29.10.14

NIQOBIS, STOP SELFIE!

Tajuk sentap mak!

Sekali lagi, kuliah-kuliah Ustaz Dr Basit atau lebih dikenali melalui FB beliau Ustaz Dr Abu Anas Mandani berjaya mengetuk kepala apatah lagi hati saya ketika mendengar ceramahnya melalui VCD semasa musafir ke kampung zauji perihal mendedahkan kehidupan peribadi secara keterlaluan. Sedikit sedikit ambil gambar dan masuk ke laman sosial.

Untuk apa semua itu? Mahu tunjuk siapa? Suami isteri berpelukan. Hampir semua sudut dalam rumah mahu ditayangnya. Kita ini ada apa? Apa sangat yang kita ada?

KITA TIADA APA! TIADA APA!

Sebenarnya, kita perlu fahami, apabila golongan agamawan yang mempelopori suasana ini, golongan awam seperti saya akan fikirkan semuanya boleh dan tidak mengapa.

INSAF!

Pandangan masyarakat kepada wanita yang berniqob adalah tinggi dan mereka berfahaman mereka -niqobis- sangat tahu semua perihal agama walaupun tidak semua kerana niqobis juga adalah wanita biasa yang punya keinginan yang sama, sama seperti manusia lain juga.

Cuma, pada pendapat saya, mereka yang mengambil keputusan untuk berniqab perlu memikirkan banyak benda supaya ianya tidak menjadi fitnah kepada agama sendiri. Niqoblah muka tetapi mereka perlu betul-betul, benar-benar niqob hati. Faham tujuan sebenar berniqob. Berniqob dengan ilmu dan bukan ikut-ikutan sehingga ianya boleh menimbulkan fitnah kepada niqobis yang lain.

Menarik juga untuk saya kongsikan sebuah cerpen tulisan Inche Gabbana yang bertajuk PURDAH, khas untuk niqobis. Bacalah dan fahamilah. Wanita ini cantik kerana malunya, bukan kerana niqobnya.

******************************************************************


"Kau tahu tak Yah, tadi si Suri dok jeling-jeling aku lagi. Lepas tu tersengih-sengih macam dubuk busuk. Eeerrgghh geram betul akuuu!"

Basirah membebel-bebel sambil menanggalkan purdahnya, menampakkan wajahnya yang ayu di sebalik purdah itu.

Basirah bukanlah seorang yang lawa, cun meletup, yang jika lelaki terpandang wajahnya, akan tak berkedip mata dan mahu melihatnya berkali-kali sentiasa. Tetapi cukup ayu untuk membuatkan sesiapa sahaja yang menatapnya berasa senang.

Kulit wajahnya mulus. Hidungnya tidak mancung, tetapi kecil dan comel. Bulu matanya melentik; aset terbesar pada wajahnya. Selain itu, yang lain-lain adalah biasa-biasa sahaja. 

Sumayyah hanya tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dia mai daaahh...

"Aku tak faham la spesis macam Suri tu. Apa masalahnya aku nak pakai purdah? Sekurang-kurangnya aku tutup aurat, dan cuba yang terbaik untuk jaga kehormatan aku! Dia tu..?? Dah la rambut menggerbang macam pontianak! Pakai baju asek nak ketat je memanjang. Kalau badan lawa macam model takpelah jugak! Ini tak, macam... Ish, buat dosa kering je aku ni!"

"Dah la tu Yong. Apa sangatlah yang nak marah tu."

Sumayyah dan Basirah adalah rakan sebilik sejak enam bulan yang lalu. Mereka sama-sama mengambil jurusan ekonomi dan pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Sewaktu mula-mula mendapat tawaran penempatan di dalam kampus, gelisah juga Sumayyah dibuatnya. Takut-takut dia tak boleh nak 'masuk' dengan rakan sebiliknya nanti.

Namun dia lega apabila pertama kali melihat Basirah; bertudung labuh dan berpurdah. Tidak disangkanya nasibnya akan sebertuah itu, mendapat teman sebilik yang jauh lebih baik dari dirinya. Dia sendiri masih lagi mahu berjinak-jinak mahu memakai tudung labuh.

Maka dia sangat respek pada perempuan seperti Basirah. Kagum. Baginya, ia memerlukan keberanian yang cukup besar untuk memakai purdah. Sumayyah sendiri pernah berangan untuk memakainya suatu hari nanti, tetapi tidaklah dalam masa yang terdekat ini. 

Namun kini dia tidak berapa pasti lagi, sama ada sebilik dengan Basirah adalah suatu kurniaan atau cubaan. Suatu nikmat dariNya atau bala bencana!

"Mahunya tak marah?! Suri tu sengaja nak cari gaduh dengan aku! Daripada dulu dia tak puas hati dengan aku! Aku rasa dia marah dekat aku sebab di Faisal tu minat kat aku! Ha, mesti sebab tu! 

Eleh dia boleh amiklah Faisal tu! Ramai lagi laki kat luar sana yang tergila-gilakan aku! Sekali aku kenyit mata, hah, berpuluh, beratus lelaki datang menyembah aku tahu tak??"

Astaghfirullah. 

Sumayyah memejamkan matanya. Dadanya terasa sedikit sesak. Sebak. Dia mengetapkan bibirnya, mengumpul kekuatan sebelum berkata-kata. 

"Yong, apa ni? Sudah-sudahlah tu. Bawakkan beristighfar. Kalau ye pon kau marah sangat kat Suri tu, jagalah kata-kata kau tu. Tak perlulah nak hamburkan semuanya. Ya rabbi..."

Basirah menjeling tajam. 

"Itulah kau. Sikit-sikit istighfar. Sikit-sikit istighfar. Tak sapot aku langsung!" 

Basirah mencebik. Dia menanggalkan tudungnya dan menyidainya pada penyidai aluminium yang diletakkan di tepi meja belajarnya. Dia kemudian menghempaskan badannya pada katil. Wajahnya masih macam mencuka. 

Sumayyah memerhatikan keletah Basirah buat seketika, sebelum menyambung kerja-kerjanya. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya. 

Lama mereka menyepi, masing-masing dengan kerja sendiri. Sumayyah sibuk mahu menyiapkan esainmennya yang perlu dihantar esok. Basirah pula sejak dari tadi asyik menggaru telefon pintarnya.

Tidak semena-mena suasana kembali menjadi hingar. 

"Eyyyy Yah aku tengok nii! Gambar aku dapat seratus lebih like kat Insta ni! 

Sumayyah sempat memandang siling sebelum beralih pandangannya kepada Basirah. Sepertinya ada Tuhan di siling itu untuk menjawab doanya.

Mungkin ada sedikit rasa bersalah pada Basirah, Sumayyah melayan sahaja karenah rakannya itu. 

"Gambar yang mana?"

"Ni gambar yang aku pakai tudung kaler velvet, matching dengan purdah tu. Yang aku tulis quote, 

'Diriku berserah pada Ilahi,
Menanti hari berganti hari,
Menunggu sesiapa yang sudi,
Diriku melengkapkan rusuk kiri.'

Tengoklah ni!"

Hampir-hampir Sumayyah mahu tersembur ketawa. Bersungguh dia menahannya. Hampir mengalir air mata dibuatnya. 

Diambilnya telefon Lenovi milik Basirah dan dipandangnya skrin telefon itu sekilas lalu. 

"Baguslah."

Tidak perasan dengan ketidakpedulian Sumayyah agaknya, Basirah mengambil semula telefonnya dengan wajah yang penuh bercahaya dan keterujaan. 

"Kau tengok ni! Faisal pon like jugak gambar aku ni! Ahahaha padan muka si Suri tu! Perempuan tak tahu malu!" 

"Yong, aku nak tanya sikit boleh tak. Tapi kau jangan marah pulak."

"Hmmm..?" 

Sumayyah merenung tepat wajah Basirah. Basirah masih lagi tersengih-sengih memerhatikan skrin telefonnya, macam budak kecik yang baharu dapat lolipop. 

"Yong."

Mendengarkan keseriusan pada nada Sumayyah, Basirah akhirnya memberikan Sumayyah perhatian seperti yang dipinta.

"Apa dia?"

"Aku dah lama nak tanya kau ni. Tapi aku takut kau kecik hati."

"Alah kau ni. Macam la kau tak kenal aku. Aku kan happy-go-lucky? Takde masalah aku nak kecik-kecik hati ni!"

Sekali lagi Sumayyah terasa seperti mahu gelak besar. Tetapi dia hanya mengembangkan sedikit hidungnya.

Sebab aku kenal kau lah Basirah oii...

"Ok. Hmm. Sebab apa kau pakai purdah eh sebenarnya?"

Kening Basirah terangkat sebelah, tanda dia terkejut dengan soalan Sumayyah. Dia membetukan duduknya.

"Mestilah sebab nak jaga aurat! Nak jaga kehormatan aku sebagai perempuan Islam! Haihh kau ni, takkan tu pon tak tahu?" 

"Betul ke kau pakai purdah untuk jaga kehormatan?"

Terbeliak mata Basirah mendengarnya. 

"Kau ni dah kenapa? Nak cari gaduh ke apa? Elok-elok mood aku dah nak ok, kau pulak nak cari pasal dengan aku en?"

Sumayyah tersengih. Menyesal pula dia bertanyakan soalan itu kepada Basirah. Namun nasi sudah menjadi bubur. Alang-alang tu, nikmati sahajalah bubur itu dengan lauk-pauk yang ada!

"Bukan apa Yong. Masuk bulan ni, dah nak dekat 6 bulan aku kenal kau. Setengah tahun. Bukan sekejap tu. Tapi semenjak aku kenal kau, kau hampir-hampir ubah persepsi aku pasal orang yang berpurdah ni."

Sekali lagi Basirah membetulkan duduknya. Kali ini dia duduk tegak. Hampir sepenuh perhatiannya kini diberikan kepada Sumayyah.

"Err.. Kenapa pulak?"

"Aku respek tau kat orang macam kau ni, yang pakai purdah ni. Sebab bagi aku, kau orang berani. Bukan semua orang yang berani macam kau orang. Ye lah, walaupon pakai purdah tu tak wajib, tapi aku sendiri memang pernah terasa nak pakai purdah. Sebab pada aku, ia lambang emansipasi wanita. Kebebasan! Bukan calang-calang orang yang mampu untuk berpurdah!"

Hidung Basirah sedikit kembang. Bangga. 

"Tapi... Lepas kenal kau, entahlah. Hari-hari dengan kau, yang aku dengar caci dan maki. Caci dan maki. Gossip sana, gossip sini. Lepas tu asyik berselfie, nak tunjuk satu dunia yang kau tu berpurdah. Kau tu berpurdah, sebab Allah atau makhluk Allah? 

Kalau kita beramal untuk dilihat manusia, apa lagi yang tinggal untuk dilihat olehNya..?"

Tersentap Basirah dibuatnya. Kalau ketika itu Basirah boleh menghapdet status MukaBuku atau Instagramnya, sudah pasti "Sentap kau maaakk!" yang akan ditulisnya. 

"Kau kata kau pakai purdah untuk jaga kehormatan. Tapi apa definisi kehormatan bagi kau? Kehormatan tu jauh lebih besar dari sekadar menutup anggota badan yang telah disyariatkan. Kehormatan tu akhlak. Kehormatan tu integriti. Kehormatan tu adab! Dan sorry to say Yong, semua tu aku tak nampak pada kau."

Merah padam muka Basirah. Dia mahu memprotes, tapi Sumayyah pantas mencelah.

"Aku rasa, orang macam kau ni lah yang selalu buat orang salah faham pasal perempuan yang bertudung, pasal Islam in a bigger context. Aku selalu dengar orang kata, 'Eleh buat apa bertudung bagai kalau perangai macam jin sungai!' Sebab apa? 

Sebab orang macam kita ni gagal jadi duta Islam dengan baik. Orang macam kita ni tak pakejkan sekali akhlak dengan tudung yang kita pakai. Alih-alih keluar statement, 'Alah, daripada pakai tudung tapi asek nak mengata orang, mencaci dan mengeji, lebih baik tak pakai tudung tapi jaga mulut dan hati! Lagi bagus!' Alahai sedihnya."

Wajah Basirah berubah. Kurang tegangnya. Ada bibit-bibit keinsafan pada raut mukanya.

"Kau jangan salah faham Yong. Aku bukan tak suka kau pakai purdah. Aku suka malah aku galakkan kau terus pakai. Sebab aku sayang kau lah aku cakap benda ni.

Tapi sebelum kau nak pakai purdah untuk tutup muka, aku rasa baik kau pakai purdah pada hati dan jiwa, untuk protect dari sebarang bisikan syaitan dan kejahatan. Kalau kau pakai purdah demi sebuah kehormatan, lebih baik kau bersihkan dulu hati dan jiwa kau demi sebuah ketaqwaan!"

Mengalir air mata Basirah. Dadanya berombak.

"Kau... Kau dah abes?"

Sumayyah sedikit jengkel dengan soalan Basirah itu. 

Dia ni dengar tak apa yang aku cakap tadi..?

"Dah."

"To...Tolong bagi aku...purdah aku tu."

Tersekat-sekat suara Basirah dalam sedunya.

"Nak buat apa?"

"Nak buat lap air mata."


*******************************************************************

Sekiranya saya seorang niqobis, setelah membaca cerpen ini, saya akan padam semua gambar saya lebih-lebih lagi sedang berselfie. Malu! Kembali kepada niat mengapa kita berniqob? Adakah setelah menutup keseluruhan tubuh dan hanya menampakkan mata sahaja, yang haram semuanya telah kembali halal? Mahu tunjukkan apakah?

Wanita soleheh itu cantik kerana tinggi malunya.

No comments: