7.5.12

EPISOD 26: TAWAF WIDA'

Hari 10, Rabu
23 Rabiul' akhir 1433H : 21 Mac 2012
Makkah - Jeddah

Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Masa memang terlalu mencemburui kita. 10 hari yang terasa sangat padat dan cepat. Kita telah pun berada di penghujung KEMBARA CINTA AGUNG kita. Banyak lagi tempat yang sepatutnya diziarahi kita, namun Allah Maha Tahu kenapa kita tidak sampai di tempat-tempat tersebut. Alhamdulillah hanya sehari ibu demam dan kita ke Masjidil Haram buat kali terakhirnya ketika pergi menunaikan fardhu Asar dan melakukan tawaf wida' kemudiannya.

Tawaf Wida'
Tawaf Wida' adalah tawaf perpisahan yang wajib kita lakukan untuk meninggalkan Mekah sebelum berlepas pulang ke tanahair kita. Para jemaah umrah disuruh untuk siap berkemas dan pergi ke Masjidil Haram untuk tawaf wida'. Selepas selesai membuat tawaf wida' dan berdoa di multazam (berhadapan pintu ka'bah sekiranya diberi kesempatan), para jemaah tidak boleh lagi membuat sebarang jual beli dan beberapa perkara lain. Maksudnya di sini, selepas tawaf wida', afdalnya kita akan terus keluar dari tanah haram.

Semua Mahu Tinggal Di Tanah Haram
Semasa melakukan tawaf wida', Muhammad ketiduran di dalam carrier bag yang dikendong ayah. Ada kain pelekat yang ayah gunakan untuk solat, ayah lipat dan lapikkan didada ayah sebagai bantal buat Muhammad. Kita pun mengelilingi ka'bah buat kali terakhirnya. Ibu hanya zikir pendek. Selebihnya ibu yang memegang hujung baju ayah, hanya melepas pandangan sayu ke arah ka'bah. Ya Allah mudahkan kami untuk ke sini dalam masa terdekat untuk haji diusia muda pula T_T. Sebaik menamatkan pusingan terakhir dan kita bergerak keluar dari laluan tawaf, ibu terasa seperti melanggar sesuatu benda yang lembut di kaki ibu. Begitu juga ayah. Rupa-rupanya yang lembut itu adalah kain pelekat ayah ;). Kain pelekat ayah juga mahu tinggal di sana sebagaimana stroller dan sandal ibu ayah sebelum ini ;). Pendek kata semua kenangan di tanah haram yang Allah pinjamkan diambilNya semula. Semuanya tidak mahu berpisah dengan tanah haram. Sayu bukan kerana harganya, tetapi nilai sentimentalnya yang begitu tinggi. Hanya Allah Maha Tahu kenapa wahai anak ;).

Bas Lewat
Bas sepatutnya sampai selepas semua jemaah umrah menamatkan tawaf wida'nya. Namun, ianya muncul selepas maghrib. Ada sedikit kekeliruan para jemaah di sini. Pada perancangan awal, kita akan solat jamak sahaja di lapangan terbang jeddah nanti, namun disebabkan kita belum keluar kawasan atau lebih tepatnya, masih berada diperkarangan apartment, ramai juga yang serba salah mahu solat dulu atau tidak sehingga ditegur banyak kali oleh pemilik hotel. Ibu terjemahkan bahasa arabnya mengikut kefahaman ibu. Tawaf adalah sunnah Rasulullah, solat adalah wajib untuk Allah. Lebih kurang begitulah. Si pemilik mahu menyampaikan yang solat itu wajib berbanding tawaf. Jemaah umrah kita difahamkan apabila sudah tawaf wida', maka tiada solat lagi selepas itu di tanah haram. Bagi yang faham, mereka akan solat maghrib seperti biasa sahaja. Kesukaran ketika ini adalah tempat solat. Ibu dan beberapa jemaah umrah yang lain solat di tempat makan apartment dengan membentangkan plastik hitam (plastik sampah yang besar) sebagai sejadah. Jemaah lelaki pula berjemaah di surau. Surau berdekatan tiada tempat solat wanita.

Dihalau Cleaner
Bas berkenaan sampai sebaik sahaja jemaah menghabiskan solat maghrib dan kita keluar dai tanah haram sebelum isyak. Jadi, jemaah bolehlah qasar iaitu memendekkan waktu isyak menjadi 2 rakaat. Perjalanan dari Mekah ke Jeddah hanya memakan masa sejam lebih sahaja. Jadual penerbangan kita adalah pada jam 240 pagi waktu saudi. Di sana setelah semua bagasi siap diurus, semua jemaah pergi ke suraunya untuk menunaikan solat isyak pula. Di tempat wuduknya juga sekali lagi kebanyakkan para jemaah diuji. Kali ini kami sering dimarahi cleaner yang begitu takut tandas dan tempat wuduk yang dalam jagaan mereka kotor. Ada yang dihalau dari tandas dan tempat wuduk di bahagian surau ketika sedang berwuduk kerana cleaner mahu membersihkannya termasuklah ibu. Sabar sahajalah.

Tidak Membeli-Belah
Wang saudi kita masih berbaki banyak. Di Mekah mahupun Madinah, kita tidak membeli belah. Ibu ayah hanya ada RM 2 ribu sahaja sebagai duit poket kita anak beranak dan persediaan untuk tokwan yang ditaja sepenuhnya oleh ibu dan ayah. Hadiah istimewa untuknya ;). Di Mekah, ayah sempat membeli beberapa helai jubah labuh yang berharga 10-15 riyal sehelai. Ibu pula hanya sekadar membeli stokin kait dan cenderahati buat adik-beradik ibu. Muhammad dan adik juga tiada apa-apa yang ayah dan ibu belikan. Cuma tokwan ada membelikan sepupu Muhammad di kampung ayah tetapi jubahnya terlalu kecil. Jadi, tokwan membeli yang baru untuk cucunya itu dan jubah seluar yang kecil itu rezeki Muhammad. Kebanyakkan wang kita habis untuk membeli makan di sana :). Fuang pula hanya berhabis RM300 sahaja. Nenek juga tidak membeli-belah dan banyak berbelanja makanan yang untuk dimakan setelah balik dari Masjid. Ada sahaja menu barunya ketika sampai di apartment yang kita juga akan merasa roti-roti berlainan rasa.

Kopi Dan Jam
Jadi, buat kali pertamanya ibu dan ayah membeli kopi panas yang mahal untuk menghabiskan baki wang tersebut. Secawan 7 atau 12 riyal. Ibu tidak berapa pasti. Muhammad sedang tidur ketika ini setelah kenyang makan bekalan makanan yang disediakan travel agensi sebaik turun bas. Kemudian, kita berjalan di sekitar kedai berdekatan di balai berlepas dan ayah berkenan dengan jam digital yang akan berbunyi ketika masuk waktu solat. Ayah sudah berminat sejak di Mekah lagi. Jadi, dengan baki wang tadi kita tambah RM5 untuk mencukupkan harganya SR165 jika ibu tidak silap. Tidak lama selepas itu, kita beratur untuk berlepas ke Oman pula.

Jam tangan alfajr.com. Jenis jam sebegini sesuai untuk riadhah.

Perjalanan dari Jeddah menuju ke Oman memakan masa selama 2 jam setengah. Ibu tamatkan catatkan ibu di sini dahulu. InsyaAllah ibu menyambung semula kembara hari ke 11 kita dari Jeddah ke Oman untuk transit beberapa jam. Di sinilah segala-galanya bermula ;). InysaAllah ibu kembali mencatat pasti dengan izin Allah!

7 comments:

Ibu Yusuf Maryam said...

Baaru nak tanya, agak2 duit poket bawa berapa? Terjawab dah dalam entry ni.. :D

ps: pakej termasuk makan minum tak?

FADLUL & FIFAH said...

kain pelikat yg terjatuh tu tak boleh ambil balik ke?

@LeenShamsh said...

kak zefa: bawak 2ribu..sampai rumah ade baki 7,8 ratus tak silap..seribu lebihlah habis..mase kat madinah takut2 nak beli kurme byk2 mengenangkan kalau terkena dam nak cari mane lagi heheh

p/s: ha'ah masuk makan 3x sehari..lepas subuh, lepas zohor dan lepas isyak..makan insyaAllah sedap dan kenyang ;) sebab tu nenek kite abes 300 ratus je..beli kurme kismis je..mak pulak kerjenye asyik cube menu roti arab yg pelbagai setiap kali balik masjid..huhu tekakku tak pandai makan roti org arab ;)

kak zefa gaye2 mcm nak dekat je ni? mudah2an ye kak ;)

@LeenShamsh said...

dah jauh baru perasan tu kain pelekat..nak ambik kene tawaf semulelah..kalau tak melawan arus..kalau perasan awal boleh je bongkok kejap ambek sebab sebelum ni ade jugak bende yg jatuh, kalau tak silap kantung selipar..perasan cepat2 ambek..

FADLUL & FIFAH said...

ow...cmtu..br faham...ingatkan mmg tak boleh tunduk masa tawaf...huhu

IntaNBerliaN said...

tersentuh plak baca yg pasal semua nak tinggal di sana tu..

@LeenShamsh said...

fifah: mungkin mase haji..mcm umrah ni ade lompong2 lagi...boleh je tunduk cume yg bahayenye kat sini bile orang2 arab yang melintang jalan pegang tangan..kadg die rempuh je kite..same dgn yg naik wheel chair..dieorang langgar je kaki kite suruh tepi..nasib baik sket, makcik yang atas wheel chair tu kalau pegang tongkat..die libas sket betis kite..mcm2 ade ;D

intan: semuanye dalam kenangan ;)