17.5.15

GURU: MEMBINA ILMU, MENYEMPURNAKAN AKHLAK

Setiap hari kita dihidangkan tentang kemashlahatan akhlak yang amat dahsyat generasi hari ini yang disifatkan lebih teruk dari haiwan. Mana tidaknya, pembuangan bayi di merata tempat malah perlakuan sumbang yang minta direjam itu, dibuat tanpa segan silu. Berita-berita ini cukup menyesakkan dada. Tambah lagi, orang yang anak-anak fikir sebagai tempat perlidungan rupa-rupanya adalah orang yang paling tidak selamat.

Selain itu, terlalu banyak filem dan drama TV mengangkat cerita-cerita penzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf sebagai simbol yang perkara ini bukan lagi suatu perkara yang 'rare' dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Bertepatan hari guru yang disambut oleh guru-guru pada 16 Mei setiap tahun dengan tema yang sungguh cantik, 'Guru: membina ilmu, menyempurnakan akhlak', saya menyeru semua para pendidik mengambil berat tentang masalah sosial yang semakin  mudarat dan membimbangkan.

Bayangkanlah anak-anak seawal usia 7, 8 tahun sudah boleh bercerita perihal kahwin, cinta dan sebagainya sebagai simbolik betapa terbukanya mereka terhadap perkara-perkara sensitif berlainan jantina di awal usia. Bagi mereka, bercinta itu normal dan bersentuhan lelaki dan perempuan juga tiada apa-apa masalah akibat pengaruh drama dan media massa yang sangat tidak beretika pada pandangan saya.

Saya melihat perkara ini sesuatu yang sangat berat dan kita sebagai manusia yang sebenarnya berperanan sebagai pendidik dalam kelompok kita, perlu melihat perkara ini sebagai suatu fenomena yang sangat membimbangkan dan sepatutnya sebagai orang dewasa yang telah melalui fasa-fasa kanak-kanak, remaja dan seterusnya belia, kita patut lebih faham dan sensitif akan kesan yang generasi anak-anak kita akan tanggung.

Maka, sebagai pendidik, saya menyeru dan merayu buat diri saya dan semua ibu bapa, guru, fahamilah biologi anak-anak kita yang sedang membesar. Santuni mereka adab-adab pergaulan yang telah Allah gariskan. Walaupun hukum tidak sampai haram bersentuhan antara kanak-kanak yang belum baligh, tetapi dalam keadaan ketenatan masyarakat hari ini, jika kita yang tidak mengingatkan, siapa lagi?

Sebagai contoh, saya mohon guru-guru untuk lebih fokus adab pergaulan sesama anak-anak berlainan kita seperti:
1. Mengasingkan kumpulan atau tempat duduk anak-anak lelaki dan perempuan. Usah dibiarkan lelaki perempuan duduk bersebelahan manakala duduk dalam kumpulan, biarlah sekumpulan sama jantina walaupun bising. Lebih elok bising dari mengundang sesuatu yang merosakkan di masa hadapan.
2. Guru-guru lelaki dan perempuan sepatutnya sudah boleh mendidik anak-anak supaya tidak bersalaman antara guru dan murid berbeza jantina walaupun pada kita, mereka masih kecil dan tidak mendatangkan dosa mencubit pipi asbab geram kerana kecomelan anak-anak kita.
3. Terangkan secara berterusan adab-adab pergaulan antara lelaki dan perempuan. 

Masuk kelas, bukan hanya niat menghabiskan silibus tetapi kaitkan Allah iaitu akidah dalam semua cabang matapelajaran sekalipun.

Wahai guru, ubahlah perspektif kolot kita hari ini supaya generasi yang lahir daripada tangan-tangan kita adalah generasi yang mampu hidup beragama. Generasi yang kuat berpegang kepada aqidah sehinggakan mereka mampu bersikap ehsan. Dihadapan atau dibelakang kita, mereka boleh beramal hanya kerana takut dan mengharap redha Allah.

Ya, saya faham masalah sistem. Bukan mudah merubah suatu sistem yang telah dirancang sebelum kerajaan Turki Uthmaniyyah runtuh lagi tetapi percayalah, ubahlah diri inshaAllah suasana akan terkesan walau tidak banyak sekalipun, sedikit asbab perubahan kita inshaAllah wa biidznillah.

Selamat merubah generasi. Guru: membina ilmu, menyempurnakan akhlak. Selamat Hari Guru!

No comments: