12.4.15

IKHTILAT CYBER

Berkenaan status seseorang yang menjadi 'silent reader' dalam kumpulan whatsup yang bercampur antara lelaki dan perempuan yang lebih banyak langho daripada manfaat.

Sebelum ini kami pernah membincangkan isu ini dalam bulatan gembira kami. Jawapan makcik (baca: mak usrah) kami adalah sama dengan kuliah Ustaz Azhar Idrus yang mana Allah izinkan kami sekeluarga duduk dalam majlis ilmu semasa baharu sampai ke kampung halaman zauji semasa cuti baru-baru ini.

Kata UAI, orang lelaki ini cerdik dan orang perempuan sifatnya sentiasa bodoh. Jadi, apabila dalam satu kumpulan yang tidak formal, berlainan jantina memang tidak boleh. Cerdik jumpa bodoh. Saya simpulkan, yang perempuan dijadikan bahan permainan sahajalah kerana sifat perempuan yang bodoh ini tidak berfikir lajak ke hadapan sepertimana cara lelaki berfikir. Cara berfikir dan imaginasi lelaki dan perempuan sangat berbeza. Sebab itu perempuan ini banyak bodoh daripada cerdik.

Lain pula dalam kumpulan yang formal yang bercampur dan hanya membincangkan topik penting dan tidak melarat-larat sehingga boleh menjatuhkan maruah seorang perempuan apabila perbualan ada unsur lucah apabila ia melibatkan percampuran lelaki dan perempuan dalam kumpulan tidak rasmi.

Kata UAI kurang lebih begini, orang perempuan ini bodoh. Dia suka main macam budak-budak. Kira pinggan mangkuk. Perkara-perkara bodoh. Lain pula, sekiranya satu kumpulan semua perempuan. Sama-sama bodoh tidak mengapa.

Seperti jawapan mak usrah saya, sekiranya terdapat banyak perkara mungkar dalam kumpulan tersebut, kita sebagai orang yang inshaAllah ada tarbiyyah, perlulah menegur dengan hikmah dan sekiranya tidak mampu, keluarlah daripada kumpulan tersebut kerana menurut zauji, dosa mengumpat dan yang hanya senyap daripada mencegah mungkar, sama sahaja dikira bersubahat dengan si pengumpat, hilang amalan 40 tahun.

Allahu! Tidak tertanggung rasa. Usia kita pun belum cecah 40 tahun. Bagaimana jika amalan ditolak sebanyak 40 tahun? Kantung amalan negatif.

Teringat tazkirah sentap zauji semasa kali pertama saya mula menceburkan diri dalam kumpulan-kumpulan Whatsup. Perasaan teruja yang teramat sehinggakan saya dan telefon seperti kembar siam. Ketika itu, banyak perkara berubah. Tanpa saya sedar saya telah mengabaikan banyak perkara atas nama menyebarkan 'kebaikkan'. Perubahan saya disedari zauji yang mana sehingga kini Allah izinkannya masih belum terjerumus dalam kancah mengikat diri dengan media sosial, alam cyber.

Soalan zauji, siapakah yang lebih bahagia, dirinya atau saya? Sekiranya dia juga 'sibuk' sebagaimana saya, apakah yang terjadi? Seorang sahaja yang 'sibuk' dengan telefon sudah terlalu memberi kesan. Lantai tidak bersapu, pinggan bersusun, baju tidak bersidai yang sekiranya buat sekalipun, cepat-cepat capai telefon lagi dan sifat kita manusia ini lebih kurang sama sahaja.

Sambil perli dan  tazkirah sentap, menulis bukan main hebat, tetapi hakikatnya rumah tidak berkemas dan banyak orang-orang sekeliling kita yang kita remehkan. Begitulah lebih kurang. Banyak masa dihabiskan menghadap skrin telefon.

Sebenarnya satu perkara yang paling susah untuk dijaga adalah hati. Walaupun dalam kumpulan formal melibatkan bos dan pekerja-pekerja, kadangkala hati tidak bagus manusia itu datang menguji. Terdetik perkara-perkara yang mengganggu iman. Hati jadi bersangka-sangka.

Tambahan lagi sekiranya dalam kumpulan yang tidak formal. Saya pernah dimasukkan dalam kumpulan Whatsup tempat berkerja dan saya hanya mampu bertahan paling lama sehari. Hati saya meronta menolak untuk berada dalam jemaah Whatsup berkenaan. Hati saya terus jadi tidak bagus. Hati saya terus bersangka-sangka kepada admin kumpulan tersebut. Mengapa dibiarkan berlainan jantina berada dalam satu kumpulan. Apakah motif dan tujuan kumpulan ini ditubuhkan.

Saya simpulkan, lebih baik saya keluar untuk menundukkan sekeping hati ini supaya tidak bersangka-sangka sesama rakan dan paling penting, tidak terbit dalam diri perasaan diri sendiri cukup bagus dari semua orang dan kita sebenarnya mempunyai urusan yang lebih terdesak daripada menghadirkan diri dalam majlis-majlis sedemikian rupa.

Kata zauji lagi, antara sifat perempuan solehah yang baik apabila rumah menjadi tempat paling disukainya berbanding keseronokkan di luar rumah. Keluar tanpa apa-apa keperluan tetapi itu perempuan dahulu. Perempuan zaman sekarang, tidak keluar rumah sekalipun tetapi habis semua isi rumah dalam publik. Sifat perempuan yang bodoh menyebabkan golongan perempuan buat banyak perkara tidak berfikir panjang. Tidak boleh berfikir dan menjangkakan kesan dan akibat.

Ini sentap.

Dahulu saya melenting tetapi setelah umur semakin meningkat, saya mula faham larangan keras mak dan tazkirah-tazkirah sentap suami. Semuanya demi sebuah maruah untuk yang bernama perempaun. Suami berusaha dengan caranya memahamkan saya bagaimana meletakkan maruah diri di tempat teratas yang menjadikan seorang perempuan itu lebih dihormati dikalangan lelaki.

Terhormat disini, lelaki-lelaki tidak bercakap sebarangan terutama perkara-perkara lucah yang tidak bertamadun dengan kita. Tidak sibuk mencari peluang bercakap dengan asbab pembawakan diri yang cukup-cukup menjaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Teringat kata-kata pujangga indah berkaitan wanita.

Usah jadi seperti sinaran bulan yang mana terlihat indah di mata lelaki tetapi jadilah sinaran matahari yang silauannya menyebabkan lelaki menundukkan pandangannya.

2 comments:

CT Za said...

sangat menusuk kalbu :)

Mama said...

Alhamdulillah...sy suka baca penulisan saudari, sebagai isteri dan ibu sy mengambil kata2 saudari sebagai panduan bersama...