1.2.15

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA (1) | PANGGILAN HORMAT

Selain menulis, inshaAllah saya akan pastikan yang hobi membaca juga adalah sebahagian diri saya. Walau sesibuk mana sekalipun, inshaAllah saya akan cuba untuk membaca walau hanya semuka. Buku Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna ini sangat nipis tetapi saya belum menyudahkan sehingga ayat terakhir. Rungkaian perjalanan kehidupan sebuah da'i yang penuh padat yang mana beliau hanya memperuntukkan 4 jam sehari untuk tidur. Antara kata-kata emas As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, 'kewajipan dan tanggungjawab yang harus kita laksanakan, lebih banyak dari masa yang kita miliki'.

Kalimah emas ini membuat saya berasa malu untuk mengatakan 'penat' kerana jika dibandingkan usaha Imam Hassan Al-Banna untuk ummat hari ini, apalah sangat yang sedang kami usahakan dan perjuangkan. TTM bukan sekadar perniagaan. Bukan sekadar keuntungan. Bukan juga sebuah perniagaan mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan. Demi pemeliharaan sekeping hati, kami lebih rela rugi daripada membiarkan hati tercemar.


Imam Hassan Al-Banna mula saya kenali ketika berbulatan gembira ketika zaman belajar dahulu. Begitu juga sejarah menyedarkan ummat setelah terhapusnya sistem kekhalifahan Turki Uthmaniyyah. Sejak berbulatan gembira, terlalu banyak perkara yang saya tidak tahu dan Allah menyedarkan tentang tanggungjawan khalifah (2:30) dan hamba (51:56) melalui bulatan gembira.

Sebenarnya tugas dan peranan terbesar mendidik anak-anak adalah bapa. Menurut penulis buku ini, dalam Al-Quran tiada satu pun menujukkan perbualan antara ibu dan anak tetapi yang ada adalah perbualan antara ayah dan anak contohnya nasihat Lukman Al-Hakim kepada anaknya, dialog antara Nabi Ibrahim as dan puteranya, Nabi Ismail as.

Buku ini ditulis hasil sebuah idea dari wawancara dengan seorang ibu yang anak-anaknya menghafal Al-Quran. Ketika ditanya mengenai struktur pembinaan pendidikan rumahtangganya, ternyata ianya hasil didikan suaminya. Menurutnya beliau yang akrab dipanggil dengan Ibu Wiwi, 'yang membentuk mereka semuanya, termasuk saya, adalah bapa mereka. Saya hanya pelaksana sahaja. Ibarat membina bangunan, suami saya yang membina kerangkanya, lalu saya mengisinya'.

Betapa besar peranan suami buat isterinya dan tanggungjawab ayah buat anak-anaknya. Disebalik segala keputusan si isteri, ianya merupakan keputusan suami selaku kuasa veto. Hal demikian disebabkan kelazimannya, agama si isteri adalah berdasarkan agama si suami. Mahu melihatkan pegangan si suami, lihatlah isterinya. Selain itu, seorang ayah juga perlu menunaikan tanggungjawab buat anak-anaknya seperti:
1. Ayah wajib memilihkan ibu yang  baik untuk anak-anaknya.
2. Memberi nama yang baik.
3. Mengajarkan Al-Quran.

Kelestarian sebuah rumahtangga seperti Imam Hassan Al-Banna pastinya dipandu oleh seorang nakhoda kapal yang cekap serta jelas matlamat pengembaraannya. Hidup ini memang tempat bersusah payah kerana akhirat adalah tempat istirehat yang sebenar.

Menarik juga untuk dikongsikan disini berkenaan panggilan hormat antara As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dan isterinya. Imam Hassan memanggil isterinya dengan Ummu Wafa dan isterinya memanggilnya dengan gelaran Ustaz Hassan.

Ketika membaca berkenaan panggilan hormat ini, saya simpulkan ianya bukan spesifik untuk suami yang memang seorang ustaz kerana saya telah temui ramai yang bukan berlatar belakangkan agama juga boleh mengamalkan kehidupan beragama dengan baik. Apabila kita memanggil suami yang bukan ustaz dengan panggilan ustaz, seolah-olah kita sedang memuliakan peranannya sebagai ketua rumahtangga.

Walaupun suami bukanlah ustaz mengajar agama, pastikan suami sentiasa ustaz di hati kita.

1 comment:

mamawana said...

Assalamualaikum

Sangat bagus perkongsian ini. Ia selari dengan jiwa saya. Sepatutnya suami/bapa yg bertanggungjawab mendidik isteri dan anak2 dan menunjukcara jalan2 laluan ke syurga. Isteri/Ibu hanya sebagai pembantu pelaksana impian agar hasrat tercapai ke jannah itu.

Kecuali ibu tunggal yg terpilih utk tegak berdiri sbg bapa dan ibu yg mendidik anak2 jln ke syurga. Itu yg saya alami...