5.4.12

EPISOD 6: JEDDAH - MADINAH

Hari 3, Rabu
16 Rabiul' akhir 1433H : 14 Mac 2012
Jeddah - Madinah


Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Selepas solat jamak qasar Zohor dan Asar serta mengisi perut, kita bertolak ke airport Muscat, Oman semula untuk penerbangan ke Jeddah yang dijadualkan berlepas pada jam 430 petang waktu Oman. Perjalanan siang menuju ke airport menyerlahkan lagi kemewahan Oman. Semalam (12 Mac 2012) kita tidak berpeluang untuk melihat suasana sepanjang perjalanan ke hotel asbab telah malam. Sampai di lapangan terbang, deretan teksi juga dengan kereta mewah. Maksud mewah ibu disini adalah bukan kereta yang separuh umur. Semuanya jenis kereta berjenama dan baru. Mungkin sistem berkereta di Oman sama seperti di Jepun yang mana penggunaan kereta hanya dihadkan sehingga 5 tahun sahaja dan kita di Malaysia kebiasaannya membeli kereta recond mereka yang berjenama mewah setelah had tempoh penggunaannya.

Masih pemandangan di sekitar hotel yang ayah ambil pula. Gambar lelaki yang tampak begitu hebat dengan serbannya diatas adalah gambar Sultan Oman, Sayyed Qaboos bin Said al-Said yang berada di lobi hotel. 

Terbang Ke Jeddah
Penerbangan kali ini lebih singkat daripada semalam memandangkan kita telah pun berada di tanah Arab. Jadi, penerbangan hanya memakan masa 2 jam setengah sekiranya ibu tidak silap. Alhamdulillah Muhammad yang kekenyangan tidur sepanjang perjalanan di pangkuan ayah. Cuma sesekali merengek dan menangis kecil asbab tekanan semasa memulakan penerbangan dan mendarat yang menyebabkan telinga kita 'pekak' sebentar. Dalam istilah sainsnya ibu tidak tahu. Muhammad bangun ketika kita mahu turun kapal terbang. Kapal terbang kali ini juga agak sempit sedikit berbanding semalam mungkin asbab perjalanannya yang singkat dan seperti biasa pasti ada hidangan di dalam kapal terbang yang pelbagai dan pelik-pelik. Ada yang boleh kita telan dan ada yang boleh kita pandang sahaja. Untuk orang dewasa, tidak perlu dirisaukan kerana makanan sentiasa ada. Cuma, untuk anak-anak seperti Muhammad mungkin agak susah seandainya tiada persediaan awal makanannya.

Pemandangan Oman dari udara. Ada jodoh dengan keizinan Allah pastinya, kita ketemu lagi insyaAllah!

Jeddah - Madinah
Prosedur biasa yang kita akan lalui sepanjang berada di airport adalah scan barang-barang dan diri masing-masing. Ramai orang di lapangan terbang Jeddah berbeza dengan di Oman. Ada yang telah siap dengan pakaian ihram kerana pasti mereka akan terus ke Mekah yang memakan masa lebih kurang sejam lebih perjalanan kerana Jeddah ke Mekah adalah sejauh 72km. Jemaah umrah kita pula akan terus ke Madinah. Jarak Mekah dan Madinah adalah 447km iaitu lebih kurang perjalanan kita ke kampung ayah. Pastinya 7,8 jam perjalanan. Namun perjalanan malam kita seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW supaya bermusafir di malam hari, menyingkatkan waktu perjalanan kita. Kita sampai di Madinah di awal pagi sekitar jam 230 pagi dan kita ditempatkan di Hotel Dar Al-Naeem. Kita hanya tidur di dalam bas. Sebenarnya kita lewat daripada masa yang ditetapkan di dalam jadual perjalanan.

Baru turun kapal terbang. Suasana di airport Jeddah.


Doa Masuk Ke Kota Madinah
Wahai Allah, Tuhanku, negeri ini adalah tanah haram RasulMu, Muhamamd, maka jadikanlah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari siksa dan penghisaban yang buruk dihari kemudian.

Banyak lagi doa-doa yang kita pelajari seperti doa ketika masuk ke pintu Babul Salam, doa selepas solat tahyatul masjid dan sebagainya yang terdapat di dalam buku Teman Tetamu Allah: Panduan Praktis Umrah dan Ziarah terbitan Darul Mu'man yang diberikan pihak agensi.

Kali Pertama Memandang Masjid Nabawi
Getaran hati memandang Masjid Nabawi yang selama ini ibu lihat di buku-buku mahupun di TV yang akhirnya di depan mata sendiri, hanya Allah yang tahu. Allah sampaikan juga kita ke sini wahai Muhammad. Allah sampaikan kita di tanah Rasulullah SAW dan para sahabat disemadikan. Baginda dan para sahabat pastinya masih segak dengan rupa 1400 tahun lebih dahulu yang Allah pelihara tidak dimamah tanah. Getaran  hati yang dahsyat untuk ibu bermula sejak di dalam bas menuju KLIA lagi. Apa yang sungguh meruntun jiwa, keluhan sebagai hamba yang membawa hati yang kotor. Ya Allah aku datang dengan hati yang kotor, maka sucikanlah!

Tangan berseni. Masjid Nabawi yang begitu hebat diawal pagi dirakam baik oleh ayah dengan izin Allah walau dengan handphone cap kapal kami.

Analogi Adab Bertemu Rasulullah SAW
Kita membawa barang-barang naik ke dalam bilik dan bersiap sedia untuk pergi ke masjid nabawi untuk subuh. Ibu teringat cerita ayah tentang kisah sahabat yang merupakan pedagang, bermusafir untuk bertemu dengan Rasulullah SAW di Madinah. Sampai sahaja, semua orang meninggalkan barang-barang bekalan dan juga unta-unta mereka tanpa ditambat kerana tidak sabar bertemu Rasulullah SAW. Hanya tinggal seorang sahaja sahabat yang tinggal. Dia mengemas semua bekalan-bekalan sahabat-sahabat yang bergegas bertemu Rasulullah SAW dan juga menambat semua unta-unta sahabat-sahabatnya. Kemudian, dia mengemaskan dirinya, kalau dengan istilah kita, kita mandi dan memakai wangi-wangian sebelum bertemu Rasulullah SAW. Kisah ini ayah baca ketika iktikaf Maghrib-Isyak di Masjid Taman Kasih. Nama dan sabda Rasulullah untuk sahabat ini ibu lupa. Ibu cuba juga untuk google namun tidak ketemu hadis ini. (Mohon diperbetulkan seandainya salah). Pokoknya daripada hadis ini adalah tentang analogi adab untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Tidak perlu tergesa-gesa.

Babul Uthman Bin Affan
Seawal jam 330 pagi, kita anak-beranak telah pun berkumpul di lobi hotel seperti yang dijanjikan. Kaki ibu bagai kaku sepanjang perjalanan menuju ke masjid nabawi. Gambaran perasaan yang sukar digambarkan. Kita antara jemaah subuh yang awal. Pintu masuk masjid nabawi berbeza antara lelaki dan wanita. Untuk masuk ke dalam masjid nabawi kita perlu melalui pemeriksaan singkat oleh petugas wanita di pintu masjid.  Suasana agak kelam-kabut kerana walaupun baru jam 330 pagi, orang begitu ramai berpusu-pusu masuk disetiap pintu. Kamera tidak dibenarkan dibawa masuk. Handphone pula ibu tidak pasti kerana semasa pemeriksaan kita semua terlepas, mungkin asbab ramai orang. Pintu masuk kita buat pertama kalinya adalah Babul Uthman Bin Affan.

Air Zam-zam
Sejurus melepasi saringan di pintu masuk, mata ibu terus terpandang deretan bekas air yang terisi air zam-zam. Hati ibu tergerak, wah canggihnya! Ada yang sejuk dan ada yang tidak. Perkara pertama yang kita buat adalah mimum air tersebut menggunakan cawan plastik yang ada disisi setiap bekas air zam-zam tersebut. Ketika ini, hati keras seperti batu pun boleh menjadi cair. Ibu pandang nenek dan nenek pandang ibu. Masing-masing entah untuk keberapa kalinya mata berair. Hanya yang keluar di bibir ibu kepada nenek, akhirnya Allah sampaikan kita ke Masjid Nabawi, mak. Subhanallah sangat cantik!  Belum lagi seumur hidup ibu masuk ke dalam masjid seindah dan sebesar ini. Kesempatan ini ibu dan nenek bergilir menjaga Muhammad. Disebabkan waktu Subuh dalam lingkungan 5 pagi, kita antara jemaah yang mendapat tempat di dalam masjid dan Allah izinkan kita berkesempatan untuk solat sunat seperti tahyatul masjid, tahajjud, hajat dan witir. Ibu bergilir dengan nenek. Muhammad sedikit meragam mungkin asbab kepenatan menempuh perjalanan yang panjang dan Muhammad tidak mahu dengan nenek. Mahu tidak mahu, ibu solat seringkas mungkin. Tidak mengapa, yang penting kita boleh sama-sama iktikaf di masjid Nabi kita ;).

Foto di handphone ayah. Beginilah bekas air zam-zam dan cawan plastik yang ibu maksudkan tadi yang berada hampir di setiap sudut masjid. Dimana-mana sahaja ada air zam-zam.

Bunga Rozet
Setiap agensi yang membawa jemaah umrah pasti ada tanda-tanda untuk dikenal pasti sebagai contoh, jemaah dari travel agensi kita dibekalkan bunga rozet kenduri kawin dan perlu disematkan di belakang kepala bagi wanita sahaja. Jadi, dari kejauhan sudah terlihat dan kita boleh kenal dengan baik jemaah dari travel agensi kita. Begitu juga dengan travel agensi lain. Setiap orang ada tanda-tanda mereka sendiri. Bagi ibu, idea sebegini sangat perlu memandangkan kita bukan di negara kita sendiri dan pelbagai kejadian boleh terjadi. InsyaAllah asbab bunga rozek ini lebih memudahkan kita untuk saling 'cakna' antara jemaah umrah yang lain.

Sepatutnya kita berada di Madinah 2 malam. Namun disebabkan masalah-masalah yang berlaku sebelum ini, nampaknya Allah hanya izin kita berada di Madinah selama 2 hari semalam. Pagi itu selepas solat subuh berjemaah di masjid, jemaah umrah kita dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah dan punya sirah tersendiri sebagai contoh masjid quba' iaitu masjid pertama yang didirikan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah semasa hijrah Baginda bersama Abu Bakar ra. Banyak lagi dan insyaAllah ibu kepilkan setiap tempat dan sejarahnya di episod akan datang dengan izin Allah insyaAllah.

6 comments:

IntaNBerliaN said...

ummu.. seronoknya saya baca entry ni.. mg satu hari nanti sy pun dpt jejakkan kaki ke sana... insyaAllah..

Ibu Yusuf Maryam said...

Handphone tu kalau diambil, agak2 boleh dpt balik tak ye? Kena cari idea nak sorok mana..

aiNaSha said...

sebaknya baca tentang Masjid Nabawi...terbayang seolah2 ada di sana..subhanallah..bestnya..moga kami juga dapat ke tanah suci dalam masa terdekat..

Marlina Mohtar said...

seronoknya......semoga kami dapat ke sana juga nanti :)

@LeenShamsh said...

intan: insyaAllah rezeki intan pasti ade ;)

kak zefa: die tak ambek pun tapi die halau tak bagi masuk..mcm mak hari tu kamere die kantoi, jadi kene halaulah..die masuk pintu sebelah pulak hehhe..kite tak bawak kamere tapi bawak handphone cap kapal tu jelah..tgk org depan mcm nak kene tahan je, jadi cepat2 masuk dalam telekong ke mane2lah tempat selamat hehee

noen: pegi jgn tak pegi..mudah2an dipermudahkan

ainasha: insyaAllah mudah2an disegerekan!

kak ina: aminn mudah2an k.ina disegerekan sekeluarge ;)

Ruse Sulaiman said...

seronoknya.. semoga Allah izinkan juga jejak kaki di sini insyaAllah. Amin