12.6.12

4 SURATAN BERBEZA

Semalam saya dikejutkan dengan berita yang menyedihkan. Di tempat bertugas pada tahun ini sepatutnya mengikut rancangan dan kira-kira kita sebagai manusia biasa, ada 4 orang rakan setugas termasuk saya yang akan menyambut kelahiran cahaya mata. Bermula Mei sehingga Ogos. Setiap bulan seorang.

Mei
Rakan setugas yang dijangka melahirkan anak pertamanya pada bulan Mei, ditakdirkan Allah bersalin pada bulan ke7 iaitu pada pertengahan Mac dengan berat bayi perempuannya 1.4kg. Prosedur untuk bayi pramatang di hospital kebiasaannya, si bayi akan duduk di dalam inkubator sehingga mencapai berat 1.7kg. Selama sebulan anaknya di hospital besar yang jaraknya 2 jam dari daerah kami. Masalahnya hospital baru di tempat kami di sini tiada kemudahan pernafasan. Anaknya dilahirkan di hospital ketiga setelah masalah di dua hospital yang tidak dapat diselesaikan.

Jun
Seterusnya rakan yang juga senior 2 tahun bertugas awal dari saya ditakdirkan Allah, anak keduanya iaitu bayi perempuannya meninggal sebaik sahaja dilahirkan kerana kompilasi anaknya yang lemah sejak di dalam kandungan petang semalam. Usia kandungan sudah melebihi 9 bulan iaitu 36 minggu jika tidak salah saya mendengar dari rakan setugas yang pergi menziarah semalam. Saya difahamkan, ini juga kes tolak-menolak hospital dengan hospital seperti rakan pertama tadi. Akhirnya, si suami mengambil keputusan ke hospital tempat biasa keluarga mereka untuk bersalin. Setelah usaha untuk normal gagal, rakan senior saya tadi terpaksa dibedah. Allah lebih sayangkan anak perempuannya yang pertama ini. Jika ditakdirkan anaknya semalam selamat, maka sudah sepasang anaknya. InsyaAllah arwah sedang bermain-main di taman syurga sambil menanti mama dan papanya. Saham akhirat mereka sudah di syurga. Mama dan papa yang bertuah. Kasih sayang Allah Maha Hebat buat hambaNya. Diujinya kita, namun ganjarannya bukan main untuk meninggikan martabat sebagai hambaNya yang sabar dan redho ;).

Julai
InsyaAllah giliran seterusnya adalah saya pada penghujung Julai iaitu insyaAllah diawal Ramadhan. Jujurnya, saya berasa gugup bagai menyambut kelahiran sulung. Dugaan yang dialami 2 rakan saya tadi, sedikit sebanyak memberi kesan untuk saya. Betapa kita manusia hanya mampu merancang tetapi rancangan Allah itu Maha Hebat. Saat-saat melahirkan adalah saat-saat genting buat wanita khususnya kerana bersalin adalah jihad kecil yang mana kita bertarung dengan kematian. Saya berharap dengan berbekalkan doa dan semangat  daripada keluarga dan kawan-kawan, Allah mudahkan proses kelahiran kali ini supaya lebih mudah dari yang pertama. Terasa sudah kengeriannya T_T.

Ogos
Seterusnya dan terakhir adalah giliran rakan yang juga senior setahun saya di sini. Jangkaan bersalin adalah pada Ogos iaitu akhir Ramadhan dan boleh jadi di awal Syawal. Rakan senior saya yang ini menyambut kelahiran anak pertamanya. Jadi, pada tahun ini, 2 orang daripada kami menyambut kelahiran pertama dan 2 orang daripada kami menyambut kelahiran kedua. Setakat hari ini, sudah dua orang bayi perempuan. Menanti bayi saya dan rakan yang seorang ini. Mudah-mudahan Allah kurniakan proses kelahiran sulungnya.

Kesimpulannya, kelahiran anak-anak kami berempat ini punya 4 suratan takdir yang berbeza yang sudah tertulis lama di Luh Mahfuz yang mana 2 daripada kami sudah dan sedang kuat menerima takdir masing-masing. Sesungguhnya setiap ujian yang Allah turunkan pasti si hamba layak dan mampu menempuhnya. Sebagai manusia, kita merancang tetapi rancangan Allah itu Maha Hebat. Semoga rakan senior saya tadi tabah dan sabar serta redho kerana saya yakin pasti ada kurniaanNya sebagai galang gantinya insyaAllah!

11 comments:

NoEn said...

mudah2an ummu muhammad selamat melahirkan 2nd baby ni..dah moga kawan2 UM tabah dan sabar menghadapi dugaan itu...

Ibu Yusuf Maryam said...

Sesungguhnya percaturan Ilahi adalah yg terbaik. Semoga dipermudahkan semuanya.. amin

@LeenShamsh said...

noen: berat mate memandang..berat lagi memikul perut sampai 9bulan..mudah2an kawan tu cepat sihat dan dikurniakan lagi dan lagi cahaye mate..terime kasih doakan kite..dah ngeri T_T

kak zefa: aminnn..muge kami yang 2 orang baki ni dimudahkan..

Salmi said...

Sesungguhnya kita hanya mampu merancang. Allah jua yg maha mengetahui apa yg terbaik buat kita.. Moga segalanya dipermudahkan..

Akak pernah melalu saat2 cemas melahirkan anak ke2, 3 dan 4 sehinggakan cukup bimbang semasa pregnant kali ke5 ditambah dgn faktor usia. Alhamdulillah, rupa2nya kelahiran anak no5 itulah yg paling mudah..

IntaNBerliaN said...

saya doakan moga ummu muhammad dipermudahkan utk bersalin nanti.. moga kedua2nya selamat.. InsyaAllah..

anis said...

moga dipermudahkan jalan anis sepanjang hamil dan melahirkan nanti.. *takut*

yan's cottage said...

salam ....ummu muhammad semoga tabah....semua ketentuan adalah miliknya kita hanya mampu pasrah...dan berdoa ......

puan nina said...

semoga segalanya dipermudahkan..amin..

Unknown said...

saya doakan semoga segalanya baik2 belaka......semoga ummu muhammad dan sorg lagi rakan yang bakal mendapat cahaya mata sentiasa di bawah lindunganNya.....

Ruse Sulaiman said...

Laluan setiap manusia berbeza. Semoga UM dapat melahirkan dengan selamat kedua2nya. Semoga rakan UM tabah. DIA tahu apa yg terbaik.

@LeenShamsh said...

kak salmi: alhamdulillah lime2 selamat..kite kali ni mcm self confidence tu rendah je..mudah2an Allah tiupkan semangat tu semule dah dekat akir2 nih

intan: amin ya rabb!!

anis: mudah2an mudah utk anis, k.lin n sume yg nak melahirkan..samelah ngeri sudah T_T

kak yan cottage: betul tu kak..suratan baru2 ni itulah yg terbaik buat kawan tu sekeluarga..Allah Maha Tahu kenapa dan kenapa ;)

nina: amin!! mudah mcm bb hani ;)

kak geez: terima kasik kak! mohon doanye berpnjangan ;)

Ui; amin..doakan selalu UI ;)