18.1.15

LAPANG

Alhamdulillah hari yang paling lapang.

Mendidik hati supaya segala tindakan disertakan hanya kerana Allah adalah suatu proses yang mana hati itu tidak terkesan sama ada dipuji atau pun dimaki. Ianya tidak memberi kesan sehingga menimbulkan suatu dendam malah dipandang suatu yang penuh hikmah.

Memetik sepotong hadis qudsi di dalam buku yang sedang saya bedah iaitu Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna yang dipinjamkan oleh adik-beradik usrah merangkap Majlis Pengelola TTM yang mana Rasulullah SAW menyebut, "yang mendidik aku adalah Tuhanku, dan Tuhanlah yang menyempurnakan pendidikan itu".

Proses mendidik hati ini adalah proses yang sangat sukar. Allah datangkan ujian dan cabaran sehinggakan hati tunduk redha dan percaya segala sesuatu yang ditakdirkan Allah bukanlah sia-sia. Tindakan-tindakan yang kita ambil juga merujuk kepada takutnya hati kepada Allah.

Sebagai contoh, dikala saya sedang tarbiyyah hati dan diri untuk tidak terlalu asyik dan leka dengan aplikasi sosial lagi pintar, ketika itulah saya dimasukkan dengan pelbagai kumpulan di dalam Whatsup. Sekali lagi, hati adalah persoalan yang terlalu subjektif. Terdetiknya 'tidak bagus' perihal orang lain melambangkan masalah besar untuk hati sendiri.

Oleh demikian, untuk tidak mendatangkan kemudaratan hati di masa mendatang supaya tidak timbul walau sedikit 'orang itu begini dan begitu' dan ianya dilaknat Allah kerana merasakan diri lebih bagus dan baik, maka solusinya, carilah penyelesaian untuk tidak memudaratkan hati. Masalah berpanjangan yang tidak berkesudahan, menjerat hati dan menambah murka Allah, lebih baik dijauhi dan bukan untuk dimusuhi.

Semoga Allah bersama segala tindakan dan keputusan kita. Biar bergaduh di sini, jangan kita menderita di sana hanya kerana seketul daging yang tercemar. Sungguh, bahagia itu di hati. Tenang itu di hati. Senang itu di hati. Kaya itu di hati.

Benar, lapang itu sungguh hanya di hati.

No comments: