8.6.14

RAWATAN ALAMI SAKIT GIGI

Alhamdulillah kembali bersiaran setelah sesi 'rumahsekolah' edisi ke luar negeri. Negeri yang tidak asing lagi bagi kami apabila musim cuti sekolah. Semasa di awal cuti, Allah takdirkan saya sakit gigi tahap pertama. Pengalaman sakit gigi yang pertama untuk gigi kekal.

Selama ini Allah kurniakan gigi yang sihat dan bahagia berkhidmat untuk saya. Belum pernah gigi-gigi saya bertampal asbab berlubang atau karies gigi dan sebagainya. Masih cantik untuk usia yang belum begitu senja.

Allahu! Sakit gigi rupa-rupanya sakit yang boleh mengganggu satu sistem tubuh sebenarnya. Pada mulanya saya hanya membayangkan yang saya akan kehilangan gigi geraham pertama bawah kanan buat selama-lamanya. Tiada lubang. Mungkin bahagian akar yang sakit.

Satu perkara yang bermain di minda saya juga adalah takut fitnah kepada kayu sugi pula nanti. Berus gigi sekalipun, seandainya Allah mengkehendaki sakit gigi, akan sakit juga gigi kita. Rupa-rupanya, sakit gigi yang Allah kurniakan kepada saya adalah untuk menguji tahap keyakinan saya kepada sunnah kekasihNya dan juga Allah mahu mengajarkan saya cara rawatan alami menggunakan bahan-bahan sunnah untuk dikongsikan kepada anda semua. MashaAllah sayangnya Allah kepada kita.

Ini dia makanan sunnah yang saya gunakan untuk rawatan alami untuk sakit gigi. Bunga cengkih, minyak zaitun, minyak habbatussauda', cuka epal organik dan gel ais sebagai ganti ais.

Zauji menyarankan untuk saya menggigit bunga cengkih untuk mengurangkan kesakitan. MashaAllah memang terlalu sakit ketika itu. Makan pun kurang berselera. Saya juga segera bertanya kepada sahabat dunia, jiran di syurga, Puan Aza melalui SMS berkenaan apa-apa kaedah alami untuk rawatan sakit gigi. Katanya, 'oil pulling' dengan minyak zaitun atau minyak habbatussauda' selama 20 minit.

Untuk capai 20 minit bukan mudah. Kali pertama saya menggunakan minyak zaitun untuk berkumur, saya hanya mampu bertahan selama 5 minit. Kali kedua saya cuba menggunakan minyak habbatussauda' dan mampu bertahan 10 minit. Kemudian, Allah izinkan saya seronok pula berkumur lebih daripada 20 minit pagi dan malam sebemum tidur selama lebih kurang 2 minggu.

Orang putih menyarankan hasil kumuhan tersebut dibuang ke dalam bakul sampah terus dan tidak digalakkan dalam sinki tetapi saya ikut senang hati sahaja. Selain itu, kaedah berkumur ini juga adalah sesuai sebagai DETOX juga menurut Puan Aza.

Selain rawatan berkumur ini, zauji juga menyarankan untuk ditengkapkan ais di bahagian kulit luar bahagian gigi yang sakit. Allah izinkan saya untuk tekap ais ini sebanyak lebih kurang 3 kali. Sekali lagi memang sakit. Alhamdulillah selepas itu, terasa urat-urat sekitar gigi yang sakit memberi respon yang baik dengan izin Allah pastinya.

Saya juga mencari-cari info berkenaan rawatan alami untuk sakit gigi, ada juga yang menyarankan untuk ditumbuh halus bunga cengkih dan ditabur pada tempat berlubang dan sebagainya. Saya juga pernah berkumur dengan cuka dicampur air sekali tetapi tersangat ngilu dan sakit sehingga akar dan gusi. Saya hanya meneruskan kumuhan dengan minyak habbtussauda' sahaja selepas itu.

Alhamdulillah asbab disiplin berkumur selama 20 minit dan terapi ais selama 2 minggu, sakit yang terlalu sakit itu pergi juga akhirnya. Ketika ini, terasa juga sedikit sengal tetapi mashaAllah, Allah izinkan gigi yang tidak sihat itu kembali boleh menggigit makanan.

MashaAllah wa subhanallah! Takdir Allah mengatasi segalanya. Ikutkan adat manusia, sekiranya sudah sakit gigi, alamatnya memang perlu dicabut segera untuk menghilangkan ketidak selesaan kepada sistem badan. Hamdalah Allah masih izinkan gigi-gigi ini untuk berhidmat dengan cemerlang sehingga hari ini.

InshaAllah setakat ini untuk kisah sakit gigi dan rawatan alami melalui makanan-makanan sunnah yang sungguh mashaAllah wa tabarakallah! InshaAllah ada umur dan masa yang lapang lagi barakah, saya juga ingin bingkiskan kisah zauj kepada sahabat saya yang dahulunya seorang perokok tegar, akhirnya diizinkan Allah untuk meninggalkan rokoknya. InshaAllah ikuti tips sahabat saya buat mak-mak yang suami mereka adalah seorang perokok. Biiznillah.

30.5.14

WANGIAN SUNNAH

Kisah sejak mak, abah dan 2 orang adik lelaki balik umrah. Pak mertua Abu Muhammad menghadiahi wangian 2 botol panjang kurus dibeli dari Mekah. Rezeki minyak wangi sahaja pada bulan tersebut seperti tahu-tahu sahaja botol minyak wanginya yang kecil-kecil yang seusia lama perkahwinan kami semua telah kering, ada yang jatuh pecah, ditambah kini dikongsi bersama kedua shaikh kabirnya :D.

Sebelum itu, saya sendiri juga baru membeli 2 botol minyak wangi yang namanya Wangian Sunnah daripada Puan Diya. Ada 5 bauan yang menurutnya wangi-wangi semua. Asbab belum ada kecanggihan teknologi boleh bau melalui telefon dari kejauhan, jadi saya memintanya untuk pilih bagi pihak saya. Satu sesuai untuk lelaki dan satu untuk wanita.

Ini rupa minyak wangi wangian sunnah.

Sebotol harganya RM15.90

Dibandingkan dengan pak mertua hadiah dengan wangian sunnah hadiah dari puan isteri, mashaAllah wangian sunnah ini lebih tahan lama. Semerbak wangi serumah apabila 3 beranak bersedia untuk ke surau. Zauji sangat sukakan baunya dan sebotol yang untuk wanita juga milik mereka :D.

Saya memang tiada minyak wangi sejak azali. Suka bau tetapi apabila pakai mudah pening. Sebenarnya lebih kepada berhati-hati. Beberapa kali diingatkan zauji kerana ramai wanita yang berjalan meninggalkan bau sekaki koridor yang boleh menarik perhatian. Menurutnya, wanita Allah jadikan memang bersifat suka untuk melawa. Suka pakai yang terang benderang, wangi semerbak, menghias rupa dengan gincu merah menyala, atas mata ala-ala pelangi. Itu sifat manusia yang bernama wanita.

Maka, beruntunglah mana-mana perempuan yang mampu sekat fitrah untuk menarik perhatian ini dan kita juga sering diingatkan dengan hadis popular berkaitan wangian buat wanita.

(Dan telah) mengeluarkan oleh Ahmad dan Thabrani dan Baihaqi dan Hakim: Di mana-mana perempuan yang memakai bauan-bauan kemudian keluar ia, maka lalu ia atas suatu kaum supaya mendapat mereka itu akan baunya, maka perempuan itu seperti buat zina dan tiap-tiap mata memandang itu zina. [Kitab Muhimmah & Al-Mawa'izd Al-Badi'ah karangan Syeikh Abdullah Ibnu Abrur Rahim Fathani dan Syeikh Abdul Rauf Fanshuri Acheh, mukasurat 29]

Beli untuk raikan diri sendiri di rumah supaya suami senang dengan kita, datangkan pahala pula. Mandi pun tidak mengapa. Antara tahan dengan tidak sahajalah :D.

Sekiranya berminat bolehlah SMS/Whatsup/Telegram dengan Puan Diya melalui 016-4200082 atau 012-6192144. Murah dan berbaloi. Hadiahkan suami-suami kalian sempena Ramadhan. Semangat untuk terawih penuh keyakinan lagi anggun dihadapan Allah inshaAllah ;).

27.5.14

U-TURN HARI GURU 2

Sambungan U-TURN hari guru 2 yang tergenda :D. Masih saya teringat ketika menerangkan beberapa disiplin hidup kami. Terkejut besar si pengasuh. Pendek kata semuanya Muhammad dan Abdullah tidak boleh makan.

Alhamdulillah setelah melalui hari-hari mengasuh mereka, dan ada satu hari saya meluangkan sedikit masa berbual dengannya, bercerita tentang matlamat dan haluan hidup kita di dunia ini, barulah ibu guru Muhammad dan Abdullah mengerti.

Si ibu guru memang sangat terkejut. Bayangkanlah, shaikh-shaikh kabir kami telah disunatkan semenjak bayi, berus gigi mereka ialah kayu sugi, makanan yang kami beri seperti gula perang, garam pink, ayam organik dan tepung serta tidak makan sos dan kicap. Pendek kata, banyak sangat pantang larangnya.

Saya juga terangkan mengenai anak-anak yang sedang menghafaz. InshaAllah kami cukup jaga kualiti pemakanan mereka yang boleh jadi asbab mudahnya rahmat Allah turun. Setakat 4 hari lepas diusia Muhammad 3 tahun 10 bulan, Allah kurniakannya cerna surah ke-81. InshaAllah berbaki 33 surah-surah panjang untuk dinantikan.

Sebenarnya, inshaAllah saya yakin 30 juzuk telah tersemat kemas bersatu dalam hati dan tulang belulang shaikh-shaikh kabir kami, cuma untuk menantikan ayat-ayat itu keluar dari mulut mereka adalah atas kasih sayang Allah dan boleh jadi juga asbab kualiti jiwa hamba makpaknya. Contohilah makpak generasi terdahulu. Mak imam Syafie dalam mendidiknya mencintai ilmu. Ayah imam Nawawi yang begitu menitik beratkan kualiti makanan anaknya.

Mungkin asbab sedikit berhalus dalam pemakanan, memudahkan lagi proses hadam dan cerna ayat-ayat cinta Allah. Biiznillah. Dahulu, abah terutamanya suka suap apa sahaja makanan ke mulut cucu-cucunya walaupun dilarang saya. Kadangkala tidak tercakap apa. Alhamdulillah setelah melihat kesannya, Allah izinkan Muhammad dan Abdullah hadam dan cerna ayat-ayat cinta Allah dengan baik, kini, apa-apa sahaja yang mak terutama abah akan bertanya saya terlebih dahulu.

Ini boleh makan? ;D

Ini yang dikatakan kita mungkin tidak mampu merubah keadaan tetapi keadaan boleh berubah asbab perubahan kita dengan izin Allah. Walaupun mak abah tidak mampu untuk U-TURN mengikut disiplin  makanan kami sepenuhnya tetapi mereka akhirnya menghormati penjagaan makanan anak-anak kami.

Mak abah, guru pertama yang sentiasa setia menemai di sepanjang hidup saya. Guru terbaik kurniaan Allah buat saya. Walaupun tidak sempurna tetapi saya yakin Allah mengurniakan saya seorang emak dan abah seperti apanya mereka untuk saya belajar dan perbaiki mutu kehidupan seorang hamba (51:56) dan khalifah (2:30) di atas muka bumi Allah ini. Semoga apa-apa kebaikan saya dan generasi cucu cicit mereka menjadi asbab kami semua dapat meraih redha Allah di dunia dan mampu berkumpul di dalam syurga Allah tanpa perlu bersusah payah.

Hadiahkan pelapik duduk asbab mak abah sibuk kemas dan hias rumah untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Target mereka, semuanya siap sebelum masuk Ramadhan.

Nylon cable RM1.50 hadiah hari guru buat zauji :D.

Setiap hari adalah istimewa, jadi zauji tidak kisah langsung tidak diraikan apa sahaja. Semasa saya beli hadiah pelapik kerusi tersebut, dia sempat capai nylon cable, jadi, kira belanja dan hadiah :D. Terima kasih tuan guru dunia dan akhirat kerana sabar dalam mendidik kanak-kanak ini menuju kepada fasa seorang dewasa haha!

Akhir sekali, doa dan amal jariah berpanjangan buat kesemua guru-guru yang mendidik saya tidak kira apa pun cabang ilmu terutama allahyarhumah tok guru Al-Quran yang begitu cantik mengajar saya Al-Quran siap tajwid yang sangat berguna untuk saya beramal menuju kehidupan yang abadi di sana serta murabbi dan murabbiah yang mengenalkan saya dakwah dan tarbiyyah menjadi asbab saya jelas dan lebih menghayati matlamat kehidupan seorang manusia sebagai hamba dan khalifah. Jazakumullah!

Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasullullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut didalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan didarat dan laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia." ( Riwayat al-Tirmizi)

Hadiah saban tahun. Tahun depan perlu pesan awal-awal, hadiahkan pen merah dakwah basah sebatang cukup :D.

22.5.14

UBAT KEMBUNG ALAMI

Dalam 2 minggu lepas, saya dan shaikh-shaikh kabir lebih banyak tidur di rumah nenek mereka asbab ayahanda menghadiri kursus luar daerah 3 hari 2 malam selama 2 minggu berderet. Keadaan badan masing-masing pula antara demam dengan tidak. Pendek kata, takdir kesihatan masing-masing  dalam 2 minggu tersebut tidak menentu.

Paling kasihan semasa hari terakhir menanti ayahanda mereka balik kursus, saya menjemput anak-anak daripada rumah pengasuh. Muhammad mengadu perutnya sakit. Allah takdirkan Muhammad kembung. Adat duduk di rumah nenda, kacaulah fikiran dan runsinglah hati nenda melihatkan cucunya yang menangis dan tidak selesa, sakit asbab perut kembung. Tambahan pula Abdullah yang soleh wa musleh mahu melekat sahaja dengan saya.

Saya yang pada asalnya masih berlagak bertenang, kelam kabut juga dibuatnya. Mak saya pula mahu memberi minum 100plus untuk melepaskan angin tetapi tidak berani kerana sistem badan shaikh-shaikh kabir kami inshaAllah telah suci dari segala macam air-air gas, tin, kotak dan sebagainya yang punya perasa dan pewarna tiruan.

Alhamdulillah Allah bersama saya walaupun ketiadaan ayahanda mereka. Zauji menyuruh untuk meminta bantuan mak-mak organik. Saya telefon Puan Azaku. Menurutnya, ramuan alaminya ialah dengan memanaskan minyak zaitun. Takdirnya, minyak zaitun pemberian saya untuk rumah mak telah dibawa Makngah Muhammad ke rumahnya. Bertuah sungguh kakakku.

Petua Tokwan Muhammad pula ialah minyak gamat. Takdirnya juga tiada. Saya hanya ada minyak habbatussauda' yang saya bawa daripada Bayt Al-Iman. Allah gerakkan saya untuk memanaskan minyak habbatussauda' di atas senduk besi dan nenda Muhammad membakar bawang putih berserta kulit dan ditonyoh kepada minyak panas habbatussauda' tadi.

Saya ulang urut badannya perlahan-lahan di perut, dada, belakang, tapak kaki 2,3 kali dan akhirnya Shaikh Muhammad muntah dengan penuh bergaya di atas karpet nenda. Ahsanta shaikh kabir! Alhamdulillah karpet nipis yang sedang dibasuh mesin basuh.

MashaAllah wa tabarakallah! Selepas muntah dengan penuh bergaya, Muhammad kembali kepada Muhammad yang biasa seperti tiada apa yang berlaku kepadanya. Bukan seperti dia yang mengerang kesakitan tadi. Alhamdulillah lega mak :D.

Minyak habbatussauda' ini juga krim malam saya ;).

Sebenarnya, apabila Allah telah mentakdirkan sistem badan kami ditukar kepada sistem badan sunnah alami, Allah sediakan banyak rawatan alami yang mashaAllah! Sungguh makanan-makanan sunnah ini terlalu penuh khasiat!

Zauji pernah ditakdirkan Allah semput ketika pulang ke kampung baru-baru ini. Saya segera bertanya kepada Puan Didieku tentang rawatan alami semput kerana Puan Didie juga penghidap semput dahulu. Alhamdulillah berkat kembali kepada sistem yang betul, kebanyakkan insan-insan penghidap lelah ini, telah kembali hidup sihat tanpa semput.

Petua alaminya, minyak habbatussauda' ini dititiskan ke dalam sebesen sedang berisi air panas. Bernafaslah di dalam selimut seperti kaedah stim. Memang akan sempit saluran pernafasan ketika ini dan mashaAllah selepas episod sempit ini, Allah kurniakan kelegaan yang bukan sedikit menurut zauji.

Kemudian, zauji sendiri rajin bau minyak ini di botol. Saya sendiri terlalu suka bau minyak habbatussauda' ini. MashaAllah terlalu wangi ;). Minyak habbatussauda' adalah antara minyak yang kami sentiasa bawa apabila bermusafir untuk rawatan kembung, tersengat binatang dan menjadi asbab tidur lena anak-anak. Wallahua'lam.

21.5.14

BIASA YANG LUAR BIASA!

MashaAllah hampir seminggu laptop saya tersimpan cantik dalam almari. Ada yang lebih utama untuk diutamakan. Dua hari yang lepas, sahabat dunia jiran di syurga saya menujukan suatu kisah yang ditulis 'untukmu mek. Mu hebat' melalui mesej Whatsup.

Kisah yang sungguh memberi inspirasi. Betapa kita yang biasa-biasa, boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa dengan izin Allah. Kisah yang sungguh menyentuh dan ada takungan air cantik dalam kelopak mata. Jazakillah mek! Kisah yang memujuk hatiku T__T.

***************************************************************
Di sebuah masjid di perkampungan Mesir, suatu petang. Seorang ustaz sedang mengajarkan murid-muridnya membaca Al-Qur’an. Mereka duduk melingkar & berkelompok. Tiba-tiba, masuk seorang anak kecil yang ingin menyertai di lingkaran mereka. Usianya kira-kira 9 tahun.

Sebelum menempatkannya di satu kelompok, ustaz itu ingin tahu kemampuannya. Dengan senyumnya yang lembut, dia bertanya kepada anak yang baru masuk tadi, ” ada ayat yang kamu hafal dalam Al-Qur’an?” 

“Ya,” jawab anak itu singkat. 

” Kalau begitu, cuba bacakan salah satu ayat dari juz ‘Amma?‘ pinta ustaz
Anak itu mengalunkan beberapa ayat, fasih & betul tajwidnya. Merasa anak tersebut mempunyai kelebihan, guru itu bertanya lagi,“Adakah kamu hafal surah Tabaraka?” (Al-Mulk) 

Ya,” jawabnya lagi, & segera membacanya. Baik & lancar. Ustaz itu pun kagum dengan kemampuan hafazan si anak kecil itu, meski usianya lebih muda berbanding murid-muridnya yang ada. 

Dia pun cuba bertanya lebih jauh, “kamu hafal surat An-Nahl?” 

Ternyata anak kecil itu menghafalnya dengan sangat lancar, sehingga kekagumannya semakin bertambah. Lalu ustaz itu pun cuba mengujinya dengan surah-surah yang lebih panjang. 

“Adakah kamu hafaz surat Al-Baqarah?” 

Anak kecil itu kembali mengiyakan dan membacanya tanpa sedikitpun kesalahan. Dan ustaz itu semakin teruja dengan pertanyaan terakhir, “Anakku, adakah kamu menghafal Al-Qur’an ?” 

“Ya,” jawabnya dengan jujur. 

Mendengar jawapan itu, seketika ustaz itu mengucapkan, 
“Subhanallah wa masyaallah,tabarakkallah”

Setelah hari itu menjelang maghrib, sebelum ustaz tersebut menamatkan kelas mengaji, secara khusus dia berpesan kepada murid barunya,” Esok, kalau kamu datang ke masjid ini, tolong ajak juga ibubapa mu. Ustaz ingin berkenalan dengannya”. 

Esok harinya, anak kecil itu kembali datang ke masjid. Kali ini dia bersama ayahnya, seperti pesan ustaz kepadanya. Melihat ayah dari anak tersebut, si ustaz bertambah kaget kerana gayanya tidak langsung seperti orang alim, kehormat & pandai. 

Belum sempat dia bertanya, ayah si anak sudah menyapa terlebih dahulu, “Saya tahu, mungkin ustaz tidak percaya bahawa saya ini adalah ayah dari anak ini. Tapi rasa hairan anda akan saya jawab, sebenarnya disebalik anak kecil ini ada seorang ibu yang sekuat seribu lelaki. Dirumah, saya masih mempunyai 3 anak lagi yang semuanya hafal Al-Qur’an. Anak perempuan saya yg kecil berusia 4 tahun, dan sekarang sudah menghafal juz Amma”. 

“Bagaimana si ibu itu boleh lakukan itu?” tanya si guru tanpa boleh menyembunyikan kekagumannya.” 

Ibu mereka, ketika anak-anak itu sudah pandai bercakap, si ibu membimbing anak kami menghafal Al-Qur’an dan selalu memotivasi mereka melakukan itu. Tak pernah berhenti dan tak pernah bosan. Dia selalu katakan kepada mereka, 

“Siapa yang hafal lebih dulu, dialah yang menentukan makan malam ini, 

“Siapa yang paling cepat mengulangi hafalannya, dialah yang berhak memilih ke mana kita boleh bersiar – siar nanti”
Itulah yang selalu dilakukan ibunya, sehingga tercipta semangat bersaing dan berlumba-lumba antara mereka untuk memperbanyak dan mengulang-ulang hafalan Al-Qur’an mereka,” jelas si ayah memuji isterinya.

Sebuah keluarga biasa yang boleh melahirkan anak-anak yang luar biasa. Hanya seorang ibu yang biasa. Setiap kita dan semua ibubapa tentu bercita-cita anak-anaknya menjadi generasi yang soleh, cerdas dan membanggakan. Tetapi tentu perkara itu tidak mudah. 

Apatah lagi membentuk anak-anak itu mencintai & mencintai Al-Qur’an. Memerlukan perjuangan, perlu kekuatan. Mesti tekun & sabar melawan rasa letih dan susah tanpa kenal batas. Maka wajar jika si ayah mengatakan,”Disebalik anak ini ada seorang ibu yang kekuataanya sama dengan seribu lelaki.” 

Ya, perempuan yang telah melahirkan anak itu memang begitu kuat dan perkasa. Sebab membuat permulaan yang baik untuk kehidupan anak-anak, adalah tidak mudah. Hanya orang-orang yang punya kemahuan & motivasi yang boleh melakukannya. Dan tentu modal pertamanya adalah kesolehan diri. Tidak ada yang lain. 

Ibu si anak cerdas ini, dia adalah lambang seorang perempuan solehah yang mewariskan kesolehannya ke dalam kehidupan rumah tangganya. Dialah contoh perempuan yang pernah diwasiatkan Rasulullah saw kepada kaum lelaki untuk mereka jadikan pendamping hidup diantara sekian banyak wanita. 

Dengan menangggalkan keutamaan harta, kecantikan & keturunannya, seperti sabda Rasulullah saw, “Wanita dinikahi kerana 4 perkara : kerana hartanya, keturunannya. kecantikkannya, & agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”(HR.Bukhari & Muslim). 

Perempuan yang kita tahu dalam cerita diatas, dia sebenarnya tidak memulakan kerja kerasnya ketika anak-anaknya baru belajar bercakap. Tidak. Tetapi jauh sebelum itu, tenaganya telah ditumpahkan untuk mengakrabkan mereka dengan bacaan-bacaan Al-Qur’an semasa mereka masih janin. 

Dalam keadaan kehamilannya yang berat, ibu ini hampir setiap hari selalu meluangkan waktu untuk membaca Al-Qur’an, memperdengarkannya janin yang ada dirahimnya, dalam keadaan berbaring, duduk/pun bersandar. Perjuangan itulah yang berat tapi itu pulalah yang kemudian memudahkan lidah anak-anaknya merangkai kata demi kata dari ayat-ayat Al-Qur’an, saat mereka sebenarnya baru mulai belajar bicara. 

Semoga dari kisah diatas dapat kita ambil pelajaran & jadikan teladan.

***********************************************************

Semoga dengan kisah di atas mampu menyuntik semangat kita sebagai makpak yang biasa-biasa malah tidak punya latar belakang agama sekalipun untuk mendidik anak-anak cinta, hafaz dan beramal dengan Al-Quran persis Al-Quran merayap seperti yang dinukilkan oleh Shaikh Nasih Ulwan dalam buku karangannya Tarbiatul Aulad inshaAllah!

MashaAllah, keluarga syurga. Baca kisah mereka DISINI.

16.5.14

U-TURN HARI GURU 1

16 Mei 2014.

Saban tahun kami diraikan. Asbab sekarang musim U-TURN, bukan sahaja kisah u-turn MH370, politik u-turn, malah kami pun mahukan sesuatu yang U-TURN! U-TURN untuk meraikan insan-insan yang lebih prioriti untuk diraikan.

U-TURN 1
Meraikan IBU GURU dan AYAH GURU Muhammad dan Abdullah selaku pengasuh dan pendidik yang baik buat anak-anak saham jariah berpanjangan kami. Kami bersyukur kerana Allah kurniakan pengasuh-pengasuh yang baik dan boleh mengikut rentak disiplin hidup kami. MashaAllah ini antara nikmat terbesar Allah buat kami, ibu ayah yang bekerja.

Kami meninggalkan anak-anak dengan hati yang tenang lagi lapang. Makanan dan apa yang ditonton anak-anak, Allah bantu dengan mudahnya. Waktu solat, Muhammad dibawa berjemaah oleh ayah gurunya. Sepanjang masa mereka dirumah pengasuh, ibu guru Muhammad dan Abdullah pasangkan DVD 30 juzuk dan VCD huruf hijaiyyah yang kami bekalkan.

Usah terlalu berkira dengan pengasuh anak-anak kita. Upah bulanan adalah nilaian kecil dengan usaha mereka mencuci najis anak-anak kita. Sukakanlah hati pengasuh anak-anak kita bukan sahaja dengan nilaian wang, tetapi bawalah sekampit beras, sepapan telur, sekilo bawang, kentang, sebagai 'bahasa' setiap bulan.

Dikesempatan ini juga, kami mengucapkan terima kasih kepada pengasuh-pengasuh yang sangat baik buat anak-anak kami bermula di era Muhammad bayi dimulakan dengan Ibu Hawa dan Papa Azmi, Ummi Su dan Walid Selamat. Taska Deenur, Mummy Hanis dan keluarganya. Nenek dan atok. Terbaru, Ibu Ina dan Ayah Musa. Hanya Allah yang mampu membalas semuanya.

Kanan adalah hadiah hari guru daripada Muhammad dan Abdullah kepada ibu guru dan ayah guru. Kiri pula adalah hadiah buat guru matematik saya zaman sekolah rendah yang mana kini, kami adalah rakan sejawat ;).

Ucapan buat mereka. Siapa pula empunya 2 kad yang berbaki itu? :)

Selamat beramal dengan Al-Kahfi sempena hari Jumaat. Kembali kepada sunnah soheh Ar-Rasul. Semoga kita dan generasi kita selamat dan terpelihara dari fitnah dajjal.

13.5.14

SPRAY AROMATERAPI ALAMI

MashaAllah spray pandan aromaterapi yang terasa ala-ala bilik pengantin. Spray ini dengan izin Allah mampu menyebabkan nyamuk fikir seribu kali untuk berdekatan anda. Didatangkan dengan 4 bau antaranya lavander, citrus dan satu lagi saya lupa.


Saya beli melalui sahabat dunia, jiran di syurga saya, Puan Aza. Atas itu adalah laman website niaga mereka. Selain itu, mereka juga ada menyediakan perkhidmatan sulaman label. Sekiranya saya tidak silap pandang menerusi chatting, nama perniagaan mereka di laman facebook adalah AD Label.

Spray yang inshaAllah bebas kimia dan inshaAllah dengan izinNya pasti selamat dan semulajadi lagi alami ;). Marilah sama-sama ke arah hidup sihat di dunia, selamat di akhirat inshaAllah! Selamat memanfaatkan cuti berkualiti kerana Allah! ;)