23.4.10

AMALAN YANG TERBALIK


1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah yang mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil.

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan biar habis apa yang dijamu kerana rasa segan dan malu,sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah,sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa sepatutnya yang terendah.

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun.Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain?

8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa.Maka dihantarlah ke kelas tuition walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mau hantar tiution baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuition sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir, tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja.Tapi ke rumah Allah( masjid) tak hujan, tak panas,tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini,rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahnya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah biar bersama suami atau berseorangan, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah,masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia dan banyak suami makan hati.



HADITH

Dari Anas r.a. berkata bahawa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya:

1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.
2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.
3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.
4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.
5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.
6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.
7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya
8. Anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)
2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.



HUKUM

Soalan :
Ustaz, apakah hukum jika saya mengerjakan haji menggunakan wang pinjaman bank yg melaksanakan perbankan Islam?

Jawapan :
Setakat ini hanya pakej umrah, ziarah dan pelancungan sahaja yg menggunakan konsep 'travel now and pay later', yakni banyak koperasi dan perbankan syari'ah yg menawarkan pakej Umrah dan Ziarah di mana insitusi tsb membiayai umrah&ziarah secara ba'i bithaman 'ajil (bayaran balik secara ansuran). Mengenai pembiayaan haji secara 'Haji now and pay later' ini belum diputuskan oleh fuqaha' hari ini kerana ia memerlukan suatu qarar (keputusan bersama) kerana ia menyentuh perkembangan semasa dan kemudahan pembiayaan yg tidak ada di zaman silam.

Kalau kita mengkaji kitab-kitab feqah yg ditekankan ialah syarthul qabul (syarat-syarat haji yg mabrur) yakni salah satunya kos haji dan perbekalannya mestilah datang dari punca-punca halal, di dalam batas-batas kemampuan dan tidak menyusahkan dirinya dan keluarganya setelah selesai haji nanti. Maka di sinilah lahirnya idea LUTH (lembaga urusan tabung Haji), menabung dulu, bila dan cukup wang,mendaftar, barulah naik Haji. Maka mengerjakan Haji secara kredit atau kemudahan Haji now and pay later seperti pakej umrah, ziarah, tourism, pembiayaan kereta, rumah dan asset yg lain, memerlukan ijtihad fuqaha'

Mantan Syaikhul alAzhar, Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah : Imam alBaihaqi meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Awfa ra bahawa dia melihat seorang bertanyakan akan Nabi saw," bolehkah dia meminjam wang untuk mengerjakan haji?" Nabi bersabda," Jangan."

Fatwa Islam online tanggal 11 February 2001,
Harus hukumnya membuat pinjaman (tanpa riba) untuk pembiayaan Haji walaupun ia tidak wajib berbuat demikian dan Hajinya sah. Sebaik-baik pinjaman ialah pinjaman jangkapanjang. Setakat inilah maklumat yg kita dapat dalam loan untuk haji. Pendapat Islam online ini sesuai dengan aliran dlm madzhab Syafi'iy yg meluaskan skop sumber pembiayaan untuk Haji seluas mungkin, asalkan halal (alBujairimi, Hashiah atas Iqna', 2/349.) Allahu a'alam. Allahu a'alam



BAHASA ARAB

مديـــر : Pengetua ( L)
مديـــرة : Pengetua ( P )
معــلم \ معـلمة : Guru (P) \ Guru (L)
تـلـميـذ \ تـلـميـذة : Pelajar (P) \ Pelajar (L)


Ikhsan dari:
Biro Dakwah
Badan Kebajikan Guru & Kakitangan (BKGK 2006)

No comments: