16.8.11

TRAVELOG MUHAMMAD

Muhammad hebat yang diredhoi Allah dan Rasul!
Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran di atas nikmat teragung iman dan islam yang mudah-mudahan terpelihara sejahtera sehingga kita kembali bertemuNya yang entah bila. Memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang sentiasa membara dengan semangat Deen, Kita merupakan satu golongan yang dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita.

Tarbiyyah mengajar ibu yang aqidah itu datang dahulu sebelum ibadah. Tarbiyyah juga mengajar ibu, bagaimana didikan aqidah yang mantap bisa menghasilkan mujahid mujahiddah yang hidup hanya mengharapkan keredhoan Allah. Kebanyakkan kita hari ini beribadat tanpa ada 'rasa' dan tahu kenapa Allah menyuruh kita beribadah. Sebab utama ketidak hadiran rasa ini ialah, kita sebagai manusia tidak pernah untuk mengenali Allah dengan penuh mendalam. Maka, ibadah di dalam Ramadhan hanya tinggal ibadat tanpa istiqomah. Suka ibu ulang petikan kuliah ilmu yang ibu dengar semasa memandu pulang dari mencari redho Allah beberapa hari sudah, kita adalah hamba Allah dan bukan hamba Ramadhan. Ramadhan hanyalah sebuah madrasah perubahan dan momentum hidup beraqidah untuk terus istiqomah walaupun Ramadhan pergi meninggalkan kita.

TRAVELOG MUHAMMAD adalah sebuah catatan kajian ibu terhadap Muhammad yang insyaAllah dididik hidup beraqidah dan mencintai sunnah Rasulullah SAW sejak di alam rahim malah sebelum itu lagi. InsyaAllah, ibu dan ayah sedayanya untuk meletakkan kepentingan hidup beraqidah dan mencontohi sunnah dalam menjana potensi muslim yang unggul untuk mengembalikan generasi anak-anak yang cerdik, cerdas, berani untuk menegakkan agama Allah persis seperti generasi zaman awwal. Selain sedaya mungkin mencontohi syariat kelahiran dan pelbagai sunnah anjuran Rasulullah SAW, kajian ibu juga merangkumi kepentingan penjagaan makanan bukan sahaja untuk kesihatan jasmani tetapi fokus utamanya adalah  kesejahteraan hati. Sememangnya kita disuruh untuk mencari makanan yang bukan sahaja halal malah toyyibah sebagai seruan membina muslim kuat yang dicintai Allah.

Walaupun, kajian sulung ibu telah banyak diganggu, namun, ianya tetap tidak melunturkan semangat ibu malah ibu tidak teragak-agak mahu mengatakan yang ayah dan ibu bukan sahaja mahu melahirkan anak-anak yang membesar seperti kami, tetapi kami mahu melahirkan ulama yang bakal memimpin ummah pastinya dengan izin Allah. Generasi Al-Quran merayap! Dengan erti kata lain, susuk tubuh seorang manusia yang FAHAM akan hakikat tuntutan Al-Quran yang sebenar. Ibu percaya, rumah adalah madrasah (sekolah) pertama dalam menjana potensi unggul muslim yang hebat yang dicintai Allah dan Rasul insyaAllah! Harapan ibu, semoga Allah sentiasa mengurniakan ilmuNya tanpa henti dan sentiasa melorongkan, memudahkan perjalanan tarbiyyah ini sebagai panduan untuk ibu dan ayah dalam mencorakkan TRAVELOG MUHAMMAD insyaAllah!

Terima kasih kepada nenek dan maklong Muhammad yang dengan izin Allah memberikan inspirasi judul kajian ibu ini sebagai TRAVELOG MUHAMMAD sebagai sokongan untuk ibu terus menulis dan terutama kepada ayah. Ayahlah orang yang mula-mula sedar kecenderungan minat menulis ibu dan menyarankan untuk belajar menulis dengan seorang pensyarah yang juga merupakan seorang penulis. Namun ibu malu ditambah merasakan ilmu ibu tidak cukup untuk melayakkan ibu untuk menulis. Mudah-mudahan, blog Bayt Al-Iman merupakan tapak permulaan pengembaraan dunia penulisan ibu insyaAllah! InsyaAllah ibu akan cuba menulis semula pengalaman mengandungkan Muhammad sehingga Muhammad setahun sebagai episod permulaan dalam TRAVELOG MUHAMMAD insyaAllah! 

Alhamdulillah. InsyaAllah TRAVELOG MUHAMMAD merupakan penceritaan semula secara pukal yang dikumpulkan membentuk episod yang diambil dari kisah di dalam DIARI MUHAMMAD. Semoga kajian ini diredhoi Allah dan sentiasa mencurahi ibu dan ayah pelbagai ilmuNya dalam usaha mendidik Muhammad menjadi seorang hamba dan khalifah juga yang menepati piawaian Allah yang bakal merubah dunia hari menjadi sebuah dunia islam yang dipimpin oleh seorang khalifah di puncak ustaziatul a'lam seperti yang tercatat dalam sejarah. Sejarah itu adalah suatu sunnatullah yang akan berulang dan terus berulang. Mudah-mudahan ibu, ayah dan Muhammad merupakan batu-bata yang tersusun bagai sebuah bangunan yang kukuh sepertimana firman Allah, Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh, As-Saff ayat 4.

Muhammad di Masjid Muhammad.

2 comments:

IntaNBerliaN said...

bagusnya ummu muhammad ni.. suka menulis rupanya.. patutlah entry pun bagus2.. :-)

tak sbr nak baca travelog muhammad

@LeenShamsh said...

intan minat tapi tak pandai sgt..kalau ikut protokol menulis, mesti byk silap ;)