28.10.14

MENANTU loves MERTUA

Dua hari lepas, saya belajar satu perkara baru tetapi telah lama 'dinyanyikan' oleh zauji, iaitu, kemahiran berfikir aras tinggi atau bahasa pendidikannya hari ini ialah KBAT!

Apakah KBAT?

Definisi ringkas yang paling mudah difahami ialah berkifir untuk menyelesaikan masalah. Selama ini kita -termasuk saya- selalu menyalahkan itu dan ini tetapi tahap berfikir yang paling tinggi ialah cara atau kaedah untuk menyelesaikan masalah yang selalu kita salahkan itu. 

Berbalik kepada tajuk entry hari ini, ramai sahabat-sahabat mengadu kepada tentang mertua yang tidak suka kepada mereka dan baru-baru ini, saya ke sebuh kedai dan jurujual merangkap pemilik kedai tersebut dengan mudahnya mengalirkan air matanya untuk menggambarkan betapa serabutnya fikiran beliau ketika itu. Masalah yang sama. Masalah rumahtangga yang melibatkan mertuanya dan tentu sekali suaminya.

Alhamdulillah Allah kurniakan mertua yang baik buat saya. Mertua saya walaupun bukan berpendidikan tinggi, tetapi sangat rajin duduk dalam majlis-majlis ilmu di masjid berdekatan rumah. Jadi, walaupun beliau bukan seorang terdidik lagi terpelajar, tetapi asas agama yang baik menjadikan manusia ini lain. Manusia yang beramal dengan kefahaman agama sememangnya istimewa. InshaAllah saya teringin mengulas isu antara faham dan amal.

Pada pendapat saya, 5 tahun pertama adalah semester pertama kita taaruf (suai kenal) sesama ahli keluarga baharu kita sebagaimana tempoh masa dan ruang perkenalan antara kita dan suami. Kita cuba faham setiap daripada mereka dan kita cuba fahami situasi mereka. Adatlah dalam tempoh ini kita berhabis setempayan air mata, hati remuk bagai dicincang dan bercantum kembali serta sebagainya bergantung kepada cara kita berfikir.

Kebanyakkan sahabat saya yang punya masalah dengan mertua mereka adalah berpunca daripada sifat mertua yang TAMAK dan pastinya kerana WANG! Mereka -ibu mertua- merasakan yang mereka telah penat membesarkan dan sepatutnya semua wang anak lelakinya adalah untuk membalas budi penat lelah mereka membesarkan dan memberi pendidikan sewajarnya.

Belum lagi cerita, mertua sihir menantu dan anaknya. Menantu bekerja ditatang bagai minyak yang penuh. Menantu yang tidak berkerja menghabiskan duit anaknya sahaja. Dikriminasi dan pelbagai versi tomahan yang semuanya mempunyai pokok cerita yang sama. 

Baiklah. Isunya memang mertua kita yang salah. Di pihak kita, berhenti untuk menyalahkan mereka.

Saya pernah berbual dengan jiran dunia dan syurga saya di tempat kerja. Kami -saya dan rakan-rakan- jarang boleh duduk berbual sesama kami kerana setiap minggu kami mempunyai 31 masa ke atas untuk dipenuhkan. Jadi, masa-masa bertemu ini kadangkala kami sempat bualkan banyak isu antaranya kes mertua dan menantu yang tidak sekufu. Tajuk bebas, asalkan bukan mengumpat.

Suka saya kongsikan mutiara kata dari FB Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman untuk muhasabah diri dari semasa ke semasa supaya hari ini dan mendatang lebih baik dari semalam.

Seorang yang jiwanya penuh ingin kecantikan, pasti mudah kagum dengan orang cantik.

Seorang yang cintakan Rasulullah pasti berlumba walau sukar, untuk pelajari dan contohi akhlak & amalan baginda. Tidak caci maki.

Seorang yang jiwanya cinta ilmu, mudah mesra dan kagum dengan org berilmu.

Seorang yang jiwanya hasad dan dendam, sentiasa melihat manusia dengan dendam serta hasad & suka ber'team' dengan penghasad.

Seorang yang jiwanya penuh sangka buruk, keladak lagi busuk, sentiasa suka bersangka buruk sehingga & suka ber'team' dengan ahli keladak.

Seorang yang jiwanya suka maki hamun, sentiasa suka dan puas membaca dan mempelopori makin dan hamunan.

Lalat pasti akan ke najis..jangan kita ikut rentak lalat, nanti bernajis jua.

Semoga kita adalah jiwa-jiwa yang tenang yang hidup untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang mati inshaAllah. Berbalik kepada tajuk, bak kata zauji, kita tidak akan mampu mengubah seseorang untuk menjadi apa yang kita inginkan dan solusinya ialah kitalah yang perlu merubah cara dan corak kita berfikir untuk mengatasi masalah atau kepincangan yang ada.

Nasihat saya buat sahabat-sahabat saya yang saya yakin rata-rata diluar sana juga mempunyai permasalahan yang sama supaya jangan balas dan cuba, cuba dan CUBALAH pandang mertua kita dari sudut yang positif, dari sisi mereka yang lain seperti:

1. Berapa lama sangat masa mereka tinggal untuk hidup. Maka, maafkanlah mereka.
2. Letakkan diri kita di tempat kesusahan mereka ketika mereka membesarkan anak-anak mereka. Mereka bergadai, berhutang, demi sebuah kehidupan untuk anak-anak mereka. Maka, fahami dan selami perasaan penat letih mereka menyemai benih yang baik tetapi kitalah pula yang menuai hasilnya. Fahami dan hargailah perasaan mereka ini. Kesusahan dahulu menjadi asbab mereka berfikiran seperti sekarang dan kita pula perlu sedar yang Allah sedang tarbiyyah kita dengan baik melalui situasi ini supaya perkara yang sama tidak berulang.

3. Raikan mereka dan adik-beradik ipar dengan hadiah lebih-lebih lagi wang. Percayalah yang Allah akan membalas lebih lagi atas kesabaran dan rasa ikhlas kita.
4. Sihir atau apa sahaja yang sama bentuknya HANYA akan terjadi dengan izin Allah. Usahlah memikirkannya sehingga terbit di hati yang sedikit sakit, orang yang buat kita, kerana syaitan sangat suka akan hal ini. Laknatullah ini amat gemar memecah belahkan manusia sehingga bergaduh dan mereka tidak akan puas sehingga kita mati.
5. Ubah hati dan sentiasa hidupkan dengan zikir, majlis ilmu untuk mendapatkan REDHA atas segala ketentuan Allah. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan dan kata-kata yang terpandu kepada kebaikkan inshaAllah.

InshaAllah jadikan semua yang berlaku antara kita dan mertua sebagai pelajaran yang paling baik untuk kehidupan sebagai mertua apabila sampai masanya kelak. InshaAllah Allah memberi pelajaran kepada kita yang suatu hari, kita juga adalah ibu kepada anak-anak lelaki. Usah membuatkan anak-anak lelaki kita tersepit antara isteri mereka dan kita, ibunya.

Sekali anak-anak lelaki kita melangkah keluar untuk mengembara ilmu bermakna kita telah MEWAQAFKAN mereka buat ummah! Usah ditunggu kepulangan mereka. Lepaskan. Lepaskan. Lepaskan! Sehingga mereka mampu berdikari dan punya keluarga sendiri kerana kita pernah menjadi isteri dan menantu kepada mertua kita yang dahulu. Sejarah lama jangan diulang. Jadilah mertua yang disayangi dan dihormati menantu-menantu kita kerana akhlak mulia sebagai mertua mereka.

Buat ibu mertuaku yang dicintai kerana Allah dan RasulNya,
Sungguh, Allah kurniakan apa sahaja buat kita, bukanlah sia-sia!

No comments: