21.8.09

RASA ITU


Rasa itu
Aku merindukan rasa itu
Rinduku kian membara
Rasa yang entah bagaimana
Sukar untuk digambarkan
Rasa gelisah berpanjangan
Hati yang gundah resah
Air mata yang meluncur laju
Jatuh berguguran bagai hujan
Hadirnya ia membawa sinar
Kerana ia segalanya bermula.

Rasa itu
Mengajakku merenung diri
Membawaku jauh pergi
Sehingga sanggup mati
Hanya kerana aku ingin sekali
Bertemu Allah dan Rasul secepat mungkin.

Rasa itu
Lintasan hati yang luar biasa
Getaran yang dahsyat
Diri dirasakan ditolak suatu kuasa Maha Besar
Hati kian menggelabah
Tiada tenteram
Tiada dayaku untuk menafsir
Sehinggalah kutemu jawapan
Adakah ini hidayah?

Rasa itu
Dan aku masih dengan rasa itu!
Kucari persoalan hati yang buntu
Dan ketemu jawapan
Dalam kegelapan malam
Sebulan lamanya
Sebelum ramadhon hijrah
Kuhadap diri yang hina dina
Kusujud penuh kehambaan
Doa kupanjat
Kalamullah peneman setiap waktu
Dan kutemu jawapan itu.

Rasa itu
Membawaku sejauh ini
Mengenal solat malam
Mengenal mathurat
Mengenal dhuha
Mengenal kalamullah
Mengenal majlis ilmu
Mengenal usrah
Aku cukup terpanggil
Setelah jalan yang kian luas dibukakan
Sedikit demi sedikit
Dan hijrah itu sungguh bermakna
Moga diberikan kekuatan
Untuk terus istiqomah.

Rasa itu
Sesungguhnya bermula dengan majlis ilmu
Kata-kata mua’lim sungguh terkesan
Sehingga air mata tiada tertahan
Dan hati mula tiada tenteram
Aku berusaha merebut cinta Allah semula
Kuyakin janji Allah itu benar!

Rasa itu
Memanggilku saban waktu
Setiap kegelisahan
Terjawab sedikit demi sedikit
Dan kuyakin inilah hidayah!
Lintasan hati tanda kasihNya
Kekuatan dari Maha Esa
Sehinggaku mampu
Mengubah paradigma
Lahirku adalah baru
Setelah ramadhon itu.

Rasa itu
Adalah dari hati yang mahukan Allah
Hati yang menuju Allah
Dan sesungguhnya anggota badan adalah pengikutnya
Kerana ghairahnya hati kepada Allah
Kesukaan Allah adalah kesukaanku
Kebencian Allah adalah kebencianku
Keyakinan mendalam kepadaNya
Aqidah yang diperkukuh
Maka lahirlah zahir yang bersyariat
Asbab batin yang sejahtera.

Sabda Rasulullah saw:
*Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan apabila ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad, ketahuilah segumpal daging itu adalah hati. (HR Bukhari dan Muslim)

Benar!
Inilah hidayah!
Hidayah ini sangat mahal harganya
Ianya bukan mudah
Ianya sangat sukar
Ianya memerlukan pengorbanan
Memerlukan hijrah
Kekuatan yang bukan sedikit
Kerana banyaknya syaiton-syaiton
Jin dan manusia
Menjadi duri di sepanjang perjalanan
Hijrah bertemuNya.

Inilah hidayah!
Begitu mahal buatku
Ku tak sanggup kehilangannya kembali
Kerana untuk mendapatkan
Aku sungguh terseksa
Persekitaran yang bukan roh Islam
Dikelilingi suasana penuh dugaan
Kupanjatkan kesyukuran
Allah masih sayang
Membimbing sejauh ini
Hanya Allah tempatku mengadu.

Jalan ini
Bukan jalan mudah
Kemanisannya bukan di sini
Kerana kuharap syurga yang penuh nikmat
Hanya redho dan rahmatNya kupinta.

Jalan ini
Dirintis dengan kepayahan
Bukan dari warisan
Kerana itu ianya amat bernilai
Dan aku bersyukur
Digerakkan dari satu fasa ke fasa yang lain
Moga Allah sentiasa bersama
Ya Allah!
Kurindukan rasa itu
Kurindukan ramadhon itu.

Doa kupanjat
Dikurniakan pendamping soleh
Agar aku terus kuat
Yang amal di atas manhaj al-Islam
Yang punya sama matlamat
Yang mahu baitul muslim dipenuhi barakah
Dihidupkan dengan roh Islam
Dimeriahkan mujahid-mujahid yang ramai
Untuk bertebaran keserata bumi
Diseluruh pelosok dunia
Hanya kerana cinta kepada Allah
Hanya kerana cinta kepada Rasul
Allahuakbar!

Dan rasa itu
Terasa sepeti menjenguk kembali
Dalam suasana berbeza rupa
Kuharapkan ramadhon ini
Lebih bermakna
Lebih indah
Lebih baik daripada ramadhon itu.

Ramadhon ini
Kian terasa bahangnya
Lebih bahang dari ramadhon itu
Kerana ramdhon ini
Kupunya teman
Penguat azam penaik semangat
Penyemarak suasana
Kuharap hidayah lagi
Hidayah yang lebih bermakna
Hidayah yang membawaku
Lari semakin dekat kepadaNya
Istiqomah menuju Allah dan Rasul.

Ahlan Ya Ramadhon!


Rujukan:
* Hadith Arba'in An-Nawawiyah dan Terjemahannya

No comments: