Eidulfitri tahun ini saya ramalkan, adalah rezeki bergambar hari raya kami sekeluarga kerana seperti tahun-tahun sudah, kami memang tiada gambar anak-beranak di pagi hari raya. Saat-saat akhir sebelum puasa, saya ada menghantar kain untuk saya dan anak-anak dipadankan baju raihan ayahanda mereka yang sedia ada.
Takdir Allah tidak mengizinkannya berlaku. Tukang jahit tidak sempat dan kami pakai mana-mana sahaja baju yang tidak bertema di pagi hari raya seperti tahun-tahun sudah. Hikmahnya, saya terkenang saudara-saudara Palestin yang berhari raya dengan apa adanya.
Andai kita di tempat mereka.
Menarik juga dikongsikan dengan sebuah tulisan Ustaz Abu Anas Mandani. Menurutnya, istilah baju raya sebenarnya khas untuk lelaki. Wanita, perempuan sepatutnya baju raya yang meriah berlabuci kelip-kelip itu hanya dipamer sesama wanita sahaja. Kebiasaannya yang terjadi di negara Arab. Mereka memakai abaya/jubah dan di dalamnya mereka memakai pakaian yang cantik. Baju-baju cantik mereka hanya dilihat oleh sesama mereka sahaja.
Teringin sungguh saya mahu bertemu dengan isteri Ustaz Abu Anas Mandani. Susah mahu jumpa ustaz yang menjaga ikhtilat (baca: pergaulan) muktahir ini. Lagi-lagi ustaz-ustaz selebebriti seperti beliau. Diceritakan zauji, pernah ustaz pesan kepada perempuan/wanita yang bertanya soalan, katanya, tidak perlulah tanya dekat-dekat dengan beliau. Tidak perlulah bergambar dengan beliau dan letak pula di laman sosial. Seakan rimas dengan yang tidak faham batasan wanita dan lelaki.
Kadangkala, saya sendiri segan dan malu. Kasihan pahala orang-orang lelaki yang solat Aidilfitiri. Pakaian wanita yang datang ke masjid untuk solat sahaja sudah mengancam jiwa. Jubah yang jarang yang menampakkan hampir keseluruhan anggota badan. Hias wajah setebal 40 inci. Sanggul kalah bonggol unta.
Zaman generasi awwal, wanita yang datang berjemaah di masjid, mereka cukup menjaga tatatertib. Mereka akan bangun pulang seawalnya sehingga tidak terlihat jemaah lelaki akan mereka. Hidup saling memerlukan. Wanita perlu menjaga maruah dan lelaki menjaga pandangan mata agar hati-hati kita terpelihara dari dosa dan maksiat.
[sumber]
10 Syawal 1435. Alhamdulillah genap 6 tahun hijrah bersama melayari bahtera ke syurga tertinggi Allah. Semoga kita istiqamah menuju Allah dan Ar-Rasul.
2 comments:
Tahunni kami guna semula baju raya tahun lepas. Cuma yusuf je beli baru sebab dah x muat.. :D
salam aidilfitri...BSB dan anak perempuan je yg tertukar baju baru, sbb kainnya dah lama beli..yang lain semua pakai baju tahun lepas..
Post a Comment