Travel bajet inspirasi kawan depan meja. Terima kasih kawan kongsi pengalaman. Kami tiru!
Konon-konon homeschooling (HS) tajuk kenderaan awam sempena CNY 2016. Travel bajet kami bawah RM100 dengan objektif utama ialah memperkenalkan, merasai sendiri pengalaman serta menebus janji menaiki keretapi, bas loceng serta bas ekspres. Teksi tidak termasuk dalam objektif kali ini kerana mengambil kira faktor travel yang bajet bawah RM100 serta teksi pun lebih kurang naik kereta juga.
Perkara pertama ialah mencari tiket keretapi. Kami memilih tempat duduk kelas kedua dengan 2 tiket dewasa yang berharga RM14 seorang dan satu tiket kanak-kanak untuk usia 4 tahun ke atas yang berharga RM11. Nama keretapi kami ialah Ekspres Senandung Timuran yang dijangka berlepas pada 8.50 pagi pada tarikh 10.2.16.
Sebelum memulakan perjalanan, kami bersarapan dirumah dengan anggaran tenaga dalam hidangan adalah tahan sehingga petang. Lebih kurang jam 8 pagi, kami bertolak ke stesen keretapi. Kereta pula diletakkan di masjid berdekatan stesen bas. Jadi, ada seorang yang perlu berkorban untuk berjalan dari stesen bas ke stesen keretapi supaya turun bas nanti terus sahaja ke kereta.
Nampak sangat keterujaan yang kecil-kecil termasuk si ibu yang juga pertama kali menaiki keretapi. Kasihan sudah tua baru merasa.
Gerabak keretapi kami ini tampak usang dan apabila gerabak sesekali laju, seram juga tergelincir dari landasan. Perjalanan seakan tidak terasa kerana kami tidur berjemaah, haha! Tidak pasti masing-masing pening atau tidak. Paling penting, kepala mak sudah mula 'tingtong'.
Setelah 2 jam lebih perjalanan, kami sampai di stesen keretapi utama ibu negeri kami. Terkenang semula zaman belajar selama 4 tahun setengah di sana, tidak pernah sekali walau sekali menjejakkan kaki di stesen keretapi ini. Kemudahan bas ekspres lebih memudahkan untuk segera sampai. Penyakit zaman berzaman, apabila travel, mahu cepat-cepat sampai destinasi.
Kami terus mencari bas ke stesen bas besar ibu negeri kami. Rata-rata adalah warga asing yang berasak-asak mencari bas. Bas yang kami naiki seperti berada di Bollywood! Ketika ini, bukan sahaja kepala mak 'tingtong', perut juga seperti mahu mengeluarkan isinya akibat tidak lalu bersarapan pagi tadi. Tiket bas hanya RM2 untuk seorang dewasa. Kami hanya dikehendaki membayar RM4 untuk tiket 2 orang dewasa.
Kami melalui tempat bersejarah lagi kenangan terindah. Tempat belajar selama 4 tahun setengah, jodoh pertemuan dan selepas hampir 8 tahun tinggalkan tempat-tempat ini, kami datang dengan kembangan bayt al-muslim. Ini berangan namanya kahkah! Kami tidak ke sana pun. Nampak dari atas bas sahaja bumbung asrama. Patah kaki makpak nak berjalan ala-ala makan angin sambil gendong anak-anak yang berkilo-kilo.
Selit kisah diet. Berat paling manis setakat ini ialah 53.8kg. Travel bajet ini betul-betul membawa kenangan ketika zaman belajar ketika berat sama seperti sekarang. Berangan seperti mahu daftar sebagai pelajar tahun 1 semula. Silakan muntah berjemaah.
Anak-anak masih belum bersuara untuk makan. Masih kenyang dengan bekalan sarapan nasi pagi tadi tetapi kami pusing juga satu stesen bas untuk cari tempat makan yang senonoh. Dari pengalaman kami yang sudah-sudah di tempat ini, memang agak payah untuk mencari tempat makan yang 'selera' untuk makan. Hampir satu jam berjalan, berpusing sambil target untuk solat jamak qasar di masjid terminal bas sana, satu kedai pun tidak melepasi piawaian pak kepada anak-anak.
Penghabisannya, dia datang dengan kerepek apit berharga RM3.50. Ini sahajalah yang melepasi piawaian agaknya. Sambil tunggu Zohor-Asar, kami ke kaunter tiket bas S&S untuk pulang. Harga tiket 8 tahun sudah ialah RM9.10. Harga terkini ialah RM9.80. Untuk tempoh 8 tahun, harga bas naik 70sen tetapi sempena CNY 2016 ini, mereka menaikkan RM2 untuk setiap tiket menjadikan RM11.80 satu tiket.
Kami beli 2 tiket dengan membayangkan akan banyak seat kosong seperti zaman berzaman dahulu. Sekali naik sahaja bas tidak sampai 5 minit, kerusi sudah penuh. Jadi kesimpulannya, 19.9kg memang bahagian ayahanda manakala 13.1kg ialah bahagian ibunda. Merasalah mereka kasih sayang ibunda ayahanda selama 1 jam 40 minit dalam pangkuan. Kebas!
Kami sampai ke stesen bas tempat kami kira-kira jam 3.40 petang dan terus ke masjid berdekatan. Kami menuju ke kedai makan yang selalu juga kami kunjungi dengan memesan 2 keping roti bakar wholemeal, sebiji pau kukus, sepinggan meehoon goreng seafood, sepinggan nasi kosong dan telur berserta kuah sup, air kopi o panas, limau o suam dan sebotol air mineral dengan harga RM16.70. Sampai di rumah lebih kurang 20 minit sebelum Asar.
Walaupun kami semua tidur hampir dalam setiap kenderaan awam semalam tetapi perjalanan setengah hari tetap meletihkan. Semuanya pengsan sebaik selepas isyak dan pengalaman tidur terindah untuk mak kepada anak-anak. Setelah bergelar ibu, hampir '0' tidur dengan lena tanpa gangguan. Pasti akan tersedar-sedar teringatkan anak-anak. Kebiasaannya jam 2-3 pagi ada seruan dari bilik mereka. Yang kecil tersedar mahukan air walaupun botol air letaknya atas kepala masing-masing tetapi malam semalam paling nyenyak dalam sejarah tidur pakej dengan sakit kepala.
Allah sangat baik. Dia beri sakit kepala, Dia juga beri tidur ternikmat untuk menghilangkan sakit tersebut.
Menjadikan sebahagian rutin aktiviti bersama anak-anak, kami menggalakkan mereka untuk membuat buku mini yang menceritakan pengalaman mereka dalam satu-satu perkara seperti travel bajet bawah RM100 semalam. Dalam beg galas kami, ada tempat pensel dan pensel warna serta beberapa helaian aktiviti untuk dipenuhi anak-anak ketika masa-masa lengang dan sesuai.
Jadi, mereka ada buku-buku kecil yang menceritakan pelbagai pengalaman melalui gambar-gambar, lukisan-lukisan hasil seni bagi yang suka melukis, menyediakan gambar bagi yang suka mewarna serta catatan kecil dengan batasan kemampuan membaca mengikut level setakat yang dikuasai anak-anak untuk buku-buku kecil mereka.
Alhamdulillah travel bajet HS kenderaan awam sempena CNY 2016 kami semalam mencapai objektif. Keseluruhan anggaran kos untuk semalam ialah RM86.80 untuk tiket-tiket dan makan sahaja.
Jika ditanya pengajaran paling membawa makna ialah ERTI SYUKUR. Bersyukur atas segala sesuatu yang telah Allah tetapkan dan anugerahkan buat kita. Jika kita merasa kita susah, perjalanan singkat ini juga Allah ajar kita bahawasanya, ada lagi yang lebih melarat. Rumah-rumah setinggan di sepanjang perjalanan ketika menaiki keretapi, kebanjiran warga asing untuk mencari rezeki dengan merantau ke negara kita, Allahu, betapa beruntungnya kita.
Allah beri pinjam kita kenderaan ada yang sebuah dan ada yang bersusun kenderaan, tidak cukup kurniaan darat, ada yang Allah lipatgandakan rezeki kenderaan air dan udara, sesekali perjalanan sebegini sungguh menginsafkan, betapa pentingkan bas dan pengangkutan awam yang lain, berhimpit-himpit untuk mereka yang berjuang untuk sesuap nasi. Dan kita?
Maka, banyakkanlah sujud tanda syukur.
No comments:
Post a Comment