1.5.15

TIDAK LAGI JELITA NAN ORGANIK

Inilah penulisan yang nama perempuan. Tidak lari dengan emosi. Reaksi spontan zauji dengan entry terbaru. Tidak sepatutnya menulis begitu. Sepatutnya saya boleh nampak implikasi kehadapan dan lebih berhati-hati dalam menulis dan paling penting, berhentilah sebut dirinya. Zauji, zauji (baca nada mengejek pakej dengan muka menyampah).

Bercerita kisah implikasi kehadapan, seiring dengan pertambahan usia, Allah izinkan saya banyak berfikir nasihat-nasihat mak dan suami sebelum melenting seperti dahulu. Banyak yang saya terlepas. Terlalu banyak cerita saya kongsikan sehingga menggambarkan kehidupan saya hampir sempurna sedangkan dalam kebanyakkan masa, realiti itu tidak seindah seperti yang digambarkan dalam cerita.

Contoh mudah zauji. Buat kek atau biskut atau apa sahaja dengan anak, sedikit-sedikit ambil gambar. Gambar pula menceritakan betapa hebatnya didikan si ibu dan ayah. Anggapan kebanyakkan orang, seolah-olah anak yang baharu umur setahun dua itu berkebolehan luar biasa. Walhal, hakikat sebenarnya, anak-anak hanya tuang sahaja resepi, selebihnya si ibu yang buat, membersihkan dan paling zauji menyampah, sibuk ambil gambar masuk dalam blog!

Indah rupa dari khabar sebenar. Tidak ada kerja! (Berleter zauji zaman dahulu dengan kekerapan tinggi berbanding sekarang :D). Dipihak saya, konon-konon berkongsilah. Hakikatnya, bahayanya disini adalah anggapan orang yang membaca. Mereka yang membaca sentiasa tertipu dengan situasi sebenar ala-ala cerita novel di alam rumahtangga. Sama ada yang islamik atau tidak, semuanya indah belaka. Walhal, hanya yang telah berumahtangga faham keindahan rumahtangga itu tidaklah seperti indahnya cerita dalam novel.

Maka, Alhamdulillah dengan nikmat umur yang semakin bertambah, saya semakin nampak keperluan dalam membataskan hal-hal bersifat peribadi yang lebih elok didiamkan sahaja. Begitu juga perihal jagaan makanan. InshaAllah saya mohon maaf dan mohon dilupakan apa-apa sahaja pegangan saya berkenaan pemakanan kami sekeluarga. Mulai hari ini, ingatlah saya si hodoh yang tidak lagi jelita apatah lagi organik.

Bukan bermakna kami tidak lagi mengamalkan pemakanan sihat tetapi ianya lebih kepada takut ianya menjadi fitnah besar buat yang mengamalkan pemakanan sihat dan sunnah secara sungguh-sungguh. Makanan sunnah adalah makanan Rasulullah SAW yang mulia. Rasulullah SAW tidak makan makanan selain makanan-makanan yang baik sahaja sedangkan kami, saya ambil contoh kami paling mudah, masih ada makan diluar yang bahan-bahannya 'tawakkal tu'alallah' dengan mohon mereka tidak memasukkan ajinamoto. Begitu sahajalah. Ada juga makanan yang tiada dirumah tetapi dipelawa rakan-rakan, saya jamah sedikit.

Ditakuti asbab bercampur begini, ianya menjadi asbab fitnah besar kepada makanan sunnah yang begitu mulia dimakan oleh Baginda SAW. Selain itu juga, belum tentu juga makanan yang kita sangkakan sunnah benar-benar jujur kandungannya kerana ditakuti dicampur dengan bahan-bahan yang kita sendiri memang sangat mengharap Allah bantu hati-hati kita untuk membuat pilihan yang baik hanya dan kerana-Nya. Inilah juga menjadi asbab, siapapun dan apapun pengamalan keluarga kami, mohon dilupuskan ingatan berkenaannya.

Sama jugalah dengan anak-anak. Anak-anak kami masih terlalu kecil untuk dipandang berjaya hanya kerana Allah izinkan mereka memuntahkan semula VCD Al-Quran yang mereka tonton setiap hari. Ukuran kejayaan buat mereka terlalu awal hanya kerana dikaitkan dengan pemakanan. Mungkin faktor pemakanan menyumbang tetapi untuk ukuran akan datang, kami tidak tahu. Mohon Allah pelihara dan hiasi mereka dengan akhlak Al-Quran sampai syurga sahajalah.

Saya ambil kata-kata sahabat saya berkenaan ceramah yang dihadirinya, kaunselor berkenaan menyifatkan ibu bapa zaman sekarang terlalu expose anak-anak mereka sehingga menjadi tekanan kepada anak-anak kerana kita tidak tahu sama ada anak-anak kita redha atau tidak dengan cerita, kebolehan atau kekurangan mereka dihebahkan kepada umum. Tanpa kita sedar kita sebagai ibu bapa telah menceroboh kehidupan peribadi anak-anak kita sendiri. 

Pengalaman dan kesilapan bukan orang lain. Ini kesilapan yang saya buat sendiri sebelum ini yang saya mohon anak-anak saya mohon ampunkan kesalahan besar saya buat mereka. Apa yang pasti selepas saya padam cerita-cerita mereka, Allah izinkan suasana sangat positif berlaku yang mashaAllah, saya pasti anak-anak saya memang sangat tidak redha cerita mereka dijaja oleh saya sebelum ini.

Isu apa sekalipun sama ada cara pemakanan, didikan anak-anak, isu vaksin, yang masih berleluasa di blog ini, mohon dilupakan sahaja dan inshaAllah saya tidak berani untuk respon berlebihan kerana semuanya luar dari bidang apatah lagi kepakaran saya.

Jom Al-Kahfi. Salam Jumaat.

6 comments:

CadaLoRa said...

sedihnya. setiap yang puan tulis. menjadi sumber inspirasi saya.bahkan bab pemakanan dan anak2. Teruskan lah berkongsi perkara yang baik. Insyaallah besar ganjarannya

@LeenShamsh said...

Puan jgn sedih..inshaAllah apa2 sy share cuma sy inshaAllah tidak libatkan anak2 lagi..mari kita sama-sama ke arah pemurniaan hati dan kelurusan niat yang satu kerana dalam kebanyakkan masa, hati lebih banyak tersasar dari matlamatnya yang sebenar T__T.

Unknown said...

Apapun leen, niat leen hanya leen n Allah je la yang tau. Kita berkongsi untuk memberi kesedaran, dan perlu diletakkan sebelum post kita, sebarang perkongsian adalah bersifat peribadi. Apa juga entri leen sebelum2 ni dee halalkan dunia akhirat dengan setiap perubahan yg berlaku disebabkan membaca blog leen. Semoga Allah merahmati leen sekeluarga. Yep, ada perkara yg memang elok disembunyikan daripada di expose kan. Tapi ada juga perkara yg perlu di expose kan untuk membuka hati dan minda org lain yg kesempitan. Apapun the choice is in our hand. Love u till jannah!!

@LeenShamsh said...

dee...rindu fillah!
inshaAllah apa2 yg baik boleh dikongsi bersama. didikan hati adalah suatu proses berterusan kerana hati ini sifatnya berbolak balik. sedang cuba meletakkan empati dalam diri inshaAllah wa biidznillah.

Mama said...

Blog ni antara blog yg saya gemar membaca dan memberi kesedaran kepada saya,penulisan Ummu Muhammad sungguh menarik minat saya dan mengajar saya untuk beristikhomah dalam setiap perbuatan, teringin berjumpa dengan tuan punya blog suatu hari...insyaallah...

@LeenShamsh said...

Puan Mama yg dirahmati Allah :)

Berkata imam sufyan ats-tsaury:
Semua amalku yg dilihat orang sama sekali tidak aku kira, sbb betapa sukarnya bagi org seperti kita untuk ikhlas ketika mata-mata menatap, wajah-wajah takjub dan pujian menyebar.

Macam mahu gugur jantung ini T__T