19.10.15

TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK

MC 2 hari. Hilang 2 kg.

Allah bersihkan usus dengan rehatkan sistem makan. Masuk tidak, keluar yang banyak. Doa yang dimakbulkan dengan pelbagai keadaan. Minta untuk sentiasa sihat supaya mampu beribadah selesa dan sentiasa tercantik dimata apatah lagi dihati tercinta. Dari muda diharap ke akhir usia sehingga di syurga.

2 hari bercuti novel Pak Hamka, ulama nusantara berjaya saya khatamkan. Berehat di pembaringan. Berdiri sahaja melayang-layang. Rezeki baca buku. Kecintaan yang saya cari dalam kesibukkan kini.


Ini buku ke-3 yang saya baca tetapi berjaya menjadi kedua untuk dikhatamkan. Novel ini telah ramai yang baca berulang kali tetapi pertama bagi saya. Mungkin perkataan 'novel' membuatkan saya tidak gila untuk membacanya dahulu. Keghairahan membaca novel lama tertinggal seiring usia.

Saya setuju dengan pendapat Pak Hamka ketika membaca novel ini dipermulaannya. Novel dan agamawan seolah tidak 'sajak'. Disitulah letakknya kepelbagaian bakat yang Allah kurniakan dan melatih untuk meraikan perbezaan pendapat.

Muka surat 104 novel Pak Hamka, watak Zainuddin terus saya terbayangkan yang tercinta. Falsafah cinta watak Zainuddin tidak ubah sepertimana yang tercinta gambarkan lebih 7 tahun dahulu. Perbezaan perasaan jiwa lelaki dan perempuan memandang cinta yang diumpamakan seperti malam dan siang, Adam dan Hawa.

Laki-laki bilamana telah menentukan cintanya untuk seorang perempuan, maka perempuan mesti menjadi haknya seorang, tak boleh orang lain ikut berkongsi dengan dia. Jika perempuan itu cantik, maka kecantikannya biarlah diketahui olehnya seorang.

Jika suara perempuan itu nyaring, biarkan dia seorang yang mendengarnya. Sebab itu, kalau ada orang lain yang hendak memuji kecintaannya, atau mengatakan suaranya nyaring, atau menyanjung budi baiknya, semua itu tidaklah diterima oleh laki-laki yang mencintainya tadi. Bertambah banyak orang memuji kecintaannya, bertambah timbulah cemburu dalam hatinya, sebab perempuan itu untuk dia, buat dia, tak boleh buat orang lain.

Adalah menjadi cela jika orang-orang bertanya-tanya, memuji elok rupa si isteri. Langsung tidak melambangkan bangga kerana isteri bukan untuk dikongsi dengan ramai orang. Maka, banyak pergerakkan dalam keterbatasan dan penyeliaan. Menjadi kemarahan jika si isteri beramah mesra tidak tentu hala.

Barulah kutahu betapa tulusnya cintamu padaku (marilah muntah berjemaah).

Cinta seorang lelaki dan perempuan itu dilambangkan seperti malam dan siang, Adam dan Hawa. Lelaki diibaratkan perempuan seperti dokoh emas yang tergulung di lehernya, atau gelang bertakhta belian yang melilit tangannya, perhiasan yang akan dibanggakannya kepada kawan sesama gedangnya.

Pendek kata, orang perempuan sangat suka lelakinya itu dipuja dan dipuji oleh ramai orang. Ianya diibaratkan kemenangan dalam perjuangannya.

Maka nyatalah bahwa cinta perempuan kepada laki-laki lebih banyak berdasarkan ketakburan daripada kenafsuan. Pengakuan orang lain atas kemuliaan kecantikannya atas tunangannya atau suaminya, bagi seorang perempuan adalah satu kemenangan di dalam perjuangan.

Membaca novel Pak Hamka bagai jatuh cinta berkali-kali. Pak Hamka berjaya memahamkan saya falsafah cinta suami tercinta betapa berharganya seorang yang bernama isteri. Dididiknya untuk menjadi seorang perempuan yang bermaruah tinggi kerana isteri adalah pakaian suami, begitulah juga sebaliknya.

Sekali lagi, ditekankan meraikan perbezaan pendapat antara kita. Begitu juga falsafah cinta yang berbeza antara satu jiwa lelaki dengan lelaki yang lainnya. Selagi tidak melanggar syara', maka hormatilah.

No comments: