12.5.14

FITNAH MAKANAN SUNNAH

Semalam kedua shaikh kabir kami ditakdirkan Allah demam. Jadi, saya merasmikan CRK pertama saya semalam. MashaAllah dalam demam, Allah kurniakan Muhammad cerna surah hafazannya yang ke-77 iaitu surah Al-Jinn. MashaAllah, hamdalah setelah seharian merawat cara alami, Allah takdirkan pagi ini, keduanya telah kembali sihat. Bagaimanakah rawatan alami tanpa ubat-ubatan?

Untuk Abdullah, saya membasuh kepalanya di bawah aliran paip dan hampir seharian juga melekat dengan saya. Alhamdulillah asbab menyusu lama, peluh keluar dengan mudah. Mungkin asbab air susu dan kulit ke kulit antara mak dan anak mempercepatkan kebah.

Manakala Muhammad, saya angkat juga untuk basuh kepalanya di bawah aliran paip dan letakkan tuala basah di kepala dan badan serta celah-celah pelipat. Allah takdirkan selera makannya kembali pada malam tadi dan Alhamdulillah selepas makan, kembali bertenaga dan pagi ini telah sihat sepenuhnya dengan izin Allah.

Selain demam, mereka juga batuk dan selsema. Dengan izin Allah, madu sebelum tidur dan bangun tidur, mereka juga mudah sembuh dengan rawatan sunnah. Saya juga mengurut mereka dengan minyak habbtussauda'. MashaAllah malam hari mereka Allah izinkan tidur nyenyak tanpa batuk mahupun selsema.

Bukan tolak ubat-ubatan, tetapi pada pemerhatian saya, anak-anak saya mudah dan cepat sembuh dengan rawatan sunnah dan semulajadi. Alhamdulillah setelah sedikit ketat dalam penjagaan makan, Allah izinkan antibodi mereka kembali kuat bertenaga. Kali terakhir Muhammad demam adalah pada tahun lepas yang saya abadikan kisah demam kuatnya di entry KIMIS vs SUNNAH.

Kami bukanlah terlalu ketat untuk makan terutama saya. Ada juga makan diluar dengan kadar jarang-jarang asbab musafir, tidak sempat dan kebiasaannya, ada sahaja tidak kena. Baru-baru ini, balik ke kampung ayahanda Muhammad dan Abdullah, saya muntah teruk. Zauji semput. Pernah juga kekerapan membeli nasi lemak, Muhammad batuk.

Asbab di atas, kami mengambil langkah tidak berani untuk mengusulkan apa-apa rawatan sunnah dan semulajadi sekiranya yang bertanya itu tidak sefikrah kami. Maksudnya, dari segi kualiti penjagaan makanan, tahap pengambilan ubat-ubatan sintetik kerana kami terlalu bimbang, apabila kami mengusulkan cadangan rawatan alami, contohnya makanan-makanan sunnah dan tidak sembuh malah bertabah teruk, ianya akan menjadi fitnah kepada makanan-makanan syurga kegemaran kekasih agung kita iaitu Rasulullah SAW.

Mengikut pengalaman kami sendiri, apabila berhenti kepada kimia sintetik dan sedikit pantang dalam pemakanan dan merawat secara alami dan sunnah, ianya mengambil masa agak panjng untuk laluan DETOX semua unsur jahat dalam badan. Jadi, apabila kurang sabar, maka akan keluarkan ayat-ayat fitnah untuk makanan-makanan sunnah.

Sudah makan madu, tetapi belum baik.
Anak saya  minum susu kambing, dapat sakit usus.
Makan semua makanan sunnah tetapi semakin teruk.

Ayat-ayat di ataslah terlalu ingin kami jauhi. Sungguh kimia dan sunnah itu tidak bersatu kerana mereka akan saling berlawanan antara satu sama lain. Pilihlah satu. Sama juga keadaannya dengan vaksin bayi. Terpulanglah kepada penilaian, doa makpak kepada Allah untuk membuat pilihan. Anda rasa vaksin baik untuk anak-anak anda, silakan dan terpulang. Tiada masalah di pihak kami.

Pernah juga sahabat saya bertanya tentang susu formula melibatkan bayinya. Susu ibu tidak meriah. Melihatkan gaya pemakanannya seharian, saya tidak berani untuk terlalu syor akan susu kambing. Saya hanya boleh katakan anak-anak saya susu ibu setakat yang Allah izinkan dan selebihnya mereka minum susu cap kambing.

Cuka epal organik amalan sebelum tidur saya.

MashaAllah cuka epal ini. Saya minum seteguk setiap malam sebelum tidur. Pagi setelah bangun tidur, saya minum segelas air masak dan seteguk minyak zaitun. Ini antara amalan harian saya. Cuka antara makanan sunnah yang ada dalam rumah Baginda Rasulullah SAW. Terlalu banyak khasiatnya mashaAllah.


Sekiranya anda ditakdirkan Allah menghidap masalah kutu air, gunakanlan cuka untuk mematikan kutu-kutu tersebut. MashaAllah memang menggerutu si kutu di bawah lapisan kulit kita. Saya pernah gunakan untuk menyapu bahagian berdekatan bekas bisul Abdullah yang seakan mahu timbul semula. MashaAllah, hilang benjolan seakan mahu bisul kembali itu.

Alhamdulillah saya berhenti setakat ini. Mulai saat ini, saya tidak akan memberi apa-apa respon berkaitan rawatan alami dan sunnah asbab ketakutan kami terhadap fitnah makanan-makanan sunnah yang mungkin berpunca daripada kami. Buatlah kajian sendiri dan bertanyalah yang lebih arif dan buatlah perbandingan. Banyakkan berdoa untuk Allah lorongkan ke arah yang diredhaiNya inshaAllah.

9.5.14

IJAZAH = SIJIL KEMATIAN

MashaAllah Bayt Al-Iman yang dirindui kerana Allah. Komitmen yang menuntut kami untuk disibukkan. Moga sibuk ini adalah sibuk yang menjanjikan syurga Allah. Mudah-mudahan kesibukkan kita bukanlah seperti timbunan mayat seperti yang dikatakan Abul A'la Al-Maududi.

Siapakah dia Abul A'la Al-Maududi?

Saya pernah tuliskan ringkasan biodatanya dalam entry INI. Allahu! Semasa saya menaip entry ini, betapa saya merindukan bulatan gembira zaman belajar saya. Betapa kita perlu 'bekerja' untuk menyahut seruan dakwah iaitu sunnah terbesar Ar-Rasul. MashaAllah! Apa kaitannya Abul A'la Al-Maududi dengan kesibukkan mengejar sekeping kertas yang dinilaikan disisi manusia dan timbunan mayat?

Abul A'la Al-Maududi.

Saya baru berkesempatan singgah di blog kami ini. Mata saya terpandang satu tajuk di dashboard yang menarik perhatian saya. Entry yang berkait dengan entry saya sebelum ini iaitu MAJLIS KONVOKESYEN tetapi dalam konteks ilmiah yang fikihnya terlalu meruntun jiwa. Ianya adalah tulisan Abul A'la Al-Maududi.

Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah..Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi.satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini. 

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian,diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini. (Abul A'ala Al-Maududi)

Menurut al-Maududi, beliau berpendapat bahawa universiti2 dan sistem pendidikan hari ini tidak ubah seperti pusat penyembelihan. Di pusat penyembelihan kita dapat lihat bagaimana haiwan2 diternak, dijaga, diberi makan dan dibesarkan dengan rapi supaya apabila sudah tiba masanya boleh dipasarkan untuk kegunaan pengguna.

Dan situasi yang sama kita dapat lihat dalam sistem pendidikan dunia hari ini, yang mana pelajar2 dipersiapkan, dilatih, diajar untuk menghadapi alam profesional selepas graduasi. Dalam erti kata yang lebih mudah, universiti menyiapkan manusia untuk berkhidmat dalam sistem manusia yang melekakan, melalaikan, tanpa hala tuju dan tidak akan berkekalan, umpama mayat yang sudah mati tanpa tujuan hidup.

Inilah yang al-Maududi maksudkan "Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini”, iaitu mencari manusia yang mempunyai matlamat hidup yang jelas (masih hidup), dalam kalangan manusia yang sedang leka mengejar keduniaan (timbunan mayat). [sumber]

InshaAllah cukup sekadar melepaskan rindu kerana Allah di blog ini. InshaAllah ada rezeki dan masa yang berkat disisi Allah, ingin juga saya tuliskan sesuatu yang juga berkait rapat dengan topik ini.

Semoga Allah mensucikan hati-hati kita daripada mencari tahu, menyebar cerita sia-sia dan kembali mencari tahu fikih-fikih insan hebat yang diredhai Allah & Ar-Rasul agar kehidupan kita terarah lurus menuju ke matlamat kehidupan yang sebenarnya iaitu hidup untuk mati. Menjalankan tugas hamba (51:56) dan khalifah (2:30) dengan bersusah payah kerana kita yakin, hanya syurga tempat berehat daripada segala kepayahan.

Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari permainan dan senda gurau belaka, dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa, maka tidakkah kamu memahaminya? [6:32]

25.4.14

GHURABA'

Cikgu: Siapa yang solat subuh pagi tadi?
Ramai yang mengangkat tangan. Tinggal 2,3 orang yang tidak solat subuh pada pagi Rabu baru-baru ini.

Cikgu: Semua orang tahan nafas.
Murid-murid tahun 5 cuba menahan nafas sedaya yang mungkin dan akhirnya tiada seorang pun yang berjaya menahan nafasnya.

Cikgu: Soalan kedua, adakah awak bayar untuk udara yang awak bernafas? Sekali sedut, RM1. Dua kali tarik nafas RM2.
Murid: Tidak! Sambil ketawa.

Peluang yang jarang-jarang begini, saya manfaatkan sebaiknya mengikut kapasiti umur mereka ketika memimpin untuk Persatuan Puteri Islam. Kebiasaannya persatuan ini hanyalah untuk ustazah. Takdir saya dalam persatuan ini. Saya sentuh perihal solat. Mengapa mereka perlu solat. Sungguh manusia itu tidak menzalimi Allah walau sedikit pun tetapi mereka hanyalah menzalimi diri mereka sendiri.

Udara yang kita bernafas, Allah kurniakan percuma. Kenapa mahu bongkak?

Kasihan sungguh dengan anak-anak saya. Mentaliti mereka hanya dibentuk untuk berjaya akademik. Cemerlang UPSR tanpa dibukakan untuk menghayati dunia yang lebih luas di luar sana malah mereka tidak ditekankan akan hakikat erti manusia itu dihidupkan.

Realiti yang menyedihkan tetapi ini adalah rezeki saya. Rezeki untuk menyantuni anak-anak dan rakan-rakan sejawat supaya mereka faham apa yang kita hadap hari ini adalah tanggungjawab yang bakal dipersoalkan kelak.

Bak kata sahabat saya Puan Aza, ghuraba'.

Asing. Itulah istilah yang paling tepat digunakan. Saya dilihat seperti makhluk asing. Baru-baru ini saya dihentam hebat oleh pihak pentadbir dalam mesyuarat di hadapan rakan-rakan yang lain perihal isu solat awal. Alhamdulillah walaupun pada mulanya terasa juga seperti berjalan muka di atas lantai tapi saya yakin Allah sediakan ujian ini untuk saya.

Dalam kesedihan saya, Allah gembirakan saya. Mesyuarat baru-baru ini, beberapa guru lelaki (ustaz dan bukan) telah berani keluar semasa azan untuk solat. Tidak lagi sujud kepada mesyuarat seperti kebiasaannya yang lazimnya diadakan pada jam 1230 tengah hari.

Saya puji ketua zauji, seorang ustaz. Mesyuarat diadakan jam 130 petang. Maksudnya, beliau melapangkan waktu Zohor untuk semua yang di bawah naungannya untuk solat terlebih dahulu kerana pastinya beliau tahu, semua yang berada di bawah naungannya, bakal dipertanggungjawabkan kelak.

Malah anak-anak tahun 1 dan 2 yang saya ajar English, saya sentiasa selitkan perihal kepentingan solat dan Alhamdulillah selepas makan di waktu rehat, mereka terus menuju ke surau untuk Zohor. Anak-anak berpotensi hebat! Walaupun tiada waktu solat khas dalam jadual mereka, mereka bijak mencari waktu solat untuk solat. Saya sungguh berbangga dengan mereka ;).

Teacher, hari ini saya solat!
Teacher, semalam saya solat penuh!
Teacher, semalam saya pergi masjid solat maghrib dan isyak'.

Kebiasaannya, saya akan hargai mereka asbab kesungguhan mereka solat walau hanya sebatang pensel, sebiji pemadam. Hadiah-hadiah kecil yang sungguh menggembirakan mereka. Saya mahu mereka faham, sebagaimana perasaan gembira mereka mendapat hadiah kecil daripada saya, bayangkanlah hadiah-hadiah daripada Allah yang Maha Hebat pastinya untuk mereka ;).


Sungguh, mereka yang sekadar 'belajar' berbeza dengan mereka yang 'menghayati' kesucian agama.

14.4.14

NOTA CINTA

Baru 2 minggu lebih saya di tempat bertugas baharu. MashaAllah Allah tarbiyyah saya dengan cuitan-cuitan manja yang mengancam jiwa haha! Dalam masa 2 minggu saya mendapat surat-surat cinta selepas kisah saya ditegur membawa anak-anak belajar dalam surau.

Alhamdulillah setelah puas menangis, sokongan insan-insan yang dekat dengan saya yang tidak henti-henti memberi semangat serta kesan hati ketika menyiapkan jadual hafazan Muhammad, Allah kuatkan hati saya malah memujuk saya dengan ayat-ayat cintaNya yang saya tadabbur setiap pagi untuk mengubat hati yang terluka. MashaAllah Allah tidak biarkan saya sendirian menempuh ujian demi dugaanNya saban waktu T___T.

Nota cinta. Atas adalah nota pada buku kedatangan murid setelah seminggu. Bawah pula nota di buku persediaan untuk 2 minggu selama saya bekerja di sana.

Isu remeh temeh ini menjadi semacam isu berat setelah kes solat awal saya. Saya sangkakan pihak atasan akan meyelesaikan masalah ini dengan mencari waktu singkat untuk anak-anak solat Zohor dan Asar. Rupanya sebaliknya berlaku. Beliau masih tidak berpuas hati dengan saya. Kemuncaknya ialah beliau menggunakan dalil dari Ustaz Kazim.

Kesahihannya dan pemahaman dangkal kita wallhua'lam.

Setelah dapat mesej Whatsup inilah hati saya bagai dipukul dengan kayu hoki. Mujurlah ada suami, mak dan PTT yang ketika itu saya bertanyakan perihal gigi Abdullah. Terasa begitu laju air mata dan betapa tidak berdayanya daku. Alhamdulillah setelah melalui satu hari dengan pelbagai perasaan, mashaAllah hari ini Allah kuatkan hati saya malah saya gembira dan lapang. 

Hidup akhir zaman ini memang pelik. Orang yang tidak solat, tidak pula disibukkan tetapi orang yang cuba solat di awal waktu, dipertikaikan pula. MashaAllah. Saya lebih kepada kasihan kepada beliau. Jadi, saya pilih tidak berdebat dan atas nasihat suami tercinta fillah, saya left group. Selepas itulah Allah terus lapangkan hati ini selapang-lapangnya.

Tambahan pula, saya malu kepada Allah. Allah kurniakan saya banyak lagi nikmatnya yang menggembirakan hati saya. Suami, bakal-bakal shaikh kabir, makabah yang berubah fikrah (baca: cara berfikir) asalnya, itu semua nikmat yang tiada tandingannya. Maka, mengapa perlu mengeluh dan bermuram durja dengan cuitan manja Allah sahaja pun ;).

Satu lagi sentuhan Allah ketika saya sedang siapkan jadual strategik hafazan Muhammad. Allah bagi saya nikmat dan kegembiraan hati dengan anak-anak yang hafal Al-Quran, kenapa apabila Allah cuit sedikit sahaja, saya perlu melenting. Allah! Ramai lagi yang diuji lebih teruk daripada saya.

Alhamdulillah. Saya perlu berterima kasih kepada beliau sebenarnya. Asbab beliaulah saya belajar untuk matang dalam pergaulan bermasyarakat. Di tempat baharu, barulah saya tahu, rumah sukan pun boleh menjadi bahan gaduh. Allahu! Remehnya ya Allah. Bergaduh berlumba bina rumah di syurga itu lainlah. Ini rumah sukan.

Alahai pendidik jiwa bangsa. Realiti yang sungguh menyedihkan. Terasa sungguh mahu 'katok' kepala seorang demi seorang. Dengan doa dan harapan setelah diketuk, semuanya akan lebih siuman dan waras.

Kesan sistem sekular. Terlalu banyak benda bodoh dan hodoh. Usahlah pertaruhkan anak-anak kalian di sekolah bersistemkan sekular. Pilihlah sekolah yang mengutamakan solat seperti ini.

MashaAllah hebat guru besar sekolah ini!
Kredit gambar: Mak Ahmads

Sungguh, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenang (Ar-Ra'd:28).

9.4.14

BUKAN SELEBRITI

MashaAllah. Semalam saya menerima mesej daripada salah seorang sahabat dan mudah-mudahan Allah perkenankan doa-doa kami untuk berjiran di syurga nanti, berkenaan jemputan program kongsi ilmu didikan Al-Quran kepada anak-anak.

Saya tersenyum sendiri. Inilah yang paling ditakuti oleh Abu Muhammad. Takut jadi selebriti.

Sebelum sesi pujuk memujuk, dengan ini kami mengishtiharkan yang kami bukan selebriti haha! Sebenarnya saya tidak layak sama sekali. Produk-produk masih dalam pembikinan. InshaAllah semuanya dengan izin Allah. Hanya dengan izinNya. Tunaikanlah hak-hak Allah di tempat selayaknya DIA dan istiqamah. Itu sahaja. Tiada rahsia.

Shaikh Muhammad & Shaikh Abdullah hanya layak sebagai selebriti di blog picisan ibunda.

Mudah-mudahan akan ada produk generasi shaikh-shaikh kabir kami untuk ke depan nanti. Untuk saya, saya lebih selesa begini. Menulis dan berkongsi di sini sahaja kerana saya bukan sesiapa dan takut untuk jadi sesiapa.

Benarlah kata Abu Muhammad, tidak dikenali itu lebih menjaga hati. Biiznillah.

8.4.14

ORANG BAIK

Dalam kehidupan kita hanya perlu jadi baik.

Baik kepada Allah.
Baik kepada ibu bapa.
Baik kepada masyarakat.
Baik kepada haiwan.
Baik kepada tumbuhan.

Dalam kepayahan bergelut dengan semangat dan motivasi diri sehari-hari, Allah temukan saya kembali dengan sahabat sekolah rendah saya yang mengajar arab selain bertemu kembali guru matematik sekolah rendah saya dahulu. MashaAllah kami adalah produk konvensional beliau. Semoga Allah melimpahi saham jariah berpanjangan selagi mana kami berbuat amal soleh dan menjauhi kemungkaran inshaAllah.

Kenapa Allah pertemukan kami? MashaAllah. Saya tidak pandai arab. Jadi, Allah letakkan saya disini supaya saya boleh belajar serba sedikit. Bahasa arab mudah yang boleh saya gunakan untuk bahasa pertuturan mudah dengan anak-anak. Praktis bahasa syurga semenjak di dunia. MashaAllah. Tabarakallah.

Beruntung sahabat saya. Selepas sekolah rendah, Allah gerakkan hati bapanya untuk menghantarnya ke sekolah agama. Selepas itu, sahabat saya tadi ke maahad dan seterusya ke universiti. Sahabat saya ini bukanlah antara murid popular yang selalu berada di hadapan semasa di zaman sekolah rendah kami TETAPI beliau seorang yang BAIK.

Semenjak kecil, saya mengenalinya sebagai seorang yang baik. Asbab sifat baiknya ini Allah mudahkan segala urusannya. MashaAllah. Dalam kehidupan ini, apa yang saya cukup belajar, KITA HANYA PERLU MENJADI ORANG BAIK. InshaAllah segala ilmu, segala rezeki akan hadir selepas itu.

Sama juga aplikasi kepada anak-anak kita. Anak-anak dirumah atau anak-anak orang lain sekalipun. Tugas seorang pendidik juga adalah mendidik akhlak. Asbab itu perkara pertama yang diajarkan oleh ibu Sultan Muhammad Al-Fateh penakluk Konstatinopel, meletakkan pendidikan akhlak sebagai perkara utama dalam pembentukan ilmu-ilmu yang lainnya.

Ironinya, seorang yang berakhlak baik terhadap Allah, ibu bapa, masyarakat amnya, ilmu, rezeki inshaAllah terlalu senang dijemput. MashaAllah.

Dan solat adalah pendidikan terus dari Allah buat hambaNya sebagai pemudah cara membentuk akhlak yang baik dan terpuji. Solat yang betul, inshaAllah lambat atau cepat memberi kesan kepada tingkahlaku dan membantu menundukkan hati kita dan sentiasa bersangka baik kepada Allah dan makhlukNya.

Solatlah seawal waktu yang boleh. Ianya sangat memberi kesan dalam pendidikan hati dan akhlak kita inshaAllah.

Jagalah ALLAH nescaya ALLAH menjagamu.

6.4.14

DOA MENYAMBUT BOS BARU

Sebelum tidur dan baru sahaja habis kemas Raudhah At-Taqwa Muhamamd dan Abdullah, suami sempat meminta tolong melihat-lihat doa untuk dibacakan esok bagi mengalu-alukan kedatangan bos baru. Doa yang menjentik rasa dan bermakna buat saya yang membacanya tadi. Jadi, saya ambil keputusan untuk abadikan di blog iman kami ;).

Ya Allah kami bersyukur kepadaMu, dengan kebesaranMu, kekuatanMu, rahmat dan kasih sayangMu, dengan kehendakMu kami semua dapat berada dalam perhimpunan pagi ini, khas bagi menyambut kedatangan pengetua baru kami iaitu ___________.

Ya Allah kami memohon kepadaMu agar Engkau kurniakanlah kesihatan yang berpanjangan kepada beliau, semangat yang kuat, ketenangan, kebijaksanaan dan ketaqwaan dalam membimbing kami di sini. Ya Allah kami memohon kepadaMu di bawah kepimpinan beliau sekolah akan menjadi lebih cemerlang dan terbilang dalam kurikulum dan kokurikulum. Di bawah kepimpinan beliau, akhlak, sahsiah, disiplin dan amalan moral kami juga turut cemerlang dan terbilang. Dan yang lebih penting daripada itu ya Allah 

di bawah kepimpinan beliau kami semua menjadi hambaMu yang taat pada perintahMu dan meninggalkan laranganMu, kami terlepas daripada azab api nerakaMu. Ya Allah jadikanlah beliau pemimpin yang dapat melaksanakan keadilan supaya beliau termasuk dalam golongan mereka yang Engkau janjikan akan mendapat naungan arasyMu di akhirat nanti.

Ya Allah jadikah kami semua senang dengan beliau dan beliau senang dengan kami, jadikanlah kami kasih kepada beliau dan beliau kasih kepada kami, jadikanlah kami orang yang sentiasa menjaga kebajikan beliau dan beliau menjaga kebajikan kami. Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami kemudahan kepada kami untuk menjalankan dan melaksanakan arahan beliau yang tidak bercanggah dengan syariatMu dan dalam masa yang sama kami tidak mengabaikan ibadat dan tanggungjawab kami kepadaMu.

Ya Allah berilah kesedaran dan kefahaman kepada kami bahawa hidup ini sangat singkat, hidup ini hanya sementara. Darjat, pangkat dan kebesaran, harta,emas permata, istana mahligai, anak-anak, isteri dan suami kami, semuanya akan meninggalkan kami atau kami akan meninggalkan semuanya, mana dahulu mengikut ketentuanMu. Oleh itu janganlah jadikan apa yang kami miliki hari ini sebagai bebanan kepada kami, menjadi penghalang untuk kami beribadat kepadaMu, menjadi pengahalang untuk kami masuk ke dalam syurgaMu.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang soleh wa musleh, bantulah kami untuk menjadi orang yang soleh wa musleh, bantulah kami ya Allah untuk menjadi orang yang soleh wa musleh.

Ya Allah berikanlah hidayah dan taufikMu kepada mereka yang belum memilikinya agar kami semua dapat bertemu di syurgaMu nanti.


Dan setiap dari kita adalah pemimpin T___T.