13.5.15

EMPATI

Seorang sahabat fillah telah menyertai bulatan gembira kami sekitar tahun lepas. Menariknya cara beliau menyertai kami asbab gerakan Allah melalui laman di internet. Setelah menerima nombor telefon makcik (baca: panggilan mak usrah kami), beliau telah Allah takdirkan bersama-sama kami sehingga hari ini yang mana beliau begitu komited dengan usrah kerana sentiasa awal dan tidak meninggalkan perjumpaan refresh iman kami setiap minggu.

Kadangkala, persoalan saya tentang agamawan yang tidak sepertimananya sepatutnya mereka terjawab. Pada pandangan peribadi saya dan pengalaman saya sendiri yang membesar dalam arus konvensional lagi sekular, Allah takdirkan kami menemuiNya selama ini dengan begitu payah. Pelbagai liku sehingga Allah fahamkan, apa itu tugas kita di atas muka bumi ini. Apa yang sepatutnya kita buat setiap hari. Berbeza dengan yang Allah bentangkan siap-siap dengan keluarga yang memang telah ada roh Islam semenjak mula.

Benarlah seorang alim berkata, ujian orang yang berilmu adalah merasakan cukup pandai dan sukar menerima teguran dan nasihat kerana baginya orang lain bodoh dan tiada pengetahuan dan pencapaian yang membanggakan berbanding dirinya. Sedangkan ujian orang kaya, merasakan orang lain patut mendengar katanya dengan kuasa dan harta yang dia ada dan ujian orang bodoh, sentiasa jahil kerana tidak mahu mencari ilmu. Begitu payahnya menundukkan hati.

Berbalik kepada tajuk, saya mula belajar sesuatu dengan sahabat ini iaitu EMPATI. Sekian lama saya menghadiri usrah, baru sekarang saya mula sedar apa itu EMPATI.

Menurut Ubaydillah (2005) empati adalah kemampuan kita dalam menyelami perasaan orang lain tanpa harus tenggelam di dalamnya. Empati adalah kemampuan kita dalam mendengarkan perasaan orang lain tanpa harus larut. Empati adalah kemampuan kita dalam meresponi keinginan orang lain yang tak terucap. Kemampuan ini dipandang sebagai kunci menaikkan intensitas dan kedalaman hubungan kita dengan orang lain (connecting with). Selain itu Empati merupakan salah satu kunci keberhasilan dalam melakukan hubungan antar pribadi dengan coba memahami suatu permasalahan dari sudut pandang atau perasaan lawan bicara. Melalui empati, individu akan mampu mengembangkan pemahaman yang mendalam mengenai suatu permasalahan. Memahami orang lain akan mendorong antar individu saling berbagi. Empati merupakan kunci pengembangan leadership dalam diri individu. [sumber]

Sahabat fillah kami ini telah beberapa tahun berkahwin tetapi belum direzekikan anak. Ujian ini rupanya mendorong dirinya mencari Allah sehingga dipertemukan dengan kami. Beberapa waktu duduk dalam bulatan gembira bersama dirinya, saya mula belajar dan menyelami perasaan seorang wanita yang belum dikurniakan anak. Bayangkanlah bagaimana naluri keibuannya yang begitu kepingin anak sebagaimana keluarga-keluarga lain yang sentiasa tayangkan bayi-bayi mereka dengan keletah dan kebijaksanaan anak masing-masing di dada-dada fb dan media sosial.

Rupanya dalam keghairahan kita, ada hati-hati yang kesayuan. Ramai akan mengatakan mereka yang bermasalah hati tetapi permasalahan hati ini sedikit sebanyak adalah kita sebagai faktor penyumbang. Saya jadi terkesima apabila duduk-duduk dan terfikir serta meletakkan saya dalam diri rakan-rakan yang belum direzekikan anak. Kita tidak mungkin merasai perasaan mereka secara penuh kerana kita telah mempunyai anak.

Semenjak itu, saya berazam tidak akan menggunakan perkataan MENGAPA. Pertanyaan-pertanyaan kenapa boleh jadi biasa buat kita tetapi tidak buat mereka. Contohnya, 'kenapa belum mengandung?'. Mengandung atau belum, bukan kerja mereka. Allah lebih tahu dan mereka sendiri tiada jawapan. Sungguh diam itu memang sangat baik.

Sama juga perihal lainnya sehinggakan saya pernah sentiasa mahu menang apabila berbincang perkara-perkara ini dengan suami. Pernah suatu hari, telefon saya dibelek-belek suami. Dia mempersoalkan gambar roti gebu yang saya ambil setelah keluar oven. Katanya, 'mahu buat orang lain terliurlah tu'. Orang terliur sedangkan mereka tidak boleh makan. Tidak rasa bersalahkah?

Sehinggakan satu masa pada saya, semuanya tidak boleh tulis, apa yang saya mahu tulis? Rupanya Allah tarbiyyah saya untuk lebih perbaiki hati. Lebih berhati-hati kerana fokus dakwah Ar-Rasul adalah iman. Perbaiki hati untuk kesantunan budi dan akhlak. Apabila kita mula memfokuskan kepada hati, inshaAllah Allah bantu menyantuni tingkahlaku dan akhlak.

Tulislah dengan nama Tuhanmu. Tulislah dengan hati untuk sampai ke hati-hati.

No comments: