3.4.14

SOCK PUPPET

2 hari lepas.

Permulaan yang mendung yang hampir hujan. Lebih lagi ketika habis solat Zohor dan terpandang guru matematik saya sejak di darjah 5 hingga 6. Akhirnya Allah takdirkan kami rakan sejawat tetapi saya masih memanggilnya dengan panggilan keramat terhormat. CIKGU. Semoga saham jariah cikgu mengalir laju selagi saya masih berbuat baik. Emosi saya kembali terusik memikirkan waktu Asar.

Dahulu, saya selalu persoalkan mak, mengapakah makabah menghantar saya ke sekolah konvensional. Sekolah bersistem sekular (baca sekular: mengasingkan agama dan kehidupan). Kenapa tidak ke sekolah agama. Boleh jadi asbab saya pandai serba sedikit mengenai cabang ilmu-ilmu agama. Itu mak yang dahulu. Kita mungkin tidak mampu mengubah keadaan tetapi keadaan boleh sahaja berubah asbab perubahan kita. Biiznillah.

Allah didik saya. Kualiti jiwa hamba bukan terletak pada sekolah agama. Saya adalah produk sekolah konvensional yang Allah pelihara. Allah! Allah! AllaH! Iman dan taqwa itu letaknya dalam seketul daging bernama HATI. Hati-hati yang sentiasa menyucikan diri. Hati yang sentiasa berkesedaran dalam hidup beraqidah. Sayangnya Allah pada saya T___T.

Saya tahan sebak. 2 hari lepas saya melewatkan sejam waktu Asar. Begitu terasa menjadi makhluk Allah yang tidak pandai bersyukur. Sungguh Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. Walaupun dilambatkan waktu solat dengan sengaja tanpa ada kemudaratan, Allah tetap izinkan saya bernafas dengan oksigenNya secara percuma! Allah tetap izinkan segala anggota tubuh saya berfungsi dengan baik. Allah masih izinkan saya menikmati segala macam kurniaanNya. 

Nikmat Tuhanmu yang manakak kamu dustakan? T___T

Ummat hari ini lebih takut, gelabah punch card lewat tetapi apakah kerisauan kita sama apabila kita lewat punch card untuk solat awal 5 waktu? Allah! Allah! Allah! Perasaan inilah yang paling saya takuti. Takut Allah cabut rasa gerun, segan dan malu kepadaNya.

Isyarat peringatan awal Allah ketika saya sampai untuk menunaikan hakNya yang sengaja dilewatkan tanpa sebarang keuzuran 2 hari lepas. Telekong saya tiada dalam beg solat yang ditinggalkan dalam almari! Hanya tinggal kain. Terus sebak. Ingat kemurkaan Allah T___T.

Saya mencari dalam helaian-helaian telekong yang banyak. Bagaimanakah telekong saya yang cantik dalam beg tiada. Kebiasaannya telekong-telekong yang berada di dalam beg, anak-anak faham yang telekong itu semua kepunyaan mak-mak didik mereka. Akhirnya saya ketemu telekong berada di lapisan paling bawah di ampaian. 

Saya bermunajat menghabiskan zikir mathurat. Jadual bertukar lagi tetapi tidak banyak yang berbeza. Masih ada 3 waktu yang mengganggu. Saya masih dalam kasih sayang Allah. Ujian itu tanda rahmat Allah untuk meninggikan lagi martabat hamba T___T.

Kepada para pentadbir, pesan saya, hanya satu yang akan membuatkan kerajaan di bawah naungan anda berjaya cemerlang adalah hanya perlu menjaga solat di awal waktu. Anak-anak berkualiti adalah hasil kualiti makpaknya. Kualiti makpak pula adalah kualiti kehambaan mereka inshaAllah!

Saya masih ingat antara isi cerita buku MMR (mudahnya menjemput rezeki) yang mengisahkan, Nik Nur Madihah, pelajar terbaik SPM tahun berapa yang saya tidak pasti. Menurut ibunya, dia sendiri pun tidak tahu bila masakah anaknya mengulangkaji pelajaran kerana setiap kali terjaga daripada tidur, dia hanya akan lihat anaknya di atas sejadah. MashaAllah!

Allah benar-benar membantunya. Mungkin sedikit yang diulangkajinya, tetapi dengan kualiti jiwa hamba, Allah memberikan rezeki rumah dan bermacam-macam lagi kepada ibu ayahnya melalui dirinya. MashaAllah! Begitulah kualiti yang kita mahukan dalam setiap anak-anak kita.

Begitu kisah disebalik kehebatan Presiden Morsi kesayangan kita. Preseiden sah Mesir yang digulingkan oleh munafiq As-Sisi. Dikhabarkan oleh isterinya, tidak pernah melihat suaminya selain di atas tikar solat ketika sedar di awal pagi. Munajat dan merintih kepada Allah. Betapa risau Morsi dengan kerajaan yang berada di bawah naungannya. MashaAllah! Tabarakallah!

Kualiti jiwa hamba T__T.

Aktiviti 2 hari lepas. Dikambing hitamkan.

Stokin hitam ini mengingatkan saya tentang peringkat-peringkat kehidupan kita seharian. Adakah kita menjadi insan yang lebih baik dari hari semalam. Amat celakalah kita andai hari ini lebih teruk dan buruk dari semalam. Begitu juga saya. Jika sebelum ini, Allah izinkan saya mampu solat di awal waktu, maka celakalah sekiranya hari ini lebih teruk dari semalam T___T. Nauzubillah! 

Kisah stokin hitam.

Sepatutnya stokin putih. Kali terakhir saya berstokin putih mungkin di zaman persekolahan. Kali terakhir saya berstokin coklat pula di awal usia perkahwinan. Stokin hitam di atas adalah tidak valid untuk piawaian suamiku tercinta fillah. Kainnya memeri seperti stokin coklat warna kulit. Menurutnya, ianya masih menampakkan warna kulit kaki. Jadi, sejak itu saya memakai stokin hitam kerja untuk lelaki.

Ianya mengingatkan hijrah tudung ke tudung. Dari tudung sang bawal hingga tudung khemah hari ini. Tudung sang bawal di zaman kebudak-budakan. Hijrah kepada tudung bawal berlerang besar. Semasa memakai tudung ini, Allah bagai ketuk-ketuk hati saya. Tudung bawal sifatnya jarang walaupun labuh. Masih menampakkan batang leher dan skaf. Saya jadi malu sendiri kepada Allah.

Berhijrah lagi kepada tudung lerang besar dan bukan bawal. Terasa rimas kerana perlu di pin kiri dan kanan. Sehinggalah membawa kepada hijrah penuh kepada tudung khemah sehingga hari ini dengan izin Allah. Selepas walimah, suami meminta untuk ditambah dagu. Alhamdulillah hari ini Allah temukan pula dengan tudung yang lebih fleksibel yang lebih mudah untuk solat. Saham jariah buat insan yang mencipta tudung ini. MashaAllah!

Mudah-mudahan Allah kurniakan lagi tingkat hijrah ini untuk tidak dikenali dan mengenali T___T.

Kata suamiku lagi, lihatlah orang-orang alim yang amal, ieteri-isteri mereka mahal. Jarang dilihat bertempiaran. Kualiti terjaga rapi. MashaAllah saya cukup memandang tinggi mereka. Saya hanya mampu jawab, saya akan hijrah hanya dan kerana Allah dan bukan kerana sesiapa. Hijrah bersama kualiti jiwa hamba T___T.

Alhamdulillah semalam Allah kurniakan lebih baik dari kelmarin. Allah mudahkan saya solat awal waktu seperti kebiasaannya. Mohon jasa anak-anak pengawas dan mungkin selepas ini anak-anak silat pula. Ya Allah hanya Engkau Maha Pemelihara anak-anakku T___T.

Jagalah ALLAH nescaya ALLAH menjagamu T___T.

31.3.14

BUKU WASIAT

Hari ini di hadapan pejabat menanti masa pulang. Menunggu giliran untuk tekan kad.

Ketua: Saya mahu tegur sedikit (nada sopan dan lembut). Awak mengajar English. Bukan agama. Surau tidak sesuai untuk aktiviti dijalankan. Saya faham awak mahu solat awal waktu bila awak minta rehat waktu ke-6 atau ke-7. Saya bimbang apabila pemantau datang.
Cikgu: Saya biasa solat awal waktu. Bila jadi macam ini, saya memang sedihlah (air mata sudah tidak terbendung lagi). Sekiranya saya tidak boleh solat di awal waktu, saya rasakan bagaikan hamba kerja dan bukan hamba kepada Allah.

Kolam mata sudah terlalu banjir dari perjalanan pulang tadi sehinggakan sampai ketika entry ini ditaipkan. Sesungguhnya saya tidak kisah ditegur dan saya faham kefahaman kita dan cara memandang sesuatu adalah berbeza. Sekali lagi, sistem hari ini menjadikan kita lebih takut kepada manusia berbanding Maha Pencipta manusia.

Ketua saya seorang yang baik. Aurat terjaga. Semuanya baik. Saya faham kerisauan seorang pemimpin. Saya menangis bukan sebab teguran beliau. Saya terlalu sebak, memikirkan anak-anak saya yang tidak solat. Walaupun perintah untuk pukul bersyarat pada usia 10 tahun tetapi usia 7, 8 tahun adalah usia untuk pengenalan dan memupuk, menyemai kecintaan, tidak sabar-sabar menghadap Ilahi.

Cadangan beliau, masuk ke kelas dan sediakan kerja. Minta guru sebelah melihat-lihat anak-anakku yang ramai itu. Pengamatan saya, anak-anak usia ini memang tidak boleh dibiarkan lepa walaupun seketika. Asbab itu, saya lebih sanggup untuk bawa mereka semua menunaikan solat bersama-sama saya tadi.

Kedua, tunggu habis kelas sekitar 510 petang dan tunaikan solat selepas itu. Ini betul-betul ujian buat saya. Saya tidak mahu takdir pengakhiran saya dalam keadaan saya berhutang solat dengan Allah. Minta Allah jauhkan tiba-tiba terkena serangan jantung dan mati dalam keadaan melengahkan waktu solat. Allah! Lemahnya saya rasa ketika ini. T__T

Wahai puan hajjah yang saya cintai kerana Allah, kalaulah hajjah tahu betapa sayangnya saya kepada puan hajjah. Saya tidak mahu puan hajjah dipertanggungjawabkan tentang tanggungjawab kehambaan saya yang sengaja dilewatkan hanya kerana tuntutan dunia. Sekurang-kurangnya, hajjah tidak perlu menjawab bagi pihak saya. Saya terlalu ingin memudahkan urusan hajjah dengan Allah nanti sebagai pemimpin.

Maka, dosa ini adalah dosa rangkaian dan berkait-kait. Ketua saya dibawah kuasa ketua di atasnya. Ketua di atasnya adalah di bawah kuasa ketua di atasnya. Lapisan demi lapisan yang bakal dipertanggungjawabkan kelak. Bayangkanlah pemimpin negara yang bakal menjawab kerajaan dan isinya yang berada di bawah pemeritahannya. Begitu juga saya. Saya juga akan dipertanggungjawabkan anak-anak yang berada di bawah jagaan saya. Ya Allah! Seksanya T__T.

Tampak isu solat awal waktu itu remeh tetapi bukan pada saya. Mati itu terlalu dekat. Kita sahaja yang rasa kematian itu jauh kerana ianya kerahsiaan Allah. Kita tidak tahu ketibaan, asbab kematian dan sebagainya. Sungguh kita tidak dinilai pada permulaan hidup kita tetapi kita semua dinilai di pengakhiran kehidupan kita. Mati dalam taat atau lalai T__T.

Allah! Allah! Allah! Bantulah hamba ya Allah! T___T

Buku wasiat. Dan hidup ini terlalu singkat.

Nampaknya, saya perlu fikirkan semula cadangan suamiku tercinta fillah. Buat donut senang hati. Masa dhuha, solat dhuha. Masuk waktu terus solat. Hidup dengan gembira. Saya pula berfikiran lain. Saya rasakan yang sistem salah ini memerlukan kualiti insan-insan taat yang faham kepentingan hidup beraqidah untuk ditanamkan ke dalam hati anak-anak keseluruhannya. Sekiranya makpak diluar sana faham, betapa sayangnya 12 tahun anak-anak mereka dibiarkan dalam sistem yang lemah ini. Allah! Lemahnya hamba ya Allah!

Hati ini terlalu sebak.

20.3.14

PERANGAI BURUK (2) l MUZIK


13 Rabi'ul Awal 1435
15 Januari 2014
Rabu

Tarikh di pepenjuru kanan atas adalah tarikh keramat sebagai satu lagi anjakan paradigma dalam hidup saya. Hampir 3 bulan yang lalu, unta Insyirah saya dimasukkan lagi ke hospital. Kali ini dilanggar dari belakang dan suami sempat tekan pedal brek. Alhamdulillah ianya hanya melibatkan unta kami dan unta dibelakang kami sahaja.

Cedera pada 13.3.1435 hari Rabu petang selepas Asar.

Jadi, sekali lagi saya meminjam unta makku tercinta fillah. Terpaksa mak korbankan kelas mengajinya di pagi hari untuk beri laluan kepada saya. Unta mak pun sudah berumur dan selalu sakit-sakit. Sakit tidak mahu hidup. Jantung sakit kronik dan sudah diganti bateri baru. Baru-baru ini sakit kaki. Berkejar saya keluar ladang sebelum keluar semua anginnya. Keesokkan harinya pula, sakit yang saya cari sendiri. Lupa tutup lampu! Jantung pun lemah dan perlukan talian hayat.

2 kali kawan-kawan setugas bertungkus lumus memberi nyawa kepada unta mak.

Dalam 2 kejadian hari berlainan, rakan-rakan setugas saya bertungkus lumus usung keluar garaj. Cari jumper. Kali pertama ada jumper dan kali kedua, tuan punya jumper tiada di rumah. Jadi, penghabisannya tolaklah mereka beramai-ramai. Tidak mahu hidup juga. Cara terakhir, keluarkan bateri salah seorang dan pinjam untuk berikan talian hayat kepada unta mak. Alhamdulillah bernafas semula.

Allah! Dua kali saya menyusahkan rakan-rakan setugas. Dalam keadaan cuaca panas kering dan berdebu merah. Susah payah mereka hanya Allah sahaja yang mampu balas.Semoga Allah temukan kita semua kembali di dalam syurga atas kebaikkan kalian. Jazakumullah buat antum semua.

Hadiah buat kawan-kawan setugas atas kebaikan mereka kepada saya.

Permulaan khidmat saya pada tahun 1435H, saya bukan sahaja memasang hajat untuk solat tepat dan selagi mampu seawal yang mampu iaitu selepas azan, terus sahaja solat, malah, saya juga berikrar untuk buang perangai buruk saya yang ke-2 iaitu mendengar musik atau lebih tepatnya melayan nasyid!

Ada masa-masa saya sungguh mengelat dalam zikrullah. Kebiasaannya saya membaca zikir mathurat ketika memandu ke tempat bertugas. Saya akan usaha untuk menyudahkan zikir saya segera untuk mendengar berita di radio IKIM dan sebelum bermula kuliah ilmu, ada satu dua lagu nasyid yang diputarkan DJ bertugas. Jadi, saya nantikan nansyid tersebut. Khayal sendiri T__T.

Jadi, bermulanya hari pertama ke tempat kerja pada tahun ini, 1435H, saya mula istiqomah dengan zikrullah dengan bantuan tasbih ketika memandu. Ketika itu unta insyirah belum masuk hospital. Takdir Allah itu adalah sebaik perancangan. Ketika unta insyirah dalam hospital dan saya menaiki unta mak ke tempat kerja, Allah kurniakan saya masa-masa kualiti untuk menghayati dengan hati makna disebalik zikrullah kerana saya tidak pandai kendalikan radio dalam unta mak.

Zikir dengan hati yang menghayati.

Perjalanan yang memakan masa agak panjang melalui tanah merah dalam estet sawit, Allah kurniakan impak yang sangat besar dalam menghayati makna zikir. Pernah saya memandu dan ada kelompok kabus pagi berbentuk pintu gerbang yang panjang. Meremang roma saya sehingga sampai ke destinasi. Sejuk seluruh badan. Bagaikan berada di dunia yang lain.

Saya hanya membayangkan syurga Allah. Membayangkan air mengalir di bawah perut bumi. Allah! Seronoknya syurga Allah. Nikmatnya dapat bertemu dengan Allah. Cita-cita terbesar mukmin yang diimpikan saya. Bertemu Allah T__T.

Usah anggap sesuatu yang buruk Allah bagi pada kita, hanyalah sebuah kebinasaan. Sebenarnya, ianya tanda kasih sayang Allah. Unta masuk hospital, pinjam unta lain, rupanya Allah sedang merencanakan yang terbaik dalam hidup kita. Allah tarbiyyah saya dengan masa-masa tanpa radio supaya berasa seronok dengan zikrullah. Allah beri saya masa untuk bina kuasa cinta luar biasa kepada zikrullah.

Selamat kembali berkhidmat unta insyirahku ;).

Kecintaan yang mendalam dengan menghayati makna zikir, membuatkan hati saya menolak muzik walaupun nasyid. Nasyid pun ada kalanya melekakan. MashaAllah sayangnya Allah T__T.

Banyak perkara yang saya sedari hari ini, ianya telah diingatkan dan diamalkan suami saya sejak dahulu. Cuma ketika saya zaman pra dewasa, saya tidak mampu ikut rentaknya. Kami banyak berbeza mungkin asbab faktor umur dan pengalaman. Rupanya ianya adalah satu proses. Hati juga perlu ruang dan peluang untuk dilunakkan dengan izin Allah.

Dahulu saya gemar mendengar radio tetapi hanya IKIM sahaja. Saya suka mendengar nasyid-nasyid yang IKIM hidangkan. Saya tiada CD, DVD nasyid. Permintaan suami saya, nasyid dan radio, silalah dengar apabila saya seorang sahaja di dalam kereta. Sekiranya ada anak-anaknya, saya hanya dibenarkan memasang CD Al-Quran atau lebih baik tidak pasang apa-apa sekiranya tiada CD Al-Quran.

Peringatan suami kepada saya perihal muzik, sekiranya Allah jemput dalam keadaan saya sedang mendengar nasyid/radio dengan Allah jemput ketika saya sedang dengan alunan Al-Quran, yang manakah lebih baik? Mati itu tersangat dekat. Jadikan kematian kita sesuatu yang sangat bermakna disisi Allah T__T.

Saya mula terpukul dengan perangan buruk saya ini ketika heboh seantero dunia tentang 'syahid yang tertangguh', Allahyarham Ammar yang dikebumikan dengan sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayyub Al-Ansari di Turki. Dikhabarkan, ketika hembusan nafas terakhirnya, beliau sedang mendengar Al-Quran. MashaAllah T__T.

Semenjak itu, saya sedar nasihat suami saya berkenaan muzik. Saya mula membina rasa cinta kepada zikrullah. Saya mula menghayati makna zikir. Disebabkan saya belum hafizah 30 juzuk Al-Quran yang mana perlu diulang-ulang bacaan Al-Quran, zikrullah adalah jalan terbaik untuk hati saya ingat Allah. Ingat kematian untuk bertemu Allah di syurga nanti T__T.

Tepat masanya. Saya beli melalui rakan setugas kesayang fillah, Puan Nurul, Whatsup: 0177413029. Hanya RM5 untuk 100biji. RM2 untuk 33biji.

Alhamdulillah tasbih hijau itu menjadi peneman zikrullah. Perjalanan yang agak panjang pergi dan balik ke tempat bertugas lama, Allah izinkan saya habiskan zikir mathurat dan sambung dengan
1. Astagfirullah 100kali
2. Subhanallah 100kali
3. Alhamdulillah 100kali
4. Allahuakbar 100kali
5. Lailahaillah 100kali
6. Selawat ibrahim 100 kali.

Selawat Ibrahim adalah bacaan dalam tahyat akhir kita dalam solat. Menurut kuliah Ustaz Amin baru-baru ini, selawat Ibrahim ini adalah selawat terbaik. Beliau menceritakan bagaimana saudara-saudara kita membaca selawat ini ketika dikepung dalam Baitul Maqdis dan ianya menimbulkan kegerunan tentera zionis. MashaAllah dengan izin Allah khasiat selawat Ibrahim.

Dengan izin Allah juga, saya baiki diri dengan kemaskini solat, menghayati dan amal zikrullah di atas dengan istiqomah, Allah kurniakan anak-anak terutama Muhammad ketika ini, cerna ayat-ayat cinta Allah sungguh MashaAllah! Sedarlah saya, mak perlu banyak berkorban untuk anak-anak. Doa mak-mak lebih makbul berbanding ayah. Mak perlu mujahddah banyak perkara.

Sungguh redho Allah kepada anak-anak berkait rapat dengan amalan seorang mak T__T.

19.3.14

WW- TANDA HATI DIY

Hari terakhir. T__T

Semalam Allah izinkan sempat siapkan tanda hati Do It Yourself untuk anak-anak. Fikir punya fikir, Allah ilhamkan untuk hadihi anak-anak dengan sapu tangan. Kesat air mata T__T.

Penanda buku DIY ;).

Pengesat air mata T__T.

Hasilnya :D.

Bila anak-anak yang dapat hadiah sapu tangan, maka, makpak kepada anak-anak juga mahu juga. Semalam juga, saya cari sapu tangan istimewa buat kawan-kawan T__T.

Penanda mata buat rakan-rakan.

Sapu tangan kek cawan. Ada 2 helai. Tidak cukup satu, ada lagi satu kesat air mata :D.

DIY kenangan buat kawan-kawan.

Penanda untuk buku rekod sendiri. Ilham dari Allah tiba-tiba :D.

Semoga bertabah. Wahai hujan, sila jangan lebat T__T. InshaAllah entry tertangguh hari-hari akhir sebelum berakhirnya episod khidmat dalam ladang sawit menyusul dengan izin Allah. Ya Allah sayunya T__T.

16.3.14

BIAH BAHARU

15 Jamadil Awal 1435
16 Mac 2014
Ahad

Sebahagian tarikh sejarah dalam episod hidup saya. InshaAllah bermula hari ini, takdir Allah membawa saya kepada suasana baharu, rakan-rakan baharu, anak-anak baharu dan pelbagai lagi yang pastinya berbeza dengan keadaan, sekeliling tempat bertugas saya selama ini. MashaAllah perkiraan Allah yang paling tepat dan berhikmah. Mudah-mudahan sangat diredhoi disisi Allah dan Ar-Rasul ;).

Dahulu saya pernah terfikir untuk cuti tanpa gaji atau meninggalkan profession ini semata-mata untuk homeschool anak-anak. Target saya mudah-mudahan Allah kurniakan hafiz-hafiz, hafizah-hafizah cilik dari rumah iman kami sahaja dahulu dan inshaAllah ilmu-ilmu lain, anak-anak boleh dapat dengan mudah selepas menguasai dan beramal dengan 30 juzuk Al-Quran.

Kepentingan memahami cara hidup beraqidah.

Namun, perspektif saya kini banyak berubah. Allah kurniakan hati yang baharu untuk saya berasa seronok dengan apa yang saya ada. Gembira dengan kerja-kerja saya dan menganggapnya sebagai ibadah. Saya mula meniatkan 24jam setiap hari sebagai ibadah dan buangkan segala kegusaran saya selama ini.

Tambahan pula, Allah mengizinkan anak-anak melalui episod cernaan-cernaan ayat-ayat cinta Allah dengan begitu cantik walaupun saya berkerja, mengajak saya merenung semula. Maha Suci Allah. Betapa kita hanya perlu menunaikan hak-hak Allah ditempat sepatutnya dan inshaAllah Allah membuka jalan keluar buat kekusutan kita inshaAllah.

Dahulu saya begitu kusut memikirkan rasuah-rasuah. Rasuah dari segi masa. Takut terguna harta-harta awam di tempat bertugas untuk keperluan peribadi. Elektrik dan air. Semuanya menjadi ketakutan saya untuk menjawab sekiranya saya menggunakan dengan berkadaran untuk diri saya sendiri saya sebagai pekerja di tempat kerja.

Hakikatnya, kerjalah apa pun, kita memang akan disoal. Malah setiap apa yang kita kerjakan akan dipertanggungjawabkan kelak. Jadi, solusinya, bekerjalah dengan gembira dan menganggap ianya satu ibadah dan peliharalah hak-hak Allah sebaik mungkin supaya 24 jam yang Allah beri, dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan menjadi salah satu saham jariah berpanjangan buat kita inshaAllah.

Sedarlah saya mengapa orang-orang dakwah yang memang dan terlalu sibuk dengan kerja-kerja dakwah yang berprofession sibuk seperti doktor, pensyarah dan pelbagai lagi, tetapi anak-anak mereka 'menjadi'. Anak-anak Allah kurniakan hafiz-hafizah, berjaya akademik, akhlak mantap dan soleh solehah belaka.

Barulah saya mengerti kepentingan kefahaman nilai perkataan 'ibadah'. Makpak mereka faham dakwah ini adalah sunnah terbesar Rasulullah SAW. Penat lelah mereka menyeru makruf mencegah mungkar, Allah balas melalui anak-anak yang elok akhlak dan berjaya. MashaAllah! Baiknya Allah T__T.

Semoga kita semua bermanfaat buat orang lain sebagaimana Shaikh Muhammad meringankan tugas ibu ayah dengan mengangkat jemuran kerana Allah :D.

12.3.14

WW- UBAT NYAMUK ALAMI VERSI JIMAT

Asbab harga lemon yang mencecah RM1.50 sebiji, maka kita sebagai mak-mak yang prihatin perlulah pandai mencari kaedah selamat lagi bijak supaya dapat menggunakan bahan secara maksimum sehabis baik. Kali ini saya hiriskan nipis lemon untuk 3 bekas yang diletakkan di tempat-tempat kesukaan sang nyamuk yang kenyang malam tadi. MashaAllah semuanya berat mahu terbang pagi tadi.

Tahan 2 hari.

Caranya, sebelum tidur untuk penggunaan malam kedua, silalah picit lemon tersebut supaya airnya keluar dan berpadu dengan bunga cengkih untuk menghasilkan aromanya tersendiri. Pada pemerhatian saya, lemon hirisan nipis ini mampu bertahan selama 2 malam dengan izin Allah pastinya dan sebiji lemon ini, boleh digunakan untuk tempoh seminggu. Jadi, kita memerlukan 4-5 biji lemon sebulan.

Jadi, kos untuk ubat nyamuk alami setiap bulan lebih kurang RM12 termasuk kos bunga cengkih. Seperkara lagi, saya memang letakkan satu bekas, betul-betul di atas kepala saya :D. InshaAllah kita ikhtiar, Allah sahajalah yang berkuasa menghalau nyamuk. Jadi, jangan berhenti berdoa dan terus berdoa agar nyamuk segan minta darah kita di musim-musim nyamuk ini :D.

5.3.14

WW- DVD 30 JUZUK AL-QURAN

Alhamdulillah baru sahaja sampai.

Muhammad paling seronok terima hadiah DVD baharu. Dia sangat teruja dengan set DVD yang qarinya Shaikh Abd Rahman Sudais kerana ianya berbeza dengan set DVD yang pernah ada dalam rumah iman kami. InshaAllah satu set untuk dimakmurkan di Bayt Al-Iman. Satu set di rumah pengasuh mereka. Satu set lagi KIV untuk perancangan seterusnya.

Senarai mak-mak yang telah membuat tempahan:
1. Ummu Muhammad
2. Ummu Muhammad
3. Ummu Muhammad
4. Ummu Khalisah
5. Ummu Danial
6. Ummu Amna
7. Ummu Abdurrahman Abid
8. Ummu Alisha
9. Ummu Rayyan
10.

Saya sengaja tempah DVD yang qarinya Shaikh Mashari asbab menurut tuan kedai, ianya lebih diminati kerana bacaannya perlahan dan mudah untuk ikut bagi sesiapa yang ingin menghafal inshaAllah. InshaAllah ada kelapangan waktu yang berkat, saya akan poslaju DVD mak-mak sekalian esok.