3.11.14

ILMU + FAHAM = AMAL

Tidak pasti sama ada semua orang sama atau tidak. Menonton kartun Cinderella, kita juga impikan perkahwinan gilang-gemilang ala-ala fairy tales. Itu ketika kecil. Semasa zaman jahiliyyah awwal iaitu ketika pra remaja saya fikir, saya begitu kagum dengan orang-orang melayu yang petah bercakap bahasa inggeris seperti mengunyah gula-gula getah. Saya mula mengagumi golongan sasterawan yang belajar shakespeare :D.

Lama kelamaan, jiwa saya Allah izinkan untuk condong kepada mencari nilai sebuah agama walaupun saya bukan pelajar aliran agama. Saya aliran akademik yang hanya belajar TITAS -Tamadun Islam-  yang kami panggil Islamic and Civilation sebab semua subjek dalam jurusan saya adalah di dalam Bahasa Inggeris termasuk agama. Sehingga kini saya masih fikirkan, betapa banyak Allah tolong saya menghabiskan kursus 5 tahun setengah ini dengan kepujian kelas kedua dengan keadaan saya yang memang tidak berapa cerdik.

Tamadun Islam ini jika tidak silap saya hanya ada 2 masa dalam seminggu dan selebihnya hanyalah subjek akademik. Nisbahkanlah sendiri berapa lama sangat kita diperlukan untuk mengetahui keindahan Islam. Pagi, petang, siang dan malam kerja pelajar hanya untuk menyiapkan tugasan yang diasingkan daripada nilai agama atau kita panggil SEKULAR.

Datangnya tarbiyyah merubah persepsi saya kepada kedua minat zaman jahiliyyah saya. Maka, minat saya hilang kepada pelajar aliran shakespeare dan juga aliran agama. Saya mula faham dengan orang yang beramal dengan ilmu tidak kiralah dia dari bidang apa pun.

Adapun ustaz-ustaz yang belajar agama dan faham solat berjemaah itu sangat dituntut. Sekiranya mereka tidak beramal dengan apa yang mereka ketahui, maka, orang yang belajar shakespeare yang setiap waktu berjemaah di masjid walaupun bukan aliran agama, maka dialah orang yang amal dengan kefahaman.

Adapun ustazah-ustazah yang faham yang aurat itu keseluruhan tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan, maka mereka akan berbeza dengan wanita lainnya dengan berusaha beramal dengan perintah Allah dengan tutup aurat sempurna. Tudung dilabuhkan, stokin dipakai, lambang mereka duta Islam yang telah Allah anugerahkan tanggungjawab untuk menyantuni manusia lain yang tidak berkefahaman seperti mereka.

Ustaz dan ustazah ini adalah mandat yang Allah berikan oleh Allah untuk menjadi tauladan kepada manusia lainnya. Mereka perlu faham yang Allah pilih mereka untuk faham DeenNya supaya keindahan Islam itu mampu disinarkan. Banyak perkara yang perlu mereka perhatikan. Berhati-hati dalam ikhtilat. Berhati-hati dengan akhlak. Tidak memakan daging saudara sendiri. Menutup aurat sempurna. Pakai stokin, tudung dilabuhkan. Maklum sahaja, mereka adalah DUTA ISLAM.

Malangnya, dunia hari  menyaksikan keterbalikkan fahaman. Pelajar jurusan agama yang diiktiraf sebagai ustaz dan ustazah GAGAL menjadi duta Islam selaras dengan apa yang mereka pelajari. Memang iman dan taqwa bukan diukur pada labuhnya tudung, bukan juga diukur pada panjangnya jubah dan janggut tetapi imej yang terserlah adalah lambang kefahaman kita tentang agama Allah.

Paling penting ketahuilah, yang Islam ini bukan hanya diwariskan buat ustaz dan ustazah. Sebagai orang akademik, adalah penting dengan inasiatif sendiri mencari Allah kerana SETIAP DARIPADA KITA ADALAH DUTA KEPADA ISLAM. Salah satu asbab kerosakkan ummah hari ini apabila kira merasa beban dan tanggungjawab menyedarkan ummat hanya perlu dilakukan ustaz dan ustazah.

Tidak dan bukan! Muslim yang mahukan darjat mukmin akan faham yang agama Islam bukan hanya untuk ustaz dan ustazah. Apabil ramai yang tidak faham hakikat ini, dan ustaz/ustazah pula gagal menjadi duta Islam yang sebenar, maka terjadilah pelbagai fitnah yang melanda Islam hari ini. Kita gagal menunjukkan keindahan Islam sehinggakan tiada apa yang indah dengan Islam melalui diri kita.

Kita adalah orang-orang kuat dalam menjayakan majlis memakan daging saudara kita.
Kita adalah orang-orang yang bangga ke hadapan dalam program realiti hiburan.
Kita juga adalah orang yang berpakaian tetapi telanjang.
Kita juga yang selalu memenuhi kelab malam/karaoke berbanding memenuhi rumah-rumah Allah untuk berjemaah.
Kita adalah perosak agama tanpa kita sedari.
KITA GAGAL MENJADI DUTA ISLAM DENGAN AKHLAK YANG SEBENAR.

Menarik juga untuk dikongsikan ketika saya duduk disebalah seorang senior yang diarahkan untuk menghadiri kursus Neuro Al-Baghdadi yang mana kursus ini adalah mustahil untuk diberikan kepada guru-guru mengajar English seperti saya. Saya berseloroh untuk menggantikan beliau untuk kursus ini. Memang kursus seperti ini saya dambakan.

Kau bukan ustazah.

Jawapan yang saya terima. Pada saya, ini terlalu bias. Kita hanya diberikan kursus mengikut jurusan kita sahaja. Pendapat saya, kursus-kursus seperti ini sepatutnya diberikan secara silang pangkah. Guru-guru akademik, pergi belajar agama dan guru agama yang sudah penuh ilmu agama di dada, pergi pula belajar akademik. Tidaklah guru-guru ini hanya berpengetahuan dalam jurusan mereka sahaja. Tiada kembangan pengetahuan.

Kursus yang didambakan saya.

Sekarang musim isi borang prestasi untuk penjawat awam seperti saya. Ruang latihan yang diperlukan, saya meminta untuk hantar saya ke kursus bahasa arab dengan alasan bahasa arab adalah bahasa pertuturan rasmi di syurga. Kursus kedua pula adalah kursus Al-Quran dengan alasan, Al-Quran dan As-Sunnah bukan hanya diwariskan kepada ustaz dan ustazah.

Sekadar menjentik rasa orang atasan. Uslub dakwah bil tulisan.

1 comment:

ummu amir hamzah said...

Realiti yang sentiasa berat untuk dihadam..T_T

Semoga Allah hadirkan sentiasa kekuatan mengharungi fitnah zaman...