Hari 4, Khamis
17 Rabiul' akhir 1433H : 15 Mac 2012
Madinah - Mekah
Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Sebenarnya ziarah kita di Madinah tidak lengkap kerana mengikut programnya, jemaah kita sepatutnya pergi menziarahi muzium. Namun asbab kesuntukkan masa mungkin, jemaah umrah kita tidak dibawa ke sana. Tidak mengapa. Yakin pasti rancangan Allah itu lebih baik. Setelah episod-episod di Madinah ibu akhiri, kini tibalah pula episod-episod kita di Makkatul Karamah yang mana bumi yang akan dipelihara oleh Allah hingga hari qiamat.
Bom Asid
Masih ingatkah lagi peristiwa penting menjelang kelahiran Rasulullah SAW yang ketika itu dinamakan tahun gajah? Tentera bergajah Abrahah yang ingin menyerang Mekah. Abdul Muttalib iaitu datuk Rasulullah SAW bulat-bulat menyerahkan mekah di bawah penjagaan Allah sepenuhnya. Gajah-gajah tersebut tidak mampu langsung untuk memasuki kota Mekah dan mereka dibunuh oleh burung-burung Ababil yang membawa batu-batu dari api neraka dengan perintah Allah. Dikisahkan semasa usrah beberapa tahun sudah, batu-batu yang kecil tersebut umpama bom nuclear semacam asid yang tebus sehingga tulang-belulang. Janji Allah yang Mekah adalah dalam pemeliharaanNya. Ibu jadi terkenangkan saudara-saudara kita di Palestin yang mana peristiwa bom nuklear israel tidak ubah seperti batu-batu kecil dari api neraka. Sesiapa yang terkena bom tersebut, ianya pasti mematikan. Beruntunglah para syuhada' Palestin. Syurga menantimu!
Tanah Haram = Islam
Sebuah lagi kisah berkaitan tanah haram yang diceritaan nenek jika ibu tidak silap. Ibu hanya ingat pokok ceritanya. Siapa dan bila tidak dirakam baik oleh ibu. Mereka sekeluarga ke Mekah bersama pambantu rumahnya yang mengaku seorang Islam. Tiba-tiba pembantu rumahnya ghaib tidak dijumpai sehingga penyudahnya. Selidik punya selidik, rupa-rupanya pembantu rumahnya bukan beragama Islam. Memang tanah-tanah haram baik Madinah mahupun Mekah akan hanya dapat dihuni oleh orang-orang Islam. Mengimbau usrah di zaman belajar dahulu, menurut naqibah ibu ketika itu, orang-orang kafir hanya akan dapat masuk ke tanah haram apabila hari qiamat semakin dekat. Semasa itu, semua orang Islam telah dimatikan. Orang-orang kafir akan memasuki masjjid-masjid kita seperti mereka mengunjungi muzium. Wallahu'alam. Mudah-mudahan Allah matikan kita sebelum tibanya zaman fitnah dajjal.
Ujian Permulaan Perjalanan
Permulaan perjalanan kita ke Mekah diuji. Masih ingat jemaah kawan kecil Muhammad yang berusia 6 bulan dalam travel agensi yang sama dengan kita? Pintu bilik hotel mereka tidak dapat dibuka. Hanya hampir jam menunjukkan 4 petang, barulah kita semua berangkat. Masalah besar hotel di Madinah tempat kita menginap memang pintunya. Kad yang dibekalkan sebagai kunci bilik sentiasa tidak padan dengan pintu bilik yang sepatutnya. Kemudian, masalah bertambah rumit apabila kita sendiri yang perlu naik turun bilik ditambah dengan masalah lif yang memang sentiasa penuh. Masalah-masalah teknikal yang mudah-mudahan Allah pilih kita untuk diuji sebagai penghapus dosa-dosa kecil.
Ihram
Semua jemaah umrah telah bersiap dengan pakaian ihram termasuk Muhammad sesudah mandi sunat ihram. Pakaian ihram Muhammad hanya menggunakan 2 helai tuala Muhammad yang berwarna putih. Kain ihram untuk kanak-kanak sebesar Muhammad, ibu tidak jumpa pula di kedai-kedai yang menjual peralatan umrah. Kita berhenti di Miqat Masjid Bir Ali untuk berniat dan solat sunat tahyatul masjid sahaja memandangan kita sampai sesudah Asar yang mana tidak ada lagi solat selepas waktu Asar. Miqat tersebut tidak jauh dari Kota Madinah. Maka dengan niat dan solat sunat ihram di Miqat tadi, kita semuanya adalah di dalam ihram. Antara perkara-perkara yang dilarang di dalam ihram adalah:
1. Memakai pakaian bercantum atau berjahit seperti seluar, baju bagi orang lelaki.
2. Memakai kasut/selipar yang menutup hujung 5 jari kaki. Selipar ayah dan kasut ibu dibeli di sebuah kedai cina. Buat pertama kalinya ayah punya selipar mahal pemberian ibu. Tidak sangka pula mereka orang cina lebih faham selipar yang bagaimana yang dibenarkan kerana pengalaman mereka yang sering dikunjungi bakal jemaah haji dan umrah. Hanya ada satu jenis sahaja selipar yang menampakkan semua hujung 5 jari kaki dijual di kedainya. Alhamdulillah ianya sangat selesa. Memilih sandal/selipar perlu berhati-hati. Kadang-kala ada yang memilih sandal yang tidak menampakkan jari kecil yang hujung.
3. Tidak memakai songkok, kopiah dan serban bagi lelaki. Semasa kursus, ustaz memberitahu, andai kata kita terlupa dan kawan kita menegur dengan segera menanggalkan mana-mana penutup kepala berkenaan, ianya dimaafkan dan tidak dikenakan dam.
4. Memakai wangi-wangian. Bab ini sebelum berangkat lagi ayah dan ibu sudah main tarik-tarik rambut. Ayah sungguh berhati-hati. Ayah tidak membenarkan ibu membawa sabun basuh dan sabun mandian, pelbagai lagilah. Ibu Muhammad biasalah memang degil. Bak kata ayah, nasib baik ibu bukan ustazah. Kalau ustazah pastinya ayah dibidas ibu dengan Al-Quran dan hadis ;). Benar juga sifat berhati-hati ayah. Dam bukannya sedikit. Paling ringan beberapa cupak makanan atas kesilapan mencabut rambut, manakala kesalahan selebihnya perlu seekor kambing. Dipihak ibu pula berpendapat, bukan sepanjang masa kita di dalam ihram. Nanti mahu mencuci Muhammad bagaimana? Baju nanti mahu cuci baru terkial-kial mahu mencari kedai. Penyudahnya ayah akur juga menurut kemahuan isterinya yang degil ini ;). Alhamdulillah setelah melalui pengalaman umrah ini, insyAllah kita susah juga mahu dikenakan dam kerana setelah pergi ke Miqat dengan bas mini untuk berniat, kita akan berpatah balik ke Masjidil Haram untuk tawaf, saie dan tahallul. Semuanya dilakukan dengan sekaligus secara tertib. InsyaAllah cara ini terbaik bagi mengelakkan dam.
5. Memotong, mencabut atau mencukur rambut serta memotong kuku. Apa yang kita sering terlepas pandang ialah rambut. Menurut ustaz, ada jenis orang yang suka bermain-main, simpul rambutnya sehingga tercabut yang kita namakan habbit. Walau bagaimanapun, andai kata kita mandi dan dilubang air terkumpul rambut-rambut, jangan fikir dan terus fikir perkara yang tidak pasti sama ada rambut kita atau tidak. Sila abaikan.
6. Memakai pakaian terkena wangian. Bak kata ustaz semasa kursus, konsep haji dan umrah adalah kusut masai. Tarbiyyah diri untuk lebih berdisiplin, keluar dari kebiasaan sehari-hari yang mahu mandi, wangi dan sebagainya.
7. Memburu/bunuh binatang darat yang halal atau mengganggunya. Menurut ustaz, kadang-kala kita tidak sedar semasa duduk-duduk kita boleh terbunuh binatang-binatang merayap.
8. Nikah atau menikahkan.
9. Melamar wanita yang akan dinikahi.
10. Mencaci, mencerca dan seumpamanya.
11. Bersetubuh dan bercumbuan.
12. Mengganggu atau merosakkan tumbuh-tumbuhan yang ada di tanah haram.
Madinah - Mekah = 447km
Kita kemudiannya meneruskan perjalanan panjang sejauh 447km menuju ke Kota Mekah pula. Tempat duduk kita yang paling belakang di dalam bas berhawa dingin. Muhammad boleh tidur secara berbaring dan ianya lebih merehatkan ibu dan ayah lebih-lebih lagi Muhammad dengan beralaskan tuala. Kita singgah untuk jamak qasar maghrib-isyak di sebuah R & R. Suhu di perhentian ini sejuk dari kebiasaan. Inilah mungkin musim sejuk yang dikatakan orang. Kita ketika itu berada di penghujung musim sejuk. April nanti bertukar kepada musim panas pula. Di sini ada insiden yang menguji kesabaran ibu iaitu ketika di bilik air.
Line Up Please!
Memandangan perjalanan kita yang jauh menempuh padang pasir di waktu malam, ramai jemaah yang mengambil peluang untuk membuang air. Di sana bukan bas yang memuatkan jemaah kita sahaja yang berhenti di situ. Banyak lagi bas jemaah umrah dengan tujuan yang sama iaitu menuju ke Mekah. Bilik air penuh. Semua orang beratur panjang menanti giliran. Bahagian depan kita adalah orang-orang dari sekitar sana tetapi ibu tidak mampu cam rupa mereka dari negara mana. Mereka beratur dan sekiranya ada lagi kerabat-kerabat mereka yang sepatutnya perlu beratur di barisan belakang kami (ibu, nenek, fuang dan tokwan), mereka yang lambat itu akan terus beratur di dalam barisan kerabat-kerabat mereka. Lama kami tunggu barisan tidak bergerak-gerak. Seorang dua mungkin biasa sahaja tetapi kalau sehingga lebih 5 orang, angin jugalah ibu dibuatnya. Dengan suara separa menjerit ibu berkata, line up please! (ini memang dengan nada marah + keras). Ibu puji nenek kerana apabila tiba gilirannya tanpa rasa geli, nenek membersihkan sekalian najis yang berterabur di atas lantai. Alhamdulillah asbab memudahkan kita, Allah mudahkan nenek berumrah dengan baik. All out!
Habis sahaja solat dan menggantikan pampers Muhammad, kita terus naik ke dalam bas. Tidak sempat untuk membeli minuman panas. Ini sebahagian cabaran membawa anak kecil ;). Bas bergerak semula dan kita sampai tengah malam dalam lingkungan 1,2 pagi waktu Saudi. Perjalanan kita ditemani oleh bacaan talbiah, zikir dan berselawat. Bait-bait talbiah yang begitu meruntun jiwa T_T.
HambaMu telah datang menyambut panggilanMu. Ya Tuhan, hambaMu datang menyambut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu.
Semua pancaindera ibu bagai dipaku ketika berada dekat dengan rumah Allah. Antara percaya dengan tidak. Benarkah aku disini. Suatu perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Kalau selama ini , ibu hanya mampu melihat menerusi gambar-gambar namun kali ini gambar-gambar tersebut, benar-benar berupa kenyaataan. Allah sampaikan kita wahai anak-anakku! InsyaAllah ibu kembali mencatat pengalaman umrah pertama kita insyaAllah pasti dengan izin Allah!
Baru sampai. Bersedia untuk umrah pertama.
4 comments:
Tu dia.. Ummu Muhammad sudah keluarkan suara.. speaking london gitu.. haha.. ibu Yusuf gurau2 je ye. Takkan nak cakap melayu pulakkan.. :D
hahah..aduh kak..geram betul rase..bukan kat situ je..kat masjidil haram pun same..kene 2 kali..kali kedue kene memang keras kitelah..boleh tengah ambil wuduk..die tadah tangan atas tangan kite..veryyy bad!! keras mesti lawan dgn keras keh8!
p/s: speain londong i heheh
sy br tahu kisah rtnh haram tu.. slma ni tertanya2 gak knp... skrg dh tau :-)
intan kisah yg mane satu tu?
Post a Comment