3.5.12

EPISOD 23: IMAGINASI HAJI

Hari 8, Isnin
21 Rabiul' akhir 1433H : 19 Mac 2012
Arafah-Muzdalifah-Mina, Makkatul Karamah

Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul :)
Imaginasi haji? :) Alhamdulillah walaupun permintaan mengerjakan haji diusia muda masih belum menjadi takdir kita, namun Allah itu Maha Penyayang. Belum haji namun Allah sudah memberi nikmat melihat sendiri tempat-tempat yang menjadi syarat wajib haji antaranya Muzdalifah, Mina dan juga tempat monumen simbolik cinta Adam dan Hawa iaitu di Jabal Rahmah yang terletak di Arafah. Tempat pertama yang kita tuju untuk ziarah sesi kedua kali ini adalah Jabal Rahmah yang  terletak dibahagian timur padang Arafah.

Arafah
Arafah adalah sebuah padang pasir yang terletak kira-kira 25km dari sebelah timur luar kota Mekah. Di sinilah ummat islam menunaikan rukun wukuf pada musim haji. Pada hari-hari biasa padang pasir ini tiada penghuni. Sepanjang perjalanan ziarah kedua kali ini, padang pasir di sana telah ada tumbuhan-tumbuhan hijau. Ajaib bukan? Ini kerana bersebelahan pokok-pokok berkenaan terdapat pili paip yang mana airnya sentiasa mengalir ;). Awas! semasa berihram dilarang sama sekali memetik daun mahupun mematahkan dahan kayunya dan jika melakukannya, damlah jawabnya. Kita juga berpeluang menyaksikan pembinaan moneral yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020 yang mana ianya akan menghubungkan kota Mekah, Arafah, Mina dan Muzdalifah. Mengikut rancangan kerajaan Saudi, 4 landasan moneral akan dibina dan dijangka menelah belanja 7 bilion riyal saudi atau RM7 bilion.

Jabal Rahmah- Doa Bertemu Jodoh
Menurut mutawwif, jabal bererti gunung atau bukit manakalah rahmah ialah kasih sayang. Bukit kasih sayang. Ini kerana menurut riwayat, setelah 40 tahun Adam dan Hawa diturunkan ke bumi, Allah telah mempertemukan mereka di atas bukit ini. Terdapat 168 anak tangga untuk naik ke puncaknya. Puncaknya terdapat tiang bersegi empat yang berukuran 8 meter tinggi dan 1.8 meter lebar pada setiap sisinya. Puncaknya cukup luas serta dikelilingi oleh dinding yang mempunyai ketinggian 57 cm. Menurut mutawwif lagi, jabal rahmah adalah tempat berdoa untuk jodoh. Ianya tiada dalam hadis pun untuk mengesahkan kesahihannya. Mutawwif yang ibu lupa namanya sempat berseloroh yang mana apabila suaminya berdoa dengan bahasa arab untuk berkahwin dua dan isterinya yang tidak pandai bahasa arab hanya mengaminkan tanpa tahu isi doa suaminya. Sebelum balik dari umrah, tahu-tahu si isteri telah dimadukan sebab istei pertama yang telah memberi keizinan dangan doanya tadi di jabal rahmah :). Jemaah lelaki memang sukalah apabila gurauan melibatkan fitrahnya termasuklah pakcik-pakcik dalam bas kita di sana ;). Jabal rahmah menjadi bukti dari kasih sayang Allah kepada hambaNya yang bertaubat setelah memberikan hukuman sekian lama atas kesalahan yang dilakukan. Adam bertaubat sepanjang hidupnya sehingga Allah mengabulkan permohonan dan permintaannya untuk dipertemukan dengan Hawa.

Monumen simbolik cinta Adam dan Hawa. Kota Cinta Kita (ala-ala Kota Paris ;).

Istikhorah
Muhammad masih ingat 2 orang adik-beradik yang sangat suka menyakat Muhammad kerana gemar melihat Muhammad malu-malu? ;) Suami si kakak, seorang navy dan tidak diizinkan untuk ikut serta dalam umrah ini.  Kakak pula sedang hamil yang mana anak sulungnya insyaAllah sebaya dengan adik Muhammad. Jadi, tidaklah dia larat sebagaimana ibu untuk mendaki si bukit kasih sayang ini. Si adik yang 20 tahun itu pula ada hajat berserta ibunya merupakan ibu tunggal di Jabal Rahmah ini. Paling kelakar apabila si adik yang kita panggil angah dan ibunya, mendaki Jabal Rahmah tanpa menaiki tangga kerana tidak ingat akan tangga walhal ibunya sudah beberapa kali menunaikan umrah. Gelak ibu mendengar cerita si dua beranak ini. Ibu sempat juga menyuruh angah membuat solat istikhorah dan bukan semua solat istikhorah itu alamatnya dalam bentuk mimpi. Kadang-kadang Allah membei ketenangan dalam pemilihan kita. Ibu juga seorang yang tidak pandai membuat keputusan. Jadi, insyaAllah istikhorahlah solusinya. Ibu memberi gambaran kepadanya, boleh jadi orang itu tidak sesuai dengan kita dan dengan asbab istikhorah, Allah menzahirkan segala ketidak suaiannya berdamping dengan kita. Banyak perlakuan-perlakuannya yang membuatkan kita semakin tawar hati dan menunjukkan dirinya yang sebenar. Boleh jadi pula, banyak perlakuan baik dia yang disorokkannya, terbongkar dan ianya cukup melapangkan hati. InsyaAllah hamba bertanya meminta kepastian, pasti Allah bantu merungkai kebuntuan. Percayalah hanya kepada keputusan Allah insyaAllah!

Stokin, Kasut Kait Murah
Sekali lagi, kita tidak mendaki bukit kasih sayang ini termasuk ayah kerana ibu dan Muhammad lebih utama untuk dijaga keselematannya. Kita terlepas melihat hamparan Arafah dari puncak jabal rahmah. InsyaAllah ada rezeki lagi pasti kita akan ke sana lagi ;). Kita hanya berjalan-jalan di kaki jabal rahmah sahaja untuk merakam kenangan. Di kaki bukit ini juga terdapat banyak penjaja yang menjual sepertimana di sepanjang jalan ke masjidil haram. Ibu tertarik dengan stokin kait yang tidak pernah ibu jumpa di Madinah mahupun kota Mekah. Ibu sempat membeli 4 pasang stokin kait dengan tujuan dipakai semasa berpantang nanti dengan harga 5 riyal setiap pasang. Ibu juga sempat membeli stokin yang umpama kasut yang juga berkait sebanyak 2 pasang yang berharga 15 riyal jika ibu tidak salah ingat. Harga di Malaysia ibu pasti, pastinya berbelas ringgit mahupun berpuluh ringgit sepasang. Namun, sampai sahaja dirumah nenek, kakak-kakak ibu yang sama sukakannya mengambil seorang satu. Cantik katanya ;). Kita juga membeli kurma bagi menampung kurma-kurma yang sedia ada yang dibeli di Madinah sebelum ini.

Stokin kait yang tinggal untuk ibu berpantang.

Caj Foto Mahal
Sebelum turun bas, mutawwif telah mengingatkan supaya berhati-hati dengan peniaga gambar jalanan yang mana mereka menjual foto yang mereka ambil dengan kamera mereka sendiri dengan harga yang agak mahal. Ada juga unta yang disediakan untuk bergambar. Harga sekeping foto yang menggunakan kamera mereka adalah berbelas riyal jika ibu tidak silap manakala upah untuk mereka mengambilkan foto menggunakan kamera kita sendiri, mencecah 5 riyal menurut mutawwif. Jadi, semua jemaah turun dari bas dengan pilihan sendiri. Kita pula seperti biasa hanya menggunakan kamera handphone cap kapal layar kita dengan meminta bantuan seorang pakcik dari kalangan jemaah umrah kita.

Muzdalifah
Kemudian, kita dibawa menyusuri jalan-jalan di Musdalifah dan Mina serta tempat melontar jamrah. Semuanya dari bas sahaja asbab kesuntukkan masa mungkin. Tenaga ibu pula semakin merundum. Badan mula untuk suam-suam ketika ini. Letih ibu hamil mungkin ;). Nama Muzdalifah diambil sempena manusia yang berkunjung ke sana pada permulaan malam ataupun tengah malam dan mereka semua akan keluar secara serentak menuju ke Mina. Para jemaah haji digalakkan dengan ibadat-ibadat seperti zikir, takbir dan tahlil mengtauhidkan Allah. Pendek kata muzdalifah adalah tempat bermalam jemaah haji dari Arafah menuju ke Mina. Di sinilah jemaah digalakkan mengambil batu-batu kerikil pada malam 10 zulhijjah untuk melontar jamrah di Mina nanti.

Muzdalifah. Foto ehsan google disini.

Tentera Bergajah Abrahah
Ada peristiwa penting berlaku di Muzdalifah iaitu pada tahun 570M, tentera bergajah Abrahah yang datang dari Yaman ingin menghancurkan masjidil haram di Mekah telah dihancurkan oleh sepasukan burung yang diutus Allah untuk menghancurkan tentera bergajah. Setiap burung membawa 3 biji batu. Satu di paruhnya manakala 2 yang lain berada di kakinya. Tentera bergajah dikalahkan dengan sepasukan burung membawa batu yang kemas terakam di dalam surah Al-Fil ayat 1-5.

1. Apakah kamu tidak melihat apakah yang Allah lakukan terhadap tentera bergajah?
2. Allah menjadikan pekerjaan mereka itu sebagai sia-sia.
3. Dan Allah mengirimkan kepada mereka burung ababil yang berbondong-bondong.
4. Kemudian Melontarkan mereka dengan batu panas yang berasal dari sijjil.
5. Lalu jadilah mereka seperti daun yang dimakan ulat.

Asbab peristiwa ini kita disunatkan mengutip 7 biji batu untuk melontar Jamrah Aqabah pada siang 10 zulhijjah tetapi jemaah haji selalu dinasihatkan untuk mengutip 70 biji batu untuk persediaan awal 11, 12 dan 13 Zulhijjah nanti kerana kita difahamkan agak payah untuk mencari batu di Mina nanti.

Mina
Di Mina, jemaah haji akan melontar Jamrah Qubra (wajib haji) pada siang 10 Zulhijjah dan selepas itu mereka bercukur atau bergunting rambut (rukun haji) untuk tahallul awal. Selepas itu, jemaah lelaki sudah keluar dari ihram dan boleh memakai pakaian selain pakaian ihram. Mereka akan tinggal di Mina ini selama 3 hari lagi untuk bermabit dan melontar ketiga-tiga jamrah pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Selama di sini mereka digalakkan menyembelih binatang qurban, membaca al-Qura, berzikir, melakukan solat-solat sunat dan sebagainya. Kebiasaannya menyambutnya sebagai Hari Raya Qurban atau Aidiladha. Tempat ini dinamakan Mina kerana banyak darah korban yang ditumpahkan di sini.

Khemah kalis api di Mina.

Miqat Ji'ranah
Sebenarnya, ziarah kali ini ibu amat letih dan kebanyakkannya mata ibu hanya mampu terpejam. Sekali lagi kita tidak singgah di Masjid Ji'ranah ini untuk niat dan solat sunah ihram. Ji'ranah meupakan miqat umrah paling afdal di Mekah kerana sirah menunjukkan Rasulullah SAW berniat ihram di sini selepas Ghazwah (peperangan) Hunain yang berlaku antara tentera Islam dan kaun Hawazin dan Tsaqif. Rasulullah SAW berkhemah di sini untuk membahagikan harta rampasan perang.  Peperangan Hunain ini Allah rakamkan di dalam Suat At-Taubah ayat 25-26. 

25. Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai orang-orang mu'minin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, yaitu ketika kamu menjadi congkak kerana banyaknya jumlahmu,maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dan bercerai-berai.

26. Kemudian Allah memberi ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah telah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikian pembalasas kepada orang-orang yang kafir.

Menurut pembacaan ibu, Ji'ranah adalah nama seorang perempuan yang dungu dari kaum Bani Tim yang telah memasukkan racun ke dalam perigi di situ. Lalu, Baginda Rasulullah SAW telah meludah ke dalam perigi tersebut sebagai penawar kepada racun yang dimasukkan oleh Ji'ranah. Dengan kuasa Allah asbab ludahan Baginda, air perigi tersebut dapat menyembuhkan pelbagai penyakit bagi peminumnya. Malangnya, tiada lagi perigi tersebut pada hari ini kerana kerajaan Saudi bimbang perkara tersebut menjadi khurafat. Wallahua'lam.

Masjid Ji'ranah. Foto ehsan google disini.

Alhamdulillah seperti biasa, kita sampai di apartmen sebelum Zohor bagi memudahkan jemaah yang ingin menunaikan umrah supaya siap sebelum Zohor. Sepanjang perjalanan balik, mutawwif ada menunjukkan beberapa tempat sejarah lainnya antaranya Jabal Nur iaitu tempat turunnya wahyu pertama, Al-'Alaq: 1-5, perkuburan ma'ala yang menempatkan ummul mukminin, Siti Khadijah ra, isteri pertama Rasululah SAW yang melahirkan zuriat Rasulullah SAW seramai 6 orang dari 7 orang anak Rasulullah SAW keseluruhannya serta banyak lagi yang ibu tidak mampu rakam dengan baik lagi ketika itu asbab keletihan yang teramat sangat. Waktu Zohor pula, ibu, Muhammad dan adik tidak ke masjid. Hanya ayah sahaja. Kita ke masjid pada waktu Asar. InsyaAllah ibu kembali mencatat KEMBARA CINTA AGUNG kita untuk episod seterusnya insyaAllah pasti dengan izin Allah!

5 comments:

NoEn said...

seronoknya baca...

p/s: cantik nya stokin kait tu.. (tetiba teringin nk belajar mengait) kehkeh

Ibu Yusuf Maryam said...

Comel setokin tu (jgn mara arr, panjang2 yng di tulis stokin juga yg nak dikomen.. hehe..)

ps: kebetulan pula kak zefa ada hobi baru, mengait. Tapi baru pandai buat tali air.. huhuh..

@LeenShamsh said...

hahah bertuah punye noen dan kak zefa..tapi memang best pun stokin nih..lembut je..

p/s: kite tak bolehlah nak mengait..try buat sarung bunge telur kawan kawen dulu..krem rase jari2 sume..heheh

IntaNBerliaN said...

stokin kait tu mmg cantik!! :-)

@LeenShamsh said...

haha ni lagi sorang yang berkenan dgn stokin kait hehe