Showing posts with label Khalifah Kecil II. Show all posts
Showing posts with label Khalifah Kecil II. Show all posts

26.7.12

MARHABAN PANGLIMA RAMADHAN KE-2!

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, tepat jam 10.27 malam bersamaan 5 Ramadhan 1433H, lahir seorang lagi panglima Ramadhan kecil ;). Marhaban panglima Ramadhan ke-2!

Kelahiran kedua yang Allah izin dan takdirkan ianya normal tetapi dengan bantuan forcep mungkin asbab panglima Ramadhan ke-2 agak besar berbanding si abang dahulu. 

Panglima Ramadhan ke-2 lahir dengan berat 3.7kg, tinggi/panjang badan 52cm dan ukur lilit kepala 34 cm. Rupa semasa lahir ada kesamaan dengan si panglima Ramadhan pertama walapun pasti ada bezanya ;).

19.7.12

BERSIH 4.0: BELI-BELAH & HADIAH

Khalifah kecil II hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
InsyaAllah lagi 6 hari untuk sampai kepada due scan yang diberikan doktor. Ibu memang tampak begitu sarat dengan jalan yang terkedek-kedek. Jubah ibu juga sudah seperti sarung nangka. Kebiasaan jubah yang ibu beli bersaiz paling besar kerana prioriti pemilihan jubah untuk ibu adalah labuhnya dan ianya lebih besar daripada baju mengandung yang dijual. Sekarang ianya terlihat begitu sendat. Memalukan T_T. Mungkin minggu hadapan ibu perlu memulakan cuti. Di tempat bertugas, rata-rata sudah bertanya bila ibu mahu memulakan cuti kerana memang terlihat begitu sarat. Semasa membuat ujian imbasan buat pertama kalinya, due pertama yang terpapar adalah pada 1 Ramadhan iaitu boleh jadi pada hari Sabtu ini. Due untuk kali kedua membuat ujian imbasan jatuh pula pada 7 Ramadhan. Final due date yang diberikan doktor berpandukan ujian imbasan kali ketiga adalah pada 5 Ramadan. Setakat hari ini, hanya 3 kali khalifah kecil II discan. Kesimpulannya, insyaAllah ibu memang tunggu masa yang sesuai yang telah ditentukan Allah sahaja ;).

SoftFit & Puting
Walaupun menyambut kelahiran kedua, sebenarnya masih ada barang-barang yang diperlukan oleh khalifah kecil II sebagai contoh sparepart alatan pam. Disebabkan semasa Muhammad, ibu adalah pengempam tegar, kedua softfit asal telah pun koyak dalam jangka masa 6 bulan pertama. Ibu beli lagi dan satu daripadanya koyak untuk 6 bulan seterusnya dan ini menjadikan jumlah softfit yang telah koyak adalah 3 ;). Bulan lepas ibu beli sepasang bersama puting medela.

Sepasang softFit dan puting medela.

Suatu hari ibu memerhatikan puting susu yang sedia ada yang digunakan Muhammad sehingga kini, rupa-rupanya sudah terkoyak di bahagian leher puting. Pada Muhammad ianya tidak menjadi masalah tetapi mungkin bermasalah buat khalifah kecil II yang masih belum pandai mengawal aliran susu yang melalui puting tersebut. Mahu atau tidak, ibu beli juga puting baru buat adik Muhammad kerana ibu belajar daripada kesilapan dahulu. Khalifah kecil II perlu diajar menggunakan botol sejak lahir kerana ibu bekerja. Mudah-mudahan kejadian Muhammad yang keliru puting tidak berulang kepada khalifah kecil II insyaAllah!

Besan Mandi
Kelmarin ayah ada mesyuarat. Ibu mengambil kesempatan membuat 'latihan berjalan' bersama Nenek dan Makngah. Riadhah cuci-cuci mata ;). Di BAi kita memang tiada besen menadah air di dalam bilik air. Semasa Muhammad dahulu ayah ada membeli jenis yang bukan untuk mandi. Mudah bagi ayah tetapi ibu mengenangkan apabila ayah kembali bekerja, pastinya ibu yang perlu memandikan khalifah kecil II secara berdiri. Jadi, ibu memerlukan besen mandi untuk bayi yang muat-muat di atas permukaan mesin basuh kecil kita berdekatan dengan sinki. Sebagaimana Muhammad, khalifah kecil II pun akan dimandikan dengan air paip sahaja cuma Muhammad dimandikan air sejuk atau lebih tepatnya air telaga diusia 3 bulan di kampung ayah. Meraung sekampung tetapi sehingga kini, Muhammad memang tidak pandai mandi dengan air suam. Muhammad akan menolak air suam dan minta dimandikan dengan air paip ;).

Di kedai yang menjual peralatan bayi, besen sebegini harganya tidak kurang RM20. Ada sehingga mencapai RM28. Alhamdulillah ibu terus membeli besin mandi di atas kerana promosi penghabisan stok yang hanya tinggal 2 unit warna yang sama berharga RM14.20 ;).

Muhammad adalah pengalaman pertama ibu dan ayah. Jadi, banyak perkara keibubapaan yang kami belajar ketika Muhammad. Sebagai contoh mandikan bayi dengan air sejuk. Banyak hikmah antaranya ianya dapat menguatkan tulang bayi dan meningkatkan sistem imun bayi sebagai pencegahan pelbagai penyakit. Ianya juga sebagai perencat kecederaan akut seperti demam panas yang selalu terjadi kepada bayi. Banyak lagi kajian berkenaan air sejuk yang ibu dan ayah ketahui semenjak dikurniakan Muhammad. Pastinya semuanya dengan izin Allah. Terima kasih kepada Muhammad kerana asbabnya, insyaAllah khalifah kecil II dan adik-adik bakal menerima yang lebih baik.

Bantal Menyusu
Lama ibu idamkan bantal untuk menyusu dan Alhamdulillah adik bongsu nenek yang anaknya telah pun berusia setahun lebih tidak lagi menggunakannya. Masih cantik. Apabila diamati bantal menyusu yang mahal juga harganya ini, mudah juga untuk membuatnya. Potong kain ikut potongan ladam kuda dan sumbat kekabu sepadat-padatnya mungkin. Angan-angan ibu yang terbaru adalah ingin membuat tilam kekabu dan mahu belajar membuat cadar tilam khalifah kecil II ;). Apabila mengenangkan semula, bila pula masanya. Sebaik ibu habis cuti, insyaAllah dengan izin Allah, khalifah kecil II insyaAllah sudah ke fasa meniarap pula.

Big bro yang keletihan ;). Bantal kepala karipap juga pemberian Tokcu. 

Setakat hari ini, barang-barang khalifah kecil II telah lengkap kerana banyak warisan daripada Muhammad diguna pakai semula. InsyaAllah ayah dan ibu ada hadiah buat khalifah kecil II tetapi kami menunggu pengakhiran pertapaan khalifah kecil II di alam rahim ibu dahulu. Muhammad dahulu ibu ayah hadiahi set penyusuan Medela Freestyle yang paling mahal harganya di pasaran dan Alhamdulillah ianya sangat berbaloi. Ibu abadikan di entry HADIAH UNTUK MUHAMMAD. InsyaAllah khalifah kecil II juga ada hadiah sebagaimana Muhammad dahulu. InsyaAllah ada kelapangan dengan nikmat umur di masa mendatang, ibu abadikan di sini hadiah buat khalifah kecil II insyaAllah. Rindu tidak tertahan buat khalifah kecil II daripada ayah, ibu, dan Muhammad kerana Allah! ;)

16.7.12

BERSIH 3.0: PERSIAPAN AKHIR

Khalifah kecil II yang diredhoi Allah dan Rasul :)
Malam semalam ibu ayah mula berdebar. Ibu bagai rasakan sudah ada kontraksi tetapi yang tidak kerap. Sepantas kilat, ibu menyudahkan segala kelengkapan dan terus sahaja meletakkan beg di atas meja jepun ruang tamu. Tunggu punya tunggu, sakit hilang. Rupa-rupanya kontraksi palsu ;). Alhamdulillah dengan kontraksi palsu tersebut, Allah izinkan ibu berkemas dengan cemas setelah sekian lama menangguh kerana rajin yang teramat ;).

Persiapan terakhir yang ibu bermalas-malasan ;). Sebotol air zam-zam, kurma yang perlu diletakkan di 3 tempat. Beg ayah, ibu dan khalifah kecil serta sesudu madu sebagai alternatif selain kurma untuk tahnik nanti. Mudah-mudahan dengan sunnah bertahnik, Allah kurniakan lidah yang kuat buat khalifah kecil II untuk 'pam' keluar susu ibu sesegera yang boleh. Jangan lupa nangis sebaik keluar dari alam rahim ;).

Kuliah Ambang Ramadhan
Kelas ibu setiap isnin berakhir jam 10. Perjumpaan berkala dengan doktor yang kini menjadi seminggu sekali menjelang sebulan sebelum kelahiran juga pada hari isnin. Selepas meminta keizinan bos, ibu ke klinik selepas kelas terakhir dan dapatlah giliran awal berbanding petang yang kebiasaan lebih ramai orang walaupun swasta dengan izin Allah pastinya yang memudahkan segala urusan. Sepanjang perjalanan keluar ladang ke klinik yang memakan masa lebih 30 minit tersebut, ibu sempat mendengar kuliah di ambang Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Bin Abdullah Al-Amin. Kuliah yang menarik perhatian menemani perjalanan ibu ke klinik bersama khalifah kecil II yang juga setia mendengar di alam rahim. Iktikaflah puas-puas di dalam rahim ibu sebelum takdirmu datang menjemputmu menjengah ke kampung dunia yang penuh tipu daya T_T.

Nilai Kendiri
Apabila menyebut Ramadhan, pastinya kita sangat familiar dengan istilah bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga. Kita sebenarnya melatih diri untuk menahan semua pancaindera daripada melakukan maksiat. Madrasah Ramadhan adalah permulaan yang baik sebagai momentum ke bulan-bulan lain. Maksudnya, kita boleh nilai kendiri ibadah puasa kita. Contohnya kita mampu untuk istiqomah bangun tahajjud bukan sahaja di dalam Ramadhan malah berlanjutan sehingga mati. Maksudnya, insyaAllah ibadah kita Allah terima.

Kekuatan Deria
Ibu sangat tertarik apabila ustaz menyentuh berkenaan kekuatan deria yang dikurniakan Allah kepada satu-satu kaum. Sebagai contoh orang melayu kita dikurniakan kekuatan deria lidah sebab itu orang melayu masak sedap. Ustaz membandingkan dengan masakan arab. Kadang orang arab goreng ikan tanpa garam tetapi sudah terlalu sedap bagi mereka tetapi tidak kita. Orang arab pula dikurniakan kekuatan deria membau, sebab itu mereka gemarkan bau-bauan seperti minyak atar yang pada kita sakit hidung tetapi terlalu wangi buat mereka. Kekuatan mata atau melihat, Allah kurniakan kepada bangsa Eropah. Mereka sangat menghargai seni. Sebahagian besar mereka boleh melihat potret Monalisa berjam-jam di muzium atau galeri lukisan. Bayangkanlah sekiranya galeri seperti tersebut di sini, pastinya tiada yang sudi datang kata ustaz secara berseloroh dengan DJ ikim yang bertugas ketika itu.

Okestra
Ustaz ada pengalaman ke okestra kerana diajak rakannya. Si rakan mampu menangis mendengar okesta tersebut sedangkan beliau menghitung detik, bilakah majlis yang membosankan itu akan berakhir. Ustaz memberi bayangan tentang kekuatan deria mendengar sehingga si rakan tersebut mampu menangis kerana menghayati dengan hatinya. Begitulah kesimpulannya, apabila kita mampu mengawal semua deria yang dikurniakan Allah sehingga menyentuh ke dalam hati. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Bahkan ianya berupaya mendidik segala pancaindera agar kembali taat perintah Allah dengan bermula melalui madrasah Ramadhan insyaAllah.

Belum Mahu Keluar
Ibu tidak sempat mendengar habis isi kuliah tersebut kerana sudah berada di hadapan klinik. Mungkin pemeriksaan berkala yang terakhir dan boleh jadi kedua terakhir ;). Berat ibu naik lagi. Doktor kata baby masih growing kerana apabila sudah mahu bersalin, kebiasaannya berat badan akan statik. InsyaAllah due scan lagi 8 hari. Nampaknya khalifah kecil II sangat selesa di alam rahim ibu ;). Ramadhan pula insyaAllah lagi 4 hari. Mudah-mudahan Allah sampaikan kita di dalam Ramadhan lagi pada tahun ini. Bulan keberkatan yang kita nanti-nantikan saban tahun. Kedatangannya disambut gembira dan pemergiaannya pasti mengundang pilu. Adakah sempat bertemu Ramadhan sekali lagi T_T.

InsyaAllah persiapan terakhir menyambut kehadiran kalifah kecil II telah diselesaikan malam semalam. Tinggal memasukkan ke semua beg di dalam unta kita. Mudah-mudahan proses bersalin kali ini mudah sebagaimana rakan-rakan seangkatan ibu. Jauh disudut hati ibu, sesungguhnya proses bersalin adalah antara hidup dan mati. Boleh jadi Allah kurniaan jihad bersalin buat ibu. Andainya nyawa setakat itu, ibu halalkan dan redho segalanya buat anak-anak ibu. Tandai pusara ibu hanya dengan nesan tanpa hiasan. Pastinya saat ini ibu merindukan khalifah kecil II. Rupa ayahkah? Atau rupa ibu ;). Mudah-mudahan khalifah kecil II keluar dengan selamat, sihat sempurna dengan iman yang mantap pastinya mengikut jadual Allah ;).

Hanya tinggal dimasukkan ke dalam unta kita ;).

19.6.12

BERSIH 2.0: BEG

Khalifah kecil II hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Alhamdulillah pada hari Sabtu yang lepas, Allah memberi kekuatan untuk ibu mencuci peralatan penyusuan dan keesokkan harinya pula, sekali lagi Allah memberi semangat untuk ibu dan ayah mengemas pula. Ayah mencuci semua baju-baju Muhammad termasuk bantal-bantal, kain lampin, barut dan pelbagai lagi. Ibu pula menyidainya sehingga mahu pengsan ;). Makngah tidak sempat mencuci baju-baju tersebut dan memberi semula plastik berisi baju Muhammad yang tidak terusik kerana tahun lepas makngah bersalinkan Kaiyisah Zahra. Jadi, makngah menggunakan baju bayi kakak Arissa, anak maklong. Maklong dikurniakan sepasang. Jadi, baju abang Adam banyak digunakan Muhammad manakalah baju kakak Arissa pula digunakan Kaiyisah (Kesya). Kesya pun belum setahun, jadi ibu guna semula baju-baju Muhammad yang dahulu. Kemudian, ayah pula sibuk menvakum bilik utama. Lama kita tidak tidur di dalam bilik. Panas. Nenek pula sudah 'bising' supaya memasang penghawa dingin kerana kasihankan Muhammad dan adik nanti ;). Masih belum dalam senarai prioriti lagi buat masa ini wahai nenek ;).

1. Barangan Muhammad ketika bayi. Sebahagiannya adalah kepunyaan Abang Adam dan banyak juga hadiah daripada kawan-kawan ibu yang berkunjung semasa Syawal 1431H.
2. Siap diasingkan sebelum dicuci.
3. Penuh ampaian dalam BAi kita. Semua berhimpit-himpit ;).
4. Alhamdulillah semuanya siap dilipat. Bakul merah yang besar kepunyaan big bro, Muhammad ;). Bakul kecil pula kepunyaan lit bro/sis ;). Tunggu ibu kaya untuk beli almari besar seorang satu ;D.

5 Beg
Memandangkan usia kandungan semakin hampir 36 minggu atau 9 bulan, sudah tiba masanya ibu perlu menyediakan beg pakaian ke hospital. Sepatutnya seawal 7 bulan kandungan lagi beg-beg ke hospital perlu disediakan sebagai langkah kecemasan. Alhamdulillah setakat hari ini, proses kehamilan ibu dalam keadaan baik dan terkawal dengan izin Allah pastinya. Ada 5 beg yang perlu disediakan. Pertama semestinya beg khalifah kecil II. Kedua ialah beg ibu. Ketiga, beg untuk ayah. Keempat adalah beg alatan penyusuan dan terakhir adalah beg Muhammad. Apa rasionalnya sehingga 5 beg?

5 beg kesemuanya ;).

1. Beg Khalifah Kecil II
Beg khalifah kecil II semestinya perkara utama yang perlu disediakan. Di dalam beg perlu ada sekurang-kurangnya 2 helai baju serta sarung tangan dan kakinya kerana nanti bayi memakai pakaian hospital jika tidak silap ibu. Seterusnya adalah tuala, mandian head to toe yang lebih mudah, barut bagi yang mahu, selimut untuk keluar hospital nanti serta pampers. Pampers mengikut pengalaman semasa Muhammad dahulu, adalah lebih baik membawanya lebih sedozen dan lebih baik letakkan terus baki yang sebungkus di dalam kereta untuk persediaan sekiranya ditahan lebih lama di hospital. Minta dijauhkan pelbagai masalah. Lain keadaan adalah bayi akan kerap salin pampers. Tidak lupa pula kurma atau madu untuk mentahnik sebaik lahir nanti untuk hikmah disebalik sunnah Rasulullah SAW sebagai asbab kekuatan otot lidah kalifah kecil II untuk memulakan proses penyusuan. Ibu pernah baca berkenaan tahnik dari sudut kajian saintifik oleh Dr. Farhan Hadi di dalam majalah solusi. Alhamdulillah ada rezeki adik walaupun belum lahir ;). Pak Andak dengan pemurahnya memberikan ibu sejumlah wang untuk membeli selimut khalifah kecil II memandangkan selimut untuk membedung hanya ada satu sahaja di dalam bungkusan yang diberikan Makngah. Terima kasih daun keladi Pak Andak ;D.

Hanya tinggal memasukkan sebotol kecil mandian head to toe serta sebekas kecil kurma dan sebekas kecil madu untuk sunnah mentahnik yang insyaAllah akan dilakukan oleh ayah sendiri buat kali pertamanya ;).

Ibu juga perlu menyediakan tilam untuk adik di dalam unta kita. Mengimbas kenangan membawa Muhammad pulang dari hospital hampir 2 tahun lepas, ibu hanya memegang Muhammad dalam keadaan letih yang teramat sangat. Momen yang palin indah dan mudah-mudahan adik juga dapat megulangi sejarah si abang, iaitu ayah membawa solat berjemaah bersamanya di masjid berdekatan dengan hospital dalam perjalanan balik. Juga tidak dilupakan, perjalanan sejam menjadi 2 jam kerana ayah berhenti untuk tidur 2 kali di bahu jalan. Muhammad pula hampir jatuh dari ribaan ibu setiap kali ibu terlelap. Ibu ayah lupa mahu menyediakan tempat khas. InsyaAllah kali ini ibu ayah banyak belajar dari pengalaman pertama. Mudah-mudahan segala rancangan kita adalah terbaik disisi Allah dan Allah memudahkan proses bersalin kali ini dan seterusnya buat ibu.

2. Beg Ibu
Beg yang seterusnya adalah beg ibu pula. Di dalam beg ibu perlu ada t-shirt atau blouse yang sesuai dengan penyusuan, tudung 'topi' yang senang disarung, tuala, 2-3 helai kain batik, alatan mandian dan kekemasan diri, stokin dan sarung lengan kerana lengan baju hospital kebiasaannya jenis 3 suku dan yang terpenting adalah tuala wanita. Sekali lagi mengikut pengalaman, pada mulanya pendarahan memang heavy. Pada ibu tuala wanita biasa yang jenis overnight lebih mudah serta selesa dan sesuai berbanding tuala wanita yang khas untuk ibu bersalin. Pendek cerita, barang-barang yang kita perlukan ketika outstation ;). Tambahan kurma dan air zamzam yang perlu ada di dalam beg ibu sebagai bekalan tenaga segera untuk menempuh jihad bersalin nanti. Tidak lupa juga telekong untuk kesempatan waktu-waktu solat yang sempat dan Al-Quran.

Juga masih belum dimasukkan mandian, barang kekemasan diri serta kurma dan air zamzam.

3. Beg Ayah
Beg ayah? Perlukah beg ayah? Memandangkan hospital yang ayah ibu rancang untuk bersalinkan adik iaitu hospital yang sama ibu melahirkan Muhammad terletak sejam jauhnya dari tempat kita juga berdasarkan pengalaman Muhammad dahulu, ayah berkampung 2 malam di sana dan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Sekiranya ada rezeki nanti, adik juga bakal lahir di dalam Ramadhan. Jadi, ayah juga perlukan beg untuk mengisi keperluannya. Semoga Allah lebih mudahkan proses bersalin kali ini dan adik jauh dari pelbagai penyakit terutama jaundice (kuning) yang menjadi kebiasaan buat bayi yang baru lahir serta ibu cepat-cepat keluar hospital untuk keselesaan bersama terutama ayah yang akan menguruskan kita nanti insyaAllah dengan izin Allah.

Beg keperluan ayah ;).

4. Beg Persediaan Penyusuan
Beg seterusnya adalah  beg penyusuan. Semasa ibu berada di wad setelah melahirkan Muhammad, jiran depan katil ibu baru melahirkan anak ketiganya. Susunya sungguh meriah. Setiap masa ada sahaja sebekas dadih yang diberikan kepada jururawat untuk disimpan. Jadi, insyaAllah ibu berdoa yang mudah-mudahan susu ibu mampu banyak sepertinya sebaik melahirkan kelahiran kedua ini.

Beg ini hanya disimpan di dalam unta kita sahaja. InsyaAllahh sekiranya keadaan memerlukan, barulah digunakan.

5. Beg Muhammad
Cara kedua untuk lebih mudah, mungkin nenek boleh bawa Muhammad berjumpa ibu segera sebagai membuka jalan susu buat adik ;). InsyaAllah Muhammad mungkin berada bersama nenek dan atok ataupun di rumah ummi dan walid semasa ayah menemani ibu berjuang melahirkan adik nanti. Jadi, beg kelima ynang perlu sediakan awal termasuk juga beg buat Muhammad. Nampak pada gayanya, Muhammad lebih serasi bersama ummi dan walid. Setiap hari apabila ibu menjemput Muhammad, Muhammad mesti ceria dengan senyuman sehingga ke telinga sambil salam dan sayang beriya ummi dan yang pastinya perut Muhammad sentiasa boroi dan berat. Semua orang sayang dan menjaga kebajikan Muhammad di sana tanpa syarat. Kadangkala ibu dan ayah merasa, mereka sekeluarga lebih bijak mencorakkan perjalanan hidup Muhammad mungkin asbab ummi walid terlebih dahulu melalui rencah kehidupan seorang ibu dan ayah. Ibu dan ayah banyak belajar melalui mereka berkenaan pendidikan awal membentuk akhlak anak. Pada ibu, mereka berjaya membentuk anak-anak mereka walaupun bukan dibuktikan dengan segulung ijazah.

Apa yang penting adalah susu, botol susu serta botol air masak yang dicampur air zam-zam. Tidak  lupa juga buku-buku Muhammad ;). Jaga akhlak wahai Muhammad walau dimana sekalipun Muhammad berpijak kerana Muhammad adalah Muhammad Al-Fateh. Pembuka/permulaan yang mulia sebagai contoh ikutan dan tauladan buat adik-adik ;).

InsyaAllah 5 minggu 3 hari lagi ayah, ibu dan Muhammad akan bertemu khalifah kecil II dengan izin Allah. Mudah-mudahan khalifah kecil II sentiasa dalam pemeliharaan Allah. Lahirmu telah ayah dan ibu wakafkan atas nama Islam yang benar. Keluar dan membesarlah semata-mata untuk meraih jihad menegakkan agama Allah. Sayang, kasih dan terlalu rindu daripada ayah, ibu dan Muhammad buat kalifah kecil II kerana Allah!

17.6.12

BERSIH 1.0: CUCI ALATAN BF

Khalifah kecil II hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
InsyaAllah hari ini ibu tuliskan sesuatu buat kenangan khalifah kecil II yang ayah, ibu dan Muhammad rindukan ;). Alhamdulillah hari ini Allah memberi kekuatan dan semangat buat ibu untuk memulakan siri membersih episod pertama hanya selepas khalifah kecil II berusia lebih 8 bulan setengah di dalam kandungan ibu. Alhamdulillah juga target ibu tercapai untuk mencuci bersih segala alatan yang bersangkut paut dengan penyusuan. Melihatkan kawan-kawan maya ibu yang sedang giat mengumpul stok, ibu jadi terlalu rindukan saat-saat indah mengumpul stok buat abang Muhammad. InsyaAllah jihad ini ibu akan teruskan buat semua adik-adik Muhammad pastinya dengan izin Allah. Di bawah adalah proses-proses mencuci bersih alatan menyusu buat khalifah kecil II nanti insyaAllah dengan izin Allah.

**************************************************************************

1. Memandangkan botol-botol untuk menyimpan susu melimpah ruah, jadi, tempat tos botol yang berwarna biru tidak lagi sesuai dengan kuantiti botol yang banyak. Alhamdulillah, Allah mentakdirkan ibu terpandang rak merah berkenaan untuk dijadikan tempat tos botol-botol tersebut.
2. Ini pula botol-botol yang sempat digunakan dalam lingkungan 6 bulan sahaja. Pada mulanya sangkaan ibu botol-botol ini tidak perlu dicuci memandangan ianya ibu letakkan di dalam beg plastik. Namun, setelah membuka dan menghidu baunya, tidak sampai hati ibu mahu terus menggunakannya terus. Memang perlu dicuci dan disterilkan terlebih daulu.


 1. Ini pula adalah alatan pam yang ibu mula gunakan ketika Muhammad berusia 6 bulan. Alhamdulillah pam susu jenis Medela Freestyle ini cukup selesa dan berjasa dalam membekalkan susu ibu buat Muhammad setiap hari ketika ibu bekerja.
2. Alhamdulillah motor pam masih elok dan ibu perlu cas semula baterinya sebagai persediaan membawanya ke hospital nanti.
3. Jika diperhatikan, softfit yang bentuknya umpama corong hanya ada satu kerana yang satu lagi telah koyak. Maklumlah ibu adalah pengepam tegar yang lasak ;). Jadi, dengan hanya satu itu, ibu hanya boleh membuat single pumping. InsyaAllah ibu akan usahakan untuk mencarinya supaya double pumping dapat dilaksanakan pastinya dengan izin Allah.
4. Beg yang umpama mini peti ais ini perlu juga dicuci kerana sudah berhabuk ;).
5. Ini pula Muhammad yang cukup suka dengan motor pam ;). Jika diperhatikan, ada sebungkus beg plastik susu sebagai bantuan kehabisan botol nanti.


1. Botol-botol yang banyak tadi ibu cuci berperingkat-peringkat.
2. Kemudian, ibu steril menggunakan sterilizer. Pada mulanya, ibu sangkakan yang strelizer ini seakan tiada fungsinya. Alhamdulillah ianya cukup membantu memudahkan. Ibu pernah menulis mengenainya di entry SISTEM BARU & STOK SUSU. Foto ini menunjukkan botol-botol yang diisi di tingkat bawah.
3. Ini pula tingkat kedua yang terisi penuh bersama penutup dan alatan pam.
4. Dengan hanya 70ml air, botol-botol tadi disterilkan selama lebih kurang 5-10 minit.
5. Sabun pencuci Pureen dan berus botol panjang jenama Tupperware yang juga sesuai untuk mencuci botol-botol minuman ibu dan ayah.


1. Ini adalah barisan semua botol-botol yang siap disteril. Di bahagian bawah rak, ibu letakkan dulang air pemberian Cik Yan sebagai hadiah walimah ibu dan ayah dahulu ;).
2. Tingkat atas dan tengah, terisi dengan botol-botol sahaja.
3. Ditingkat paling bawah pula adalah buat penutup-penutup botol-botol yang banyak tadi.

******************************************************************

Menulis berkenaan penyusuan susu ibu, ibu teringat tentang kisah disebalik kejayaan dalam hidup beragama Ustaz Don Danial, pendakwah terkenal yang kerap keluar di TV. Secara jujurnya, memandangkan BAi kita tiada TV, ibu tidak pernah menonton kuliahnya di TV. Ibu mengenali Ustaz Don melalui kawan-kawan blogger yang selalu menulis berkenaan beliau dan pernah juga mengikuti kuliahnya melalui Youtube. Antara tajuk blogger-blogger tidak lama dahulu yang begitu menarik minat ibu adalah berkenaan penyusuan susu ibu disamping sokongan ayahnya buat si ibu Ustaz Don. Ibu akhiri tulisan ibu kali ini dengan satu perkongsian oleh Prof Dr Muhaya menerusi kata-kata ibu Ustaz Don yang ibu google untuk diabadikan disini.

.................................................................................................................
Satu perkongsian yang menarik dr Prof Dr Muhaya:

"Saya berkesempatan utk bertemu dgn ibu kepada seorang ilmuwan agama (ustaz) yang tersohor pada masa kini. Melihatkan kpd kebolehan anaknya dalam menyampaikan dakwah, maka saya bertanya kepada ibunya, apakah rahsia beliau dalam mendidik si anak? Jawab si ibu, sewaktu si anak (ustaz) dilahirkan, beliau telah mengambil keputusan utk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian beliau utk menyusukan anaknya selama genap 2 tahun. Selain itu, pada setiap malam, apabila mereka suami isteri dikejutkan si anak utk menyusu, suami beliau akan turut sama bangun. Suaminya akan menyediakan susu kepadanya utk minum sambil beliau menyusukan anaknya itu. Suaminya tak benarkan beliau menyusu sambil baring. Sebaliknya, suaminya akan menyediakan belakang badannya utk beliau bersandar menyusukan anak sambil duduk dan memastikan keselesaan semasa menyusu. Bayangkan bagaimana emosi si isteri apabli setiap malam dilayan sebegitu oleh si suami"

SUBHANALLAH.... indahnya alam rumah tangga jika bersandarkan amanah dan kasih sayang kerana Allah. Tak mustahil jika mereka dapat melahirkan generasi yang baik akhlaknya.

Persoalannya, siapakah si anak yang dimaksudkan??? Beliau adalah USTAZ DON DANIYAL DON BIYAJID;)
...........................................................................................................

InsyaAllah ibu dan ayah juga sedayanya berusaha untuk melahirkan generasi ulama' dengan amal yang bakal menegakkan kalimah Allah mengikut zamannya. Mudah-mudahan Allah merahmati usaha-usaha kecil ayah dan ibu buat semua penghuni rahim ibu yang telah, sedang dan akan lahir insyaAllah!

19.12.11

DOA ANAK HEBAT

Alhamdulillah terasa ingin mengimbau kenangan saat mengetahui Muhammad sudah berada di dalam rahim saya lebih setahun 4 bulan yang lalu. Saya sangat rajin menelaah buku-buku berkenaan perihal mengandung. Dibawah adalah doa yang sangat hebat dan cantik untuk diamal. Maknanya yang begitu mendalam membuatkan saya sering 'meremang roma' setiap kali melafazkannya selari dengan lintasan makna-maknanya yang sangat manis untuk dirakam di dalam hati ;).


.اللَّهُمَّ احْفَظْ وَلَدِيْ مَادَامَا فِيْ بَطْنِيْ / وَاشْفِهِ وَأنْتَ شَافٍ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَلاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
.اللَّهُمَّ صَوِّرْ فِيْ بَطْنِيْ صُوْرَةً حَسَنَةً / وَثَبِّتْ قَلْبَهُ إِيْـمَانًا بِكً وَبِرَسُوْلِكَ
.اللَّهُمَّ أَخْرِجْهُ مِنْ بَطْنِيْ وَقْتَ وِلاَدَتِيْ سَهْلاً وَتَسْلِيْمًا
.اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَحِيْحًا كَامِلاً / وَعَاقِلاً حَاذِقًا عَالِـمًا عَامِلاً
اللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمْرَهُ / وَصَحِّحْ جَسَدَهُ / وَحَسِّنْ خَلْقَهُ / وَأفْصِحْ لِسَانَهُ / وَأحْسِنْ صَوْتَهُ لِقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ / وَالْحَدِيْثِ بِبَرَكَةِ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وَسَلَّمَ .وَالْحَمْدُلِهِرَ رَبِّ الْعَالَـمِيْنَ

Ya Allah , 
peliharalah anakku selama ia berada di dalam kandunganku dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penawar melainkan penawar-Mu, penawar yang tidak meninggalkan penyakit.

Ya Allah , 
Engkau perelokkanlah kejadiannya yang sempurna dan tetapkanlah hatinya agar beriman kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu.
Ya Allah , zahirkanlah dia ke dunia dengan mudah dan selamat .
Ya Allah anugerahkanlah dia kesihatan yang sempurna, berakal dan bijaksana, alim dan beramal .

Ya Allah , 
panjangkanlah umurnya dalam ketaatan, sihatkanlah tubuh badannya dan indahkanlah akhlaknya, fasihkanlah lidahnya, perelokkanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhamad s.a.w. dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam .
-(Abu Afiqah, Amalan ketika mengandung & setelah bersalin serta panduan menamakan bayi, M/S 23)-

Doa yang ringkas dan mudah diamal terutama ketika usai solat. Mudah-mudahan doa cantik sebegini menjadi amalan semua para ibu-ibu yang sedang hamil dan berterusan sehingga anak-anak menjenguk ke dunia. Dunia hari ini terlalu dahagakan seorang khalifah yang bakal mengembalikan undang-undang Allah. Mudahan-mudahan dengan keberkatan doa para ibu-ibu menjadikan anak-anak kita sebagai generasi yang bakal menegakkan kalimah Allah insyaAllah! Jom berdoa!

Wahai anak-anakku yang hebat lagi hensem, doakanlah ibu dan ayahmu selalu kelak ;)