8.5.12

EPISOD 27: JEDDAH - OMAN - MALAYSIA

Hari 11 & 12, Khamis & Jumaat
24-25 Rabiul' akhir 1433H : 22-23 Mac 2012
Jeddah - Oman -Malaysia

Muhammad & adik hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Kita tiba di airport Oman sesudah subuh. Maknanya, kita perlu qada' waktu subuh dan ibu ayah ada solat menghormati waktu ketika Subuh di udara. Dalam perjalanan dari Jeddah ke Oman, ibu tidak berapa ingat bagaimana keadaan Muhammad. Namun apa yang pasti, badan Muhammad mula panas di airport Oman.

Tidak Mungkin Terlupakan
Satu yang paling ibu ingat dan tidak mungkin akan lupa selagi Allah masih mengurniakan ibu ingatan, Muhammad sangat kelaparan ketika itu. Ibu dan ayah segera menukar wang RM100. Tiada nasi putih, yang ada cuma nasi beriyani. Ayah dan ibu beralih pula di kedai kopi eksklusif yang mana di sana ada dijual roti-roti pelbagai jenis. Namun, ibu dan ayah merasa begitu hampa kerana Muhammad hanya menjamah sedikit sahaja. Bayangkanlah, sudahlah susu ibu tidak banyak atau mungkin tiada langsung pun, makan pula tidak mahu, ditambah lagi tahap kesihatan Muhammad yang sudah suam-suam panasnya.

Tidak Sanggup Menceraikan Susu
Sebelum kita bertolak umrah lagi, pada pendapat ayah, eloklah ibu ceraikan Muhammad dari susu badan memandangkan ianya tidak mengenyangkan malah kesakitan ketika Muhammad menyusu mungkin asbab tiadanya susu. Cuma, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya ibu untuk berdepan dengan kenyataan yang Muhammad perlu diceraikan dari susu badan. Ibu masih ingat Muhammad meraung di apartment di Mekah ketika semua orang sedang tidur. Hampir sejam sehingga tetidur sendiri. Namun ianya bukan yang terakhir kalinya. Apabila Muhammad menyusu sekalipun, Muhammad akan segea melepaskannya kerana mungkin tiada susu T_T. Ah! Sukarnya ibu menerima kenyataan yang satu ini.

Kritikal Momen
Kita berlepas dari Oman menuju ke KLIA setelah jamak qasar Zohor Asar. Sepanjang perjalanan 6,7 jam itu, Muhammad merengek, meraung dan pelbagai lagi yang pastinya mengganggu ketenteraman penumpang lain. Muhammad tersangat lapar. Memang sangat kasihan dan ianya merupakan kritikal momen buat ibu. Mahu atau tidak, ibu terpaksa juga menyusukan Muhamamd walaupun ibu tahu susu ibu tidak cukup malah mungkin tiada langsung T_T. Muhammad tidur sekejap dan bangun lagi untuk menangis dan meraung. Begitulah momen yang paling ibu tidak mungkin terlupakan. Terima kasih kepada pramugari dan pramugara Oman Airways yang sentiasa bertanya keperluan kita. Mereka membawakan nasi putih berlauk yang dihangatkan lebih awal dari masanya semata-mata memenuhi permintaan kami kerana Muhammad memang tersangat lapar T_T. Malangnya, Muhammad tidak mahu makan juga dan teruskan merengek mungkin asbab perut yang sudah masuk angin.

Naluri Keibuan
Semasa mengemas beg sebelum berangkat menunaikan umrah, hati kecil ibu sudah berbunyi supaya ibu membawa susu kambing karihome yang Muhammad tidak mahu langsung itu berserta botol susu. Namun, ibu melawan gerakkan hati ibu dangan mengatakan Muhammad tidak mahu susu tesebut dan tiada guna ibu memberatkan bagasi kita. Kebiasaannya sekiranya ibu mendapat lintasan sebegini, ibu perlu juga langsaikannya kerana apabila hari maju ke depan, ianya insyaAllah pasti ada gunanya. Apabila difikir semula, insyaAllah sekiranya ditakdirkan ibu membawa susu berkenaan, Muhammad insyaAllah terpaksa juga meminumnya asbab lapar keterlaluan. Namun, perancangan Allah itu Maha Hebat. Ini sebahagian ingatan buat ibu supaya lebih sensitif insyaAllah!

Udara Tidak Sihat
Udara di dalam kapal terbang sangat tidak bersih. Semua orang batuk bersahutan temasuklah ibu. Rata-rata jemaah kelihatan tersangat 'lepak'. Nenek pula sudah mula tidak sihat dan kelihatan lesu di kerusinya. Masing-masing dengan ujian yang tersendiri. Sampai sahaja di KLIA dan ketika melintasi penapisan tahap kesihatan, ibu dan ayah disuruh melaluinya sekali lagi. Rupa-rupanya Muhammad didapati demam sedikit dan kami dinasihatkan untuk membawa Muhammad ke klinik. Maka, perjalanan balik dari Jeddah, transit di Oman sebelum menuju ke Malaysia, bermulalah segala-galanya. Kebanyakkan dari kita yang sihat serta merta menjadi tidak sihat.

Oman menuju KLIA
Ibu Cuai!
Perjalanan dari Oman ke KLIA terasa begitu azabnya kerana ibu, ayah dan Muhammad masing-masing dalam ujian Allah. Sampai sahaja di KLIA ketika tengah malam, ibu segera menghubungi makngah dan meminta tolongnya untuk memasakkan Muhamamd bubur. Kita sampai di lebuhraya berdekatan tempat kita menanti bas untuk bertolak bersama jemaah umrah yang lain ketika mahu berangkat 12 hari yang lepas. Sama seperti perjalanan Oman ke KLIA, dari KLIA menuju ke rumah masing-masing, Muhammad masih menangis dan merengek yang tidak dapat dibendung. Sedih hati ibu wahai anak. Sebaik sampai di lebuhraya,  ibu segera menyuapkan bubur nasi yang dibawa makngah. Muhammad makan dengan penuh seleranya setelah seharian tidak makan 'menu' biasa Muhammad di Malaysia. Ibu tersangat sayu sehinggakan tidak mampu membendung air mata dari tumpah. Teresak-esak sehingga ditenangkan makngah. Ibu gagal dan cuai T_T.

Di dalam kapal terbang itulah kali terakhir Muhammad menyusu terus dengan ibu. Genap setahun 7 bulan. Itupun solusi terakhir yang terpaksa ibu dan ayah gunakan kerana mahu Muhammad senyap dari menangis berterusan. InsyaAllah ibu kembali mencatat di episod 28 yang merupakan episod terakhir untuk KEMBARA CINTA AGUNG kita insyaAllah pasti dengan izin Allah!

5 comments:

Ibu Yusuf Maryam said...

Entry yg sgt menyentuh hati. Terasa seolah2 bersama2 dlm kesusahan itu. Alhamdulillah, semuanya kembali dengan selamat..

FADLUL & FIFAH said...

sedih... :(

myamyza said...

aduyai menitis air mate, terbayang jika kita berada ditempat ibu muhammad, pasti merasakan hal yang sama, sebak.

IntaNBerliaN said...

betoi tu ummu.. kalu kita dah terlintas tu baik kita buat.. sy selalu jd gitu.. apabila terpikir or terlintas kan sesuatu.. sy sentiasa cakap.. "xmungkin" ianya berlaku... tapi dgn takdir tuhan.. berlaku jugak...

Marlina Mohtar said...

sedih dan sayu akak baca entry ni :( Ummu Muhammad seorang yang tabah!!