3.8.09

ISTERI BUAT SUAMIKU

Dahulu
Adik itu pernah berkata
Andai aku menikah
Dia bersedia menjadi kedua
Kerana yakin
Solehnya lelaki itu.

Adik-adik kesayanganku
Dalam halaqoh kasih sayang
Merungut
Betapa susahnya bertemu sang soleh
Umpama mencari kotak hitam Air France
Sebagai punca terhempasnya pesawat
Yang tidak ditemui sehingga kini
Kerana mahukan soleh perlulah solehah!

Dan aku
Bukan prejudis
Andai lengkap cirinya
Cukup syaratnya
Pintu pondok ini kubuka
Kerana kutahu
Dunia ini sementara
Tidak perlu dikejar
Tidak perlu diturut
Kerana kuiingin berlari mendapatkan akhirat
Dan dunia pasti mengejarku.

Pencarianku
Wanita-wanita
Bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah dan Rasul
Yang begitu memperhalusi mutu solatnya
Tidak melambatkan waktu
Dihiasi solat-solat sunat rawatib
Sentiasa mendahulukan hak Allah
Mendahulukan hak dia
Sebelum mendahulukan hak-haknya.

Pencarianku
Wanita-wanita
Berpuasa sebulan Ramadan
Disulami puasa-puasa sunat
Pandai menjaga perutnya
Mengikut sunnah
Kerana Nabi saw berpesan kepada Aisyah ra
*Wahai Aisyah, apakah kamu tidak ada kesibukan yang kamu sukai selain daripada mengurusi perutmu? Makan dua kali dalam sehari adalah sikap berlebih-lebihan dan Allah tidak menyukai orang-orang yang suka berlebih-lebihan. (HR Al-Baihaqi)

Pencarianku
Wanita-wanita
Yang auratnya dijaga
Bertudung labuh bulat
Ala-ala telekong solat
Berseluar, berskirt labuh di dalam
Dibaluti jubah kusam diluar
Kerana inilah definisi menutup aurat sebenar
Pada pandangan dia.

Pencarianku
Wanita-wanita
Istiqomah memeriahkan sepertiga malam
Bertahajjud diakhiri witir
Tidak banyak tidur dan lalai
Sentiasa menghidupkan sunnah
Yang sangat-sangat dianjurkan Rasulullah
Sebagai benteng ketahanan
Sebagai kekuatan diri
Dari serangan iblis dan syaiton laknatullah.

Pencarianku
Wanita-wanita
Konsisten dalam dhuhanya
Banyak sedeqahnya
Sentiasa berzikir
Menghiasi diri dengan sifat malu
Bersederhana
Tersangat menjaga kebersihan
Menjaga pandangan.

Isteri buat suamiku
Wanita-wanita
Yang patuh
Yang taat
Yang beribadah
Yang berpuasa
Yang janda dan yang perawan.
(66:5)

Isteri buat suamiku
Wanita-wanita
Yang begitu menjaga Allah dan Rasul
Untuk memudahkan dia yang kucinta
Berhadapan denganNya yang Maha Kuasa
Menjawab segala yang dipertanggungjawab oleh dia
Kerana keyakinanku
Pastinya kamu
Bisa menjaga dia sebaiknya
Sebagaimana taatnya kamu kepada Allah dan Rasul.

Tetapi wanita-wanita
Bilaku mengusulkan calon solehah
Dia berkata
Inginkah aku melihatnya menanggung dosa yang banyak?
Dan Dia berkata
Dirinya tidak mungkin bisa medapatkan sebaik isterinya
Itu hanyalah kata-katanya
Dia masih berkemampuan satu
Mungkin dua, tiga atau empat
Esok atau lusa
Allah penentu segalanya.

…boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (2:216)



Rujukan:
*Wasyiyatun min wasyaayaa ar_Rasul lin-Nisa’ fi Ibrahim Muhammd al-Jamal

No comments: