Kali pertama saya membaca berkenaan didikan wang yang sangat berlainan dengan pengetahuan sedia ada saya sebelum ini. Sekali lagi, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna merubah perspektif berkenaan didikan wang buat anak-anak.
Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawasanya Allah menterbiyyah saya melalui didikanNya berbulatan gembira di zaman kolej dahulu yang mana sepatutnya setiap kita yang mengaku Islam memikul beban khalifah (2:30) dan hamba (51:56) untuk merubah hati-hati manusia. Bermakna kita bermatlamat merubah diri dan menyeru hati-hati yang lain untuk sama-sama dalam kebaikkan kerana kita tidak akan pernah sempurna.
Mahu menunggu sempurna, maka, kerja hamba dan khalifah mana mungkin terlaksana dan paling penting, pembawa peringatan ini sunatullahnya, memang tidak disukai, tidak digemari sama seperti jalan-jalan yang telah dirintis oleh sunnah para Nabi dan Ar-Rasul. Mana ada jalan yang indah ditempuh oleh para da'ie. Matlamat setiap da'ie yang faham adalah membawa pembaikkan dalam masyarakat, perubahan dalam ummat di mana pun dia berada.
Menyantuni hati-hati.
Sirah Ar-Rasul menyaksikan 13 tahun dakwah Baginda SAW di Mekah adalah bermatlamatkan HATI. Ayat-ayat Al-Quran yang turun di Mekah juga, semuanya berkenaan aqidah yang mana menjinakkan hati beriman kepada Allah. Selepas itu, dakwah diteruskan di Madinah. Apabila urusan berkaitan hati selesai selama 13 tahun, makanya urusan hukum Allah lebih mudah di Madinah selama 10 tahun.
Sejarah adalah sunnatullah yang akan sentiasa berulang. Merawat kepincangan ummat hari ini adalah melalui hati. Usaha pembaikkan hati untuk membawa hati-hati ke arah aqidah yang sejahtera adalah yang paling utama. Apabila hati-hati telah beriman dengan aqidah yang sebenar, maka mudahlah hukum Allah tertegak seperti perintah menuntup aurat, perintah tidak minum arak hatta perintah hudud inshaAllah boleh dilaksanakan dengan mudah.
Apa yang cuba ditekankan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna kepada anak-anaknya adalah melalui ihsan walaupun sekadar didikan wang. Kebanyakkan didikan wang kepada anak-anak secara tradisional adalah supaya menabung dan berikan wang yang bercukupan supaya tiada unsur pembaziran.
Berlawanan sekali dengan cara atau didikan wang As-Syahid Imam Hassan Al-Banna buat anak-anaknya. Anak-anaknya dimewahkan dengan wang kerana baginya, begitu sulit perasaan tidak mempunyai wang. Beliau memberikan wang kepada anak-anaknya sebanyak 3 kategori iaitu:
1. Wang harian
2. Wang mingguan
3. Wang bulanan
Wang harian yang diberikan kepada anak-anaknya adalah sebanyak 3 qirsy yang mana ketika itu adalah besar jumlahnya. Anak-anak lain ketika itu hanya diberikan separuh atau seperempat qirsy sahaja. Anak-anaknya bebas berbelanja tanpa perlu runsing untuk ditabungkan. Apabila ditanya kepada As-Syahid tentang kekhuatiran salah laku kepada wang yang diberikan, beliau menjawab, 'Pendidikan dan tarbiyyah dihasilkan dai berbagai sarana yang beragam. Seperti masakan yang menggunakan sejumlah adunan bahan yang baik. Itu akan memberi hasil yang bersih. Yang penting bukan pada aspek wang jajan itu besar atau kecil, tetapi yang penting adalah pola pendidikan dan pembinaan yang dilakukan dirumah.'
Wang mingguan pula adalah sebanyak 10 ma'adin untuk diinfaqkan keseluruhannya pada hari Jumaat. Ianya adalah didikan semenjak kecil supaya membesar sebagai manusia yang tidak egois dan menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain. Beliau mengirimkan 'mata-mata' untuk memastikan yang anak-anaknya menginfaqkan kesemua 10 ma'adin yang diberikan pada hari Jumaat sehingga beliau berasa tenang yang didikan wang yang diamanahkannya mampu dilaksanakan dengan ihsan. Nampak atau tidak, anak-anaknya jujur kepada Allah atas amanah yan telah diberikan ayahnya.
Wang bulanan pula adalah sebanyak 50 qirsy. Wang ini diberikan bertujuan untuk memenuhkan perpustakaan mini anak-anaknya setiap seorang dengan membeli buku-buku yang mereka sukai dengan berbelanjakan kesemuanya. As-Syahid tidak pernah melarang secara keras kesukaan anak-ananknya. Seorang daripada anaknya begitu gemar membaca komik dan beliau menggantikan bahan bacaan anaknya ini dengan memberikan buku-buku berkisar sirah dan sejarah yang lebih berfaedah. Teguran sebegini lebih memahamkan si anak tentang faedah ilmu yang mereka perlu kuasai.
Inilah didikan dan tarbiyyah yang kita mahukan daripada anak-anak. Sampai masa mereka akan dilepaskan hasil didikan dan tarbiyyah dari dalam rumahnya sebagai contoh, masuk ke dalam masyarakat melalui sekolah. Kekuatan hati ini yang kita doa, doa dan berdoa untuk anak-anak kita yang mana ibu ayah larang makan hotdog, nugget, dan pelbagai pantang makanan, mampu mereka tepis bukan kerana ibu ayah larang tetapi kesemuanya makanan yang mudarat yang mana dengan izin Allah menjadikan tubuh badan lemah dan sesungguhnya Allah lebih suka kepada mukmin yang kuat.
Ihsan.
Sama ada ibu ayah di hadapan mata atau sebaliknya, mereka mampu melaksanakan amanah didikan dan tarbiyyah yang ibu ayah tanam semenjak dari rumah dengan keyakinannya hanya kerana Allah. Kebergantungan yang hanya dipacukan untuk Allah dan tidak takut sama sekali kepada makhluk lainnya.
Lebih menakjubkan berkaitan didikan wang As-Syahid Hassan Al-Banna mengingatkan saya secara terus dengan Abu Bakr As-Siddiq yang mana beliau menginfaqkan keseluruhan hartanya buat Islam. Sama seperti As-Syahid Imam Hassan, apabila ditanya apakah beliau menyimpan sebahagian pendapatannya, beliau menjawab, 'Tidak. Aku tidak menabung pendapatan itu kerana seluruhnya aku infaqkan.'
Allahu! Betapa faham dan mampunya As-Syahid beramal dengan kefahaman ilmuNya. Sebenarnya simpanan atau tabungan kita adalah semua yang kita infaqkan. Itulah adalah saham terbesar kita berbanding yang kita tabung menggunung dalam akaun kita sehingga sampai satu masa, belum tentu ianya menjadi rezeki kita. Boleh jadi rezeki anak-anak cucu kita hatta orang yang tiada kaitan dalam kehidupan kita.
MashaAllah sekali lagi, Allah merubah perspektif saya kepada didikan wang kepada anak-anak dan juga pastinya diri saya sendiri. Terpenting, adalah aqidah sejahtera yang sepatutnya kita tanamkan awal-awal dalam setiap diri anak-anak kerana sampai suatu masa, kita akan berpisah juga dengan mereka dan membawa hati-hati mereka dengan kefahaman didikan dan tarbiyyah daripada rumah.
Semoga Allah merahmati As-Syahid dan menjadikan kita golongan yang bakal menjejaki langkah-langkah beliau untuk duduk bersama-sama dalam syurga Allah yang tidak terbayang kenikmatannya.
1 comment:
Fahaman kewangan terbaik buat panduan diri sendiri & keluarga...
Terima Kasih Leen..
Post a Comment