18.4.12

EPISOD 14: UMRAH PERTAMA

Hari 5, Jumaat
18 Rabiul' akhir 1433H : 16 Mac 2012
Makkatul Karamah

Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Menyambung kembali catatan kembara kita di tanah-tanah haram. Ketika memasuki tanah haram, jemaah yang ketiduran di dalam bas dikejutkan apabila masuk ke tanah haram. Kita diberi sedikit penerangan dan mengaminkan doa ketika memasuki tanah haram Mekah.

Ya Allah tanah haram ini adalah tanah haramMu dan negeri ini adalah negeriMu dan keamanan ini adalah keamananMu. Maka haramkanlah aku daripada api neraka dan amankanlah aku di hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu!

Tidak lama selepas itu, kelihatan Kota Mekah. Sekali lagi, kita mengaminkan doa ketika melihat Kota Mekah. Suasana malam membataskan penglihatan ibu. Kota Mekah dihiasi dengan cahaya lampu yang berkilau. Tiba-tiba ibu teringat imej Mekah yang dirakam google. Seluruh dunia gelap tetapi di Kota Mekah Allah izinkan dilimpahi cahaya. Bayangkan Muhammad, kita berada di pusat Bumi tempat ka’bah didirikan. Sudahlah di pusat Bumi, ianya juga adalah tempat ibadat yang tidak pernah putus zaman berzaman.

Ya Allah jadikanlah negeri ini tempat yangtenang buatku, dan kurniakanlah rezeki yang halal di dalamnya, ya Tuhan kami berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkanlah kami daripada api neraka. Ya Allah negeri ini negeriMudan rumah ini rumahMu, aku dating memohon rahmatMu dan menuju ketaatan kepadaMu, dan berserah kepada perintahMu, au bermohon permohonan orang yang terdesak yang takut daripada azabMu aku harap engkau menerimaku dengan kemaafan, mengampuni dosaku dan memasukkanku ke dalam syurgaMu!

Tempat Menginap
Sampai sahaja di tempat menginap, tempat penginapan kali ini sungguh mencabar fizikal dan mental. Bukan hotel tetapi seperti apartment kecil. Ruang laluan yang sangat terhad. Lif hanya boleh memuatkan paling ramai 4 orang perempuan yang kecil dan itupun sudah sempit. Pendek kata ianya tidak seindah hotel di Madinah apatah lagi hotel di Oman. Segelintir keluhan para jemaah. Pada mulanya ibu tidak berapa berperasaan, namun setelah 6 hari berkampung di sana, ada ujian yang Allah berikan untuk hampir semua jemaah umrah kita. Kita disambut dengan makan malam di waktu tengah malam. Setiap  kelemahan pasti ada kekuatannya bukan? Walaupun tempat menginap tidak selesa namun, Allah lebihkan pada makanannya. Makanan di sana semakin lama semakin sedap. Menepati selera Asia kita kerana tempat makanan tersebut diusahakan oleh orang Indonesia. Ibu difahamkan, apartment ini juga akan dirobohkan 5 tahun kedepan sebagaimana nasib bangunan-bangunan yang ada dan digantikan dengan bangunan-bangunan baru yang canggih. Setelah makan dan menaikkan barang-barang serta mengemaskan diri, semua jemaah berkumpul semula untuk taklimat dan terus ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah pertama kami.

Latihan Berjalan
Sekali lagi, perjalanan ke Masjidil haram juga bukanlah sekejap. Apartment tersebut agak jauh dari masjid. Menurut fuang, tahun lepas mereka pergi, hotel mereka tersangat dekat dengan masjid. Keluar dan perlu jalan sedikit sahaja sudah sampai. Hotel yang menempatkan fuang tahun sudah terletak bersebelahan pasaraya Ben Dawood jika sesiapa yang pernah ke sana sebelum ini. Jika mahu dibandingkan dengan yang lepas, banyak sangat perbezaannya pada kali ini. Mungkin waktu umrah kita bertindih dengan waktu cuti persekolahan dan ditambah ketika itu malam Jumaat. Orang-orang sekitar Mekah pula sedang memulakan cuti hujung minggu mereka di Mekah. Jadi, kebanyakkan hotel penuh. Tahun sudah, fuang ke sana bukan waktu cuti persekolahan, jadi mungkin hotel-hotel yang ada tidak terhad. Ini juga dinamakan nikmat ujian. Baru sedikit sahaja latihan berjalan yang Allah berikan jika mahu dibandingkan di padang mahsyar nanti ;). Alhamdulillah cuaca pagi yang nyaman. Sejuknya mengatasi rasa penat berjalan disamping letih perjalanan.

Masjidil Haram = Ka'bah
Subhanallah! Allahuakbar! Semuanya terubat apabila terpandang Masjidil Haram. Indahnya wahai Muhammad! Kita terus berkumpul berhadapan kaabah. Ya Allah! Kau izinan kami datang berkunjung ke rumahMu! Kita berada di zon makbul doa wahai Muhammad. Antara tempat-tempat yang dimakbulkan doa adalah:

1.       Ketika mula-mula meihat ka’bah.
2.      Di dalam ka’bah (di antara hijir ismail dan ka’bah juga dikira kawasan dalam ka’bah).
3.       Di multazam (diantara hajar aswad dan pintu ka’bah)

Struktur Ka'bah. Gambar ehsan google.

Tawaf
Selepas niat di Miqat, tawaf merupakan rukun kedua yang perlu dikerjakan secara tertib. Kita bermula di Rukun Yamani sebagai jalan lebih berhati-hati kerana khuatir terlepas niat di Rukun Hajar Aswad. Semasa kursus, ustaz memberitahu supaya sentiasa menjaga kedudukan bahu supaya ianya tidak teralih dari menghadap ka’bah. Sekiranya kita berpaling dan bahu kita juga turut berpaling, maka tawaf kita dikira batal. Jangan diikut jemaah lain yang berpusing-pusing. Seperkara penting lagi semasa tawaf bagi wanita, pastikan rambut tidak terkeluar dan hanya menampakkan jari sehingga pergelangan tangan. Berhati-hatilah semasa melambai ka’bah kerana apabila terselak sedikit lengan dan menampakkan aurat, menurut ustaz dikira batal dan perlu membuat qada’ pusingan. Solusinya, perlulah memaai sarung lengan yang ketat dan tidak tertarik-tarik dipergelangan tangan. Kita juga tidak perlu bertukar mazhab. Tidak mengapa sekiranya tersentuh yang bukan mahram tetapi tawaf dikira batal andai kata kita melakukan perkara-perkara yang membatalkan solat contohnya keluar sesuatu dari depan atau belakang seperti kentut.

Rahsia Dan Hikmah Tawaf
Ibu pernah terbaca di blog lailatonie.blogspot.com berkenaan ka'bah dari sudut kajian sains yang ramai tidak ketahui. Ibu paparkan perkongsian artikel penulis blog berkenaan yang sempat ibu simpan di dalam draft sebelum ini.  Ibu cuba ke blognya, tertulis permisson denied. Artikel ini mengingatkan ibu kepada petua yang dianjurkan pengamal rki ketika memasak supaya kacau masakan mengikut arah lawan jam.

1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.

2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.

3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.

4. Graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi.

5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.

7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.

8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itu lah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.

9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.

10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.

11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. Semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.

12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Ka'abah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.

13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.

14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma(lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.

15. Selepas selesai semua itu baru lah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.

Saie
Alhamdulillah kita berjaya menamatkan 7 pusingan melawan arah jam dengan izin Allah. Muhammad didukung ayah tanpa beg carry. Muhammad juga seperti ibu yang diam tidak terkata melihat ka’bah buat kali pertamanya. Kita anak-beranak sebenarnya terpisah dari jemaah umrah yang lain. Hanya terjumpa dengan 3 orang makcik. Apabila telah agak lama menunggu di tempat yang dijanjikan, kita semua mengambil keputusan untuk meneruskan rukun umrah yang ketiga iaitu saie. Saie adalah berjalan berulang-alikk di antara bukit Safa dan Marwah sebanya tujuh kali. Safa ke Marwah dikira sekali, Marwah kembali ke Safa dikira sekali. Pada pendapat ibu, saie lebih mencabar berbanding tawaf. Jauhnya Siti Hajar berlari dahulu. Zaman sekarang sudah lengkap berbumbung dan disediakan bekalan air zam-zam dikiri kanan jalan. Sekiranya penat berhenti dan boleh minum. Kemudian barulah sambung semula tetapi zaman Siti Hajar dahulu? Memang kita tidak akan mampu mengatasi iman sahabiah zaman awwal. Habis pusingan ketiga, ibu angkat tangan menyerah. Tidak mampu meneruskan perjalanan. Sebelum berhenti lagi, ibu memang semacam kehabisan tenaga, nenek menarik tangan ibu dan meletakkan dibelakang badannya. Jadi, ibu tidak perlu berjalan, nenek tarik sambil kaki ibu terheret. Kasih seorang ibu ;). Jadi, kesudahannya ibu terlalu tidak larat walau untuk mengheret kaki. Ayah dan Muhammad juga berhenti menemani ibu dan adik yang tersangat kepenatan dalam beberapa minit sebelum manyambung semula di laluan tengah tempat orang-orang kurang upaya ;D.

Kasih seorang ayah. Ayah mengendong Muhammad bermula dari tempat menginap, tawaf, saie dan seterusnya balik ke apartment. Gambar di atas adalah kenangan ketika kita melakukan saie untuk umrah pertama. Muhammad ketiduran kerana penat perjalanan mungkin ;).

Rahsia Dan Hikmah Saie
Sejarah saie adalah tidak asing lagi buat kita. Kisah Siti Hajar dan anaknya Ismail yang ditinggalkan suaminga Nabi Ibrahim adalah atas perintah Allah. Dengan keimanan dan ketabahan Siti Hajar, Allah angkat darjatnya sehingga saie iaitu berulang alik dari Safa dan Marwah, merupakan rukun yang wajib ditunaikan di dalam haji dan umrah dan sekiranya tertinggal ruun ini, ibadat haji dan umrah adalah tidak sah. Hikmah yang Allah sembunyikan adalah pembukaan Kota Mekah iaitu terbinanya Ka'bah dan keluarnya air zam-zam dari perut bumi. Canti bukan perancangan Allah? Di sini, Allah tunjukkan kepada kita bahawa wanita itu tinggi darjatnya dan martabatnya adalah dengan agamanya. Tanpa agama, hilanglah seri dan maruah seorang wanita. Siti Hajar adalah tokoh wanita pilihan Allah yang dimuliakan atas ketaatannya kepada Allah dan kebergantungannya hanya dan kerana Allah. Selain itu, hikmah berlari-lari anak di tempat-tempat tertentu ketika saie (sekarang ada lampu hijau menandakan tempat lari-lari anak) menggambarkan keadaan manusia di padang mahsyar yang berlari-lari anak meringankan bebanan untuk mendapatkan syafaat Nabi-Nabi.

Tahallul Dan Hikmahnya
Sebagai mengakhiri rukun keempat umrah setelah berjaya menamatkan rukun ketiga, saie itu tadi, kita bergunting di bukit Marwah. Umrah kali pertama ini, ayah dan Muhammad hanya menggunting sahaja. Alhamdulillah umrah yang seterusnya, Muhammad dan ayah bercukur botak. Ibu rasa rugi andai tidak membotakkan Muhammad kerana rambut-rambut Muhammad itu nanti akan menjadi saksi yang Muhammad pernah menunaikan umrah insyaAllah. Ini adalah botak kali kedua buat Muhammad selepas dicukur licin sebelum dinilaikan dengan emas pada hari ketujuh kelahiran Muhammad. Melalui pembacaan ibu, hikmah dibotakkan kepala adalah simbolik membuang kotoran dosa. Ini adalah adakala rambut menjadi sumber penyakit ataupun kotoran. Dengan bercukur, kepala akan terasa lebih sihat, ringan dan segar. InsyaAllah Muhammad juga akan dicukur botak pada masa-masa tertentu dengan izin Allah pastinya ;).

Setelah berkira-kira, ramai jemaah yang mahu pulang ke bilik dahulu untuk mengemas diri dan akan kembali menunaikan solat fardhu subuh yang tidak berapa lama kerana umrah kita tamat sekitar jam 330 pagi. Subuh di Saudi pula lebih kurang jam 5 pagi. Hanya sempat berehat dan mengemas diri sebentar sahaja. InsyaAllah ibu kembali mencatat kembara kita di episod akan datang insyaAllah pasti dengan izin Allah!

4 comments:

Ibu Yusuf Maryam said...

Salah.. siti hajar..

Ibu Yusuf Maryam said...

Haha.. gara2 komen sambil dgr budak cantik nangis.. yg td tak yah publish ye.. :D

Ruse Sulaiman said...

bertuahnya Muhammad dan adik dalam kandungan ummi.

Nanti saya buat entri tentang portable DVD player tu atau saya cuma edit yang lama.

IntaNBerliaN said...

thanks kongsi pasal kaabah tu.. br sy tau...