan Allah untuk solat sunat apatah lagi solat fardhu di Raudhah, ibu tetap puas dengan ketetapanNya. Allah bagi peluang lalu sahaja di Raudhah juga adalah nikmat buat ibu kerana ibu pasti dalam keadaan ibu yang hamil disamping bersama anak kecil ditambah dengan pengalaman yang masih kosong, pastinya inilah yang terbaik buat ibu pada masa itu. Allah bagi kita beriktiaf di masjid juga adalah satu nikmat. Ibu bersyukur Allah masih pilih kita menjadi tetamuNya. Teruskan kembara ini dan mudah-mudahan Allah ganjari kita dengan umrah yang mabrur dan dikurniakan nikmat menunaikan haji diusia muda secepat mungkin nanti. InsyaAllah berakhirnya episod selama 2 hari semalam di tanah haram Rasulullah SAW, Madinah Al-Munawwarah. InsyaAllah ibu menyambung kembara kita di episod akan datang di tanah haram Makkatul Karamah insyaAllah pasti dengan izin Allah!
4 comments:
siannya muhammad demam... bagus muhammad ni... dah pandai baca alif ba ta yer... :-)
Alhamdulillah, Muhammad dah sihat ya.. :D
ps: ada beberapa bahagian dlm entry ni buat ibu yusuf senyum2 sendiri. Tapi masih dalam rasa kagum, dgn semangat seorang ibu hamil..
seronok sungguh dengar cerita ummu Muhammad sekeluarga, membuatkan kami di sini xsabar sabar nak jejak kaki ke sana... doakan kami pula..
intan: alhamdulillah dah sihat..ikut mood die..kan kinesthetic learners..memang tak reti duk diam n tak boleh pakse..mase die rajin nak layan kite..die sambunglah..kalau tak..tau jelah byk bende baru die nak explore heheh
kak zefa: kite ni kak semangat memang lebih haha! harap2 pelaksanaan tu ade kekuatan hhehe
ifa: mudah2an..danial rezeki dpt pindah duduk dgn baba..ade rezeki adik danial tuh pulak nanti..semuge dipermudahkan dan disegerekan! ;) doakan kami juga dapat dicukupkan dan dimudahkan utk haji pula.. ;)
Post a Comment