7.4.15

SELFIE? TIDAK PERLU.

Kata zauji, kita umat Islam hari ini tidak perlu bersusah payah berjihad dengan berperang kerana peperangan yang paling hebat untuk setiap daripada kita zaman ini adalah peperangan dengan telefon pintar. Ramai hari ini yang boleh hidup tanpa makan nasi tetapi tidak boleh hidup tanpa telefon.

Teringat zaman jahiliyyah saya sendiri dan sehingga kini pun masih berjuang untuk jahiliyyah tersebut, mahu tidur juga masih berzikir dengan telefon sehingga telefon jatuh atas muka sendiri. Tanpa sedar sebenarnya kita telah menggantikan zikir dengan telefon sebelum tidur. Bangun pagi area tahajjud, capai telefon lagi dan hantar ke seberapa kumpulan yang ada atas nama tazkirah. Nampak baik tetapi jahatnya lagi banyak. 

Orang sibuk selfie, kita pun sama juga. Pernah suatu ketika dahulu, saya menghadiri sebuah taklimat ditemani zauji tanpa anak-anak. Jadi, malam sebelum bertolak, dengan bersemangatnya saya meminjam kayu selfie daripada adik. Kononnya ambil masa bersama suami untuk bercinta dengan berselfie berakhir dengan tazkirah sentap!

Katanya, orang berselfie, dia pun sibuk berselfie. Sepatutnya orang yang ada tarbiyyah telah hilang keinginan yang bukan-bukan sebagaimana minat untuk menonton cerita korea, menonton TV yang mana kebanyakkannya mata pastinya tidak terjaga sekaligus dengan hati dan baru-baru ini katanya lagi, bahayanya berselfie secara tidak sedar boleh mendatangkan sifat 'ujub.

Sifat 'ujub yang merasakan diri cantik. Apa yang kita akan buat selepas berselfie? Pilih gambar selfie yang kita rasakan paling jelita dan tampan dan update gambar dalam media sosial, sentiasa bertukar gambar profile dalam aplikasi pintar. Pasti kita tidak akan pilih gambar yang memuatkan rupa kita yang lebih tua 20 tahun dari umur, masam, comot yang boleh menyebabkan orang langsung tidak tertarik mahu melihat kita. Kesimpulannya, apa tujuan kita meletakkan semua gambar-gambar berkenaan? Tanya hati yang paling dalam.

Zauji juga pernah masam muka hanya kerana kes saya bergambar bersama rakan sejawat. Katanya, saya boleh jaminkah yang suami-suami rakan-rakan saya tidak melihat telefon isteri-isteri mereka. Asbab itu juga, zauji hadkan saya bersosial dalam linkungan alam maya kerana dia sangat tidak suka gambar isterinya boleh dilihat lelaki seantero dunia. Bertutup mana pun kita, sifat cemburu seorang lelaki yang fitrahnya, tidak suka isteri mereka memandang dan dipandang kerana destinasi akhir sebuah perkahwinan hanya ada dua, syurga atau neraka.

Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menahan/menundukkan pandangan (atau mata) mereka (daripada melihat wanita yang tidak halal) dan hendaklah mereka memlihara/menjaga kemaluan-kemaluan mereka (daripada zina dan liwat), demikianlah lebih suci/baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka. [Surah An-Nuur, 24: 30]

Hati ini cukup bahaya. Tidak diurus dengan baik, terdetik sebesar zarah perasaan-perasaan berpenyakit hati, maka hilang terus amalan harian yang diumpamakan membawa bekalan dalam bekas yang bocor.

Bersedia bersetuju untuk tidak bersetuju.

Tahap didikan hati kita berbeza. Ada yang Alhamdulillah Allah bagi kebal dan boleh jaga hati semata-mata niat kerana Allah dan untuk saya, lebih baik jangan dari ya. Lebih baik tiada dari ada. Ada yang memerlukan medium internet dan melekat di telefon kerana sumber rezeki mereka tetapi tidak pada kami. Kerana manusia itu berbeza.

Sehingga suatu ketika, saya jarang mahu menulis untuk muhasabah diri. Saya takut apa yang saya tulis, nampak seperti baik tetapi rupanya tiada apa nilai di sisi Allah.

No comments: