28.10.09

DUA NAKHODA


Benar!
Mana mungkin dua nakhoda dalam satu kapal
Tapi sekiranya seorang nakhoda itu munafiq bagaimana?
Atau fasiq apatah lagi kafir
Membawa belayar kapal penuh muatan
Kemanakah arahnya?

Benar!
Dua nakhoda kan jadi pertelingkahan
Tapi pernahkah kamu terfikir
Nakhoda yang dianggap penunjuk jalan nan terang
Punya kompas dan peta luas terbentang
Bisa sahaja sesat
Kenapa?

Bayangkan!
Seorang nakhoda yang dianggap unggul
Dilihat penuh yakin dan berkaliber
Tetapi dalam masa yang sama
Terselindung disebalik imej yang jernih
Punya lingkaran wanita yang luas
Pergaulan tanpa batas
Malu yang semakin terhakis
Pandangan tidak dijaga dari yang haram.

Setuju!
Keburukan tidak akan ditutup dengan kebaikan!
Sungguhpun nakhoda itu bersusah payah
Menampilkan imej contoh bersifat teladan
Bertazkirah berdegar-degar
Tetapi!
Tidak mengawal hati daripada SMS wanita
Mengurat cara terhormat penuh rahsia
Sentiasa menganggap wanita yang di SMSnya sebagai adik
Menghalalkan bicara kosong lelaki dan wanita
Kerana status abang dan adik yang direka cipta
Bertanya itu dan ini
Menarik perhatian wanita-wanita dengan kelebihan yang ada
Cara yang sama dan berulang-ulang
Nafsu yang tidak diurus sebaiknya
Akhirnya kan terbongkar juga.

Berkat istikhorah
Seorang wanita diselamatkan Allah
Dari terus disakiti mungkin hingga akhir hayat
Ditunjukkan satu per satu yang tersembunyi
Sedikit demi sedikit
Kerana Allah itu Maha Adil
Dia bisa mendapatkan sebaiknya
Dari dikhianati selamanya.

Wahai nakhoda?
Tidakkah kamu berasa malu?
Bukan dengan dirimu bukan juga manusia
Tetapi dengan Allah
Kamu pasti lebih tahu akan dosa dan pahala
Kerana tarbiyyah awalmu
Bukan untuk dijadikan topeng untuk berselindung
Tapi dirimu adalah untuk manfaat ummat
Dalam menegakkan Ad-Deen dimuka bumi.

Percaya!
Hanya satu nakhoda diperlukan
Memandu anak kapal ke destinasi hakiki
Bukan nakhoda yang fasik
Yang punya aqidah tapi tidak syari’e
Bukan juga munafiq
Yang tiada aqidah tapi berselindung disebalik syari’e
Apatah lagi kafir
Tiada aqidah tiada juga syari’e
Dan dunia kehausan nakhoda beriman
Punya iman dan taqwa yang melangit tinggi
Aqidah mantap atas manhaj sebenar.

Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkanNya kepada mereka. (47:5-6)

Oleh itu
Mulakanlah dengan yang kecil
Jadilah pemimpin yang jujur dan amanah
Contohilah kepimpinan Rasulullah
Yang penuh qudwah hasanah
Walau dalam komuniti dan kelompok yang kecil
Dan kita perlu untuk merubah diri
Mendidik jiwa dengan latihan berterusan
Mencari taqwa dalam menyubur iman
Untuk manfaat dan bukan merosak ummat
Di dunia lebih-lebih lagi akhirat
Berubahlah wahai nakhoda!

-Ulasan ringkas kuliah fiqh Ustaz Mohd Rozman, usrah cinta pondok iman

No comments: