14.4.12

EPISOD 11: JANNATUL BAQI'

Hari 3, Rabu
16 Rabiul' akhir 1433H : 14 Mac 2012
Madinatul Munawwarah

Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Kembali mencatat kembara kita di tanah-tanah haram. Walaupun hampir sebulan ianya berlalu, namun suara ibu masih tertinggal di sana :). Batuk yang masih setia menemani hingga ke hari ini. Bukan kita sekeluarga sahaja, ianya juga berlaku kepada jemaah umrah kita yang lain. Ada yang baru keluar hospital pakar akibat semput yang agak teruk, masih ada yang tidak larat dan suara hilang seperti ibu dan pelbagai macam lagi bahagian masing-masing. Mudah-mudahan ianya merupakan sebahagian tanda kasih sayang Allah buat kita sebagai kaffarah dosa-dosa yang telah ibu lakukan.

Orang Arab Mula Cuti
Hari ziarah yang sangat padat. Setelah ziarah ke beberapa tempat bersejarah pada watu pagi, mengendong Muhammad yang punya berat lebih 10kg dan pada malamnya pula selepas isya', kita kembali semula ke Masjid Nabawi untuk melihat taman syurga (raudhah). Malam tersebut adalah malam Khamis yang mana kita difahamkan oleh Ustaz Amin, malam yang orang semakin ramai kerana orang Arab bercuti hujung minggu dan kebiasaannya mereka yang berada di daerah berdekatan akan menghabiskan masa di Masjid Nabawi ini. Seronoknya mereka! Bila-bila masa sahaja boleh bertemu Rasulullah SAW!

Ziarah Dalamam Di Malam Hari
Kita hanya dibawa diluar masjid yang menampakkan kubah berwarna hijau yang mana disitulah terletaknya makam Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar serta raudhah iaitu taman syurga yang dijanjikan Allah. Ibu masih tidak mampu menggambarkan imej sebenar raudhah dan sekitar makam Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat. Digambarkan seolah-olah begitu sukar untuk menembusi raudhah dan bertemu Rasulullah SAW dan yang terpenting kita sudah tidak punya masa lagi. Hanya tinggal esok. Selepas Zohor keesokkan harinya, kita akan meninggalkan Rasulullah SAW untuk menuju ke rumah Allah. Secara fizikal, ibu teramat letih. Letih seorang ibu hamil mungkin. Secara spritural, ibu masih belum menyerah kalah untuk ke Raudhah keesokkan harinya.

Jannatul Baqi'
Jannatul Baqi' atau perkuburan baqi' terletak begitu hampir dengan Masjid Nabawi. Kita boleh memandangnya dari tempat kita berdiri memerhatikan kubah hijau diperkarangan masjid itu tadi. Namun ianya telah berpagar dan ada masa-masa tertentu yang dibenarkan untuk masuk. Jadi, kita tidak nampak deretan batu-batu sebagai nesan yang tersusun kemas kecuali ketika menaiki bas menuju ke Mekah keesokkan harinya. Kita dapat melihat dengan jelas luas dan tenangnya ahli syurga di Jannatul Baqi'. Jannatul Baqi' terletak ke arah timur Madinah dan terletak di pinggir bandar. Ianya merupakan kawasan perkuburan ahli-ahli Madinah sejak zaman Rasulullah SAW hingga sekarang. Kebanyakkan dari isteri-isteri Nabi (ummahatul mukminin) dan putera-puteri Rasulullah SAW disemadikan di sini. Begitu juga sebahagian besar sahabat-sahabat ra juga dikebumikan di sini. Seperkara yang menarik perhatian ibu, setiap waktu selepas solat, akan ada solat jenazah. Maknanya, setiap masa ada sahaja kematian dan semestinya beruntunglah mereka yang mati di Madinah. Mereka disolatkan beribu jemaah dan ditempatkan di tanah haram Rasulullah SAW. Kelak mereka antara orang-orang beruntung yang akan dibangitkan bersama-sama Rasulullah SAW. Allahuakbar! Seronoknya wahai Muhamamd. Patutlah manusia yang kita kasihi kerana Allah itu sentiasa berdoa untuk dimatikan di Madinah, dekat dengan Rasulullah SAW. Ibu pun mahu juga!

Ini gambar ehsan google. Kita hanya ada rakaman hati sahaja ;).

Semangat Dalam Penat
Setelah sesi penerangan oleh Ustaz Amin, beliau membacakan doa untuk Rasulullah SAW dan para sahabat serta doa untuk alhul Jannatul Baqi'. Sepanjang sesi penerangan, ibu hanya mampu duduk memadangkan  ibu keletihan ditahap kritikal. Ibu tidak mampu berdiri lagi. Sepanjang perjalanan dari hotel ke Masjid Nabawi ketika itu juga ibu tidak pasti, semangat dari manakah yang membuatkan ibu mampu mengheret kaki ibu mengikuti ziarah dalaman pada malam itu. Hanya berbelas orang jemaah umrah sahaja yang mengikuti ziarah dalaman pada malam itu. Pasti mereka yang tidak sama ikut, letih ditahap melebihi maksimum. Walau bagaimanapiun, bait-bait doa yang dibacakan Ustaz Amin begitu meruntun jiwa walau dalam kepenatan yang nyata. Antaranya adalah doa untuk para Jannatul Baqi'.

Kesejahteraan ke atas wahai tempat tinggal orang-orang yang beriman,
Sesungguhnya kami akan mengikutimu,
Kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikuti kamu,
Mudah-mudahan Allah akan mengampunkan kami dan kamu,
Dan mengasihi mereka yang terlebih dahulu meninggal dunia dan mereka yang terkemudian.

Ya Allah janganlah Engkau kecewakan kami daripada mendapat pahala amalan mereka,
Dan janganlah Engkau fitnahkan kami selepas mereka,
Ampunilah dosa kami dan dosa mereka serta ampunilah dosa ahli Baqi' Al-Gharqadi!

InsyaAllah ibu kembali mencatat strategi menembusi Raudhah berdasarkan pengalaman ibu dan juga pengalaman-pengalaman kawan-kawan ibu yang telah dulu sampai di sana disamping pengalaman-pengalaman mereka di sekitar kita. Semoga ianya ada manfaat sebagai cetusan ilham untuk tetamu Allah yang bakal dipanggil ke sana supaya dapat berlama-lamaan di sana kerana adanya persediaan mental yang kuat dipermulaan insyaAllah. Ibu kembali mencatat pengalaman berharga Muhammad di taman syurga yang pada ibu, Muhammad lebih bertuah dan beruntung jika dibandingkan ibu. Semoga Allah sentiasa kasih dan sayang buat mujahid-mujahiddah ibu. InsyaAllah ibu kembali mencatat perihal taman syurga dunia idaman kita semua insyaAllah pasti dengan izin Allah!

2 comments:

Ibu Yusuf Maryam said...

Subhanallah.. berdasarkan catatan UM ini, benarlah kekuatan dalaman adalah penyokong kepada kelemahan luaran..

ps: itu nasihat yg ibu Yusuf selalu berikan kpd klien2nya..

@LeenShamsh said...

belajar dari kak zefalah! semangat mesti kental! pekakakan ape orang nak kate ;)