31.10.09
MUHASABAH IMAN
Sebenarnya
Tebal atau nipisnya iman seseorang itu
Bergantung bagaimana hatinya merasakan kebesaran Allah
Yakinnya dia akan janji-janji Allah
Yang menjadi asbab mendorongnya melakukan ibadah
Sebagai pengabdian diri kepadaNya.
Sebenarnya
Allah itu terlalu hampir dengan kita
Lebih hampir dari urat nyawa sekalipun
Kenapa masih angkuh?
Kenapa masih bongkak?
Masih bergelumung dalam maksiat berpanjangan
Bukankah kita hanya hamba?
Tidak punya apa-apa
Semua bukan milik kita
Hanya pinjaman sementara.
Sebenarnya
Dosa berpanjangan itu
Merupakan hijab yang menutup hati
Asbab terasa diri jauh dengan Ilahi
Dari merasakan kewujudanNya yang sentiasa disisi.
Sebenarnya
Iman menjadi asas kepada keislaman seseorang
Yang manisnya perlu dicari dan digali
Melalui proses musyahadah dan muraqobah.
Pernahkan kamu
Memerhati alam ciptaan Tuhan yang indah?
Alam yang indah selain wanita perhiasan dunia kesukaan kamu?
Mengkaji organ-organ dalam badan dan fungsinya?
Hikmah dijadikanNya haiwan yang pelbagai jenis?
Kenapa Allah menjadikan siang malam serta cakrawala yang luas terbentang?
Lihat sahaja sifat objek, ada yang manis, masin, bulat, lonjong?
Memerhati gelagat manusia dengan pelbagai pekerjaannya?
Semua ini menuntut kita memerhati dan bermusyahadah
Untuk menguatkan keimanan terhadap Yang Maha Besar.
Tahukah kamu
A’lim ulama dahulu pernah mengatakan
Bertafakkur satu saat adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun
Ini bukan bermakna tidak perlunya beribadat
Tetapi ianya menggambarkan
Tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan ibadat.
Rasulullah saw juga bermusyahadah
Dengan beruzlah/menyendiri di Gua Hira'
Dalam mencari ketenangan dan kebenaran.
Oleh itu
Proses musyahadah perlu dilakukan dengan latihan yang berterusan
Sehingga menjadi sebahagian aktiviti wajib harian
Sehingga terasa benar segala sesuatu dijadikan Allah tiada sia-sia
Kesemuanya punya hikmah
Di luar kemampuan manusia memikirkannya.
Tahukah kamu?
Musyahadah itu tidak cukup tanpa muraqobah
Apakah itu moraqobah?
Yakni proses menghampirkan diri kepada Allah
Dengan melakukan amal fardu dan sunat
Menjaga hubungan sesama manusia
Apatah lagi hubungan dengan Pencipta.
Hakikatnya
Konsep Allah bersama kamu
Perlulah duhayati serta diyakini setiap ketika
Kerana kesedaran konsep ini
Membuatkan manusia itu rajin beribadat dan takut berbuat maksiat
Inilah dia kunci tauhid
Iaitu pengesaan terhadap Allah dalam perbuatan, sifat dan zatNya.
Moga kita dapat amal
Dengan latihan yang berterusan
Meningkat taqwa menyubur iman
Melalui proses musyahadah dan muraqobah
Dalam istiqomah menuju Allah dan Rasul.
-Ulasan ringkas tazkirah Ustaz Abdul Halim, SK Felda Pasak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment