9.10.17

Kawan.

Kawan rupanya antara nasihat dan musibat juga. Hidup memang lebih ceria dengan kawan. Meriah terasa berkawan-kawan. Semakin lama kita pun kenal lebih mendalam dan kita berkongsi banyak perkara juga.

Sayangnya apabila tidak sehaluan, hujah perkongsian itulah yang dijadikan bahan. Kita teruji untuk berbual tentang orang. Mula-mula cerita yang biasa-biasa sahaja. Lama-lama kita perlu dengar pula apa yang tidak sepatutnya kita dengar.

Jika melibatkan maruah dan aib kawan-kawan lainnya, begitu pedih terasa hati. Patutlah tuan guru pesan ketat tentang musibat berkawan kerana cara kita bukan seperti zaman awal.

Kita tidak akan tergamak tanya kawan kita contohnya, "hari ini dapat katam sejuzuk?", "hafazan macam mana hari ini, ada peningkatan?". Kalau inilah yang kita tanya, nescaya dikatanya kita 'good, good' sahaja.

Kita juga manusia yang memang akan buat silap. Kita tegur bukan kerana kita bagus. Kita sebenarnya sayang. Sanggupkah kita biarkan kawan-kawan kita kunyah daging kawan lainnya seperti makan gula-gula?

Akhirnya aku belajar apa erti kawan. Hidup perlu tertutup banyak perkara. Bukan semua akan senang dengan apa yang kita ada, pembawakan kita dan sebagainya. Pamer hanya keperluan dan bukan kebahagiaan atau kejayaan mahupun kesenangan.

Alhamdulillah Allah beri kekuatan menegur kawan-kawan. Tidak pedulilah suka atau tidak, yang penting aku berlepas dari semuanya. Cukuplah dosa kita yang menggunung tinggi. Tidak mampu untuk tanggung dosa manusia lainnya. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

No comments: