6.5.11

SABAR ITU SYURGA!

Halaqoh Bayt Al-Iman selepas subuh di hujung minggu lepas berjalan seperti biasa dan ada sahaja cerita dan perkembangan terbaru dalam dan luar negara yang menjadi topik perbincangan kami. Pendek kata, saya banyak update info-info terkini melalui suami, melalui pembacaan sendiri selain bersama 'keluarga kecil' setiap minggu insyaAllah!

Cari Kampung
Cerita di subuh lepas mengisahkan ada seorang lelaki yang sedang mencari sebuah perkampungan dan dia terserempak dengan seorang lelaki lalu bertanya "Adakah kamu seorang hamba?". "Ya", jawab lelaki tersebut. "Tahukah kamu perkampungan yang berdekatan",tanya lelaki yang mencari perkampungan itu lagi. "Disana". Dushh! Lelaki yang menunjukkan perkampungan itu makan sebuah penumbuk kerana menunjukkan TANAH PERKUBURAN yang berdekatan.

Wali ALLAH
Lelaki yang mencari kampung itu berlalu dan bertemu seorang lagi lelaki. Lelaki itu bertanya, "Tahukah siapa yang telah engkau tumbuk tadi?". "Tidak", jawab lelaki yang mencari kampung tadi. "Itulah Abdullah Ibnu Adham. Wali Allah!". Lelaki yang mencari kampung itu dengan segera berpatah balik untuk memohon kemaafan atas kekasarannya tadi.

Hamba Dan Perkampungan Kekal Abadi
Lelaki tadi: Bukankah tadi aku bertanya siapakah kamu, kamu mengaku seorang hamba?
Wali Allah: Ya betul. Aku HAMBA kepada ALLAH!
Lelaki tadi: Mengapakah engkau menunjukkan tanah perkuburan apabila aku bertanyakan kampung yang berdekatan?
Wali Allah: Sesungguhnya di situlah perkampungan yang kekal abadi.

Sabar Itu Syurga
Lelaki tadi memohon kemaafan kepada Abdullah Ibnu Adham tetapi jawapan yang indah hasil daripada akhlak yang sejahtera sungguh mempersonakan. "Aku telahpun memaafkanmu sejak kamu menumbuk aku. Aku bersabar tanpa balas. Sesungguhnya syurgalah yang paling layak bagi orang yang bersabar. Tidak mungkin aku masuk syurga dan membiarkanmu ke neraka. Jadi, aku memaafkanmu supaya dapat bersama masuk ke dalam syurga". Subhanallah!

Kisah Adik Junior
Saya menerima mesej daripada seorang adik junior saya dahulu beberapa bulan yang lepas. Saya faham sungguh keserabutan perasaan dan fikirannya ketika itu. Jika saya tidak silap, dia mengadu sama ada dia telah dipulaukan oleh rakan baiknya sendiri atau kawan-kawan sekelasnya. Saya pun kurang pasti punca utamanya.

Nasihat Saya
Saya cuma mampu mengatakan yang Rasulullah lagi hebat ujiannya berbanding kita. Apalah sangat ujian ini dari Allah. Dimana-mana pun kita akan berhadapan dengan situasi ini. Bukan semua orang suka kita. Kadangkala kita baik dengan seseorang, tiba-tiba orang itu dingin dengan kita tanpa sebab. Ianya semacam sunnatullah kehidupan. Apa yang saya boleh katakan, bersangka baiklah! Ini baru suasana di alam kolej, dan apabila sampai masa dia terpaksa mengharungi dunia luar yang lagi hebat suasananya. Anggaplah ini tazkirah Allah untuk menguatkan hati dan terapi diri agar lebih dekat dengan Allah. 

Surat Kemaafan
Sesungguhnya doa itu adalah senjata mukmin yang paling mustajab! Saya pernah menerima 2 pucuk surat daripada kawan saya yang sama tetapi berlainan peristiwa di zaman belajar. Keduanya dialamatkan ke rumah walaupun saling jumpa setiap hari ketika zaman belajar. Surat menyatakan kemaafannya kerana perbuatannya. Memang dengan tiba-tiba kawan saya tidak menegur dan buat seperti tidak kenal. Saya sendiri kurang pasti puncanya. Disinilah saya katakan, sekiranya kita tidak bersalah, insyaAllah semuanya akan seperti biasa kerana kita tidak 'mengganngu' mereka. Berdoalah! Minta kepada Allah! Sekiranya kita dipihak yang haq, insyaAllah Allah akann tunjuk juga kebenarannya tidak kira cepat atau lambat, yang penting minta apa sahaja kepadaNya!

Kita Bukan Malaikat!
Muhasabah iman itu perlu. Kita semua bukan malaikat! Maafkanlah kawan-kawan kita dan berdoa semoga mereka juga memaafkan kita. Mungkin ada cara kita yang tidak betul. Begitu juga mereka. Kita tidak akan rugi dengan bersabar. Ingatlah prioriti kita banyak lagi yang perlu difokuskan. Berapa banyak orang Islam hari ini yang hanya pada nama? Berapa ramai orang yang telah murtad? Berapa ramai gadis-gadis yang punya anak tidak sah taraf? Kita banyak lagi 'tugas' dari mengambil hati dengan cakap-cakap orang. Janganlah bazirkan masa hanya dengan melayan perasaan secara melampaui batas.

Saling Mendoakan
Sebagai muslim, kita memang memerlukan doa daripada saudara-saudara seislam kita yang lain. Mintalah semua orang yang kita kenal mendoakan kita. Kita tidak tahu doa daripada hamba Allah manakah yang akan dimakbulkan. Semoga kita sama-sama mendapat keredhoan Allah dan menikmati syurgaNya insyaAllah!

No comments: