25.4.15

KEBERKATAN

Teringat pesan mak dan mak mertua yang mana anak-anak mereka rapat-rapat. Kedua ibu kami ini menasihatkan untuk belajar dari pengalaman mereka. Ayat-ayat sentap mak buat kami adik-beradik, jangan beranak untuk merosakkan ummat. Melaram bukan main, bagi anak main play station tetapi anak-anak tidak diajar mengaji, aurat anak-anak tidak terjaga. Tiada kualiti.

Bukan menolak rezeki tetapi artikel tulisan Ustaz Dr Abu Anas Mandani ini, cukup memahamkan kami maksud mereka. Ianya demi sebuah keberkatan.

**************************************************

Adik Beradik!

Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan. Selawat dan salam atas Rasul junjungan pada hari jumaat yang penuh keberkatan.

Nabi Yusuf Alaihissalam mempunyai 11 orang adik-beradik. Malangnya, adik-beradiknya yang ramai itu telah mengkhianati dan membuangnya. Sebaliknya yang berlaku, saudara kandung Nabi Musa Alaihissalam iaitu Nabi Harun Alaihissalam yang hanya seorang itu, tetap berdiri teguh dan setia menguatkan saudaranya.

Kerana itu, pohonlah daripada Allah swt KEBERKATAN pada diri sendiri, harta benda, anak pinak, keturunan, persaudaraan, silaturrahim serta rezeki. Sama ada ianya SIKIT ataupun BANYAK kerana, bukan BANYAK yang menjadi ukuran. Tetapi KEBERKATAN yang lebih bernilai.

KEBERKATAN, salah satu tentera halus daripada tentera-tentera Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang banyak. Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengirimnya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Apabila ia kena pada harta, harta jadi banyak. Apabila ia ada pada anak-anak, anak-anak jadi elok. Begitulah juga keberkatan itu menyebabkan tubuh badan yang sihat, masa yang diisi dengan ketaatan dan kebaikan. Seterusnya menyebabkan hati merasa bahagia.

Ya Allah, kami pohon kepada Mu keberkatan pada diri kami dan segala pinjaman Mu kepada kami.

Kredit: Ustaz Dr Anas Mandani / Ustaz Basit

No comments: