4.9.14

ROTI HOMEMADE PALING ORGANIK

Balik kerja semalam, kami anak-beranak terus ke rumah nenda asbab ayahanda anak-anak saya mahu ke kuliah di masjid. Allah janji antara 7 golongan yang masuk syurga adalah pemuda yang hatinya terpaut kepada rumah Allah. Mudah-mudahan Allah mengakhiri hidup kita dengan kematian yang paling mulia, Allah redha dan seluruh penghuni langit menantikan roh kita. MashaAllah inilah matlamat sebenar kehidupan kita.

Mencari redha Allah. Takut hanya pada Allah dan bukan takut kepada manusia tetapi semua sistem hari ini melatih kita untuk takut pada manusia. Kita lebih takut mesin 'punch card' dari mesin 'punch card' solat. Kita sedayanya cepat-cepat untuk 'punch card', takut lewat tetapi tidak pula sedayanya melapangkan waktu kita untuk 'punch card' awal menghadap Allah. Bukan 24 jam pun. Hanya 5-10 minit, 5 kali sehari sahaja. 

Allah tidak pernah berkira-kira untuk segala nikmat yang Allah beri pada kita tetapi kita ini manusia sentiasa berkira-kira dengan Allah. Solat pun di hujung waktu. Terbalik pula jadinya. Siapa Tuan, siapa hamba?

Ditakdirkan ada sebuku roti yang sudah terlalu lama kami tidak makan di rumah nenda mereka. Lamanya kami tidak makan roti beli di kedai, sehinggakan saya lupa kali terakhir kami makan roti. Makanya, dipendekkan cerita, si shaikh besar zikir 'nak roti' sepanjang perjalanan balik. Diikutkan mata pula memang saya tidak mampu meneruskan perjuangan. Hanya nampak katil.

Lama juga saya tidak meroti. Hanya mendonut sahaja sebagai sarapan kegemaran anak-anak. Stok tepung saya dari KL pula sekarang transit di JB. Jazakillah JLo Ummu Ahmads yang sudi membeli-belah bagi pihak kami geng JDT :D. Mahu atau tidak alternatif tetapi agak mahal ialah ke kedai organik untuk mencari tepung organik tanpa peluntur dan tanpa segala tok nenek vitamin. Vitamin pun perlu hati-hati kerana kebanyakkannya adalah vitamin sintetik.

Dengan kelajuan kancil, zauji (baca: suami saya) segera untuk membeli tepung meraikan permintaan anak. Mulanya saya mahu mengalah juga untuk membeli wholemeal yang tidak dilunturkan tetapi masalahnya ialah vitamin sintetik merujuk PTT (baca: Puan Tabib Terpercaya) dan kandungan memang bermacam seperti 'softener' dan lain-lain. Zauji berat untuk beli roti yang lama kami pantang. Takut-takut anak rasa selamat dan selesa pula selepas ini.

Negara pengeluar yang sama dengan tepung yang kami sebelum ini. Turki.

Ini dia doh yang selepas uli terus sahaja masuk loyang. Paling kanan kononnya cubaan untuk membuat roti buku. Resepi doh pernah saya kepilkan di entry RASIA DONUT GEBU SIHAT.

Sebelum ini segala resepi saya tidak menggunakan butter atau keju bukan organik sepenuhnya tetapi cap yang bolehlah dimakan berbanding yang ada dipasaran. Alhamdulillah selepas menerima komen JLo Dee di entry sebelum ini, Allah gerakkan kami untuk beralih kepada butter dan keju organik. Di tempat saya, saya masih belum jumpa. Jadi saya import dari JB. Jauh perjalanan mereka. Jazakillah JLo Fiza n JLo Anna. Geng Jelitawan Organik. Jemput like Jelitawan Organik.




Alhamdulillah roti saya naik cantik dan inshaAllah saya letak roti paling berjaya dan bergaya. Berjaya dari segi kandungannya yang keseluruhannya adalah organik. Bergaya dari segi persembahan pentasnya yang naik gebu dan lembut pula permukaannya. Rahsianya gunakan api bawah sahaja ketika membakar roti dengan suhu 180 selama 15 minit. Dengan izin Allah inilah hasilnya.



Roti tabur gula dan coklat rice. Saya pula teringin roti tabur keju. Alhamdulillah keju pun sekarang telah ada yang organik. Juga diimport dari JB melalui jiran-jiran syurga. Mudah-mudahan Allah mudahkan urusan mereka sebagaimana mereka memudahkan urusan saya.


Ini dia roti keju saya.

Paling cantik bergaya lagi manis rupawan ialah roti buku untuk cubaan pertama kali :D.

Alhamdulillah bolehlah. Roti buku keju bergula.

InshaAllah semoga akan lahir ramai Abdurrahman Auf yang kaya bertaqwa melalui Tadika Tahfiz Muhammad. Anak-anak yang akan menguasai ekonomi dunia akan datang seawal usia melalui kedai-kedai kek dan roti seluruh dunia yang menjaga hal ehwal kesihatan ummat sejagat. Orang-orang kaya bertaqwa yang bakal menyumbang kekayaan mereka untuk ummah inshaAllah.

3 comments:

NoEn said...

linn ku sayang....masyaAllah bergaya sungguh roti mu itu...mu kene beli breadmaker lah lps ni..baru rajin nk meroti dan meroti dengan kuantiti yg byk..leh pos kat kami ;)...
ku tak mampu meroti seperti mu T___T

Anonymous said...

ku selalu jelous tgk hasil rotimu lin..bila buat tak pernah la naik gebu seperti tu...geng1010

@LeenShamsh said...

noenku: i pun tengah jeling2 bread maker sambil jenguk poket..kene ade di TTM..kesian anak2 nk makan roti

geng1010: roti ni alhamdulillah memang paling bergaye dgn izin Allah..cewah! ;)