24.5.15

CERMIN 'UJUB

Apabila kami 3 beradik perempuan selamat dikahwinkan, mak adalah orang yang paling senang hati kerana anak-anak perempuannya laku. Haha! Menurut mak, semasa kami semua masih kecil, mak melihat satu per satu kami dan selalu berkata hatinya, siapalah yang mahukan anak-anak perempuannya kerana tiada yang cantik.

Jujur sungguh emakku.

Jadi, saya membesar dengan merasakan diri saya tidak pernah cantik. Mungkin, ilmu keibubapaan hari ini melarang penuh ungkapan-ungkapan yang menyebabkan self-esteem si anak jatuh dan hilang kepercayaan diri tetapi apabila saya fikirkan semula, ianya banyak menyelamatkan saya dari sifat 'ujub dengan merasakan diri cantik sepanjang kehidupan saya hatta sehingga hari ini sekalipun.

Mak kata, tidak perlu cantik. Yang penting, bersih dan kemas dan paling penting, tidak berbau.

Ianya juga menjadi asbab saya tidak suka upload gambar saya sendiri dalam media sosial. Ada suatu rasa dalam hati yang menolak kemahuan tersebut. Ianya sukar untuk ditulis tetapi hati saya secara automatik tidak setuju dengan perbuatan meletakkan muka sendiri. Mungkin kerana malu kerana saya tidak cantik dan rasa kelakar melihat diri sendiri.

Walau bagaimanapun, saya pernah juga terikut-ikut dengan menafikan fatwa hati saya sendiri ketika zaman 'frinedster'. Orang agama buat, saya pun rasa tidak salah untuk ikut. Saya pernah memuat naik gambar perkahwinan saya di zaman 'friendster'. Ketika itu, zauji yang memang tidak gemar media sosial alam maya segera menyuruh memadamkan semua gambar yang ada. Semenjak itu juga, saya mula mendapat tarbiyyah berkenaan gambar.

Padanya, dia cemburu. Cemburu apabila wajah isterinya terdapat dalam semua telefon dan boleh ditatap oleh semua orang. Cemburu kerana syariat. Bukan kerana sayang. Cet!

Semenjak dahulu juga, saya bukan orang pentas. Acap kali, apabila saya melihat seorang perempuan yang naik ke pentas atau seorang wanita yang berdiri memberi ucapan, setiap kali itu juga ramai mulut yang terlopong dan mata tidak berkelip oleh jantina lawannya. Maklum sahaja, seorang wanita ini memang suatu gangguan atau penderaan emosi kepada lelaki-lelaki secara fitrahnya. Ditambah lagi, pakaian pancaragam yang wanita sarung hatta yang memakai jubah besar dan tudung 'saji', mereka tetap nampak seksi.

Seringkali mata saya yang bernama perempuan juga secara otomatik melihat jubah-jubah yang melekat mengikut kaki apabila mereka sedang duduk, apatah lagi seorang lelaki. Bayangkanlah gambar-gambar yang si solehah berjubah besar hanya menampakkan mata sahaja sekalipun, ianya tetap seksi di mata lelaki. Memang hanya iman yang mampu menundukkan mata-mata lelaki-lelaki yang masih punya iman.

Masih kemas kata-kata zauji berkaitan perempuan. Perempuan ini andai dibungkus sekalipun dan diletakkan dalam kotak. Kotak itu terletak dalam kotak yang lebih besar sekalipun, lelaki tetap mampu menghidu bau seorang perempuan. Sebab itu Ar-Rasul mengingatkan tentang fitnah besar buat lelaki yang Baginda SAW paling takuti di akhir zaman nanti adalah wanita.

"Aku tidak meninggalkan fitnah/ bencana yang lebih berbahaya atas kaum lelaki (selain bahaya fitnah) dari perempuan." ( Al-Fath juz 9 , Hadits 5096, dan Muslim juz 18 hal 54). [sumber]

Sebagai seorang perempuan, saya merasakan punca masalah semua wanita sama ada yang lebih agamanya atau kurang agamanya, terlalu suka mengambil gambar dan upload gambar mereka dengan sebanyak-banyaknya kesan daripada 'ujub yang merasakan diri cantik. Tidak perlu menunding jari kepada orang lain, ianya juga dirasai saya sendiri.

Rumah kami tiada almari solek dan beberapa bulan sudah, saya hanya menggunakan telefon untuk membetulkan tudung disebabkan semua cermin di rumah pecah. Jadi, kadangkala saya berselfie dengan pelbagai gaya. Kamera telefon yang umpama cermin 'ujub. Allahu! Inilah rasanya. Rasa 'ujub kononnya macam cantik sangat berposing pelbagai gaya. Semestinya, untuk upload dalam media sosial, kita akan memilih gambar-gambar yang paling jelita pada pandangan kita.

Jujurnya, saya sendiri ada rasa gerun dalam diri saya sendiri. Dalam kategori manakah diri sendiri ketika berurusan diluar. Bayangkanlah, setiap langkah yang namanya wanita ini akan sentiasa dihiasi syaitonnirrajim. Si laknatullah ini akan menampakkan semua wanita ini sangat cantik di mata-mata lelaki haram. 

Mujahid rahimahullah berkata: Ketika perempuan menghadap ke depan (datang) maka syetan duduk di atas kepalanya lalu menghiasinya untuk orang yang melihatnya, dan ketika perempuan itu menghadap ke belakang (pergi) syetan duduk di atas bagian belakangnya lalu ia memperindahnya untuk orang yang melihatnya. (Al-Qurthubi, Al-Jami' li Ahkaamil Quran juz 12/ 227). [sumber]

Teringat kisah yang dibukukan Prof. Kamil tentang pemandangan pelik ketika beliau bekerja di Madinah. Tiada seorang perempuan pun di dalam pejabatnya hatta kerani juga seorang lelaki. Suasana kerja yang memberi kemanan kepada hati-hati lelaki.

Sebenarnya kesedaran untuk menasihati saudari-saudari saya terutamanya yang solehah ini telah banyak di dada-dada internet. Kasih sayang sesama wanita saudari-saudari kita yang prihatin telah banyak diviralkan. Adalah terlalu janggal seorang wanita bertudung labuh, niqobis hatta tudung bawal sekalipun apatah lagi yang punya tarbiyyah, berselfie dan menyeringai, kemudian, meletakkan gambar sendiri untuk tontonan umum.

Cuba tenung gambar-gambar anda itu lama-lama.

Kasihanilah diri sendiri kerana syaitan tidak perlu bersusah payah menjadikan kita wanita yang lemah emosinya sebagai bala tenteranya melemahkan iman para lelaki kerana kita secara sukarelawan sudah menjalankan jarum-jarum laknatullah untuk menjadikan fitnah besar seperti yang disabdakan Ar-Rasul SAW menjadi BENAR di akhir zaman.

2 comments:

Anonymous said...

terima kasih leen.
sayang kamu kerana Allah.
sedihnya rasa hati ni.
cari aku dan ajak ku ke syurga.

@LeenShamsh said...

T_T
cari aku juga T__T