23.2.15

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA (3) | WANG

Kali pertama saya membaca berkenaan didikan wang yang sangat berlainan dengan pengetahuan sedia ada saya sebelum ini. Sekali lagi, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna merubah perspektif berkenaan didikan wang buat anak-anak.

Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawasanya Allah menterbiyyah saya melalui didikanNya berbulatan gembira di zaman kolej dahulu yang mana sepatutnya setiap kita yang mengaku Islam memikul beban khalifah (2:30) dan hamba (51:56) untuk merubah hati-hati manusia. Bermakna kita bermatlamat merubah diri dan menyeru hati-hati yang lain untuk sama-sama dalam kebaikkan kerana kita tidak akan pernah sempurna.

Mahu menunggu sempurna, maka, kerja hamba dan khalifah mana mungkin terlaksana dan paling penting, pembawa peringatan ini sunatullahnya, memang tidak disukai, tidak digemari sama seperti jalan-jalan yang telah dirintis oleh sunnah para Nabi dan Ar-Rasul. Mana ada jalan yang indah ditempuh oleh para da'ie. Matlamat setiap da'ie yang faham adalah membawa pembaikkan dalam masyarakat, perubahan dalam ummat di mana pun dia berada.

Menyantuni hati-hati.

Sirah Ar-Rasul menyaksikan 13 tahun dakwah Baginda SAW di Mekah adalah bermatlamatkan HATI. Ayat-ayat Al-Quran yang turun di Mekah juga, semuanya berkenaan aqidah yang mana menjinakkan hati beriman kepada Allah. Selepas itu, dakwah diteruskan di Madinah. Apabila urusan berkaitan hati selesai selama 13 tahun, makanya urusan hukum Allah lebih mudah di Madinah selama 10 tahun.

Sejarah adalah sunnatullah yang akan sentiasa berulang. Merawat kepincangan ummat hari ini adalah melalui hati. Usaha pembaikkan hati untuk membawa hati-hati ke arah aqidah yang sejahtera adalah yang paling utama. Apabila hati-hati telah beriman dengan aqidah yang sebenar, maka mudahlah hukum Allah tertegak seperti perintah menuntup aurat, perintah tidak minum arak hatta perintah hudud inshaAllah boleh dilaksanakan dengan mudah.

Apa yang cuba ditekankan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna kepada anak-anaknya adalah melalui ihsan walaupun sekadar didikan wang. Kebanyakkan didikan wang kepada anak-anak secara tradisional adalah supaya menabung dan berikan wang yang bercukupan supaya tiada unsur pembaziran.

Berlawanan sekali dengan cara atau didikan wang As-Syahid Imam Hassan Al-Banna buat anak-anaknya. Anak-anaknya dimewahkan dengan wang kerana baginya, begitu sulit perasaan tidak mempunyai wang. Beliau memberikan wang kepada anak-anaknya sebanyak 3 kategori iaitu:
1. Wang harian
2. Wang mingguan
3. Wang bulanan

Wang harian yang diberikan kepada anak-anaknya adalah sebanyak 3 qirsy yang mana ketika itu adalah besar jumlahnya. Anak-anak lain ketika itu hanya diberikan separuh atau seperempat qirsy sahaja. Anak-anaknya bebas berbelanja tanpa perlu runsing untuk ditabungkan. Apabila ditanya kepada As-Syahid tentang kekhuatiran salah laku kepada wang yang diberikan, beliau menjawab, 'Pendidikan dan tarbiyyah dihasilkan dai berbagai sarana yang beragam. Seperti masakan yang menggunakan sejumlah adunan bahan yang baik. Itu akan memberi hasil yang bersih. Yang penting bukan pada aspek wang jajan itu besar atau kecil, tetapi yang penting adalah pola pendidikan dan pembinaan yang dilakukan dirumah.'

Wang mingguan pula adalah sebanyak 10 ma'adin untuk diinfaqkan keseluruhannya pada hari Jumaat. Ianya adalah didikan semenjak kecil supaya membesar sebagai manusia yang tidak egois dan menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain. Beliau mengirimkan 'mata-mata' untuk memastikan yang anak-anaknya menginfaqkan kesemua 10 ma'adin yang diberikan pada hari Jumaat sehingga beliau berasa tenang yang didikan wang yang diamanahkannya mampu dilaksanakan dengan ihsan. Nampak atau tidak, anak-anaknya jujur kepada Allah atas amanah yan telah diberikan ayahnya.

Wang bulanan pula adalah sebanyak 50 qirsy. Wang ini diberikan bertujuan untuk memenuhkan perpustakaan mini anak-anaknya setiap seorang dengan membeli buku-buku yang mereka sukai dengan berbelanjakan kesemuanya. As-Syahid tidak pernah melarang secara keras kesukaan anak-ananknya. Seorang daripada anaknya begitu gemar membaca komik dan beliau menggantikan bahan bacaan anaknya ini dengan memberikan buku-buku berkisar sirah dan sejarah yang lebih berfaedah. Teguran sebegini lebih memahamkan si anak tentang faedah ilmu yang mereka perlu kuasai.

Inilah didikan dan tarbiyyah yang kita mahukan daripada anak-anak. Sampai masa mereka akan dilepaskan hasil didikan dan tarbiyyah dari dalam rumahnya sebagai contoh, masuk ke dalam masyarakat melalui sekolah. Kekuatan hati ini yang kita doa, doa dan berdoa untuk anak-anak kita yang mana ibu ayah larang makan hotdog, nugget, dan pelbagai pantang makanan, mampu mereka tepis bukan kerana ibu ayah larang tetapi kesemuanya makanan yang mudarat yang mana dengan izin Allah menjadikan tubuh badan lemah dan sesungguhnya Allah lebih suka kepada mukmin yang kuat.

Ihsan.

Sama ada ibu ayah di hadapan mata atau sebaliknya, mereka mampu melaksanakan amanah didikan dan tarbiyyah yang ibu ayah tanam semenjak dari rumah dengan keyakinannya hanya kerana Allah. Kebergantungan yang hanya dipacukan untuk Allah dan tidak takut sama sekali kepada makhluk lainnya.

Lebih menakjubkan berkaitan didikan wang As-Syahid Hassan Al-Banna mengingatkan saya secara terus dengan Abu Bakr As-Siddiq yang mana beliau menginfaqkan keseluruhan hartanya buat Islam. Sama seperti As-Syahid Imam Hassan, apabila ditanya apakah beliau menyimpan sebahagian pendapatannya, beliau menjawab, 'Tidak. Aku tidak menabung pendapatan itu kerana seluruhnya aku infaqkan.'

Allahu! Betapa faham dan mampunya As-Syahid beramal dengan kefahaman ilmuNya. Sebenarnya simpanan atau tabungan kita adalah semua yang kita infaqkan. Itulah adalah saham terbesar kita berbanding yang kita tabung menggunung dalam akaun kita sehingga sampai satu masa, belum tentu ianya menjadi rezeki kita. Boleh jadi rezeki anak-anak cucu kita hatta orang yang tiada kaitan dalam kehidupan kita.

MashaAllah sekali lagi, Allah merubah perspektif saya kepada didikan wang kepada anak-anak dan juga pastinya diri saya sendiri. Terpenting, adalah aqidah sejahtera yang sepatutnya kita tanamkan awal-awal dalam setiap diri anak-anak kerana sampai suatu masa, kita akan berpisah juga dengan mereka dan membawa hati-hati mereka dengan kefahaman didikan dan tarbiyyah daripada rumah.

Semoga Allah merahmati As-Syahid dan menjadikan kita golongan yang bakal menjejaki langkah-langkah beliau untuk duduk bersama-sama dalam syurga Allah yang tidak terbayang kenikmatannya.

20.2.15

LELAKI YANG SENSITIF

Borak-borak sepasang suami isteri yang menguntum senyum di hati si isteri.

Kata zaujnya, sekiranya dia diangkat menjadi guru besar di tempat isterinya bertugas, perkara pertama yang dia akan lakukan adalah meletakkan meja isterinya berada di dalam biliknya.

Haha! Pengsan.

Sensitiviti yang sepatutnya ada dalam diri setiap manusia bernama lelaki. Bersifat melindungi. Usah dipandang apatah lagi ditanya berkenaan isterinya. Perkara yang paling tidak disukainya. Isteri adalah harta kurniaan ekslusif untuk jiwa lelaki sensitif seperti itu.

Semalam saya sempat membelek-belek mukabuku peribadi saya. Mata saya menangkap status yang mempunyai pandangan yang sama dengan suami seperti situasi yang saya ceritakan di atas. 




Kredit: FB Angel Pakai Gucci. InshaAllah ikhwah bersara pakai jeans :D.

Syadid. Label yang selalunya diberikan kepada lelaki jenis ini. Sebenarnya, lelaki yang sensitif akan meletakkan syarat yang ketat untuk yang bergelar perempuan lebih-lebih lagi isterinya kerana apabila meletakkan syarat yang longgar, kebiasaan wanita ini akan lemah, longgar dan terus longgar pegangannya.

Membaca komen-komen yang ada, sebenarnya teguran ini bukan untuk yang tidak bertudung, bertudung singkat, rambut pacak, susuk gagah perkasa, ianya juga nasihat berharga untuk niqobis dan serbanis. Fitrah manusia Allah jadikan kita manusia lebih kurang sama sahaja perasaannya.

Kami baru balik mendengar kuliah tok guru di Rusila, Terengganu, yang menurut beliau, manusia ini kebiasaannya mudah melenting apabila dinasihati dan ditegur. Bagi saya, sebenarnya ini adalah sebahagian didikan Allah melalui da'ie yang sensitif.

Bak kata zauji, untuk menyeru dan membuat kebaikkan, bukan kerja atau kita hanya menunggu ustaz dan ustazah sahaja. Apabila mereka silap, kita salahkan. Walhal tugas ini adalah tugas kita yang mengaku Islam. Menegakkan makruf dan mencegah keji mengikut kelebihan yang Allah kurniakan pada kita.

Tertarik saya kongsikn suatu kisah di tempat bertugas saya. Surau disitu antara tempat berlangsungnya salah satu acara. Maka, tirai atau langsir yang memisahkan tempat solat lelaki dan wanita ditanggalkan. Selepas majlis tamat, saya ternanti-nanti lelaki-lelaki sensitif yang begitu mengambil berat tentang pandangan mata, aurat rakan-rakan wanita untuk bersegera memasang kembali langsir pemisah tetapi saya kecewa.

Saya menunggu dikalangan ustaz-ustaz untuk panjat memasang semula langsir. Selepas tiada seorang ustaz yang sensitif, saya menanti bukan dikalangan ustaz yang mungkin Allah beri kefahaman ilmu dan beramal, juga hampa. Mungkin mereka anggap surau memang signifikan untuk ustaz ustazah. Sebagaimana mentaliti kita, yang perlu menjalankan dan beramal hanya kerja ustaz ustazah seolah-olah Al-Quran dan As-Sunnah hanya untuk golongan agamawan yang bergelar ustaz ustazah. Akhirnya, selepas lebih seminggu, rakan ustazah yang dengan gigilnya memanjat tangga hingga ke syiling atap untuk memasang semula tirai pemisah.

Silap saya juga kerana menunggu. Semoga Allah mudahkan urusan sahabat ustazah saya ini sebagaimana sedayanya beliau memanjat tangga memasang kembali tirai penghadang menundukkan pandangan dan menjaga hati kami semua untuk beramal ibadah ihsan dan ikhlas kepadaNya.

Sama juga kesnya dengan bilik air atau tempat wuduk wanita di masjid. Sekiranya AJK masjid tidak sensitif, makanya, tempat wuduk wanita mudah dilihat oleh lelaki yang mana kebanyakkan tempat di masjid surau hari ini menyaksikan ianya tidak mesra wanita. Tempat wuduk dan bilik air wanita tidak terpisah dengan pandangan mata lelaki ataupun wanita.

Kutipan duit masjid atau surau banyak. Apa salahnya disalurkan untuk menaik taraf tempat wuduk dan bilik air wanita sehingga tidak mengganggu mata-mata lelaki yang pada mulanya datang ke masjid dengan hati yang tulus murni. Ditolak markahnya kerana melihat aurat wanita yang melintas setelah ambil wuduk dengan tidak berstokin dan hanya meletakkan tudung di atas kepala yang menampakkan batang leher dan sebagainya. Wanita ini serupa sahaja fitrahnya. Tidak dididik dengn iman, maka liarlah segalanya.

Oleh yang demikian, boleh disimpulkan, kekurangan lelaki-lelaki yang sensitif ini menjadi salah satu punca masalah yang tidak berkesudahan. Mereka tiada 'rasa' untuk melindungi perempuan-perempuan mereka. Mereka tidak meletakkan wanita-wanita diluar sana sebagaimana perempuan-perempuan mereka seperti halnya menjaga keselamatan dan memberi perlindungan buat ibu, isteri, adik-beradik perempuan serta anak-anak perempuan mereka dari dimanipulasikan oleh lelaki-lelaki jahat yang mengintai-intai.

Bagaimana mahu menjadi lelaki yang sensitif?

Setinggi mana pangkat yang anda ada, segunung ilmu agama yang anda ada, sekaya manapun anda, pergilah menuntu ilmu untuk merendahkan ego, melunakkan hati hatta ilmu tersebut kita telah tahu. Hanya dengan pengamalan ilmu yang soheh, inshaAllah hati-hati keras membatu, Allah gantikan dengan hati-hati yang lunak dan penuh rendah lagi sensitif.

Sungguh, dunia hari ini memerlukan lebih ramai lelaki yang sensitif.

18.2.15

WW- SELESA SEUSIA

Kami bertiga sama usia. 

Di tempat kerja saya ada geng seusia yang saya selesa untuk berbual. Kami boleh berkongsi banyak perkara. Mungkin asbab usia kami yang sama. Sahabat seusia, kawan semasa di sekolah rendah dan bertemu kembali di zaman bekerja. Sahabat seorang ustazah dan saya cikgu yang di'teacher'kan manakala sahabat seusia seorang lagi adalah satu kursus yang sama semasa belajar tetapi kampus berbeza. Juga, dipertemukan semasa zaman bekerja.

Sahabat ustazah berhijrah, tinggallah kami berdua.

Berada disisi sahabat ustazah saya ini, membuatkan saya kerdil. Ilmu agamanya membuatkan saya hormat. Pembawaan dirinya membuatkan saya segan. Betapa Allah muliakan orang-orang berilmu dan beramal. Saya bukan pelajar agama dan terlalu sedikit yang saya tahu dan mudah-mudahan yang sedikit itu Allah izinkan saya mampu beramal dengan istiqamah dan sebaiknya hanya mengharap redha Allah.

Saya belajar banyak perkara melalui beliau. Rasa hormat dan rendah diri beliau, membuatkan saya kagum. Antara seni-seni hati yang saya belajar dari masa ke semasa. Allah kirimkan beliau dalam usaha perjalanan mendidik hati ini. Allahu! Terlalu banyak hadiah istimewa Allah buat saya dalam usaha mendidik hati. 

Tanggal 17 Februari 2015 adalah hari terakhir perkhidmatan beliau bersama kami kerana Allah telah aturkan satu perjalanan yang inshaAllah lebih cantik disisiNya. Bertugas di tempat baharu yang lebih dekat zaujnya. InshaAllah tempat kerja baharu yang didoakan membuka lebih banyak jalan untuk meraih syurga Allah dengan penuh santai dan kegembiraan,

Sahabat di dunia, jiran tetangga di syurga, semoga bertemu rakan-rakan yang baik, suasana tempat kerja yang soleh supaya menjadi asbab laluan-laluan kita ke syurga Allah dipermudahkan inshaAllah. Walaupun jasad-jasad kita jauh, inshaAllah ruh-ruh kita sentiasa dekat. Sayang kalian hanya dan kerana Allah T__T.

Selesa seusia. Kenangan kereta yang cantik tersusun buat kami bertiga.

12.2.15

SENI HATI

Cikgu Bahasa Inggeris lempang anak saya.

Antara tuduhan melulu ibu bapa penjaga kepada sahabat seusia saya. Adakah ibu bapa penjaga tahu kesan akibat serangan dan tuduhan kepada seorang guru akibat terlalu mempercayai secara keterlaluan anak-anak mereka? Apakah kesan lanjut tindakan yang nampak ringkas ibu bapa ini terhadap masa depan anak itu sendiri?

Guru adalah manusia biasa. Tindakan ibu bapa yang terlalu mempercayai anak-anak mereka dengan tuduhan belum tentu tepat, pastinya memberi kesan terhadap hati seorang guru. Walaupun cuba untuk adil dan saksama, peristiwa ini pastinya memberi sedikit goresan di hati guru dan kesannya adalah kepada anak itu sendiri. Sedikit sebanyak, keikhlasan guru akan terganggu.

Guru-guru juga punya etika kerja. Kami tidak suka dan tiada masa untuk melayan perkara yang terlalu remeh kerana kami terlalu banyak kerja yang perlu disegerakan dan diselesaikan. Perangai anak-anak mereka yang hampir setengah hari di sekolah, berada kemas di hati kami dan kami tidak suka mengadu domba kerana pada kami, anak-anak masih seorang 'budak'.

Profesional.

Tertarik dikongsikan tentang anak TTM kami yang sedang demam tetapi masih juga mahu ke sekolah kerana menurutnya, dia tidak mahu ketinggalkan membuat 'topeng'. Pada pengetahuan saya, pada hari tersebut, tiada guru yang mahu membuat topeng tetapi 'tabung'. Saya suka kongsikan penjelasan mama shaikh kecil ini yang sangat profesional, 'biasalah budak, lain yang cikgu cakap, lain yang dia dengar'.

Kerana hanya guru yang akan faham profesion keguruan.

Antara kerja yang paling penat adalah kerja yang melibatkan pengurusan manusia. Guru adalah seorang manusia yang sentiasa bermain dengan emosi. Tekanan dari pelbagai lapis kerja. Apabila kami menerima aduan hanya kerana anak-anak mengadu, guru mengatanya, memukulnya dan sewaktu dengannya, kami yang sedayanya cuba menyantuni anak-anak mereka ini secara automatik tidak akan menyentuh dan fitrah manusia biasa, kami tidak akan mempedulikan anak ini kerana apa-apa berlaku kepada anaknya, guru juga yang akan dipersalahkan oleh ibunya. Cuma, di sekolah kerajaan, bukan mudah untuk mengeluarkan pelajar. 

Maka, semakin meningkat usia, saya memahami 'seni hati' yang sentiasa dizikirkan zauji. Kesan sesuatu tindakan terhadap tahap kebersihan hati. Perbuatan 'complain' ibu bapa terhadap guru yang belum tentu betul, sangat mengganggu keikhlasan guru kepada muridnya. Kami hanya kasihankan anak-anak ini kerana hati kita secara automatik akan terganggu dan pastinya, si anak hanya membuang masanya kerana hilang satu perkara berkah dari gurunya iaitu REDHA SEORANG GURU.

InshaAllah di TTM, kami tegas dalam urusan kelurusan hati. Kemasukkan guru, murid bahkan ibu bapa akan ditapis dengan ujian minggu orentasi untuk melihat kesediaan ibu bapa melepaskan anak-anak mereka dengan redha untuk disantuni guru-guru mereka. Kami sangat memandang berat saling redha antara ibu bapa penjaga dan guru-guru kerana REDHA ini menjadi asbab anak-anak ini diredhai Allah.

Saya teringin untuk ke satu tempat institusi pendidikan yang jika tidak silap saya, sekolah Al-Quran peringkat sekolah ataupun peringkat universiti di Indonesia seperti yang diceritakan sifu saya yang anak-anaknya penghafal Al-Quran, semasa beliau menziarahi institusi tersebut, tempat tersebut baru sahaja membuang 2 anak Malaysia hanya kerana 'kesalahan besarnya' ialah menunaikan solat Subuh berjemaah dalam rakaat kedua!

Bukan tidak solat berjemaah, hanya kerana kesalahan solat berjemaah subuh di rakaat kedua. Allah! Saya terus terbayang sekiranya anak-anak saya ke sana. Menurut sifu saya ini, dahulu anak-anak Malaysia ramai tetapi penapisan demi penapisan demi kualiti sebuah institusi yang dibina kerana Allah ini, pelajar Malaysia di sana hanya tinggal 4 orang! MashaAllah ini benar-benar institusi untuk membina lebih ramai Sultan Muhammad Al-Fateh!

Kualiti!

Begitulah seni hati. Seni yang terlalu sukar untuk diterangkan kepada semua orang. Tindakan mengeluarkan bukan bererti bagus, tidak suka, ianya hanya demi sekeping kesucian hati. Demi menjaga ikhlas. Demi masa depan anak-anak di masa mendatang. Bila ada si anak, hati guru sentiasa terdetik dan teringat akan aduan si ibu bapa penjaga. Lebih baik tiada supaya hati lebih terpelihara.

Hati bersih lagi suci, inshaAllah baik seluruh jasadnya kerana hanya Allah sebagai panduan menuju syurga yang hakiki. Maka, carilah solusi agar ianya sentiasa berseni.

7.2.15

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA (2) | DUNIA SEBENAR

Sesetengah orang menganggap bahawa perbuatan tidak bergaul membantu pendidikan yang betul untuk memelihara anak daripada berbagai-bagai musuh akhlak yang merosakkan mereka. Tapi sebenarnya ketertutupan ini tidak menghasilkan peribadi yang stabil dan sulit untuk membangunkan mental sosial di mana seseorang boleh hidup di tengah-tengah masyarakat dan bekerja dengan tulus.

Ya, memang boleh sahaja model pendidikan seperti itu menghasilkan peribadi yang berjaya secara sosial, dalam erti berjaya berinterksi memberi pengaruh kepada masyarakat. Sementara mengenai musuh moral, kewajipan kita adalah memantaunya terlebih dahulu dan apabila ada kes baharu, kita mengajukan penyelesaian yang harus dilakukan, dan mengambil sejumlah langkah pencegahan yang cukup. [Cinta di Rumah Hassan Al-Banna, muka surat 43]

Sedikit sebanyak, pemikiran As-Syahid Imam Hassan Al-Banna merubah persepsi saya selama ini. Keperluan untuk tidak meninggalkan ummah yang sedang menderita masalah sosial yang sungguh luar biasa. Kes-kes dari sumber sahih, terlalu banyak para remaja yang ketempangan arah kesan daripada sistem manusia yang sekular sedangkan usaha daripada tenaga insan yang faham untuk memberi kesedaran tidak mencukupi.

Sehingga kini, kami masih tiada jawapan kemana arahnya anak-anak kami. Semuanya tidak selamat. Sekolah bukan tempat yang selamat untuk pembentukkan insan. Ianya seperti sistem penternakan yang hanya mementingkan hasil atau produk tanpa menekankan aspek kerohanian. Contohnya, masih tiada usaha untuk meletakkan waktu solat Zohor dan Asar dalam jadual waktu anak-anak yang bersekolah di sesi petang. Sedangkan mereka sudah berusia 7 dan 8 tahun.

Saya sendiri pada mulanya membayangkan, sungguh kasihan anak-anak saya jika dibiarkan di sekolah tanpa tiada siapa yang peduli dan mengingatkan mereka akan waktu solat sedangkan di rumah, kami telah berusaha membina insan-insan yang taat dengan solat berjemaah dan di awal waktu. Perlukah kami mengorbankan disiplin kebergantungan kepada Allah ini dengan menghantar mereka ke sekolah bersistem hari ini?

HATI.

Seperkara yang perlu kami ingat dan sentiasa mengingatkan diri, apa pun yang kami usahakan untuk anak-anak hari ini, hati-hati mereka adalah milik Allah yang mana ibu bapa tidak layak, tidak mampu pegang sama sekali. Hanya Allah yang memegang hati-hati anak-anak kita. Maka, hanya Allah selayaknya kami memohon, merayu, meminta agar hati anak-anak kami, anak-anak TTM kami, anak-anak kita, Allah pelihara daripada sekalian benda yang merosakkan.

Menurut Al-Banna, persekitaran bahkan sekolah, boleh sahaja merosakkan apa yang sudah ditanamkan ibu bapa di rumah. Maka, kewajipan ibu bapa adalah tidak membiarkan nilai-nilai yang telah tertanam dalam diri anak-anak hancur oleh gelombang materialistik atau pun gaya hidup yang tidak selari dengan kehendak agama.

Sebagai seorang ibu, kita hanya ada doa dan usaha menanamkan keteguhan aqidah sehingga anak-anak kita keluar dengan keterlibatan yang bijaksana yang mana mereka tidak terbias dengan suasana. Malah, doalah supaya suasana terbias dengan mereka yang mana mereka mampu berninteraksi sewajarnya dengan masyarakat. Dunia hari ini menampakkan yang betul akan sentiasa salah dan yang salah itu, betul. 


Bayangkan dalam suasana sekolah yang ketika azan Zohor dan Asar, mereka murid-murid yang bersekolah petang dalam usia 7-8 tahuan, hanya akan diam apabila disuruh senyap oleh guru untuk menghormati azan yang sedang berkumandang. Sedang azan berkumandang, datang seorang anak yang telah dibina Allah ketaatan kepada Tuhannya yang bukan sedikit, bangun dan meminta izin untuk menunaikan hak Tuhan semesta alam.

Wahai guru, tiada ketakutan yang lebih saya takuti selain melambatkan hak Tuhanku kerana sibuknya aku akan urusan dunia. Sama ada guru izinkan atau tidak, hanya Allah yang menjadi keutamaanku!

InshaAllah akan kembali 'Islam' keseluruhan orang Islam dalam sekolah bahkan masyarakat hari ini dengan membina ramai lagi As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

1.2.15

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA (1) | PANGGILAN HORMAT

Selain menulis, inshaAllah saya akan pastikan yang hobi membaca juga adalah sebahagian diri saya. Walau sesibuk mana sekalipun, inshaAllah saya akan cuba untuk membaca walau hanya semuka. Buku Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna ini sangat nipis tetapi saya belum menyudahkan sehingga ayat terakhir. Rungkaian perjalanan kehidupan sebuah da'i yang penuh padat yang mana beliau hanya memperuntukkan 4 jam sehari untuk tidur. Antara kata-kata emas As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, 'kewajipan dan tanggungjawab yang harus kita laksanakan, lebih banyak dari masa yang kita miliki'.

Kalimah emas ini membuat saya berasa malu untuk mengatakan 'penat' kerana jika dibandingkan usaha Imam Hassan Al-Banna untuk ummat hari ini, apalah sangat yang sedang kami usahakan dan perjuangkan. TTM bukan sekadar perniagaan. Bukan sekadar keuntungan. Bukan juga sebuah perniagaan mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan. Demi pemeliharaan sekeping hati, kami lebih rela rugi daripada membiarkan hati tercemar.


Imam Hassan Al-Banna mula saya kenali ketika berbulatan gembira ketika zaman belajar dahulu. Begitu juga sejarah menyedarkan ummat setelah terhapusnya sistem kekhalifahan Turki Uthmaniyyah. Sejak berbulatan gembira, terlalu banyak perkara yang saya tidak tahu dan Allah menyedarkan tentang tanggungjawan khalifah (2:30) dan hamba (51:56) melalui bulatan gembira.

Sebenarnya tugas dan peranan terbesar mendidik anak-anak adalah bapa. Menurut penulis buku ini, dalam Al-Quran tiada satu pun menujukkan perbualan antara ibu dan anak tetapi yang ada adalah perbualan antara ayah dan anak contohnya nasihat Lukman Al-Hakim kepada anaknya, dialog antara Nabi Ibrahim as dan puteranya, Nabi Ismail as.

Buku ini ditulis hasil sebuah idea dari wawancara dengan seorang ibu yang anak-anaknya menghafal Al-Quran. Ketika ditanya mengenai struktur pembinaan pendidikan rumahtangganya, ternyata ianya hasil didikan suaminya. Menurutnya beliau yang akrab dipanggil dengan Ibu Wiwi, 'yang membentuk mereka semuanya, termasuk saya, adalah bapa mereka. Saya hanya pelaksana sahaja. Ibarat membina bangunan, suami saya yang membina kerangkanya, lalu saya mengisinya'.

Betapa besar peranan suami buat isterinya dan tanggungjawab ayah buat anak-anaknya. Disebalik segala keputusan si isteri, ianya merupakan keputusan suami selaku kuasa veto. Hal demikian disebabkan kelazimannya, agama si isteri adalah berdasarkan agama si suami. Mahu melihatkan pegangan si suami, lihatlah isterinya. Selain itu, seorang ayah juga perlu menunaikan tanggungjawab buat anak-anaknya seperti:
1. Ayah wajib memilihkan ibu yang  baik untuk anak-anaknya.
2. Memberi nama yang baik.
3. Mengajarkan Al-Quran.

Kelestarian sebuah rumahtangga seperti Imam Hassan Al-Banna pastinya dipandu oleh seorang nakhoda kapal yang cekap serta jelas matlamat pengembaraannya. Hidup ini memang tempat bersusah payah kerana akhirat adalah tempat istirehat yang sebenar.

Menarik juga untuk dikongsikan disini berkenaan panggilan hormat antara As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dan isterinya. Imam Hassan memanggil isterinya dengan Ummu Wafa dan isterinya memanggilnya dengan gelaran Ustaz Hassan.

Ketika membaca berkenaan panggilan hormat ini, saya simpulkan ianya bukan spesifik untuk suami yang memang seorang ustaz kerana saya telah temui ramai yang bukan berlatar belakangkan agama juga boleh mengamalkan kehidupan beragama dengan baik. Apabila kita memanggil suami yang bukan ustaz dengan panggilan ustaz, seolah-olah kita sedang memuliakan peranannya sebagai ketua rumahtangga.

Walaupun suami bukanlah ustaz mengajar agama, pastikan suami sentiasa ustaz di hati kita.