Alhamdulillah ramai dikalangan rakan-rakan sekolah dan sekolej saya yang telah dan bakal melahirkan mempunyai semangat dan tekad yang kuat dalam menjayakan penyusuan susu ibu selama 2 tahun insyaAllah. Kami ibu-ibu, bakal ibu-ibu dan yang juga bakal memasuki fasa berumah tangga masih berhubung dengan baik asbab perihal kekeluargaan terutama berkenaan isu penyusuan. Penyusuan menjadikan kami saling berhubung tanpa putus. Khidmat pesanan ringkas SMS dan MMS adalah pengubat dan pengganti diri dalam bertukar cerita.
Ummi Syifa'
Salah seorang yang sentiasa berhubung ialah ummi syifa'. Kami saling berhubung kerana si ummi juga begitu semangat dengan bf dan sering bertanya tentang bf. Saya bukan pakar, namun insyaAllah saya suka mencari tahu perihal penyusuan. Masih belum mempunyai blog tetapi si ummi ada 'muka buku' ;). Ummu syifa' pernah mengajak saya membuka akaun 'muka buku' untuk sama-sama menyertai kumpulan ibu-ibu menyusukan (KIM) di facebook. Menurutnya, dia ada membeli sticker berkenaan breastfeeding sebagai semangat penyusuan. Pada mulanya, saya tidak begitu teruja kerana suami kurang gemar tampal menampal di kereta. Namun, setelah memikirkan implikasi yang mungkin memberi sentuhan kepada sesiapa yang terpandang, dengan bantuan si rakan, saya transfer RM10 ke akaun berkenaan dan ummi syifa' tolong memesan. Alhamdulillah ianya selamat sampai pada jumaat lepas. Syukran ya ummu syifa'! ;)
Bayangan awal saya, sticker yang akan sampai nanti bersaiz kecil. Rupa-rupanya agak besar ;).
Strategi
Alhamdulillah dunia tanpa sepadan membawa ramai orang yang menyedari kebesaran sunnah menyusukan. Saya sendiri sangat mengesyorkan kepada rakan-rakan. Pernah saya MMS gambar stok simpanan saya kepada seorang rakan yang sebelum ini hanya menyusukan dirumah dan bukan secara eksklusif. Si rakan kurang menggunakan internet. Jadi, apabila memandang stok susu saya yang banyak, rakan dizaman foundation course saya ini terus sahaja bersemangat untuk fully bf anak keduanya. Pada pendapat saya, rata-rata ibu yang kurang menggunakan internet, mereka tidak terdedah dengan cara-cara menyimpan EBM sebagai ganti ketika keluar bekerja. Alhamdulillah dengan izin Allah, saya membantunya memesan pam jenis spectra double pumping dan set botol menyimpan susu. InsyaAllah, selagi terdaya, saya mahu mengajak seberapa ramai rakan-rakan terdekat saya untuk menjayakan misi sunnah penyusuan sehingga 2 tahun isnyaAllah!
Adik Bongsu Mak
Sama juga keadaan dengan makcik saya yang Allah izinkan kesedaran dan kekuatan itu datang pada anak ketiganya. Makcik bongsu, adik mak saya ini kerap menelefon dan SMS saya bertanya tentang penyusuan. Sama juga keadaannya dengan rakan saya tadi, Alhamdulillah dengan izin Allah saya membantunya mencari pam jenis event manual dan memesannya. Pam susunya yang berjenama sama dengan pam susu Muhammad 6 bulan diawal kelahirannya sebelum ini terlalu banyak masalah dan ini merupakan kali ketiga makcik membeli pam. Makcik hanya perlu transfer ke akuan penjual dan saya tolong memesan dan hantar ke alamatnya. Alhamdulillah, makcik saya sangat sukakannya kerana tidak penat dan tidak perlu tertekan seperti selalu. Susu mudah keluar dan cepat penuh. Alhamdulillah seorang ibu lagi bersemangat untuk menyahut seruan sunnah penyusuan insyaAllah!
Jimat RM 10 000
Kakak kedua saya, ibu kepada sepupu Muhammad, Kaiyisah Zahra, juga berjaya mempengaruhi rakan-rakan, jiran-jirannya untuk kempen penyusuan susu ibu. Simpanan susunya telah melimpah dari ruang atas peti sejuk 2 pintunya. Rata-rata rakannya akan terkejut dengan pelaburan si kakak. Setakat hari ini, kakak saya hanya mengeluarkan modal RM 600 untuk menjayakan misi penyusuan. RM 500 untuk medela swing dan RM 100 untuk perkakasan mengisi susu perahan. Menurutnya, setelah dikira-kira, dia sudah menjimatkan hampir RM 10 000 perbelanjaan susu formula selama 2 tahun. Menurut kawan kepada makngah Muhammad ini, dia membelanjakan RM 400 sebulan setiap bulan untuk susu anaknya. RM 400 x 24 bulan = RM 9600. Hikmah penyusuan sunnah insyaAllah! ;)
Masa Paling Sesuai
Nasihat saya, ibu-ibu yang masih berhutang puasa, masa yang paling sesuai mengqada'kan puasa adalah semasa tahun pertama penyusuan. Pengalaman peribadi saya, susu di tahun pertama lebih meriah berbanding tahun kedua. Qada'lah sebanyak mana sekalipun, insyaAllah air susu di tahun pertama tetap meriah berbanding di tahun kedua. Semasa tahun pertama penyusuan, sekali sesi pengepaman, saya begitu mudah untuk mendapatkan sebotol penuh dengan masa yang singkat berbanding kini. Mungkin asbab Muhammad semakin membesar dan kuantiti susu yang diperlukan juga banyak ditambah dengan Muhammad hanya menyusu sebagai makanan dan minumannya.
Diulangi, saya bukan pakar. Keyakinan saya terhadap penyusuan sunnah susu ibu selama 2 tahun telah lama terpahat sebelum saya berumah tangga lagi. Diawal kelahiran Muhammad, saya begitu cetek dengan ilmu penyusuan kerana kurang menggunakan 'dunia tanpa sempadan'. Alhamdulillah dengan izin Allah, segala-galanya berubah apabila pam susu manual jenama pureen pada 6 bulan pertama penyusuan semakin uzur dan stok susu Muhammad begitu kritikal. Ketakutan saya ketika itu membawa saya kembali 'bersiar-siar' di dunia tanpa sempadan untuk mencari tahu berkenaan keberkesanan jenis pam susu dipasaran. Alhamdulillah detik itu membawa saya berkenalan dengan ramai rakan-rakan blogger seperti hari ini. Subhanallah! Luasnya rahmat Allah hanya asbab pam susu manual pureen, Allah limpahkan saya rakan-rakan blogger yang setiap seorang punya 1001 pengalaman yang pelbagai untuk dijadikan ikhtibar dimasa mendatang insyaAllah. Jom sama-sama menjadi breastfeeding extremists!