Alhamdulillah Allah mudahkan urusan seharian kami di kampung moyang Muhammad semalam. InsyaAllah semua telah lengkap untuk kami 4 beranak. Sebenarnya kami juga menemani nenek Muhammad ke hospital pakar berdekatan untuk menziarahi kawan nenek Muhammad yang juga guru sains saya semasa di tahun 5 sekolah rendah. Kami sampai lebih kurang 3.05 petang dan kawan nenek Muhammad telah kembali di dunia hakiki pada jam 2.50 petang, kira-kira 15 minit sebelum kami sampai. Perjanjian di alam rohnya telah tertulis sejak 4 bulan di alam rahim ibunya. Kita juga akan menuju ke destinasi yang sama, cuma masanya kita tidak tahu.
Kami terlambat 15 minit sebelum arwah pergi meninggalkan dunia.
(gambar ehsan: google)
Arwah cikgu saya ini dikurniakan 2 anak lelaki yang sudah besar. Seorang di universiti tenaga nasional dan seorang lagi masih di sekolah menengah. Menitis air mata saya melihat anak bongsunya membacakan yasin di depan bilik ICU setelah ibunya pergi. Suami dan anak sulungnya di surau. Terbayangkan apabila diri sendiri berada ditempatnya. Kehilangan barang pinjaman. Saya kembali bermuhasabah. Ramainya anak lelaki mahupun anak perempuan kurniaan Allah buat satu-satu pasangan pasti punya hikmah yang besar. Sebagai contoh, arwah cikgu saya telah menjalani dialisis setelah ketiadaan buah pinggangnya selama 2,3 tahun jika saya tidak silap. Mungkin 2 orang anak lelakinya inilah sebagai pembantunya. Mungkin anak perempuan tidak sekuat kudrat yang dipunyai anak lelaki. Begitu juga jika dikurniakan anak perempuan yang ramai, pasti ada yang Allah sediakan di depan sana. Betapa sayangnya Allah pada kita. Cantiknya rancanganNya. Pentingnya sebuah keredhoan dan bersangka baik terhadap Allah.
Begitu juga perancangan Allah untuk hamba-hambaNya yang berkahwin awal mahupun lambat. Saya tertarik dengan kata-kata seorang sister apabila mengetahui saya sudah berkahwin dan mengandungkan Muhammad diusia muda untuk zaman sekarang. Allah pilih dia berkahwin awal kerana Allah Tahu yang dia mampu memikul tugasan sebagai isteri diusia awal dan kita belum berkahwin kerana Allah Tahu yang kita belum mampu memikul tanggungjawab berumahtangga. Jawapan ringkas tetapi signifikan meminjam kata-kata popular Prof. MuhdKamil. Begitu juga pasangan-pasangan yang belum diberikan zuriat. Allah Maha Tahu masa yang lebih sesuai yang mana kesediaan kita ditahap paling maksimum insyaAllah! Berdoa, berusaha dan seterusnya penyerahan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah.
Kematian itu sesungguhnya menerbitkan keinsafan. Betapa sebagai insan bernama manusia, apa sangat yang kita kejarkan hidup di dunia kerana dunia yang abadi bukan di sini. Dunia ini hanya tempat mengumpul bekalan dan perjalanan kehidupan ini adalah sebuah kembara menuju ke dunia yang hakiki di sana. Terbayang-bayang duduk di dalam perut tanah seorang diri. Betapa banyaknya dosa-dosa. Bayangkan kita berada di atas kubur di waktu malam seorang diri, betapa takutnya kita sedangkan kita masih lagi boleh kembali ke rumah pada saat itu. Apalah nasib kita di dalam sana, susah, derita, sengsara dan bermacam lagi ketakutan yang perlu ditempuhi. Kita di bawah sana sudah tidak boleh kembali lagi! Semoga kematian kita dapat dirancang sebaik mungkin supaya kita kembali dalam keadaan aqidah yang sejahtera insyaAllah! Al-Fatihah buat allayarhamah Puan Halimah Bt Abdullah!
1 comment:
al fatihah untuk arwah.. smg arwah ditempatkan dgn mereka2 yg beriman..
Post a Comment