28.9.09

GENAP SETAHUN


Nikah diusia muda
Bukanlah menjadi prioriti
Bahkan tidak pernah terlintas
Namun hebatnya manusia merancang
Hebat lagi perancanganNya.

Bermulanya proses takruf
Hanya dengan keyakinan
Jawapan istikhorah yang bukan sekali
Tetapi berkali-kali.

Bukan keutamaan
Mengharap pendamping fakih
Ilmu agama segunung menggampai langit
Mahupun lulusan universiti timur tengah
Kerana tahunya siapa diri
Dan bukan juga
Yang punya perwatakan bagai ahli sufi
Berjubah berkopiah warak dipandangan
Kerana mata melihat selalu menipu
Pandangan akal dangkal
Pandangan nafsu khayal
KurayuNya melihat dengan mata hati
Walau tiada berharta
Hanya punya roda dua
Cukuplah pemilik rusuk kiri ini
Punya matlamat yang sama
Istiqomah amal yakin dengan ilmu
Sentiasa mahu meningkat fikrah
Dalam usaha menyemai taqwa
Menyubur iman.

Kita berdua tidak sama
Langit dan mungkin hingga ke bumi
Pemikiran lama vs pemikiran muda
Fikrah yang berbeza
Namun punya keserasian
I’tiqad yakin atas aqidah sejahtera
Sama cita mengaharap mardhotillahNya.

Usia setahun
Terlalu mentah untuk suatu penilaian
Bukan juga jaminan kekal untuk kebahagiaan
Terisi dengan ilmu kehidupan yang tidak dijual
Pengalaman yang pelbagai ragam
Membina sifat matang
Moga rahmat nikah awal
Berkat berpanjangan
Berdoa dan terus berdoa.

Kasih
Masih segarkah ingatanmu?
Kita jalan beriringan berpimpinan tangan
Menuju ke pasar awam
Riadah di waktu petang
Keliling bandar burung spesis kluang
Dan kaki ini sebagai bukti
Suatu kenangan indah
Terpahat selamanya.

Rindu
Masihkah kau ingat?
Di awal musim bunga kita
Bersama di dalam satu tongkang
Beramai-ramai lama berjam-jam
Berlayar bersama pulang ke desamu
Dari bandar burung spesis kluang
Ke suatu tempat batu yang dipahat
Menyusuri pantai-pantai di selatan yang memukau
Hingga bertemu sungai terpanjang
Untuk sampai ke negeri penyu bertelur
Berulang-ulang.

Akhirnya sampai jua di negeri penyu bertelur
Berbekal roda dua yang agak lama
Memecut halaju kura-kura
Sentiasa dipintas sang kelisa
Apatah lagi spesis-spesis paus dan jerung
Penuh buih-buih karbon monoksida
Bahkan pernah disimbah percikan becak
Akibat perlumbaan jerung dan paus
Di kala hujan renyai nan lebat
Menuju ke pulau-pulau sekitar
Melihat penyu-penyu bertelur
Dipinggiran pantai
Sambil menikmati juadah laut yang digoreng
Merasa nasi yang penuh kerabu
Singgah selalu berteduh di bawah sayap malaikat
Subhanallah!
Bulan madu dunia yang indah
Sehingga lahirnya Insyirah
Rezeki kurniaanNya
Segalanya kekal sejarah kita.

Cinta
Di pondok iman nan usang
Kita menyulam sayang
Di penghujung rindu
Berjanji bersama
Ikrar taat dan setia
Allah adalah segalanya
Rasulullah pedoman ulung
Firdaus destinasi utama
Bulan madu yang kekal hakiki
Bahagia tiada noktah penyudah.

Sayang
Di manakan kucari ganti
Sang badang gagah perkasa
Berdikari tiada manja
Mengurus pakaian sendiri
Chef yang sentiasa dihati
Memudah urusan rumahtangga
Yang tiada mampu kuurus sendiri
Dikau tiada galang ganti.

Suamiku
Terima kasih atas segalanya
Kupohon ampun salah silap
Yang zahir mahupun tersembunyi
Dihalalkan makan dan minum
Dari mula tertabalnya diriku sebagai pemaisuri hidupmu
Sehingga pantas waktu genap ke angka satu
Izinkan sekali lagi diriku menjadi bidadarimu
Dalam Firdaus yang kekal abadi.

Selamat Ulangtahun ke-1
10 Syawal 1430H

19.9.09

SALAM SYAWAL


Moga amal soleh di dalam ramadhan berterusan hingga akhirnya.
Maaf Zahir & Batin.

10.9.09

INI SEJARAH KITA (ISK)


Ku sendiri tak tahu mahu dimulakan dimana
Perasaan berbaur kasihan dan marah
Atas kebodohan dan kesombongan
Manusia-manusia jahil yang berbangga diri
Hanya kerana tarbiyyah awal sekolah
Yang tidak seberapa amalnya
Diguna untuk mencemuh tanpa usul
Menghukum tanpa bukti
Seolah-olah mereka menguasai semua ilmu
Hanya kerana satu graf
Memperkenalkan sejarah
Sejarah tamadun Islam yang unggul
Yang bisa menghidupkan hati-hati yang mati
Membuka mata-mata yang buta
Menajam telinga-telinga yang pekak
Tetapi dipersoalkan seolah-olah SESAT!

Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai teliga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah. (7:179)

Tahukah kamu manusia-manusia jahil!
Berapa ramai sahabat-sahabat kita yang mahukan Islam
Tergendala niat mereka?
Hanya kerana pertelingkahan yang tiada faedah langsung
Peperangan dicipta hanya kerana ego
Kerana tiadanya berlapang dada antara kita
Kini siapakah yang rugi?
Kau, aku dan mereka termasuk orang yang rugi!

Tahukah kamu manusia-manusia jahil!
Kita mempunyai tugas yang teramat berat
Kita perlu saling mendokong
Selagi mana kita berpegang kepada ahli sunnah wal jamaah
Berpaksi Al-Quran dan Rasul
Lelaki dan perempuan itu berbeza
Kerana itu mereka bergerak secala solo
Tanpa iringin semangat dan doa lelaki-lelaki haram
Mengelak fitnah akhir zaman
Tapi kamu manusia jahil
Sangat sukakan wanita
Kononnya mengambil berat
Tapi sangat menyusahkan
Dan usaha-usaha dakwah terus tergendala.

Tahukah kamu!
Kita hanya perlu menjalankan tugas masing-masing
Aku mahu sekali bertanya?
Apa sumbangan kamu manusia-manusia jahil?
Kenapa terlalu sibuk dengan hal-hal wanita?
Sudahkah kamu berdakwah kepada sekalian yang bergelar lelaki?
Nah! Aku perlukan jawapan itu.
Takkan kamu hanya tahu merayu wanita?
Kononnya berdakwah!
Kamu sudah merosakkan satu landasan yang baru terbina!

Dan ini realiti
Mereka tidak digemari
Kerana tegasnya prinsip menolak pergaulan bebas antara lelaki dan wanita
Percampuran yang membuka peluang syaitan-syaitan
SMS-SMS tipu daya yang melalaikan
Kerana tahunya mereka liciknya laknatullah.

Mereka tidak disukai
Kerana cuba untuk membina kefahaman aqidah
Membuang segala karat-karat jahilliyah
Menjauhi filem-filem jepun korea
Yang langsung tak mendatangkan iman
Membantu pergi dari hedonisme
Mangejutkan dari lena yang panjang

Tahukah kamu!
Bila tercetusnya kekeliruan
Ini membantutkan usaha mentamadunkan Islam
Aku sungguh kecewa
Aku sungguh terkilan
Yang pastinya banyak khilafku
Moga Allah masih memberi peluang bersama mereka
Bergerak dalam usaha dakwah!

Adat manusia itu bukan sempurna
Saling memerlukan
Jika adanya salah dan silap dalam jemaah
Itu bukan salah jemaah itu
Dan tentunya kita manusia.

Keadaan kian reda
Tetapi impaknya terlalu besar
Pernahkah kamu tahu manusia bodoh yang sombong!
Berapa ramai sahabat-sahabat kita bermujahadah untuk ‘no couple’
Kembali jahiliyyah dan punya pasangan
Berapa ramai sahabat-sahabat kita yang mahu menutup aurat sempurna
Kembali menyarung tudung-tudung yang jarang
Berpakaian tetapi telanjang
Berapa ramai sahabat-sahabat kita yang mahu dan hampir mampu keluar dari lembah hina?
Kembali kepada kehinaan
Pernahkah engkau terfikir semua ini?
Lukanya hatiku melihat, mendengar
Cemuhan-cemuhan kepada sahabat-sahabat
Yang memerlukan usrah untuk menghimpun kekuatan
Iman yang perlu dibina di dalam halaqah-halaqah
Telah dirosakkan oleh angkara manusia jahil!
Dan luka ini terlalu pedih
Luka yang lebih parah berbanding cemuhan kepadaku
Kerana jahilnya engkau!
Jahilnya aku!
Jahilnya kita!

Bersangka baik pada semua orang!
Letakkan cemburu pada tempatnya
Bukalah hati bukalah minda
Kita hanya musafir dibumi hina
Perjalanan kita sementara.

Tahukah kamu manusia bodoh yang sombong!
Apa itu INI SEJARAH KITA?
Yang elergiknya kamu kepada perkataan ISK
Bolehkah kamu yang berbangga dengan tarbiyyah agama
Seawal usia hingga ke remaja
Kononnya menguasai sagala ilmu
Menceritakan tamadun Islam yang begitu terperinci
Jatuh bangunnya kita di pentas dunia
Seawal penciptaan Nabi Adam as
Bermula Zaman Jahilliyah
Disusuli Era Makkiyyah
Berkembang di Era Madaniyyah
Kemudian menuju ke Zaman Umaiyyah
Pesat di Zaman Kerajaan Abbasiyyah awal
Mengalami kejatuhan pada Kerajaan Abbasiyyah akhir
Dibangun semula oleh Muhammad Al-Fateh di Constantinople
Dan tamadun kita berakhir pada Zaman Kerajaan Uthmaniyyah
Tahukah kamu?

Sedarlah!
Sesungguhnya graf yang tiada nilai ini
Telah menghidupkan banyak hati-hati yang mati
Telah mencelikkan mata-mata yang buta
Telah menajamkan teliga-telinga yang pekak
Graf yang telah membawa keinsafan
Betapa kita Islam pernah begitu unggul di pentas dunia
Membawa kita mengenal ramai tokoh-tokoh ulama hebat
Menghayati sirah perjuangan Rasulullah
Para sahabat dan salafussoleh
Menjejaki amalan-amalan hebat mereka
Berkenalan dengan imam-iman muktabar
Menghayati sejarah agung awal Islam
Kepenatan dan kelelahan merintis dalam menegakkan syiar Islam
Mengkaji dan merenung sejarah hitam umat Islam
Yang akhirnya membawa tamadun Islam terkubur pada tahun 1924M
Tahukah kamu?
Atau hanya perempuan difikiranmu!

Dan ianya terlalu baru
Betapa perlunya kita menyedarkan
Setiap individu yang bergelar muslim
Hakikat penciptaan manusia
Mengajak semula manusia kepada fitrah
Meningkatkan fikrah Islam dalam diri
Mampukah kamu manusia jahil?
Kuyakin tanpa fikrah yang kuat
Tanpa ilmu dan amal
Itu hanya tipu daya yang mengkhayalkan!
Kalau kamu tidak mampu
Jangan biarkan mereka sama jahil sepertimu
Yang hanya pandai mencari-cari kelemahan
Biarkan usaha dakwah ini berterusan
Kalaupun kamu tidak mahu tahu
Janganlah menjadi penghalang usaha dakwah
Kerana ramai manusia yang memerlukan mereka
Dan tidak perlukan kamu!

Maka benarlah kata pujangga
Tak kenal maka memang tak cinta
Kamu tidak tahu dan ego untuk tahu
Tak mahu cari tahu tapi terus menerus menghukum
Dan inginku nyatakan disini
Setiap cemuhan dan hinaan kamu
Bersangka buruk dan prejudisnya kamu
Pandangan serong sahabat-sahabat kepadaku dan mereka
Kembalinya sahabat-sahabat yang bertarung untuk hijrah kepada jahiliyyah
Hedonisme yang kian parah
Ketahuilah luka ini bisa sembuh
Tetapi parutnya sentiasa berdarah
Melihatkan sahabat-sahabat yang kian leka dan lalai
Maka sediakan jawapanmu untuk satu kemaslahatan ummat yang amat dahsyat
Hasil perkerjaan yang membuta tuli
Usaha kamu yang merobohkan satu jambatan yang hanya baru terbina
Dan ketahuilah!
Segala kecelaruan, ketidakseimbangan
Terbatasnya pergerakan
Terikatku dalam taat
Sememangnya ada harga untuk dibayar!

8.9.09

REBUTLAH


Rebutlah!
Peluang keemasan
Sepertiga fasa terakhir
Ramadhan yang hampir pergi
Entah bisa atau tidak
Bertemu dengannya kembali.

Rebutlah!
Berdoa apa sahaja
Kebaikan dunia pasti akhirat
Kerana adakah pasti
Bertemunya lagi.

Rebutlah!
Peluang beribadat
Dilipatgandakan amalan
Yang hanya ketika ini
Yang bukan datang selalu.

Rebutlah!
Malam lailatulqodar
Yang padanya berkat
Satu malam bersamaan seribu bulan
Satu sunat bersamaan satu fardhu
Dan satu fardhu bersamaan 70 fardhu
Tak mahukah?

Rebutlah!
Membaca Al-Quran
Memahami isi kandungannya
Sedaya mungkin menghafalnya
Kerana kelak
Ianya adalah peneman
Petunjuk jalan nan terang di sana.

Rebutlah!
Bersedeqah seikhlas hati
Menyuci diri dari dosa
Penyembuh penyakit
Mengikis sifat bakhil
Melontar jauh mazmumah
Menyubur sifat mahmudah
Dalam meniti
Meraih kelazatan beribadah kepadaNya.

Rebutlah!
Selagi peluang terbuka luas
Kerana kematian itu terlalu hampir
Ianya pasti hadir
Tidak mengira masa
Sedia atau tidak
Dan Ramadhan depan
Bukan suatu jaminan.

Rebutlah!
Rebutlah!
Rebutlah cinta Allah yang abadi.

MANISNYA IBADAT


Terlalu kejap rasa
Kini fasa terakhir ramadhan kian hampir
Sayu hati
Pilunya hati kian tak tertahan
Ramadhan mahu meninggalkanku lagi
Dan pasti ku sentiasa merindukannya.

Manakan bisa diriku melupakannya
Hidayah ini hadir kerana berkatnya
Dan rasa itu hadir lagi
Tak sanggup untuk berpisah dengannya.

Terawih semalam sekali lagi
Menyentap tangkai hati ini
Sungguh demi Allah!
Tak inginku berpisah denganmu wahai Ramadhan!
Air mata jatuh satu per satu
Ketemukanlah aku
Dengan malam penuh berkat itu.

Ya Allah!
Aku ingin menjadi hambaMu yang soleh
Pengikut Rasulullah yang setia
Aku merindukan syurgaMu
Sungguh tak sanggup aku hadapi nerakaMu
Dekatkanlahku dengan amalan-amalan
Yang mampu aku menjejaki syurgaMu.

Kalau dulu rasa itu
Membawaku di dalam fasa baru
Mengenal apa itu Islam
Beramal dengan sedikit ilmu yang ada
Tapi ramadhan ini matlamat ku berubah
Cuba untuk dipertingkatkan
Moga dapat thabat
Istiqomah menuju Allah dan Rasul.

Kalau dulu mampu khatam al-Quran
Sekali malah pernah dua
Tapi ramadhan ini
Dikekalkan khatam ini
Ditambah lagi
Azam untuk menghafal juzuk amma
Serta hadith arbain
Sekurang-kurangnya sepanjang hayat
Moga Allah lorongkan
Kefahaman yang mendalam
Memahami kandungan kalamullah
Mengikut sunnah
Dalam memperbaiki diri
Meningkatkan fikrah
Menyubur iman.

Kuharap ramadhan ini
Kumampu menggapai iman yang sejahtera
Kuat menempuh dugaan mendatang
Sentiasa dikurniakan hidayah
Menjadi insan yang lebih baik
Memusatkan tumpuan dalam beribadat
Kurang leka kurang lalai
Kumahu manisnya ibadat
Manisnya ibadat!
Manisnya ibadat!
Sebati dengan diriku sampai mati.

Ya Allah
Aku merindukanMu
Aku merindukan RasulMu
Aku mahukan syurgaMu
Ketemukan aku denganMu
Ketemukan aku dengan rasulMu
Masukkan aku ke dalam syurgaMu.

Perkenankanlah ya Allah..

3.9.09

SIAPA KITA


Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahusujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Aalamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melaluiayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.

Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia berkata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil erkata,"Ya Rabbi (Wahai Tuhanku) Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.

Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.


p/s: copy and paste email

ANALISA SEBUAH PERSAHABATAN


Allah Yang Maha Berkuasa telah menciptakan manusia berpuak-puak dan pelbagai bangsa untuk mereka lebih kenal mengenali antara satu sama lain. Sudah menjadi fitrah alam, manusia tidak hidup sendirian. Mereka dikelilingi oleh keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai dalam memudahkan mereka melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Persahabatan yang menyebabkan tercetusnya rasa kasih sayang sesama manusia amat dituntut dalam Islam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah" (mafhum al Quran). Islam telah menggariskan seseorang yang bersahabat dengan seseorang yang lain adalah kerana beberapa tujuan tertentu. Diantara tujuan-tujuan tersebut ialah :

a. Seseorang yang bersahabat kerana zat sahabatnya seperti cantik paras rupa. Persahabatan ini tidak akan menguntungkan dalam pembentukan peribadi kerana paras rupa suatu yang baru dan akan berubah mengikut peredaran masa.

b. Seseorang yang bersahabat kerana maslahat (kepentingan) di dunia.Persahabatan dalam kategori ini akan bersahabat semata-mata untuk mendapat nikmat keduniaan seperti kekayaan dan pangkat sahaja.

c. Seseorang yang bersahabat kerana maslahat (kepentingan) di akhirat. Persahabatan ini adalah untuk akhirat seperti bersahabat dengan orang yang berilmu untuk mendapatkan ilmunya supaya mudah beribadat kepada Allah dan mengikuti segala suruhan-Nya. Golongan ini akan mendapat keuntungan di dalam hidupnya dan golongan ini diibaratkan seperti orang yang menghadiri majlis ilmu. Walaupun tidak mendapatkan keseluruhan ilmunya tetapi sedikit ilmu yang didapatinya sudah mampu untuk dijadikan panduan hidupnya.

d. Seseorang yang bersahabat kerana Allah. Allah telah memerintahkan supaya di antara hamba-hambaNya hendaklah ada yang kasih mengasihi seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Golongan ini adalah golongan yang terbaik dan sentiasa hampir dengan Allah. Bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat kelak iaitu :

1. Pemerintah yang adil.
2. Orang muda yang sentiasa beribadat kepada Allah.
3. Seorang lelaki yang hatinya sentiasa tergantung dengan masjid.
4. Dua orang yang bersahabat dan berbuat kebajikan kerana Allah.
5. Orang yang ingat kepada Allah di waktu sunyi hingga mengalir air matanya.
6. Lelaki yang menolak ajakan perempuan yang mempunyai kedudukan dan kecantikan untuk melakukan maksiat.
7. Lelaki yang bersedekah dengan tidak menghebahkannya kepada orang lain." (mafhum hadis).

Dan dalam memilih sahabat, Islam telah menggariskan beberapa syarat yang perlu kerana seseorang itu akan dinilai melalui siapakah sahabatnya.

Seterusnya sahabatnya dapat menjadi cermin bagi dirinya dan begitulah sebaliknya. Untuk mencari sahabat yang dapat menjamin kehidupan yang lebih bermakna, ikutilah syarat-syarat berikut :

a. Hendaklah bersahabat dengan orang yang berakal kerana bersahabat dengan orang yang jahil atau kurang akal akan menjerumuskan diri kearah keburukkan seperti seseorang yang sabar akan menjadi cepat marah atau sebagainya.

b. Hendaklah bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia kerana sahabat yang berakhlak mulia akan menyelamatkan diri kita sebagaimana pesanan Alqamah kepada anaknya: "Jika engkau ingin bersahabat, carilah sahabat yang boleh membantu di waktu kesusahan, yang boleh menyembunyikan keaiban dan kesalahan yang dilakukan, yang menolong di waktu kesempitan, yang akan membalas kebaikanmu dengan kebaikan juga, yang membenarkan katamu selagi engkau berkata benar dan yang akan menyebelahimu apabila berlaku perbalahan".(mafhum riwayah) Dan kerana itu jugalah Jaafar As-Siddiq r.a berkata : "Janganlah engkau bersahabat dengan lima golongan ini iaitu orang yang banyak berdusta, orang yang kurang akal, orang yang kedekut, orang yang penakut serta orang yang fasik. (mafhum riwayah)

c. Hendaklah bersahabat dengan orang yang baik hati dan beragama iaitu tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil. Islam menegah bersahabat dengan orang yang fasik kerana akan menyebabkan seseorang itu akan meringankan perbuatan maksiat dan tidak berusaha menegah perbuatan tersebut apabila berlaku di dalam masyarakat. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: "Seseorang itu akan mengikut agama kekasihnya dan mengikut akhlak sahabatnya, maka tiliklah siapakah yang engkau akan jadikan sahabat dan kekasihmu itu". (mafhum hadis)

d. Hendaklah bersahabat dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dilarang bersahabat dengan ahli bid`ah seperti ahli Muktazilah kerana ia merosakkan agama, sedangkan berpegang kepada ajaran agama adalah satu kemestian dan tiada tolak ansur dalam perkara menolak kerosakan agama ini.

e. Hendaklah bersahabat dengan orang yang tidak condong kepada kemewahan dunia yang berlebih-lebihan (zuhud). Bersahabat dengan orang yang hanya memikirkan dunia akan menyebabkan kita melupakan agama dan kehidupan akan datang di akhirat kelak. Akhirnya akan memberi kemuliaan di dunia yang tiada kesinambungannya dengan akhirat.

f. Hendaklah bersahabat dengan orang yang benar, cerdik, amanah dan banyak berzikir kepada Allah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

"Janganlah kamu ikuti orang yang kosong (lalai) hatinya daripada mengingati. Aku dan orang yang mengikut hawa nafsunya sahaja".(mafhum)


Adab-adab Bersahabat

a. Seseorang yang menjalinkan persahabatan hendaklah saling mengutamakan kepentingan sahabatnya dengan harta, tenaga, kepandaian dan sebagainya disamping memenuhi keperluan masing-masing tanpa dipinta.

b. Teguh menyimpan rahsia dan keaiban sahabatnya samada di hadapan atau di belakangnya.

c. Sentiasa menjaga percakapan masing-masing dengan kata-kata yang menggembirakan dan sentiasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

d. Memanggil nama sahabatnya dengan nama yang disukai oleh sahabatnya.

e. Bersedia untuk memaafkan kelemahan dan kesalahan dengan cara yang disenangi. Seperti tidak memarahinya tetapi sebaliknya memberikan nasihat dan teguran yang baik.

f. Mendoakan sahabatnya agar sentiasa di dalam petunjuk dan mampu menunaikan amanah semasa hidup atau matinya.

g. Berusaha meringankan beban keluarganya semasa adanya atau setelah ketiadaanya.

h. Tidak memberatkan sahabatnya dengan bebanan yang menyulitkan serta bersedia untuk sama-sama menghadapi kegembiraan atau kesedihan dan sentiasa berbuat baik kepadanya.

i. Tidak memotong percakapannya ketika dia sedang bercakap dan mendengar sehingga selesai percakapannya.

j. Sentiasa mendahuluinya memberi salam dan memberi penghormatan padanya apabila dia meninggalkan majlis. Luqmanul Hakim berpesan kepada anaknya : "Wahai anakku, duduklah engkau berhampiran ulama` kerana hati akan hidup dengan hikmah iaitu ilmu yang memberi manfaat di akhirat seperti bumi subur apabila dibasahi hujan". (mafhum riwayah)


Mutiara Kata

" Dan memberinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. " (QS. 65:3)


p/s: copy and paste email