19.5.10
CIKGU-CIKGU
Cikgu memang bukan pemarah
Cikgu memang murah senyum
Cikgu memang agak lembut
Cikgu juga jarang-jarang garang
Tapi cikgu juga bukan terlalu penyabar.
Cikgu memang bukan pemarah
Tapi bila cikgu mula hilang sabar
Disuruh hafal sifir
Kamu gagal pada masa ditetapkan
Maka berdirilah tegak kamu
Di koridor hadapan kelas
Sehingga hafal dan lulus ditasmik cikgu.
Cikgu memang murah senyum
Tapi bila cikgu tidak mampu walau sengeh
Ditinggalkan sebentar sahaja
Mengambil lembaran kerja
Yang jaraknya hanya 2meter
Kamu mula berpesta
Bermain pingpong kreatif ciptaan sendiri
Menggunakan kulit buku keras dan bola kertas
Maka jadilah kamu tiang-tiang elektrik
Dengan jarak 50cm diantara kamu
Berdiri tegak sehingga waktu tamat.
Belum sempat waktu tamat
Satu persatu anak-anak
Datang dan menyatakan kemaafan
Berjanji perkara yang sama tidak berulang
Dan kamu anak-anak cikgu
Masih mengotakan janji-janji kamu sehingga kini.
Cikgu memang agak lembut
Jadi banyaklah kerja-kerja cikgu kamu tangguhi
Dan cikgu masih boleh bertoleransi
Tapi bila lembut bertukar tegas
Setiap satu kesalahan bagi setiap soalan
Pembaris sehasta panjang
Pasti hinggap ditelapak tangan kamu.
Oleh kerana cikgu jarang-jarang garang
Belum pun hukuman dijalankan
Seorang telah menangis
Tapi prinsip adil dan saksama
Maka perlu juga diberi rasa sekali sekala.
Bila kelas tamat
Satu persatu kamu disapu lembut
Menyatakan mengapa cikgu bertindak demikian
Dan yang menangis itu cikgu peluk erat
Sambil membisikkan
Cikgu mahu awak pandai
Dan senyuman terukir dalam sendu.
Anak-anakku
Marah cikgu tanda sayang
Hukuman cikgu untuk mendidik
Cikgu faham bukan salahmu
Kerana cikgu cukup mengerti
Kamu dibesarkan bukan dalam keluarga terdidik
Bukan dibesarkan dengan roh Islam
Maka kamu merupakan tanggungjawab cikgu
Untuk diberi didikan
Bukan sekadar mengajar sains dan matematik
Malah untuk diajar berTuhan
Agar kamu pulang dengan kejayaan
Bukan di dunia sementara
Tapi di akhirat sana
Negeri yang kekal abadi selamanya.
Terima kasih anak-anakku!
Kamu juga merupakan cikgu untuk cikgu
Mengajar cikgu erti kehidupan
Mengajar cikgu erti kasih sayang
Mengajar cikgu erti kesabaran
Dan pasti mengajak cikgu sentiasa ingat akan Tuhan.
Terima kasih cikgu-cikguku!
Kudoakan cikgu-cikgu sentiasa dalam rahmatNya
Serta kasih sayang dan ehsanNya
Moga segala kebaikan dari muridmu ini
Menjadi saham cikgu-cikgu di akhirat sana.
SELAMAT HARI GURU, CIKGU-CIKGU!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment