Akhir bulan yang dinanti-nanti untuk poket senyum kembali. Dalam duit kita, ada bahagian orang lain melalui kita. Hampir 4 bulan duit zakat pendapatan bulanan terkumpul tidak terusik. Masih mencari-cari penerima yang selayaknya untuk dibantu.
Rupa-rupanya, orang yang layak itu dekat walaupun terserempak jarang-jarang. Kadang-kadang berselisih jalan. Pernah jumpa di surau ketika Zohor. Kerja sebagai pembantu. Suaminya pula bekerja sebagai jaga. Sebelum ini adalah guru. Berhenti akibat masalah mental dan bergantung kepada ubat.
Anak perempuan sulungnya sedang membuat persediaan untuk terbang ke luar negara. Bidang kedoktoran, Pelajar 10A. Cemerlang akademik semenjak sekolah. Adik-beradik lain juga cerdik-cerdik sepertimana kakaknya. Tidak pelik kerana emak mereka sepatutnya seorang guru.
Namun, memilih untuk berkahwin dan takdir untuk dirinya telah tersurat. Berkahwin dengan bekas guru yang sakit mental tetapi kegembiraannya bagai diimbal balas pada anak-anak yang cerdik-cerdik dan soleh solehah.
Mungkin bukan susah melarat tetapi kewangan mereka pastinya bukan mewah. Semua anak-anak sedang belajar. Hidup manusia bertuhan itu berbeza. Walaupun susah, dia tetap redha. Tidak pernah meminta-minta malah sangat merendah diri dengan apa yang dia ada. Air muka tetap tenang gambaran hati yang penuh mahmudah.
Setelah merisik khabar sekadarnya tentang kehidupan mereka, dan bertanya kepada yang lebih alim tentang orang yang layak menerima zakat, sememangnya mereka antara yang layak. 8 golongan yang layak menerima zakat ialah:
1. Fakir (orang yang tidak memiliki harta)
2. Miskin (orang yang penghasilannya tidak mencukupi)
3. Riqab (hamba sahaya atau budak)
4. Gharim (orang yang memiliki banyak hutang)
5. Mualaf (orang yang baru masuk Islam)
6. Fisabilillah (pejuang di jalan Allah)
7. Ibnu Sabil (musyafir dan para pelajar perantauan)
8. Amil zakat (panitia penerima dan pengelola dana zakat)
Kita rasa kita susah, ramai lagi yang lebih susah. Kita masih ada duit lebih, belum tentu orang lain ada duit suka-sukanya. Belum tentu cukup untuk makan. Belum tentu cukup untuk beli kesukaan dan hajat mereka. Maka, bersyukurlah.
"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".